Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, August 25, 2009

KDN serbu pejabat majalah kartun - Malaysiakini


Sekumpulan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) berada di pejabat majalah humor terbaru Gedung Kartun pagi ini susulan penerbitan edisi sulungnya yang mengusik perdana menteri.

Lima pegawai itu tiba di pejabat majalah dwibulanan itu di Brickfields sejak 10.30 pagi ini - dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Ia juga memuatkan "nostalgia 98", sejarah peristiwa penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan timbalan perdana menteri dan kemudian insiden mata lebam sewaktu dalam tahanan polis (foto kanan).

Edisi untuk awal September, dicetak 10,000 naskhah, berada di pasaran mulai semalam dan dijual dengan harga RM4.

Selain kartun, Gedung Kartun turut memuatkan artikel berbentuk satira politik oleh ramai penulis kreatif yang aktif di atas pentas seni alternatif antaranya Hishamuddin Rais, Pyanhabib dan Rahmat Haron.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, yang kini lantang menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), turut menyumbang rencana.

Selain tiga penulis rencana, ia disokong 12 kartunis sambilan, antaranya Cabai yang sebelum ini terkenal dengan siri "Tiga Dara Pingitan" (foto kiri).

Majalah pimpinan kartunis politik terkemuka tanah air Zunar, atau nama penuhnya Zulkiflee Anwar Haque, menyentuh pelbagai isu semasa, antaranya kes kematian Teoh Beng Hock, kenaikan kadar tol lebuh raya, dasar PPSMI dan akta kontroversi ISA.

Malaysiakini

No comments: