Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Media. Show all posts
Showing posts with label Media. Show all posts

Wednesday, May 12, 2010

Manikavasagam Serah Dokumen, Puas Hati Dengan Tindakan MB - TVS

SHAH ALAM 12 MEI: Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam hari ini menyerahkan beberapa dokumen yang mengandungi bukti dakwaan rasuah kakitangan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sendirian Berhad.

Beliau berpuas hati apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang memberi jaminan kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan itu.

Turut sama dalam perjumpaan ini ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Dalam perjumpaan tadi, Menteri Besar suruh saya segera buat laporan polis selepas tengok dokumen dan senarai nama yang terlibat dengan dakwaan rasuah ini.

"Beliau suruh saya buat laporan polis. Biar polis siasat. Dan beliau sendiri akan tubuhkan sebuah badan untuk sisasat kes ini.

"Semua fail- fail, saya sudah beri pada Menteri Besar. Menteri Besar bagi pada Setiausaha Politiknya,Nik Nazmi Nik Ahmad. Banyak lagi dokumen yang saya akan bagi pada Menteri Besar," katanya.

TVS

Beri Kenyataan Isu KSSB, TV3 Menyamar TV Selangor

SHAH ALAM 12 MEI: Ahli Parlimen Kapar, S Manivasagam kecewa kerana wartawan penyiaran TV3 tidak mematahui etika kewartawanan apabila menyamar sebagai TV Selangor semata-mata mahu memperoleh kenyataan beliau.

Beliau mulanya enggan melayani panggilan telefon daripada wartawan TV3 beberapa hari lalu kerana bimbang kenyataannya dimanupulasi untuk kepentingan tertentu, sebagaimana amalan mereka sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau kemudian menjawab panggilan telefon dan memberi kenyataannya mengenai isu Kumpulan Semesta Sdn Berhad berikutan pemanggil mengaku sebagai 'Nurul' dari TV Selangor.

Manikavasagam hanya menyedari hal itu apabila beliau menerima panggilan telefon bertalu-talu dari rakan-rakannya yang mempertikai tindakannya membuat kenyataan kepada TV3.

"Saya terus bagi kenyataan mengenai isu berkenaan kerana ingatkan panggilan itu dari TV Selangor. Saya tidak akan bagi kenyataan kepada TV3. Jangan harap," katanya kepada TV Selangor.

Bagi pihak TV Selangor, kami kesal dengan sebarang tindakan yang melanggar etika kewartawanan termasuk penyamaran sebegini dan kami ingin menegaskan tiada wartawan di web tv ini yang bernama Nurul.

TVS

Tuesday, May 11, 2010

Penerbit: RTM gugurkan lagi dokumentari pro-rakyat - Malaysiakini

Kurang seminggu selepas sebuah dokumentari menerusi slot, 'Galeri Mandarin Nasional' digugurkan, RTM kali ini menolak sebuah lagi dokumentari.

Dokumentari itu memaparkan bantahan penduduk di Rawang berhubung pembinaan menara bervoltan tinggi di kampung baru mereka oleh Tenaga Nasional Berhad.

Siri dokumentari untuk 'Galeri Mandarin Nasional' itu adalah hasil usaha penerbit, Chin Hueyi dan wartawan Tan Ean Nee dengan Chou Z Lam sebagai penerbit bersama. Chou adalah penerbit siri ‘Empangan Bakun’ yang digugurkan dari ke udara oleh RTM pada 28 April lalu.

'Galeri Mandarin Nasional' ke udara selama 10 minit bermula jam 12.20pm dari Isnin hingga Jumaat, selepas siaran berita tengahari dalam bahasa Mandarin.

Dua episod siri ‘Empangan Bakun’ itu ke udara pada 26 dan 27 April lalu tetapi episod seterusnya yang dijadualkan pada 7 Mei lalu digugurkan.

Chou mendakwa RTM bertindak demikian kerana gusar ia akan mempengaruhi rakyat dan akan memberi kesan pada pilihan raya kecil Sibu, Ahad ini. RTM sebaliknya menafikan perkara itu dan mendakwa Chou berdegil tidak mahu membuat suntingan ke atas dokumentarinya yang tidak seimbang.

Dokumentari siri ‘Rawang’ itu mempunyai lima episod sepanjang sepuluh minit setiap satu dan dijadualkan mula ditayangkan semalam. Bagaimanapun menurut Chou, siaran berita bahasa Mandarin dilanjutkan bagi menggantikan slot sepuluh minit 'Galeri Mandarin Nasional'.

Dalam blognya, Chou mendakwa siri ‘Rawang’ itu digugurkan tanpa sebarang notis mahupun penjelasan.

“Saya gesa mereka yang memalukan kerjaya kewartawanan untuk meletakkan jawatan mereka di RTM dan memohon maaf kepada penonton RTM dan juga kepada mereka yang telah menghabiskan masa dan usaha mereka dalam penerbitan siri dokumentari ‘Rawang’ dan ‘Empangan Bakun’,” katanya.

Malaysiakini

Tuesday, May 4, 2010

Freedom House: Media Malaysia masih 'tak bebas' - Malaysiakini

Malaysia naik dua tangga untuk berada di kedudukan ke-141 dalam kebebasan akhbar yang dibuat oleh Freedom House di kalangan 196 negara.

Bagaimanapun kedudukan terbaru itu masih menyaksikan negara berada di takuk terbawah di kategori 32 peratus negara yang tidak mempunyai media yang bebas.

Menurut kajian yang berpangkalan di Washington DC itu, Malaysia berkongsi tempat dengan Algeria dan Zambia.

Antara sepuluh negara paling bebas ialah Finland, Iceland, Norway, Sweden, Denmark, Belgium, Luxembourg, Andorra, Switzerland dan Liechtenstein.

Manakala lima negara yang berada di tangga paling bawah ialah Eritrea (pada kedudukan 192), Libya (192), Burma (194), Turkmenistan (194) dan Korea Utara (196).

Di rantau Asia Pasifik, kedudukan Malaysia masih ketinggalan di belakang jiran-jirannya seperti Filipina (kedudukan 97), Indonesia (107), Thailand (124) dan Kemboja (134).

Freedom House meletakkan media di Filipina, Indonesia dan Thailand di bawah kategori “sebahagian bebas”.

Freedom House adalah kumpulan pejuang kebebasan demokrasi antarabangsa dan senarai kedudukan yang dikeluarkannya adalah sempena Hari Kebebasan Media Antarabangsa yang disambut setiap 3 Mei.

Malaysiakini

Thursday, April 29, 2010

Lagi penerbit TV dakwa campurtangan politik - Malaysiakini

Seorang lagi penerbit televisyen - kali ini darrpada TV2, RTM mendakwa campur tangan politik dalam penerbitan dokumentarinya berhubung laporan empangan Bakun.

Rencana itu didakwa diarah tidak disiarkan kerana bimbang akan memberi kesan kepada peluang Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi parlimen Sibu pada pilihan raya kecil 18 Mei ini.

Dalam rencana di blognya, penerbit dokumentari itu, Chou Z Lam, mendedahkan rancangan itu diarah tidak disiarkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.

"Pengarah berita RTM, Datuk Jumaat Engson berkata dokumentari itu ditarik balik kerana ia mempunyai elemen yang sensitif yang mungkin memudaratkan BN pada pilihan raya kecil Sibu akan datang dan juga pilihan raya negeri Sarawak,” kata Chou.

Chou sebaliknya dimaklumkan bahawa dokumentari itu akan ke udara ‘pada masa yang sesuai’.

Dakwaan Chou (kanan) itu timbul kurang seminggu selepas penerbit ntv7, Joshua Wong meletakkan jawatanya kerana mendakwa terdapat campur tangan politik yang melampau dengan kerjanya.

Dokumentari sembilan bahagian Chou adalah untuk rancangan "Galeri Mandarin Nasional" di TV2 dan bermula Isnin lalu sehingga 7 Mei menerusi slot waktu 12.20 petang hingga ke 12.30 petang. Dua episod pertama bermula Isnin lalu.

'Rakyat didahulukan’ atau ‘politik didahulukan'?

Episod seterusnya yang dijadualkan hari ini yang memaparkan impak sosial pembinaan empangan Bakun di kawasan pribumi di Belaga yang terpaksa dipindahkan ke Sungai Asap dan Sungai Koyan pada tahun 1998 dihentikan.

"Ini adalah contoh campur tangan kerajaan dalam berita semasa dan selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor,” kata Chou.

"Saya amat bersimpati dengan penduduk di Sungai Asap yang telah saya wawancara berhubung masalah yang mereka utarakan tidak dapat dikongsi bersama majoriti rakyat di timur dan juga barat Malaysia,” katanya.

Chou berkata tindakan itu amat bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang dicanangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menekankan kepentingan rakyat didahulukan.

"Jika pilihan raya kecil Sibu dan pilihan raya Sarawak adalah punca dokumentari itu ditarik balik, RTM sebenarnya melaksanakan ‘politik didahulukan’,” katanya.

Chou berkata beliau cuba membawa perkara itu ke perhatian timbalan menteri, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Heng Sai Kee agar beliau dapat membantu membatlkan arahan berkenaan.

Namun jawapan yang diberikan oleh pemimpin MCA itu ialah pihaknya tidak akan campurtangan dalam hal ehwal RTM.

Chou juga merayu kepada Ibrahim (kanan) untuk mempertimbangkan semula larangannya itu demi kredibiliti RTM dan kepentingan penduduk pribumi di Sarawak.

Ketika dihubungi Malaysiakini, ketua pengarah penyiaran itu menafikan bahawa beliau yang membuat larangan berkenaan.

“Saya tidak membuat arahan itu...awak sepatutnya tanya kepada Chou,” katanya dengan ringkas.

Malaysiakini

Monday, September 14, 2009

NGO demo bantah Malaysiakini disiasat - Malaysiakini

Beberapa NGO media dan hak asasi manusia serta penulis blog hari ini berhimpun di depan pejabat Malaysiakini bagi menunjukkan sokongan susulan siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) minggu lalu.

Dalam perhimpunan ringkas di depan pejabat akhbar web itu di Bangsar Utama, Kuala Lumpur, kumpulan 30 penyokong itu hanya berhimpun sebentar kira-kira jam 10 pagi sambil membawa beberapa sepanduk yang mengkritik dan menyindir kerajaan.

Ia antaranya bertulis: "Stop targeting Malaysiakini", "Rais = Goebbles (menteri propaganda Nazi)", "MCMC macai Rais Yatim" dan "Kami mahu merdeka".

Dipimpin pengarah Institut Nasional Untuk Integriti Pilihan Raya (NIEI) Amin Iskandar, kumpulan tersebut – Pakatan Wartawan untuk Kebebasan Media (Wami), Suaram, kumpulan penulis blog Anak Bangsa Malaysia – itu kemudiannya mengadakan sidang media di pejabat Malaysiakini.

Ketua pegawai eksekutif akhbar web itu Premesh Chandran turut hadir dalam sidang media yang turut dihadiri agensi berita antarabangsa itu.

Pengerusi NIEI, Yunus Ali menyifatkan permintaan MCMC supaya Malaysiakini menarik balik dua videonya – termasuk sidang media Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 28 Ogos lalu – sebagai "tidak logik".

"Mereka (kerajaan) mahukan maklumat sehala, macam (menteri Nazi) Goebbels. Kemudian bila rasa tidak OK, tarik balik. Itu propaganda ala Goebbels," katanya.

Wakil WAMI Nga Yap Hwa pula berkata, Hishammuddin tidak sepatutnya menuding jari kepada media yang hanya melaporkan, sebaliknya menteri berkenaan patut meminta maaf kerana bertemu dengan penunjuk perasaaan yang mengarak kepala lembu di Shah Alam hujung bulan lalu.

Sementara itu, Premesh menuntut MCMC menyelesaikan siasatannya dengan cepat, tanpa menyambungnya dalam perkara lain yang tidak perlu.

"Kita sedia didakwa di mahkamah. Kita akan mempertahankan tindakan mengikut lunas undang-undang. Kita percaya keadilan menyebelahi kita," katanya disambut tepukan penyokong akhbar tersebut.

Malaysiakini

Thursday, September 10, 2009

NGO kecam SKMM siasat Malaysiakini

Beberapa NGO, termasuk di peringkat serantau, mengecam keras tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyiasat secara intensif sekumpulan besar wartawan Malaysiakini berhubung video demonstrasi membantah kuil Hindu.

Video itu merakamkan bantahan kira-kira 50 orang, dengan mengarakkan kepala lembu yang masih berdarah, di depan bangunan sekretariat kerajaan Selangor di Shah Alam, hujung bulan lalu, berhubung isu pemindahan kuil ke Seksyen 23.

Piagam 2000 Aliran, kumpulan pemantau kebebasan media dalam NGO berpengaruh itu, menyifatkan tindakan suruhanjaya itu sebagai mempersendakan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin untuk tidak menapis Internet.

"Tindakan secara metafornya membunuh pembawa mesej juga sangat tidak menyenangkan kerana ia bertujuan menakut-nakutkan wartawan yang sedar daripada melaporkan kebenaran tanpa rasa takut atau pilih kasih," kata penyelarasnya Dr Mustafa K Anuar dan Anil Netto dalam satu kenyataan.

Sementara Pakatan Akhbar Asia Tenggara (Seapa), dalam surat bantahannya kepada SKMM, pula menyifatkan siasatan itu sebagai satu bentuk "gangguan sewenang-wenangnya" terhadap akhbar web tersebut, dan sekali gus mencabuli hak bersuara dan kebebasan media.

"Seapa telah menonton video-video berkenaan, liputan Malaysiakini itu dan keadaan semasa, dan kami membuat kesimpulan bahawa Malaysiakini tidak membuat apa-apa selain melaporkan dua perkembangan berita yang sah," kata pengarah eksekutifnya Roby Alampay.

Pegawai penyiasat suruhanjaya itu mengambil keterangan lagi hari ini (foto atas, kanan), kali ketiga selepas siasatan beramai-ramai selama lapan jam sekumpulan 12 pegawai kanan, editor, wartawan dan kakitangan teknikal Malaysiakini kelmarin di pejabat portal berita itu di Bangsar Utama, Kuala Lumpur.

Selain ketua pegawai eksekutif akhbar web itu Premesh Chandran, editor dan wartawan itu terlibat dalam proses pemberitaan, suntingan dan penerbitan dua berita dan video berhubung demonstrasi di Shah Alam pada 28 Ogos dan sidang media Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, 2 September lalu turut disiasat.

Suruhanjaya itu memulakan siasatannya terhadap ketua pengarang kumpulan Steven Gan, Sabtu lalu, berhubung penerbitan dua klip video yang dituntut agar dibuang: Temple demo: Residents march with cow's head (28 Ogos) dan Hisham: Don't blame cow-head protesters (2 Sept).

Pemantau pilihan raya Institut Nasional bagi Integriti Pilihan Raya (NIEI) pula berkata siasatan itu "berniat jahat dan sekali gus bertentangan dengan prisinsip demokrasi dan kebebasan media yang termaktub dalam perlembagaan dan Artikel 19 Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia.

"Bersempena dengan Hari Hak Asasi Manusia (peringkat Malaysia) semalam, NIEI mendesak agar kerajaan Malaysia dan SKMM agar menghormati kebebasan media dan kebebasan rakyat untuk mendapatkan maklumat," kata pengarah eksekutifnya Amin Iskandar.

"Tindakan sebegini hanya membawa Malaysia kebelakang sekali gus bercanggah dengan gagasan '1Malaysia: rakyat diutamakan, pencapaian didahulukan' yang dipopularkan oleh perdana menteri.

"Jika rakyat diutamakan, hormatilah hak asasi rakyat untuk bebas mendapatkan maklumat dan informasi."

Malaysiakini

Friday, September 4, 2009

SKMM minta Malaysiakini buang video - Malaysiakini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta Malaysiakini membuang dari lamanwebnya dua video yang didakwanya berunsur provokatif, termasuk klip mengenai perarakan kepala lembu.

Dalam suratnya kepada Malaysiakini, SKMM berkata video tersebut mengandungi kandungan yang ofensif dengan niat untuk menimbulkan kemarahan, terutama kaum India.

Pemangku pengarah kanan bahagian pemantauan dan penguatkuasa SKMM, Abdul Halim Ahmad, dalam suratnya yang bertarikh 3 September berkata, ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 211/233 AKta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Di bawah undang-undang komunikasi dan multimedia, mereka yang didapati bersalah menyiarkan kandungan tidak senonoh, lucah, palsu, ugutan, atau ofensif, dengan niat untuk menimbulkan kemarahan, menyalahguna, mengungut dan mengganggu mana-mana pihak, boleh didenda sehingga RM50,000 atau dijatuhkan hukuman penjara.

Malaysiakini

Admin: Bagaimana pula pelaku punca kejadian ini? Tiada tindakan? Bagaimana pula media-media pro UMNO & BN yang sentiasa menyiarkan artikel berbaur perkauman??

Wednesday, September 2, 2009

Kenyataan Zunar: Saya Menafikan Sekeras-kerasnya Tuduhan KDN

1. Merujuk Berita Malaysiakini bertarikh 29 Ogos yang memetik kenyataan Ketua Komunikasi Korporat KDN Jamilah Taib bahawa Sepakat Efektif Sdn Bhd, iaitu syarikat milik saya akan didakwa kerana menerbitkan sebuah penerbitan tanpa permit penerbitan.

Menurut beliau, Sepakat Efektif didakwa di bawah Seksyen 5(2)(b) Akta Mesin Cetak 1984 kerana mengedarkan majalah yang tiada permit...Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih daripada tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.---Laporan itu dipetik

Kenyatan itu merujuk kepada penerbitan sebuah majalah kartun berjudul Gedung Kartun.

2. Sebagai rekod, sebelum majalah ini diterbitkan, saya telah membuat permohonan pada 30 Jun kepada KDN untuk mendapatkan permit dan telah mematuhi semua peraturan yang disyaratkan.

Pada 3 Ogos, syarikat kami telah menghubungi pegawai KDN dan dimaklumkan permit telah lulus dan beliau meminta untuk mengambil surat penerbitan pada 14 Ogos. Pada 14 Ogos, kami pergi ke KDN untuk mengambil surat, walau bagaimana pun dimaklumkan surat belum siap.

Sehubungan itu, saya telah meminta agar nombor permit itu diberi terlebih dahulu supaya kami dapat menjalankan kerja-kerja produksi, dengan anggapan bahawa apabila majalah ini dicetak dan diedarkan sepuluh hari selepas itu, sudah pasti surat rasmi permit itu akan tiba. Dan nombor itu telah diberi oleh pegawai KDN.

Dengan itu saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa Gedung Kartun diterbitkan dengan menggunakan permit palsu. Malahan KDN telah membuat tuduhan serius yang membawa implikasi bahawa permit bernombor PP8541/08/2010(0282145) ISSN 1688-5398 adalah rekayasa saya?

3. Saya tidak faham kenapa surat rasmi mengenai kelulusan permit Gedung Kartun sampai sekarang belum dikeluarkan oleh pihak KDN, sebaliknya mereka melakukan rampasan dan mahu mendakwa saya ke mahkamah. Bukanlah lebih baik dikeluarkan surat kepada saya dan semua masalah selesai?

4. Kerana permit penerbitan diluluskan menteri, saya akan menulis surat untuk bertemu sendiri dengan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mendapatkan penjelasan apakah benar beliau tidak pernah pada atau sebelum 14 Ogos
meluluskan permit dengan nombor PP8541/08/2010(0282145) ISSN 1688-5398 untuk majalah Gedung Kartun?

5. Saya juga ingin bertanya, kenapa memperolehi permit penerbitan menjadi semakin sukar? Apakah ini yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri bahawa media akan lebih bebas di bawah pemerintahannya? Apakah dibawah 1Malaysia, hak berkarya dan suara kartunis akan lebih dicengkam?

6. Jika melukis kartun boleh dipenjara tiga tahun, bayangkan bentuk kebebasan media dan kebebasan bersuara di negara kita.

7. Saya juga mendesak supaya akta lapuk, Akta Mesin Cetak 1948 dihapuskan.


Zunar
(Political cartoonist, Gedung Kartun Editor
1 September 2009

--Pertahankan hak kartunis

Thursday, August 27, 2009

Kilang cetak Gedung Kartun diserbu - Malaysiakini

Selepas menyerbu pejabat Gedung Kartun semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyerbu kilang percetakannya dan merampas plat reka bentuk cetakan majalah humor itu.

Selain merampas 408 naskhah majalah humor politik semalam, kementerian itu juga dikatakan turut mengadakan rampasan serupa di dua buah negeri.

Enam pegawai bahagian penerbitan KDN tiba di K Vin Publisher di Seri Kembangan, Serdang jam 11.30 pagi ini dan berada di situ selama hampir sejam.

Mereka merampas lebihan helaian-helaian majalah edisi sulung "jenaka alternatif" bawah pimpinan kartunis politik terkemuka Zunar, atau nama penuhnya Zulkiflee Anwar Haque.

Jumlah kepingan plat yang dirampas dan siapa pegawai KDN yang mengadakan operasi itu belum dapat dipastikan.

Difahamkan syarikat percetakan itu turut dikenakan amaran oleh pegawai KDN yang membuat serbuan agar tidak lagi mencetak majalah yang hanya mendapat permit secara lisan bulan ini.

Zulkiflee ketika dihubungi mengesahkan serbuan itu tetapi tidak pasti maklumat terperinci.

Beliau juga belum pasti sama ada K Vin Publisher akan menarik diri daripada mencetak edisi kedua Gedung Kartun akibat serbuan kementerian itu.

Malaysiakini gagal mendapatkan reaksi syarikat penerbitan tersebut.

Difahamkan, KDN turut membuat rampasan majalah itu daripada pengedarnya, masing-masing seorang di Perak dan Melaka.

Kira-kira 500 naskhah dirampas di Melaka, manakala 100 lagi di Perak.

Serbuan KDN di pejabat majalah itu di Brickfields, Kuala Lumpur semalam mencetuskan minat besar penyokong pembangkang dan juga pembaca majalah humor.

Serbuan itu dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Isteri perdana menteri, Rosmah Mansor, digambarkan sebagai dalang yang menggerakkan wayang kulit berkepala suaminya, selain seorang yang menggunakan khidmat bomoh dan dilabelkan sebagai "Rosmoh."

Setebal 68 halaman, Gedung Kartun juga menggelarkan Najib sebagai "Datuk Nazak", dipercayai singkatan namanya dan bapanya Tun Abdul Razak Hussein.

Serbuan di pejabat penerbitnya Sepakat Efektif Sdn Bhd dibuat bagi kesalahan bawah Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atau kesalahan menerbit tanpa permit.

Zunar, sebagai ketua pengarang, berkata rampasan itu "bermotif politik" kerana pihaknya telah mendapat kelulusan permit percetakan secara lisan daripada KDN untuk menerbitkan Gedung Kartun.

"Kita belum dapat surat rasmi tapi sebenarnya sudah ada kelulusan daripada menteri. Pada 14 Ogos, KDN janji untuk hantar surat dalam masa dua atau tiga hari," katanya semalam.

"Sudah menjadi amalan biasa bagi penerbit, bila kita sudah habis mencetak kita akan dapat surat rasmi."

Sementara itu, pemangku pengarah penguatkuasa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN cawangan Selangor, Zainal Abidin Osman berkata, serbuan ke kilang tersebut tidak dilakukan oleh pegawai-pegawainya.

"Mungkin (ibu pejabat KDN) Putrajaya," jelasnya ketika dihubungi petang ini.

Serbuan di Brickfields dibuat oleh kumpulan lapan pegawainya, termasuk dua daripada KDN di Putrajaya.

Zainal menambah, setiap cawangan KDN di peringkat negeri boleh membuat rampasan walaupun di lokasi yang berada di luar negerinya.

Usaha Malaysiakini mendapatkan reaksi ketua Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN di Putrajaya setakat ini belum berhasil.

Malaysiakini

Monday, July 13, 2009

Komen negatif Najib: Pengacara ntv7 kena tukar - Malaysiakini

Semuanya berpunca daripada kenyataan salah seorang tetamu jemputan dalam programnya - Point of View - di ntv7 yang memberi pemeringkatan 'C' atau 'D' terhadap prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi 100 hari pentadbirannya.

Ekoran itu, pengacaranya, Florence Looi menerima surat amaran dan terus ditukar ke meja berita stesen swasta tersebut.

Looi didakwa telah melanggar dasar redaksi pengarangnya, kata sumber-sumber ntv7.

Dua tetamu jemputan program tersebut - yang dipancarkan pada 5 Julai lalu - ialah penulis Syed Akhbar Ali dan editor perunding, Leslie Lau dari Malaysian Insider. Lau yang memberi pemeringkatan 'C' atau 'D' bagi pentadbiran Najib.

Sumber-sumber itu berkata, Looi selepas itu diberitahu secara lisan bahawa dia tidak seharusnya meminta mereka memberi pemeringkatan terhadap prestasi Najib,

Oleh kerana Looi merupakan pengacara yang juga penerbit program tersebut, maka hanya dia seorang sahaja yang diberi surat amaran tersebut.

Looi, yang merupakan editor tugasan, kemudiannya telah ditugaskan untuk membuat liputan berita, atas alasan kekurangan petugas di meja berita.

Insiden tersebut mungkin 'menguburkan' program 'Point of View', yang baru tamat musim keduanya. Sehingga ini, belum ada pengumuman sama ada program itu akan dilanjutkan ke musim ketiganya.

Bagaimanapun, sumber-sumber itu percaya, sekiranya program itu diteruskan, ia akan dikendalikan oleh pengaracara baru.

Ketika dihubungi, Looi enggan mengulas mengenainya dan usaha untuk menghubungi pihak pengurusannya juga belum berhasil.

Ntv7 adalah salah sebuah daripada empat stesen TV swasta milik syarikat gergasi media - Media Prima Bhd - yang ada kaitan dengan Umno. Tiga lagi stesen miliknya ialah TV3, 8TV dan tv9.

Begitu juga dengan berita mengenai banglo mewah milik bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di Shah Alam di mana ianya hanya sempat disiarkan dalam berita Mandarin jam 5.30 petang di ntv7.

Selepas itu, berita itu tidak lagi disiarkan oleh buletin berita di stesen lain milik Media Prima.

'Hanya satu pandangan'

Sementara itu, pengarah eksekutif Pusat Kewartawan Bebas, V Gayathry membidas ntv7 kerana mengamalkan saringan kendiri.

“Komen oleh tetamu jemputan mengenai pretasi (Najib) bukanlah sesuatu yang kritikal, tetapi hanya satu pandangan,” katanya.

Menurutnya, Looi dihukum kerana bertanyakan satu soalan penting ketika semua orang lain membuat penilaian tentang prestasi Najib.

“Program tersebut telah memberi ruang yang baik untuk perbincangan (dan Looi menjalankan tugasnya dengan baik),” tegasnya.

Menurut Gayathry lagi, ketika Najib dilantik perdana menteri, Media Prima telah mengeluarkan arahan kepada empat stesen TV miliknya itu supaya tidak menyebut nama penganalisis politik - Abdul Razak Baginda - ketika melaporkan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Razak merupakan teman karib Najib.

"Kita ingin bertanya sama ada menjadi dasar Najib di mana mereka yang ditempatkan di stesen TV, mengamalkan saringan kendiri,” tambah Gayathri.

Program 'Point of View' disiarkan jam 6 petang hari Ahad. Tetamu jemputannya membincangkan tajuk-tajuk panas seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dasar penukaran bahasa, pendidikan bahasa ibunda, tanggungjawab pihak polis dan yang terbaru, skandal PKFZ.

Sejak Najib mengambil alih kuasa, pegawan tinggi media yang ada kaitan dengan mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah diganti.

Mereka yang berkhidmat sewaktu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik semula menerajui media, sehingga mencetuskan persepsi akan mewujudkan suasana media yang lebih banyak sekatan.

Bekas pengarang kumpulan New Straits Times, Datuk Ahmad Talib kini dilantik sebagai pengarah eksekutif berita dan operasi jabatan pengarang di Media Prima, serta sebagai pengarah ksekutif (jabatan pengarang) di New Straits Times Press.

Bekas pengarang kumpulan Berita Harian, Datuk Manja Ismail dilantik sebagai pengarang kumpulan NTV7, 8TV, TV9 dan rangkaian radio, bagi membantu Ahmad.

Malaysiakini

Wednesday, July 8, 2009

Kempen Media Tonjol Perbezaan PR-BN Berjaya - TVA

Proses mencelikkan rakyat akan perbezaan pemikiran, pendekatan dan pelaksanaan program politik di antara Pakatan Rakyat (PR) dengan Barisan Nasional (BN) memang amat kritikal kepada usaha menjamin keluhuran amalan dan lanskap politik negara. Ia perlu dilakukan dalam skala besar dan sungguh-sungguh demi memastikan rakyat akan dapat membuat keputusan dan pemilihan lebih bijak menjelang pilihanraya umum ke-13 yang dijangka tiga tahun lagi.
Bagaimanapun proses ini kini nampaknya semakin mudah dan berkesan kerana ia ditaja dan dilaksanakan dengan gigihnya oleh media arus perdana. Memang sejak 8 Mac tahun lalu, media arus perdana sentiasa mengintai kesempatan untuk merapuhkan perpaduan yang cuba dibina oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Keghairahan media upahan BN ini memang mudah difahami. Sudah tentu sebagai tukang karut dan khadam politik yang fungsinya untuk mengampu dan bermusuh dengan sesiapa sahaja musuh majikan mereka, media arus perdana berusaha untuk membina persepsi buruk mengenai PR di mata rakyat.

Lantas setiap peluang yang timbul dan difikirkan dapat mengkerdilkan musuh BN khususnya PR dan meraksasakan komplot politik BN akan menjadi modal besar bagi media arus perdana untuk digembar-gemburkan bagi menyulam pandangan serong dan prasangka terhadap PR di mata dan hati rakyat.

Strategi mengampu sebegini ternyata sudah lapuk. Hasrat rakyat beralih angin dan menyokong PR dalam pilihanraya umum tahun lalu adalah kerana kegiatan menyokong yang tidak berpada inilah sehingga “menjadi sokong membawa rebah”. Kini walaupun hampir keseluruhan media milik Kerajaan Persekutuan dan parti BN sudah dirombak pengurusan dan barisan pengarangnya, kebebalan lama masih bertaut pada halatuju dan caragaya BN berpolitik.

Perpaduan PR semakin intim Tindakan menghebohkan apa yang dinamakan keretakan dan perpecahan PR sering berakhir dengan pendedahan hakikat bahawa perpaduan PR semakin intim dan matang. Bermula dengan bibit fitnah yang cuba ditanam terhadap dua wakil rakyat KEADILAN di Perak yang didakwa terbabit dengan rasuah, sehingga kepada silang-pendapat wakil KEADILAN dengan Kerajaan DAP di Pulau Pinang dan wakil DAP dengan kerajaan PAS Kedah meninggalkan kesan yang bertentangan dengan harapan BN dan hulubalang media mereka.

Ternyata wakil KEADILAN yang mereka cuba palitkan dengan rasuah adalah individu sama yang terpaksa mereka julang untuk menjatuhkan kerajaan PR Perak. Sementara tindakan untuk cuba meretakkan hubungan PAS dengan rakan PR lain dalam isu kerajaan perpaduan, juga berkesudahan dengan gambaran betapa kerdilnya semangat juang BN dan juak-juak media mereka.

Secara langsung mereka mengesahkan kenyataan Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim bahawa PR sentiasa menghormati dan menghayati doktrin bahawa “ada rahmat di sebalik perbezaan pendapat” dan sentiasa berusaha untuk menjadikan mesyuawarah berpandukan konsep kesemarataan dan kebebasan di dalam perbincangan serta pelaksanaan program politik PR.

Inilah satu hakikat yang amat sukar difahami oleh media BN dan pemimpin komplot politik itu. Sesungguhnya politik berteras fahaman dan formula perkauman yang digunakan BN sudah lapuk dan tidak boleh lagi digunakan dalam iklim masyarakat majmuk Malaysia. Terknologi maklumat kini lebih mudah untuk menelanjangkan hasrat dan permainan politik jelek BN yang sentiasa mencari kekuatan dengan mengadu-dombakan keperluan dan idealisme rakyat pelbagai kaum dan agama.

PR membina kekuatan dengan dialog terbuka dan berpegang kepada fahaman kebebasan bersuara. Amalan inilah yang cuba disekat oleh kerajaan BN lantaran telah terlalu mabuk dengan kuasa yang dirangkul sejak lebih 50 tahun lalu. Hakikat ini menjadikan BN kalis kepada sudut-pandang yang berbeza dan ada kalanya bertentangan. Justeru pendekatan yang sering digunakan BN dalam melayani pandangan orang lain, terutama saingan politik mereka ialah dengan menggunakan kuasa untuk memadamkan idea orang lain.

Lantas apabila dibelit perbezaan pandangan di kalangan ahli komponen masing-masing, pimpinan BN hanya tahu mengguna pendekatan mengarah dan perintah hingga menghampakan ramai penyokong mereka sendiri. Kemuncak protes dalaman BN ini tercatat apabila Pengerusi BN sendiripun diberikan memorandum oleh menteri-menteri bukan Islamnya. Maka semakin ketaralah perbezaan pendekatan, pemikiran dan amalan politik BN dan PR. Maklumat ini amat berharga bagi rakyat. Terima kasih media arus perdana.

TVA

Wednesday, June 3, 2009

PAS benarkan semua media membuat liputan Muktamar parti - TVA

SHAH ALAM: Berlainan dengan pendekatan UMNO, PAS tidak akan menyekat mana-mana media untuk membuat liputan sepanjang Muktamar parti itu yang bermula Jumaat ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali berkata, parti itu tidak pernah mengadakan sekatan kepada media termasuk media kerajaan dalam membuat liputan.

"Tahun demi tahun, kita tidak pernah menyekat mana-mana media.

"Bagaimanapun, kita harap liputan yang dilakukan adalah profesional, tidak berat sebelah dan tidak mengambil kesempatan untuk mengutuk mana-mana pihak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada parti itu mengenakan sekatan terhadap mana-mana media pada Muktamar Tahunannya ke-55 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini di Stadium Malawati, di sini.

UMNO awal tahun ini menyekat beberapa organisasi media seperti Malaysiakin, The Malaysian Insider, Siasah, Merdeka Review, and The Nut Graph, untuk membuat liputan pada Perhimpunan Agung parti itu.

Pengharaman itu atas alasan kononnya organisasi berkenaan, yang merupakan portal berita Internet tidak memberikan laporan adil.

Organisasi terbabit menafikan dakwaan UMNO itu dan telah menyifatkan larangan berkenaan sebagai memperlekehkan jaminan Najib bahawa pentadbiran beliau mendokong kebebasan media.

Selain Muktamar Pusat, Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat juga akan mengadakan Muktamarnya pada Khamis ini.

Muktamar tahun ini juga menyaksikan pemilihan bagi jawatan-jawatan tertinggi dalam parti.


TVA

Thursday, May 28, 2009

AMK S'gor dakwa isu ancaman PKM dipolitikkan - Malaysiakini

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membidas pihak-pihak tertentu yang didakwanya mempolitikkan isu mengenai kembalinya ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) berhubung saranan supaya bekas pemimpin PKM, Chin Peng dibenarkankan pulang ke Malaysia.

Ketuanya, Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin mendakwa, ia hanyalah mainan politik pihak-pihak tertentu untuk mengembalikan sokongan rakyat setelah isu-isu mengenai ketuanan Melayu, DEB, sensitiviti umat Islam, liberalisasi perdagangan dan konsep Satu Malaysia, gagal mengembalikan sokongan rakyat.

Berikutan itu, katanya, AMK Selangor berharap isu membawa pulang bekas ketua PKM itu tidak menjadi satu lagi isu sensasi politik pihak-pihak tertentu yang semakin hilang sokongan rakyat.

"Amat jelas isu ini sudah lama selesai dan tidak perlu ditimbulkan semula lagi.

"Kini rakyat Malaysia lebih bijak dan pintar dalam menganalisis sesuatu isu melalui perkembangan semasa revolusi maklumat global," katanya dalam satu kanyataan hari ini.

Laporan KDNK

Sebaliknya, kata Khairul Anuar, AMK Selangor menggesa kerajaan semasa agar memberikan penumpuan dan fokus khas kepada pemulihan dan pembaharuan ekonomi.

"Laporan terkini berkenaan KDNK negara serta data dan statistik ekonomi negara yang tidak memberangsangkan, perlu diambil perhatian dan tindakan perlaksanaan yang pantas," katanya.

AMK Selangor juga mempertikaikan tindakan pantas pihak kerajaan yang didakwanya begitu cepat meminta bantuan Interpol untuk mengesan dan membawa pulang Raja Petra Kamaruddin.

"Sedangkan isu akuan bersumpah (penyiasat persendirian) P Balasubramaniam seolah-olah tiada berita dan perkembangan terkini," katanya.

Sehubungan itu, Khairul Anuar menggesa kerajaan dan pihak polis supaya membawa pulang seberapa segera Balasubramaniam bagi membantu siasatan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu melalui akuan bersumpahnya yang bertarikh 1 Julai 2008.

Malaysiakini

Monday, May 18, 2009

Dr M: Liputan Berita Media Arus Perdana Berat Sebelah - TVA

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar media arus perdana berhubung cara liputan berita yang tidak berhemah dan berat-sebelah.

Mengakui kekangan ke atas media bermula ketika negara di bawah pentadbiran beliau, Dr Mahathir berkata media arus perdana cenderung mengampu pemimpin dan takut menyatakan kebenaran.

Sikap ini, kata Dr Mahathir, menyebabkan rakyat tidak lagi percaya kepada integriti media arus perdana.

Dr Mahathir berkata demikian disidang akhbar semalam selepas menghadiri forum Dunia Bloggers Malaysia: Pertembungan Estet Keempat dan Kelima di Subang Jaya.

Kira-kira 150 penulis blog hadir pada forum tersebut yang turut membariskan beberapa penulis dan pengendali blog popular dan wartawan terkenal.

Tambah beliau media arus perdana harus menukar wajah dan lebih berani mengkritik dan mendedahkan kelemahan kerajaan.

"Publish the truth, make proper analysis based on the truth. Don't always see it the political angle, the need to please the people in authority. If you do that people will never believe in you."

Nada yang yang sinonim dengan pentadbiran beliau selama lebih dua dekad.

Bekas Perdana Menteri itu turut mengakui beliau cuba menyekat ruang blogging sebelum ini.

Walau bagaimanapun setelah bersara daripada kerajaan beliau melihat blogging sebagai suatu fenomena teknologi yang perlu dan penting.

Dalam forum tersebut Dr Mahathir juga mengambil kesempatan mengkritik bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berasa kesal dan amat marah dengan tindakan Abdullah memberhentikan projek-projek mega yang dirancang dan dilaksanakannya oleh beliau semasa menjadi Perdana Menteri, terutamanya Jambatan Bengkok dari Johor Bahru ke Singapura.

TVA

Friday, May 15, 2009

Kebebasan Akhbar: Kerajaan Selangor anjur dialog - SK

Kerajaan Negeri Selangoor akan menganjurkan dialog umum dan perundingan sempena memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada 19 Mei ini.

Dalam kenyataan yang diterima oleh Suara Keadilan, dialog dan perundingan umum ini bakal memberi nafas baru kepada kebebasan akhbar dan suara pelbagai media di Malaysia.

Antara Panel yang akan membentangkan dan mengupas isu ini terdiri daripada Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong, Pengarah Proggram Pusat Kewartawanan Bebas Sevan D, Wakil Majlis Peguam Dipendra Harshad Rai,Pengarah, Pusat Polisi Inisiatif ; Dr. Lim Teck Ghee, Exco Transparency International Ngooi Chiu Ing dan Editor Malaysia Kini Padmaja Padma.

Program yang akan berlangsung di Auditorium Sivik Petaling Jaya ini dilaksanakan atas dasar insetif untuk mempromosikan “Kebebasan Maklumat” dengan tertubuhnya Badan Bertindak Kebebasan Maklumat pada awal 2009 yang dianggotai Ahli Parlimen Negeri dan Persatuan Awam, dipengerusikan oleh Elizabeth Wong.

Pada peringkat awal, badan bertindak berperanan membuat kajian untuk mewujudkan Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information) FOI Act selewat-lewatnya pada penghujung 2009.

Justeru, kepada pengamal-pengamal media, persatuan sivil serta orang perseorangan adalah dijemput pada majlis tersebut nanti. Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Arfa Aziz di alamat emel arfaeza@selangor.gov.my atau Tricia Yeoh, triciayeoh@selangor.gov.my (03-5544 7610 atau 012-6122 100)

SK

Wednesday, May 13, 2009

Jemputan ke Dialog Umum Kerajaan Negeri Selangor berkenaan Akta Kebebasan Media


Jemputan ke Dialog Umum Kerajaan Negeri Selangor berkenaan Akta Kebebasan Media

Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan dialog umum dan perundingan sempena memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada 19 Mei 2009, dari 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari di Auditorium Pusat Sivik Petaling Jaya, Selangor.

Berdasar kepada Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia oleh ‘Reporters Without Borders’, pada tahun 2008 Malaysia jatuh lapan tangga kepada 132, iaitu kedudukan yang terburuk pernah dicatatkan. Manakala pada 2007 dan 2006 masing-masing pada kedudukan 124 dan 92.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Selangor giat mempromosikan “Kebebasan Maklumat” dengan tertubuhnya Badan Bertindak Kebebasan Maklumat pada awal 2009 yang dianggotai Ahli Parlimen Negeri dan Persatuan Awam, dipengerusikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, YB Elizabeth Wong.

Pada peringkat awal, badan bertindak berperanan membuat kajian untuk mewujudkan Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information) FOI Act selewat-lewatnya pada penghujung 2009.

Dialog dan perundingan umum ini bakal memberi nafas baru kepada kebebasan akhbar dan suara pelbagai media di Malaysia. Ahli panel yang dijangka membentangkan dan mengupas isu ini terdiri daripada YB Elizabeth Wong, Ahli Majlis Mesyuarat Selangor dan Pengerusi, Badan Bertindak Kebebasan Maklumat; Sevan D., Pengarah Program, Pusat Kewartawanan Bebas; Dipendra Harshad Rai, Majlis Peguam; Dr. Lim Teck Ghee, Pengarah, Pusat Polisi Inisiatif; Mr Ngooi Chiu Ing, Ahli Eksko, Transparency International and Padmaja Padman, Editor Latihan, Malaysia Kini.

Semua dijemput ke majlis tersebut. Sekian, terima kasih.


SEKRETARIAT AKHBAR KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Thursday, May 7, 2009

Ketua AMK di Sudut Pandang Astro Awani malam ini (Khamis)

Hebahan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

7 May 2009

Ketua AMK di Agenda Awani malam ini

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin akan muncul di Agenda Awani jam 9.00 malam ini (Khamis).

Tajuk perbincangan adalah 'Kebebasan Akhbar di Malaysia'.

Ahli panel lain yang dijemput ialah bekas MP Parit Sulong Datuk Ruhanie Ahmad.

Semua warga Malaysia kecuali kakitangan Utusan Malaysia dijemput menonton rancangan tersebut di Astro 501 dan memberi maklum balas kepada pihak kami.

Selamat menonton.


Hasmuzair Hassan
Setiausaha Kerja
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Monday, April 27, 2009

NPC temui PM bincang mengenai media pakatan - Suara Keadilan

KUALA LUMPUR, 26 APRIL (SK) - SATU perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat bersama Perdana Menteri Najib Tun Razak oleh Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) mengenai kebebasan akhbar di Negara ini.

Media perdana hari ini memetik, Presiden kelab itu Ahirudin Attan, antara lain pertemuan berkenaan untuk meminta pertimbangan kerajaan mengenai penerbitan media yang dimiliki Pakatan Rakyat.

“Selain itu, kita akan berbincang supaya kerajaan mempertimbangkan penerbitan akhbar politik seperti Harakah dan Roket boleh dijual kepada orang awam walaupun mempunyai pengedaran terhad di kalangan ahli seperti dilakukan sekarang,” katanya lagi.

Ahirudin juga berkata pertemuan berkenaan akan dijadikan ujian kes berhubung kesanggupan kerajaan memberi kelonggaran kepada ahli politik membincang isu politik melalui penggunaan media cetak

Selain membincangkan perkara itu, Ahirudin dipetik berkata akan turut membincangkan secara terperinci mengenai pemansuhan lesen penerbitan bagi sesebuah syarikat akhbar di negara ini yang sering menjadi kebimbangan pengarang sama ada lesen penerbitan mereka boleh diperbaharui atau sebaliknya.

SK

Tuesday, March 31, 2009

Kenyataan Media: Suara Keamanan ganti Suara Keadilan

Kenyataan Media
31 Mac 2009


Suara Keamanan ganti Suara Keadilan

Disebabkan permit penerbitan Suara Keadilan telah digantung selama tiga bulan bermula 23 Mac lepas, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengambil keputusan untuk tidak menerbitkan akhbar itu selama tempoh tersebut.

Sebagai ganti, akhbar Suara Keamanan akan menemui pembaca, secara mingguan setiap hari Selasa mulai hari ini.

Suara Keamanan adalah sebuah penerbitan tidak berkala dari segi namanya, oleh itu tidak memerlukan permit penerbitan dari KDN.

Pembaca boleh mendapatkan akhbar tersebut dari pengedar-pengedar dan penjual yang sama yang mengedar Suara Keadilan sebelum ini.(tamat)


Jabatan Editorial Suara Keamanan

Thursday, March 26, 2009

Haram Media Internet: UMNO Cakap Tak Serupa Bikin - TVAnatara

Cakap lain, bikin lain. Itu amalan pemimpin UMNO sekian lama dan hakikat itu terserlah sekali lagi menerusi amanat Timbalan Presiden UMNO Najib Tun Razak ketika merasmikan Perhimpunan Pemuda Wanita, dan Puteri UMNO.

Najib menggesa ahli UMNO untuk mendokong media internet dan berkata kita tidak boleh menjadikan hambatan medium ini sebagai musuh.

Beberapa jam sebelum itu, UMNO mengumumkan enam media internet, termasuk Malaysiakini, tidak akan diberikan pas untuk membuat liputan perhimpunan agung parti itu.

Selain Malaysiakini, pertubuhan lain yang gagal mendapatkan pas media dari Umno ialah The Nut Graph, Malaysian Insider, Siasah dan Merdeka Review.

Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor dipetik oleh akhbar Star sebagai berkata keputusan itu adalah kerana media internet berkenaan menulis berita karut mengenai kita.

Malah Jurucakap Pemuda UMNO berkata ahli sayap itu mahukan tindakan lebih keras untuk mengawal selia penulis blog.

Sejurus selepas UMNO melarang media internet berkenaan membuat liputan, Najib mengakui parti mengalami kekeciwaan pada pilihanraya umum tahun lalu akibat kegagalan memahami kesan pengaruh media baru.

Natijahnya, semasa pilihanraya Mac tahun 2008, kita telah tersentak dengan lamunan dek kegagalan memahami kesan pengaruh media baru, tegasnya.

Dalam pilihanraya umum berkenaan, media internet menjadi sumber utama rujukan rakyat untuk mengetahui perkembangan politik semasa, terutama mengenai aktiviti pembangkang.

Najib berkata generasi muda kepimpinan Umno juga mesti menjadi pemuka kepada penggunaan teknologi sebagai senjata politik.

Barulah kita, boleh mengaku sebagai parti yang mewakili bisikan nurani sebenar rakyat terutamanya di kalangan generasi katanya kepada perwakilan tiga sayap parti itu.

Nampaknya Najib itu ditempelak oleh Seketariat UMNO sendiri dengan melarang media Internet seperti Malaysiakini melaporkan perkembangan Perhimpunan Agung itu.


Sumber: TVAntara