Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Kedah. Show all posts
Showing posts with label Kedah. Show all posts

Sunday, May 23, 2010

Kedah utuh, ADUN Pakatan tolak dakwaan lompat - Malaysiakini

Dakwaan kononnya kerajaan negeri Kedah bakal tumbang apabila beberapa ADUN Pakatan Rakyat, khususnya daripada PKR akan berpaling tadah, ternyata meleset.

Malam semalam pada perhimpunan yang dianjurkan oleh PAS di Kota Sarang Semut, keempat-empat ADUN yang dikaitkan akan meninggalkan Pakatan mengulangi ikrar mereka akan tetap dengan perjuangan parti masing-masing, setidak-tidaknya sehingga pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, ada pihak meramalkan mereka tidak akan menghadiri majlis ini.

Keempat-keempat mereka adalah ADUN S.Manikumar (Bukit Selambau), Lim Soo Nee (Kulim), Tan Show Kang (Sidam) dan Lee Guan Aik (Kota Darul Aman) diberi masa 15 minit untuk menerangkan pendirian mereka.

Semua mereka melahirkan rasa “tertekan” kerana menerima jumlah panggilan telefon yang tidak berhenti-henti daripada wartawan, penyokong, sahabat dan juga ahli parti untuk mengetaui sama ada dewan undangan negeri Kedah akan dibubarkan.

Sehubungan dengan itu, mereka berkata selepas penjelasan yang diberikan, mereka tidak akan melayan sebarang soalan lagi berhubung perkara berkenaan.

“Sorry-lah … jika ada media yang telefon dan tanya sama ada saya akan lompat, saya akan letak telefon,” kata Tan yang diberi peluang pertama menyatakan pendiriannya.

“Jika anda tanya benda yang sama berulang kali, orang tak mahu dengar-lah, sama seperti pecah rekod, berapa kali perlu saya cakap yang saya tak akan lompat?” katanya.

"Jika ia lagu yang sedap, saya tidak keberatan untuk dengar (berulang kali), tetapi ini adalah soalan bodoh.

"Saya penat dan bosan kerana terpaksa menjawab soalan yang sama berkali-kali. Biar ia dihentikan malam ini," katanya.

Manikumar pula yang bercakap dengan fasih dalam bahasa Melayu berkata kenyataannya sering-kali diputar oleh media bagi memperlihatkan kononnya beliau tidak berpuas hati dengan PKR dan pucuk pimpinan kerajaan negeri Kedah.

“Bila saya ditanya sama ada saya akan lompat, saya kata jika ia berlaku, perkara berkenaan perlu dianalisis dengan teliti, ia mungkin masalah ADUN itu sendiri, masalah dengan pemimpin atau kerajaan negeri, tetapi kata-kata saya diputar,” katanya.

“Saya bukan gila publisiti, saya selalu bincang dalam keadan tertutup, kita mesti bertolak ansur kerana rakyat menyokong saya semasa pilihan raya supaya saya menjadi wakil mereka, tetapi media ingin menjual suarat khabar, jadi Manikumar ingin letak jawatan dijadikan berita,” katanya.

Bagi ADUN Kulim (PKR) Lim Soo Nee, yang didakwa berpotensi paling tinggi akan melompat menceritakan dia dikejutkan dengan panggilan telefon oleh wartawan pada jam 1 pagi semata-mata untuk mengesahkan sama ada dia telah meninggalkan PKR.

“Ini gila, saya telah berkali-kali menjelaskannya tetapi wartawan terus bertanya dan saya tidak akan melayan mereka lagi kerana lagi dilayan mereka jadi lebih bersemangat,” katanya.

“Saya bukan 'katak' tetapi isu ini sudah berlanjutan, kita ada banyak kerja untuk dibuat, jadi tolong jangan telefon saya mengenai perkara itu lagi,” kata Lim sambil menjeling ke arah wartawan yang membuat liputan itu.

Seorang lagi ADUN Pakatan iaitu Lee Guan Aik yang mewakili parti DAP bagi kerusi Kota Darulaman membidas media berhubung spekulasi itu.

“Di media Cina, kita diberi gred - 1, 2 atau 3 – dan ini menunjukkan kebarangkalian atau kemungkinan kita akan melompat atau berpaling tadah, tetapi nasib baik saya hanya diberi Gred 1 sahaja,” katanya dengan sinis.

“Ini cerita lama kerana BN tidak lagi berkuasa sejak dua tahun lalu dan mereka tidak tahu bagaimana menjadi pembangkang," kata Lim yang merupakan seorang bekas anggota tentera.

Ketua PKR Kedah, Ahmad Kassim, yang juga berucap sebelum majlis yang dihadiri lebih dua ribu orang itu berakhir pada jam 12 malam berkata kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undag ke atas mereka yang terus menyebarkan khabar angin berkenaan.

“Kita telah memberi mereka peluang dan ini amaran terakhir, sesiapa yang sebarkan nama orang yang akan lompat sama ada dengan sms, blog atau apa-apa, kita akan bertindak,” katanya.

Majlis malam itu diakhiri dengan ucapan daripada Menteri Besar, Datuk Azizan Abdul Razak yang menggunakan kiasan 'katak, monyet dan ketam' sehinga menyebakan hadirin gelak besar.

Beliau juga menasihatkan wartwan supaya tidak diperbodohkan dengan dakyah Umno dan berkata “Jika Umno bodoh sebarkan penipuan, adakah anda perlu menjadi bodoh juga?”

Katanya, khabar angin kononnya kerjaan negeri Kedah akan tumbang sengaja disebarkan kerana Umno tidak dapat menerima hakikat kekalahan mereka.

“Dalam sistem demokrasi, ada menang dan ada yang kalah; sejak Merdeka, kita sentiasa kalah tetapi kita bersabar dan bila kita menang, Umno menggunakan pelbagai cara yang memalukan dan tidak bertanggungjawab untuk cuba menumbangkan kita,” katanya.

Sehubungan itu, Azizan menegaskan beliau tidak akan membubarkan DUN sebagaimana dihebohkan kerana menerima sokongan padu daripada semua 20 ADUN Pakatan Rakyat, termasuk empat wakil rakyat terbabit.

Azizan berkata, tiada ada alasan baginya membubarkan DUN hanya semata-mata mahu memenuhi spekulasi yang disebarkan Umno yang sengaja mahu menimbulkan kekecohan dan melemahkan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.

Katanya, semua keempat-empat ADUN itu menyatakan pendirian masing-masing tanpa dipaksa, sebaliknya dengan kerelaan sendiri serta tiada syarat dikenakan.

Malaysiakini

Thursday, May 20, 2010

'Ceramah jalan terbaik nafikan lompat parti' - Malaysiakini

Tindakan PAS Kedah mengerahkan tiga exco PKR dan seorang ADUN DAP - yang dispekulasikan melompat parti - ke majlis ceramah Sabtu ini merupakan sebaik-baik cara bagi menafikan spekulasi itu.

Setiasuaha PAS negeri Senator Muhamad Yusof Husin berkata sekiranya wakil rakyat tersebut tidak tampil memberikan penjelasan, rakyat akan terus bimbang terhadap kesetiaan mereka pada Pakatan Rakyat.

"Masalah ini (lompat parti) boleh diselesaikan secara dalaman (parti). Selagi kita tak buat macam ini (ceramah), keresahan (rakyat) berterusan. Rakyat kata, kenapa kerajaan negeri tak bertindak (mencegahnya)?

"Jadi biar mereka (empat wakil rakyat itu) menjelaskan apa yang didakwa (kepada mereka) pada hari itu, dengan memberi penjelasan dengan penuh ikhlas," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.

Muhamad Yusof mengulas desas desus bahawa keempat-empat wakil rakyat itu diminta bersumpah supaya setia bersama Pakatan di hadapan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Keempat-empat ADUN tersebut, S Manikumar (Bukit Selambau), Tan Chow Kang (Sidam) dan Lim Soo Nee (Kulim) daripada PKR. Manakala wakil DAP pula Lee Guan Aik (Kota Darulaman).

Mereka sebelum ini dilapor menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Azizan, sekali gus telah menafikan khabar angin mahu keluar parti.

Malah, mereka juga dilapor bersetuju untuk hadir ke majlis tersebut bagi menyatakan pendirian mereka di Kompleks PAS negeri di Kota Sarang Semut, pada 22 Mei, jam 9 malam.

Diminta mengulas bagaimana khabar angin itu muncul, Muhamad Yusof berkata beliau tidak tahu menahu berhubung perkara itu.

Berhubung khabar angin Manikumar, Tan, Lim dan Lee diminta bersumpah taat setia di hadapan Azizan, Muhammad Yusof memberikan jawapan yang sama.

Beliau juga berkata, dalam ceramah Ahad ini, PAS sebagai tunjang utama kerajaan Pakatan di Kedah tidak memberikan apa-apa arahan khusus, sebalik hanya diminta menyatakan pendiriannya.

"Kita tidak tahu apa yang ada isi hati mereka. Kita tidak ada beri arahan apa-apa (untuk ucapan) kepada mereka dan parti," katanya.

Tambahnya, dalam majlis yang dijangka dihadiri ribuan penyokong Pakatan itu, Pengerusi PKR Kedah Ahmad Kassim akan turut berucap. Manakala Azizan pula dijadual membuat penggulungan.

Muhamad Yusof itu juga menafikan PAS Kedah 'memaksa' keempat-empat ADUN itu hadir ke majlis tersebut.

"Kita tanya mereka (empat wakil rakyat itu) dulu, bukan kita tak ada hubungan dengan mereka," katanya.

Malaysiakini

Monday, May 10, 2010

Gimik Keluar Parti, Johari Sanggah Laporan Media - SK

SHAH ALAM 10 Mei - Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul hari ini menafikan laporan media yang dipetik kononnya 1700 ahli parti KEADILAN keluar parti di Kulim, Kedah.

Johari yang merupakan biro politik KEADILAN turut menyanggah laporan tersebut kerana menurutnya tidak sampai 20 orang yang mengumumkan keluar parti dalam majlis hari ibu yang telah disalahguna oleh pihak tertentu.

"Sebenarnya apa yang diadakan semalam adalah program meraikan Hari Ibu.

"Kehadiran dalam majlis tersebut cumalah 480 orang dan rata-ratanya kaum India.

"Majlis tersebut dihadiri bukan sahaja ahli parti KEADILAN tetapi orang dari mana-mana parti pun boleh datang tetapi ada dalang mengambil kesempatan dalam majlis tersebut,

"Tetapi yang peliknya, kehadiran dalam majlis itu tidak sampai 500 orang tapi yang diumumkan 1700 orang yang keluar parti," ujar Johari lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan MIC itu sebenarnya untuk mendapatkan undi kaum India dan semata-mata untuk memperkukuhkan personaliti pemimpin tertentu dalam parti tersebut.

Tambah beliau, gimik keluar parti ini biasanya akan kedengaran di musim pilihanraya dimana menyaksikan Pilihan Raya kecil P212 Sibu sedang berlangsung sekarang.

SK

Friday, April 16, 2010

ADUN Bakar Arang Ada Kepentingan Dan Cita-Cita Peribadi - TVS

SHAH ALAM 16 APR: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu meninggalkan parti sebenarnya sudah dijangka pimpinan Parti Keadilan Rakyat, lebih-lebih lagi selepas digugur dari senarai Exco kerajaan negeri Mac lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin menyifatkan pengguguran itu memudahkan kerajaan Umno Barisan Nasional memancing Adun Bakar Arang itu dengan kemungkinan disogok habuan tertentu.

"Sebenarnya, kita sudah jangka khususnya apabila menjelang pilihan raya. Yang lemah, yang mengejar habuan sudah tentu akan mudah dipancing." katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Pada masa sama, Badrul Hisham menyifatkan tindakan Adun Bakar Arang itu sebagai sebahagian lagi proses pembersihan parti supaya individu yang ada kepentingan peribadi tidak kekal dalam parti.

"Dan inilah proses pembersihan. Mereka adalah antara orang yang punya kepentingan dan cita-cita peribadi. Bakar Arang contohnya.

"Kita sudah beri pelbagai ruang kerana dia gagal untuk menunjukkan prestasi yang baik sebagai Exco kerajaan negeri. Lantas kita mencari ADUN PKR lain untuk ganti.

"Dia (Wei Shu) kecewa kerana mungkin bagi dia, itu jawatan peribadi dia. Kita kena ingat, kita dinaikkan oleh rakyat, bukan kekuatan parti semata-mata maka kita mendapat tempat.

"Justeru, kita kena beri khidmat terbaik. Sebarang pertukaran, sebarang perubahan dalam parti atau pentadbiran kerajaan adalah untuk mencari yang terbaik kepada rakyat.

"Orang yang tidak boleh menerima hakikat ini, kita persilakan mereka keluar," katanya.

TVS

Tian Chua Tidak Percaya ADUN Bakar Arang Lompat Secara 'Percuma' = TVS

KUALA LUMPUR 15 APR: Tindakan Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu keluar parti menjelang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, didalangi Umno Barisan Nasional bagi mengimbangi pergeseran dalaman MIC.

Demikian kata Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang yakin Umno-BN akan sedaya upaya mensensasikan isu keluar parti itu bagi menutup masalah pemilihan calon di Hulu Selangor.

Ahli Parlimen Batu itu juga tidak percaya ADUN Bakar Arang tidak dijanjikan sebarang imbuhan apabila keluar parti ketika bahang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor semakin panas.

“Saya tidak percaya dia (Wei Shu) keluar percuma sahaja. Saya tidak percaya dia pilih pada pilihan raya kecil Hulu Selangor untuk keluar dan dia tidak diberi 'reward'. Saya tidak percaya.

“Kita boleh jangka kerana kekecohan pemilihan calon MIC. Kita tahu Umno dan MIC tidak sepakat dalam menentukan calon untuk mewakili BN. Dengan berita Tan Wei Shu keluar parti, mereka harap dapat mengalih pandangan dari kemelut dalaman Umno-BN," katanya.

Kepada satu soalan, Tian Chua juga menolak keras spekulasi liar, kononnya wujud masalah dalaman antara Wei Shu dengan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

“Sebenarnya keputusan untuk ganti dia (Wei Shu) datang dari kepimpinan parti bukan dari Ahli Parlimen Sungai Petani. Saya dan Ahli Parlimen Sungai Petani hanya menyampaikan mesej kepimpinan kepada Tan Wei Shu,” katanya.

Bercakap kepada TV Selangor, Tian Chua berkata, tindakan Tan sudah dijangka apabila digugur dari senarai exco kerajaan Kedah Mac lalu berikutan gagal menunjukkan prestasi baik dalam dua tahun perkhidmatan.

Parti Keadilan Rakyat (PKR), katanya terpaksa menggugurkan Wei Shu berikutan ADUN Bakar Arang itu dilihat tidak mampu menunaikan tanggungjawab dengan baik kepada rakyat.

“Kita sudah jangka Wei Shu mungkin lompat tetapi kita tetap tukar kerana dia pegang jawatan Exco. Oleh kerana prestasinya tidak memuaskan, kita tidak nampak dia mampumenjalankan tugas sebagai Exco dalam kerajaan negeri," katanya.

TVS

Monday, March 8, 2010

Prestasi Kerajaan Negeri-Negeri Pakatan Rakyat sepanjang 2 tahun - AnwarIbrahimBlog

Pakatan Rakyat secara tuntas memperlihatkan kerjasama dan muafakat utuh demi memasti serta menjamin kemaslahatan rakyat. Pakatan Rakyat akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan yang menjamin hak orang Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Pakatan Rakyat akan terus memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan didasari prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban. Berdepan dengan masalah perkauman yang meruncing, rakyat di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat menunjukkan perpaduan kaum yang semakin jitu dan utuh. Negeri-negeri Pakatan menunjukkan prestasi ekonomi yang memberansangkan jika dibandingkan dengan negeri yang ditadbir umno-barisan nasional.

Selangor

Negeri Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 6.76 billion pada tahun 2009 dan mencipta sebanyak 20 753 peluang pekerjaan. Dari jumlah pelaburan tersebut, RM 2.752 billion(40.8%) merupakan pelaburan tempatan. Manakala Projek Industri yang diluluskan di Selangor berjumlah 278, ianya merupakan yang tertingi dicatatkan di Negara ini.

Kerajaan Negeri Selangor juga mensasarkan enam hingga tujuh peratus pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini daripada penguncupan sebanyak 3.87 peratus tahun lepas.
Selangor juga mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 5.3 peratus iaitu sebanyak 54,339 kes sepanjang tahun 2009 berbanding 57,704 kes pada tahun sebelumnya.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan kira-kira RM6 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini bagi menjalankan aktiviti pendidikan dan pembelajaran berteraskan Islam sepanjang 2010.Peruntukan ini diberikan kepada SAR yang tidak pernah mendapat sebarang peruntukan kewangan dan peralatan pembelajaran dari Kerajaan Negeri mahupun sumbangan individu.

Pulau Pinang

Pulau Pinang meluluskan sebanyak 104 projek industri(ketiga tertingi). Dasar CAT(daya saing, pertanggungjawaban dan ketelusan)menjadi pemangkin kepada kejayaan Pulau Pinang untuk merekodkan lebihan belanjawan(surplus) sebanyak RM 88 juta berbanding jangkaan defisit sebanyak RM 35 juta(belanjawan 2008)

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mewujudkan 200 ekar hub pendidikan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pendidikan terunggul. Pengiktirafan serta bantuan kewangan (pemberian tunai) kepada pelajar terbaik SPM dan STPM serta para huffaz.

Bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat berjumlah RM 97 ribu per sekolah, RM 60 ribu kepada setiap sekolah cina dan RM 63 ribu kepada setiap sekolah tamil. Jumlah keseluruhan ialah RM 11.3 juta. Berjaya membasmi kemiskinan tegar dalam masa satu tahun dan menjamin setiap keluarga mendapat RM 500 sebulan.

Kedah

Pelaburan adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Kedah telah mencatatkan pelaburan keseluruhan lebih RM839 juta bagi tempoh Januari hingga September 2009, dengan nilai pelaburan tempatan sebanyak RM279.4 juta dan pelaburan asing sebanyak RM559.8 juta.

Kini dengan keluasan 1,000 hektar kerajaan mendapat hasil RM16.7 juta, tidak termasuk cukai per tan metrik bila balak dikeluarkan dari hutan. Sedangkan di bawah pentadbiran umno-bn, dengan keluasan yang sama, hanya mampu mengutip RM3 hinggga RM4 juta sahaja termasuk cukai kayu pertan metrik. Kejayaan ini merupakan hasil dari pelaksanaan dasar yang telus serta tidak berkompromi dengan rasuah.

Kelantan

Semenjak 20 tahun lepas Kerajaan Kelantan secara berterusan dianaktirikan akan tetapi Kelantan tetap berjaya dengan program negeri berkebajikan. Program Kifalah untuk anak yatim, golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya telah menjadi contoh kepada banyak negeri. Begitu juga dengan program Perbadanan Ladang Rakyat yang membantu golongan marhaen, Bandar Baru Tunjung dibina menjadi pusat komersil satelit kepada Kota Bharu. Kerajaan Negeri berjaya mengambil alih bekalan air daripada Thames Water kepada Air Kelantan. Selain itu PMBK menjadi agensi pelaburan utama negeri yang sebelum ini gagal di bawah pemerintahan BN sebelum 1990. Kerajaan Negeri berjaya menguruskan 20 sekolah agama bantuan penuh kerajaan negeri yang cemerlang dan menjadi saingan kepada sekolah premier di bawah Kementerian Pendidikan. Kemahiran pelbagai syarikat multinasional adalah bukti kuasa beli rakyat Kelantan terus kukuh. Sepanjang 20 tahun pemerintahan ekonomi tempatan dibina secara kendiri tanpa bantuan stimulus dari kerajaan Pusat.

AnwarIbrahimBlog

Thursday, February 25, 2010

Rombakan exco Kedah: PKR serah senarai baru - Malaysiakini

PKR menyerahkan senarai baru calon-calon untuk dilantik sebagai exco kerajaan Kedah untuk dipertimbangkan menteri besarnya Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Pertukaran tersebut untuk meningkatkan keberkesanan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan ia juga selari dengan janji kita untuk meningkatkan prestasi kerajaan negeri," kata setiausaha agungnya Saifuddin Nasution (kiri).

Undang-undang negeri mensyarakat pelantikan exco baru Kedah dibuat bulan depan.

Daripada 10 kerusi exco di negeri itu, tiga daripadanya diberikan kepada PKR. Mereka adalah M Manikumar (pelancongan dan hal ehwal masyarakat India), Lim Soo Nee (pelaburan dan hal ehwal masyarakat Siam) and Tan Wei Xu (Pengangkutan dan hal ehwal masyarakat Cina).

Antaranya ketika-tiga wakil rakyat itu, khabar angin bertip kencang bahawa Tan akan digugurkan, antanya berkaitan prestasi semasa beliau.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Azizan (kanan, bersongkok) berkata beberapa anggota exco ungkin digugurkan setelah dua tahun memegang jawatan berkenaan bagi memberi peluang kepada muka baru untuk menggalas tugas terbabit.

"Saya akan tengok kesesuaian untuk mencari yang terbaik, nak bagi orang lain pula cuba kemahiran masing-masing, tapi saya akan maklumkan kepada Tuanku Sultan terlebih dahulu," beliau dipetik berkata kepada pemberita di Alor Star hari ini.

Beliau berkata istiadat mengangkat sumpah memegang jawatan dijangka diadakan minggu depan dan akan turut melibatkan beberapa perubahan daripada segi portfolio setiap anggota exco.

Mengenai kuota pelantikan exco, Azizan berkata ia mungkin dikekalkan iaitu tujuh daripada Pas dan selebihnya daripada PKR.

Malaysiakini

Friday, January 8, 2010

Kedah rancang strategi baru tarik pelancong 2010 - Siasah

Kerajaan Negeri Kedah telah merangka perancangan yang lebih baik bagi menjadikan negeri tersebut sebagai salah satu destinasi menarik bagi pelancong tempatan dan juga luar negara.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat India, S.Manikumar, pembangunan keatas beberapa tempat menarik yang telah dirancang untuk diberikan penekanan bersama agensi-agensi yang terlibat merangkumi empat zon yang telah dikenal pasti.

"Langkawi, Pembangunan Merbok, Hub Agro Tourism di Pendang dan Pembangunan Bandaraya Alor Setar adalah antara beberapa buah lokasi yang dilihat menarik kerana di situ terdapat Gunung dan Sungai yang berpotensi untuk menjadi tarikan kepada para pelancong.

"Di Merbok ada produk pelancongan seperti Gunung Jerai, Sungai Merbok dan Semeling, Pulau Songsong dan sebagainya.Antara perkara yang akan diberi perhatian ialah mewujudkan 'tag line' kepada industri pelancongan ini.Tempat-tempat yang menarik akan secara automatiknya mewujudkan konsep bumi hijau yang akan merangkumi beberapa pengembaraan yang menarik seperti."

Menurut beliau lagi bagi menjayakan perancangan tahun 2010 ini maka kerjasama daripada pelbagai pihak adalah penting bagi memastikan aspirasi Kerajaan Negeri untuk mewujudkan destinasi menarik pelancongan di negeri Kedah ini menjadi realiti yang akan memberi pulangan kepada kerajaan dan juga manfaat rakyat negeri ini.

Siasah

Wednesday, December 23, 2009

Isu Pindah Kubur Hindu Selesai: Azizan - mStar

ALOR SETAR: Isu pemindahan kubur Hindu di tapak kampus Kolej Universiti Insaniah, di Ladang Batu Pekaka, Kuala Ketil dekat sini, dianggap selesai selepas kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan waris serta persatuan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, lebih 100 kubur selesai dipindahkan dan kerja pembinaan kampus berkenaan kini diteruskan dan dijangka siap menjelang 2012.

"Kes ini sudah selesai walaupun peringkat awal ada salah faham. Kita telah memberi penerangan kepada persatuan Hindu Sangam dan mereka dah faham," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kubur berkenaan dipindahkan ke kawasan baru yang terletak empat kilometer dari tapak lama dan setiap waris yang terbabit dibayar RM3,000.

"Kerajaan negeri turut menyediakan sebidang tanah seluas satu hektar bernilai RM500,000, untuk masyarakat India di kawasan berkenaan bagi pembinaan dewan orang ramai," kata Azizan.

Baru-baru ini, kekecohan berlaku apabila lebih 300 penduduk termasuk waris kepada ahli keluarga mereka yang dikebumikan di tanah perkuburan itu, membantah pemindahan kubur itu kerana mendakwa tanah perkuburan seluas 0.8 hektar itu, merupakan sumbangan seorang pemilik ladang kepada pekerja ladang di kawasan berkenaan.

Mengenai satu perkara lain, Azizan berkata, penswastaan pengurusan bekalan air yang akan diuruskan Syarikat Air Darul Aman (Sada) di negeri ini, akan bermula Januari tahun depan.

Beliau berkata, Sada kini dalam proses membuat tawaran kepada kakitangan Jabatan Bekalan Air sama ada ingin terus berkhidmat dengan syarikat baru itu atau berhenti secara pilihan.

"Ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan juga telah dilantik dan namanya akan diumumkan kemudian," kata Azizan.

Mengenai kadar baru yang bakal dikenakan, beliau berkata, ia terpulang kepada pengurusan baru, mungkin ada penambahan (kenaikan), tapi harap tidak membebankan rakyat dan kerajaan negeri. - BERNAMA

mStar

Skim Khairat Kematian Untuk Semua Kaum Di Kedah - mStar

ALOR SETAR: Skim bantuan khairat kematian atau Kifalah kepada rakyat miskin semua kaum di Kedah akan diperkenalkan bermula Januari tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, mereka yang layak akan menerima RM500 tetapi mereka perlu terlebih dahulu didaftar dalam senarai e-Sinar iaitu senarai rakyat miskin kerajaan negeri.

"Skim kifalah diperkenalkan untuk membantu meringankan beban golongan miskin terutama bagi menguruskan jenazah sekiranya terdapat anggota keluarga mereka seperti ibu, bapa atau anak mereka meninggal dunia.

"Bantuan akan diberikan berdasarkan laporan penghulu dan wakil rakyat serta senarai e-Sinar, sebab kalau tidak, semua orang akan mengaku dia susah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Azizan berkata, satu unit khas di bawah perbendaharaan negeri akan ditubuhkan bagi menguruskan pelaksanaan skim berkenaan. - BERNAMA

mStar

Wednesday, November 25, 2009

Kota Siputeh: Mahkamah tangguh DUN kosong - Malaysiakini

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan penangguhan sementara perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menolak permohonan SPR untuk menangguhkan perintah tersebut.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu diumumkan kira-kira jam 7.30 malam. Esok merupakan tarikh akhir bagi SPR melaksanakan perintah mahkamah tinggi supaya mengeluarkan writ pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.

Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, SPR boleh menangguhkan pengeluaran writ tersebut untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Keputusan hari ini dibuat sebulat suara oleh panel hakim yang diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie. Dua lagi hakim ialah Datuk Kang Hwee Gee dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Aziz Abdul Rahim.

Mengikut undang-undang, apabila SPR telah mengeluarkan writ tersebut, maka ia tidak boleh dibatalkan.

Sebelum itu, peguam kanan persekutuan, Kamaluddin Md Said berhujah bahawa wujud keadaan tertentu yang membolehkan penangguhan itu dibuat.

Katanya, jika SPR sudah menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian, dan jika rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kemudiannya dibenarkan, maka pilihan raya kecil itu adalah satu pembaziran dana awam.

Kamaluddin juga menegaskan, jika pilihan raya kecil diadakan, ia mungkin menyebabkan ada dua wakil rakyat, jika rayuan SPR dibenarkan.

Manakala peguam kanan Sulaiman Abdullah, yang mewakili speaker DUN Kedah, Dr Abdul Isa Ismail pula berkata, jika mahkamah membenarkan penangguhan itu, ianya hanya menghalang perjalanan perlembagaan kerana kerusi tersebut telahpun diisytiharkan kosong.

"Apabila sesebuah kerusi diisytiharkan kosong, maka pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dan writ pilihan raya hendaklah dikeluarkan esok," katanya.

Sulaiman berkata, juga tidak ada keperluan segera untuk memberi penangguhan kerana Mahkamah Rayuan boleh mendengar rayuan SPR sebelum tempoh 60 hari itu.

Maka katanya, tidak ada keperluan segera untuk mahkamah membenarkan penangguhan.

Tambahan lagi, katanya, mengikut undang-undang, mahkamah tidak boleh memberi sesuatu penangguhan terhadap mana-mana perintah yang dipohon.

Malaysiakini

Tuesday, November 24, 2009

Mukhriz bukan calon BN di Kota Siputeh - Malaysiakini

Barisan Nasional akan menamakan calon yang sesuai selain anggota parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir jika mahkamah memutuskan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh, kata timbalan perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu bukan bermakna Mukhriz tidak sesuai tetapi bagi memberi peluang kepada orang di
kawasan itu.

Katanya, Mukhriz boleh membantu dalam kempen pilihan raya kecil nanti berikutan beliau mempunyai pengaruh dan diterima baik ramai pengundi di kawasan parlimen itu.

"Di kawasan parlimen (Jerlun), Mukhriz menang lebih banyak majoriti daripada calon kita di peringkat DUN (Kota Siputeh). Ini bermakna satu penerimaan yang baik.

"Jadi, beliau (Mukhriz) boleh mempengaruhi, boleh turun membantu, tak kira siapa calon yang akan ditetapkan nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara ke-7 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Mukhriz, yang juga timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, disebut-sebut akan menjadi calon bertanding jika berlaku pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh dalam kawasan parlimen Jerlun.

Mengenai keputusan yang akan diumumkan mahkamah berhubung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan rayuan bagi menangguh pelaksanaan keputusan mahkamah yang mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh sebagai kosong, pada hari ini, Muhyiddin berkata:

"Apapun keputusan yang dibuat mahkamah nanti, kita tidak boleh bertindak awal. Tetapi kita akan terima, jadi, kita akan tunggu keputusan."

Muhyiddin, yang juga timbalan pengerusi BN, berkata parti ini sentiasa bersedia setiap kali berhadapan dengan situasi sebegini.

"Perkara ini sudah menjadi lumrah, saya telah melalui sembilan kali pilihan raya kecil, kalau tambah satu pun tak banyak beza.

"Tetapi jika kita terpaksa berhadapan dengan pilihan raya umum, kita akan bekerja besungguh-sungguh untuk mempertahankan kerusi kita," katanya.

Beliau berkata terdapat banyak perubahan sikap yang berlaku di kalangan rakyat pada masa ini yang didapati menyokong kepimpinan BN.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mahu terlalu yakin dan akan melakukan analisis serta langkah-langkah sewajarnya seperti membuat persiapan, memilih calon yang terbaik, bekerja bersungguh-sungguh dan menyelesaikan masalah berbangkit. BERNAMA

Malaysiakini

Monday, November 23, 2009

SPR gagal tangguh perintah kosongkan Kota Siputeh - Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah minggu lalu.

Suruhanjaya itu bagaimanapun akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung penolakan penangguhan tersebut.

Isnin lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata hakim itu lagi ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Speaker DUN itu memfailkan semakan berkenaan pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.

Malaysiakini

Tuesday, November 17, 2009

Kota Siputeh diisytihar kosong - Malaysiakini

Pilihan raya baru akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh di Kedah selepas kerusi berkenaan diisytihar kosong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Abu Hassan akan dihalang daripada menghadiri persidangan DUN esok.

Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya ketika menyampaikan keputusannya pada jam 5.30 petang.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata Hakim Alizatul ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Abdul Isa, yang diwakili oleh peguam utama Sulaiman Abdullah, memfailkan semakan kehakiman pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil
rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.

Perkara 51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan bahawa jika mana-mana anggota DUN tidak menghadiri persidangan dewan tanpa kebenaran Speaker
selama dua persidangan berturut-turut, maka kerusi yang diwakilinya akan menjadi kosong.

Dalam keputusannya hari ini, Hakim Alizatul berkata tidak dipertikaikan bahawa Abu Hassan tidak memperoleh kebenaran daripada Speaker untuk tidak menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut, dan hanya mengemukakan sijil cuti sakit beliau kepada Speaker pada 10 Ogos 2009.

"Speaker mempunyai kuasa mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah bagi memberi kebenaran dan beliau tidak bertindak secara tidak munasabah apabila menolak sijil cuti sakit bertarikh 10 Ogos 2009 selepas mengetahui bahawa wakil rakyat itu turut menghadiri satu majlis pada hari yang sama," katanya.

Hakim Alizatul menegaskan SPR telah bertindak secara tidak sah ketika menerima sijil cuti sakit yang dikemukakan oleh Abu Hassan sebagai alasan kerana ketidakhadirannya.

SPR juga membuat keputusan tidak wajar ketika memutuskan bahawa Perkara 51 hanya boleh digunakan selepas Speaker merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan, katanya.

"Tiada peruntukan mandatori dikenakan ke atas Speaker untuk berbuat demikian memandangkan keputusan sama ada merujuk perkara itu kepada jawatankuasa berkenaan atau tidak adalah budi bicara beliau memandangkan perkara berkaitan kebenaran bukanlah keistimewaan yang diberikan kepada seseorang wakil rakyat,"
katanya.

Hakim Alizatul berkata SPR telah tersalah tafsir maksud "dua persidangan berturut-turut" mengikut Perkara 51 sebagai dua sesi berasingan.

"Saya bersetuju dengan peguam pemohon bahawa responden pertama (Abu Hassan) telah tidak menghadiri dua persidangan berturut-turut dalam satu sesi tanpa gendala," katanya.

Mahkamah turut menetapkan Jumaat ini untuk mendengar permohonan SPR bagi penangguhan perintah pilihan raya kecil.

Di luar mahkamah, Abu Hassan memberitahu pemberita beliau menerima keputusan itu dan menyerahkan kepada peguamnya, Datuk Hafarizam Harun, untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

SPR diwakili peguam kanan persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said. - Bernama

Malaysiakini

Friday, November 13, 2009

Status ADUN Kota Siputeh diputus Isnin - Harakah

KUALA LUMPUR, 13 Nov: Keputusan sama ada berlaku pelanggaran dan perlu di adakan pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh di Kedah hanya akan diketahui Isnin ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar penghujahan peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Speaker DUN Kedah Abdul Isa Ismail.

Abdul Isa sebelum ini memohon semakan semula kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan status ADUN Kota Seputih kepada Abu Hassan Sarif birpun tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Abu Hassan sebelum ini didakwa telah gagal untuk menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini sekaligus didakwa melanggar peruntukan undang undang tubuh negeri itu.

Sehubungan itu speaker mahu mahkamah mengisytiharkan kerusi berkenaan adalah kosong dan diadakan pilihanraya baru..

Abdul Isa memfailkan semakan kehakiman itu pada 1 Sept, selepas SPR memutuskan bahawa kerusi Kota Siputeh tidak kosong dan Abu Hassan masih merupakan seorang ADUN.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam seperti dilapor media, enggan mengulas lanjut kedudukan Abu Hassan kerana berpendapat ianya bukan dalam bidang kuasa menteri besar.

"Semua isu dalam DUN adalah bawah bidang kuasa Speaker, bukan saya. Eloklah Speaker yang membuat kenyataan mengenai isu ini,” kenyataan beliau dipetik.

Beliau berkata, segala keputusan tertakluk kepada mahkamah kerana kes itu masih dalam semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Status Abu Hassan kini menjadi pertikaian apabila Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail tidak mengiktiraf dan tidak membenarkan ADUN berkenaan hadir persidangan DUN 17, November ini berikutan tindakan Abu Hasan tidak menghadiri dua sidang DUN tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun mengarahkan Abu Hasan supaya menghadiri sidang DUN kerana berpegang kepada keputusan yang dibuat SPR, bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.

Harakah

Sunday, September 13, 2009

Kedah sudah ada undang-undang penjualan arak - MB - mStar

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau tidak mengetahui mengenai cadangan kawalan dan garis panduan penjualan arak di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat seperti dibangkitkan oleh Dewan Pemuda Pas.

"Semalam saya bermesyuarat dengan Dewan Pemuda Pas Pusat tapi tiada yang membangkitkan perkara ini. Saya kena dapatkan maklumat mengenainya terlebih dahulu," katanya ketika ditanya mengenai cadangan dewan berkenaan.

Azizan berkata beliau tidak melihat cadangan itu sebagai satu keperluan mendesak memandangkan Kedah sudah ada undang-undangnya sendiri berhubung kaedah penjualan arak.

"Di sini hanya kedai-kedai tertentu sahaja yang diberikan lesen penjualan arak kerana ada penganut agama lain yang minum arak kerana agama mereka tidak mengharamkannya.

"Saya rasa tiada masalah bagi orang Islam kerana mereka tahu memang haram minum arak," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kulim, Lim Soo Nee sebagai anggota Exco Negeri yang baru di Istana Anak Bukit, di sini Ahad.

Azizan bagaimanapun melahirkan rasa terkejutnya mengenai cadangan supaya kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat mengharamkan terus penjualan arak di negeri yang mempunyai majoriti umat Islam.

"Bila pula Dewan Pemuda Pas ada kuasa ke atas kerajaan negeri," kata Azizan.

Timbalan Pengerusi Dewan Pemuda Pas, Azman Shapawi Abd Rani berkata semalam mereka akan menyediakan kertas cadangan mengenai kawalan dan garis panduan penjualan arak itu. BERNAMA

mStar

Tuesday, September 1, 2009

DUN Kota Siputeh kekal di tangan BN - Utusan

PUTRAJAYA 1 Sept - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan status quo kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah kekal di tangan Barisan Nasional.

SPR mengumumkan demikian melalui kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

- UTUSAN

Adun Lunas didesak letak jawatan - Harakah

PADANG SERAI, 31 Ogos: Tekanan semakin hebat ke atas Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh agar beliau melepaskan jawatan Adunnya selepas keluar dari PKR menjadi Adun bebas.

Ini kerana, mereka mengundi Radzhi kerana dia bertanding atas tiket PKR bukannya bebas apatah lagi menjadi alat kepada Barisan Nasional (BN) pula.

Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan mendesak Radzhi supaya melepaskan jawatan beliau sebagai Adun Lunas kerana ianya tidak bertepatan dengan kehendak penduduk dan pengundi kawasan tersebut.

Menurut beliau pada pilihan raya umum yang lalu pengundi kawasan tersebut mengundi calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Justeru itu sebagai menghormati para pengundi dan penduduk kawasan yang dimenangi oleh Radzhi atas tiket PKR itu maka beliau harus mengosongkan kerusi tersebut supaya ia dipulangkan kepada pengundi dan penduduk kawasan tersebut untuk membuat pemilihan.

"Beliau telah mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh pengundi kepadanya.

"Jika beliau memang seorang yang berpendirian maka beliau akan melepaskan jawatan sebagai Adun Lunas dan memulangkan kepada pengundi dan penduduk untuk membuat keputusan samada mahu menerimanya atas tiket bebas atau sebaliknya," kata Gobala.

Lunas adalah salah Dun di bawah Parlimen Padang Serai yang diwakili Gobala.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula menyatakan bahawa Radzhi harus sedar dengan perkenan Tuanku Sultan Kedah untuk menggugurkan beliau sebagai Exco sudah jelas membuktikan kemurkaan Tuanku dengan perbuatan beliau.

"Saya yakin keputusan yang telah diambil oleh Tuanku Sultan untuk menggugurkan Radzhi daripada jawatan Exco adalah untuk menjaga nama baik istana. Radzhi sepatutnya faham mesej yang ingin disampaikan oleh Tuanku kepada beliau.

"Pada waktu yang sama selepas beliau dilucutkan daripada jawatan Exco maka pada ketika itu juga Radzhi sepatutnya melepaskan jawatan sebagai Adun Lunas.

"Saya juga yakin majoriti daripada pengundi dan penduduk yang diwakili beliau itu mahukan kerusi Lunas dikosongkan selepas kemenangan beliau dalam pilihan raya umum yang lalu adalah atas tiket PKR dan bukannya Bebas."

Radzhi sebelum ini mengambil keputusan keluar dari PKR setelah mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti dan menjadi Adun Bebas.

Rentetan daripada itu beliau kemudian telah dilucutkan jawatan sebagai Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia oleh Tuanku Sultan Kedah. _

Harakah

Pilihan raya kecil DUN Kota Seputeh? SPR putuskan Selasa ini - mStar

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini bagi memutuskan status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputeh, Kedah iaitu sama ada perlu diadakan pilihan raya kecil ataupun sebaliknya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan meneliti semua aspek dengan tumpuan kepada soal perundangan sama ada kerusi itu perlu dianggap kosong, sekali gus mengadakan pilihan raya kecil.

SPR mempunyai kuasa muktamad untuk mengisytiharkan kekosongan mana-mana kerusi dan diadakan pilihan raya kecil.

"Kita akan bincang semua aspek secara menyeluruh, mempertimbangkan dari segi perundangan dan dari segi moral tetapi lebih kepada soal undang-undang," katanya lagi.

Jika diputuskan wujud kekosongan sudah pasti pilihan raya kecil akan diadakan, kata beliau.

SPR telah mengadakan pilihan raya kecil yang kelapan pada 25 Ogos lalu - sejak selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Sehubungan itu, kata Aziz, pihaknya akan memaklumkan keputusan SPR kepada Speaker Kedah.

"Oleh kerana Speaker telah menulis surat kepada kami, kami akan memaklumkan Speaker hasil keputusan mesyuarat khas ini... mesyuarat ini hanya membincangkan isu kerusi Kota Seputeh," kata beliau kepada mStar Online ketika dihubungi semalam.

Pilihan raya kecil itu menjadi sebutan banyak pihak ekoran kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sarif - dari Umno-BN - digugurkan daripada jawatannya kerana gagal hadir dua kali sidang DUNtanpa kebenaran Speaker.

Oleh itu, SPR telah meminta pandangan penasihat undang-undangnya dan juga Jabatan Peguam Negara mengenai isu berkenaan.

Pada 18 Ogos lalu, Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berkata, beliau sudah menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melahirkan harapan agar SPR akan mempertimbangkan keadaan Abu Hassan yang kurang sihat dalam menentukan sama ada kerusi tersebut kosong atau sebaliknya.

Muhyiddin berkata, SPR yang mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan sesebuah bahagian pilihan raya, sebagaimana disaksikan di Perak Februari lalu, akan ambil kira pertimbangan itu.

"Bagaimanapun kita akan akur dengan keputusan SPR, kita selalu akur dengan keputusan SPR, mana ada yang kita tidak akur," kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN.

Dalam pada itu, Wan Ahmad ketika dihubungi pagi semalam memberitahu mStar Online bahawa semua dokumen berkaitan dengan isu berkenaan sudah sedia ada.

"Semua dokumen, pandangan dan maklum balas sudah diterima. Kita hanya perlu mengadakan mesyuarat dan menentukan status kerusi ini," katanya.

mStar

Wednesday, August 26, 2009

Radzhi gugur, ADUN Kulim exco baru - Malaysiakini

Sultan Kedah memperkenankan ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas Ahad lalu, digugurkan daripada jawatan exco Kedah, berkuatkuasa semalam dan digantikan oleh ADUN Kulim dari PKR, Lim Soo Nee.

Titah perkenan Sultan Kedah itu juga diterima semalam, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada Mohd Radzhi melalui pembantu peribadinya kerana beliau tidak ada di pejabat, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah diarahkan untuk memaklumkan bahawa jawatan exco telah digugurkan mulai 25 Ogos," katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman, di Alor Star hari ini.

Ahad lalu, Mohd Radzhi yang juga exco pelancongan, pembangunan masyarakat dan sumber manusia, mengumumkan keluar dari PKR dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu serta mengisytiharkan dirinya menjadi wakil rakyat Bebas selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti itu.

Sementara itu, Azizan berkata majlis angkat sumpah pelantikan Lim Soo Nee untuk mengisi jawatan exco yang kosong itu, akan diadakan minggu depan.

"Majlis angkat sumpah akan dilakukan minggu depan kerana ramai pegawai-pegawai masih berada di luar negara dan kita kena tengok masa Tuanku," katanya.

Pada 24 Ogos, Azizan menyembahkan surat kepada Sultan Kedah bagi memohon perkenan baginda supaya perkhidmatan Mohd Radzhi ditamatkan dan digantikan dengan orang lain.

Azizan berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri sama ada akan melakukan penambahan atau perubahan portfolio exco berkenaan.

"Buat sementara, saya akan pegang portfolio itu (Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia), sebelum majlis angkat sumpah.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim berkata pemilihan Lim untuk menggantikan Mohd Radzhi dibuat selepas mencapai persetujuan hasil perbincangan antara Menteri Besar dan Penasihat parti itu.

Katanya, pemilihan Lim juga mengambil kira faktor geografi kedudukan Lunas yang terletak berhampiran dengan Kulim. Bernama

Malaysiakini