Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label KDN. Show all posts
Showing posts with label KDN. Show all posts

Monday, March 15, 2010

Hisham sahkan rombakan pemimpin kanan polis - Malaysiakini

Sehari selepas menafikan laporan akhbar China Press bahawa Tan Sri Musa Hassan akan melepaskan jawatan Ketua Polis Negara (KPN), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari mengesahkan akan berlaku rombakan peringkat tertinggi pasukan polis.

“Berhubung pucuk pimpinan polis, saya akui, rombakan akan berlaku tetapi masa dan bentuk peralihan itu akan ditentukan bukan kerana desakan atau tekanan daripada media tetapi dibuat oleh kerajaan dan pemimpin kebangsaan.”

Sabtu lalu, akhbar harian Cina itu menyiarkan laporan bahawa Musa telah mengemukakan surat perletakan jawatannya kepada Hishamuddin dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beberapa jam selepas berita itu disiarkan, Musa (bawah) dan Hishamuddin segera menafikannya.

Kementerian Dalam Negeri juga mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada China Press menuntut penjelasan mengapa berita itu disiarkan sedangkan kerajaan menganggapnya sebagai tidak tepat dan belum disahkan lagi.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 oleh Yang di-Pertuan Agong, Hishamuddin mendedahkan bahawa rombakan berkenaan bukan sahaja akan membabitkan KPN tetapi juga pegawai kanan yang lain.

“Dalam hal ini, ia bukan sahaja membabitkan KPN, tetapi empat daripada tujuh pengarah yang mengetuai divisyen dalam PDRM akan bersara tahun ini. Malah, seorang daripada pengarah itu sedang bercuti, menjelang tamatnya tempoh perkhidmatan beliau.”

Menurut Hishamuddin, peralihan itu sebagai “peluang bagi melihat lembaran baru dalam sejarah polis.”

“Saya sudah tahu siapa yang akan menggantikan KPN, saya juga tahu siapa akan menggantikan pengarah, jabatan siasatan jenayah perdaganagan. Jadi tidak perlu membuat spekulasi dan membuat laporan berita tanpa asas,” katanya lagi.

Malaysiakini

Tuesday, August 25, 2009

KDN serbu pejabat majalah kartun - Malaysiakini


Sekumpulan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) berada di pejabat majalah humor terbaru Gedung Kartun pagi ini susulan penerbitan edisi sulungnya yang mengusik perdana menteri.

Lima pegawai itu tiba di pejabat majalah dwibulanan itu di Brickfields sejak 10.30 pagi ini - dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Ia juga memuatkan "nostalgia 98", sejarah peristiwa penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan timbalan perdana menteri dan kemudian insiden mata lebam sewaktu dalam tahanan polis (foto kanan).

Edisi untuk awal September, dicetak 10,000 naskhah, berada di pasaran mulai semalam dan dijual dengan harga RM4.

Selain kartun, Gedung Kartun turut memuatkan artikel berbentuk satira politik oleh ramai penulis kreatif yang aktif di atas pentas seni alternatif antaranya Hishamuddin Rais, Pyanhabib dan Rahmat Haron.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, yang kini lantang menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), turut menyumbang rencana.

Selain tiga penulis rencana, ia disokong 12 kartunis sambilan, antaranya Cabai yang sebelum ini terkenal dengan siri "Tiga Dara Pingitan" (foto kiri).

Majalah pimpinan kartunis politik terkemuka tanah air Zunar, atau nama penuhnya Zulkiflee Anwar Haque, menyentuh pelbagai isu semasa, antaranya kes kematian Teoh Beng Hock, kenaikan kadar tol lebuh raya, dasar PPSMI dan akta kontroversi ISA.

Malaysiakini

Tuesday, March 24, 2009

KDN gantung akhbar PAS, PKR - Malaysiakini

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menggantung permit akhbar pembangkang berpengaruh Harakah dan Suara Keadilan masing-masing selama tiga bulan berkuatkuasa serta-merta.

Tindakan mengejut ini menghalang keberkesanan kempen kedua-dua parti bagi menghadapi tiga pilihanraya kecil kawasan parlimen Bukit Gantang di Perak, DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak antara 29 Mac hingga 7 April ini.

Malaysiakini difahamkan surat KDN kepada kedua-dua organisasi itu dikirim melalui faksimili selang beberapa minit menjelang jam 5 petang tadi.

Surat penggantungan Harakah ditujukan kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaffar, manakala surat untuk Suara Keadilan dialamatkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Difahamkan kandungan kedua-dua surat tersebut hampir sama.

"Dukacita dimaklumkan bahawa kementerian ini telah membuat keputusan untuk menggantung permit penerbitan akhbar Suara Keadilan selama tempoh tiga (3) bulan berkuatkuasa serta-merta," surat KDN itu dipetik.

Bagaimanapun surat yang dikeluarkan oleh setiausaha Bahagian Unit Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN Che Din Yusoh tidak memberi sebarang alasan tindakan tersebut.

KDN merampas kedua-dua akhbar tersebut di seluruh negara sewaktu memuncak krisis politik di Perak pertengahan bulan lepas.

Tindakan terhadap Suara Keadilan bermula sejak pilihanraya kecil Kuala Terengganu, pertengahan Januari lalu.

Sejak Harakah dibenarkan beroperasi pada 1987, inilah kali pertama akhbar itu dikenakan tindakan penggantungan oleh KDN.

Selepas pilihanraya umum Mac tahun lepas, kementerian itu mengizinkan PAS menerbitkan kembali akhbar itu sebanyak dua kali seminggu selepas dilarang sejak 2000.


Sumber: Malaysiakini