Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Memorandum. Show all posts
Showing posts with label Memorandum. Show all posts

Friday, June 26, 2009

Memorandum Pemuda PR desak gugurkan kes liwat 2 DS Anwar Ibrahim

MEMORANDUM PEMUDA PAKATAN RAKYAT


26 Jun 2009


Y.Bhg. Dato' Mohd. Yusof Bin Hj. Zainal Abiden
Peguamcara Negara II
Jabatan Peguam Negara
MALAYSIA


Y.Bhg. Dato'


MEMORANDUM SUPAYA PERTUDUHAN JENAYAH LIWAT KEDUA TERHADAP YB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM DIGUGURKAN.



Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk dan kes yang telah ditetapkan untuk dibicarakan pada 8hb Julai 2009 adalah berkaitan.

1. Untuk makluman Y.Bhg. Dato', pihak Pemuda Pakatan Rakyat memandang serius terhadap pertuduhan liwat yang dikenakan kepada YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim untuk kali yang kedua berikutan dengan pendedahan mengenai laporan perubatan oleh seorang doktor dari PUSRAWI dan 3 orang Pakar Hospital Besar Kuala Lumpur yang mengesahkan bahawa hasil pemeriksaan fizikal yang dilakukan terhadap si pengadu iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah didapati TIADA BUKTI YANG MENUNJUKKAN BERLAKU TUSUKAN (PENETRATION) SECARA KLINIKAL DAN KONKLUSIF PADA DUBUR SI PENGADU yang boleh mensabitkan atau membuktikan bahawa kejadian liwat seperti yang didakwa telah berlaku.

2. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat percaya bahawa segala pertuduhan yang dikenakan kepada YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim ini merupakan satu perancangan konspirasi politik oleh pihak tertentu yang menyedari bahawa kekuasaan mereka selama ini telah tergugat sebaik sahaja keputusan Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu diumumkan. Perancangan konspirasi liwat ini adalah merupakan satu alternatif bagi pihak tersebut untuk memastikan kemaraan YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim di arus perdana politik dapat dihancurkan dan dengan pertuduhan ini ia akan dapat memburukkan kredibiliti YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim di mata rakyat Malaysia dan dunia.

3. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat percaya bahawa Y.Bhg. Dato' telah di arahkan oleh Peguam Negara Malaysia untuk mengetuai barisan kumpulan Pendakwaan yang akan mengendalikan kes ini kelak dengan tujuan untuk menyabitkan YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dalam apa keadaan sekali pun (at all cost). Pihak Pemuda Pakatan Rakyat juga percaya bahawa Y.Bhg. Dato' telah diberikan arahan dan harapan yang tinggi oleh pihak tertentu untuk memastikan agar YB Dato’ Seri

Anwar Bin Ibrahim akan disabitkan di dalam kes liwat ini selepas KEGAGALAN pihak Pendakwaan yang dikepalai oleh Peguam Negara Malaysia pada tahun 1998.

4. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat ingin memohon supaya Y.Bhg. Dato' untuk MENGGUGURKAN pertuduhan ini berdasarkan kepada laporan perubatan yang dinyatakan di atas dan memohon supaya Y.Bhg. Dato' tidak sesekali tunduk kepada mana-mana arahan atau tekanan supaya kes ini diteruskan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Peguam Negara Malaysia selama ini. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat percaya bahawa Y.Bhg. Dato’ sebagai seorang Timbalan Pendakwaraya Kanan yang sangat berpengalaman dan dihormati oleh pendukung keadilan untuk memastikan Jabatan Peguam Negara tidak terus diperkudakan oleh pihak tertentu bagi maksud memenuhi tuntutan nafsu mereka yang ingin terus berkuasa walaupun semakin ramai rakyat negara ini kian kuat menolak mereka.

5. Adalah besar harapan rakyat Malaysia supaya Y.Bhg. Dato' untuk mengembalikan semula imej cemerlang Jabatan Peguam Negara sebelum Tan Sri Abdul Gani Patail dilantik menjadi Peguam Negara Malaysia hasil habuan dari kerajaan selepas usaha beliau dengan dibantu oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bagi memastikan YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dipenjarakan dalam kes sebelum ini.

6. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat yakin bahawa sekiranya Y.Bhg. Dato' memilih untuk tidak meneruskan pertuduhan ini dan seterusnya tidak dipergunakan oleh Peguam Negara dan Ketua Polis Negara Malaysia, maka tindakan Y.Bhg. Dato tersebut akan disokong oleh semua rakyat Malaysia yang telah marah dan berasa jijik dengan sikap yang diamalkan oleh Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan yang membiarkan institusi di bawah jagaan mereka dilacurkan demi kepentingan pangkat yang di sandang oleh mereka.

7. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat berharap agar gesaan dan desakan kami dipandang serius, demi memartabatkan akauntabiliti dan integriti negara Malaysia yang tercinta ke arah menzahirkan prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan buat semua rakyat Malaysia.


”PULIHKAN KREDIBILITI INSTITUSI KEHAKIMAN: GUGURKAN DAKWAAN TERHADAP DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM”


Yang Benar,


SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

NASRUDIN HASSAN TANTAWI
Ketua
Dewan Pemuda PAS Pusat


YB LOKE SIEW FOOK
Ketua
Pemuda Sosialis DAP


Thursday, June 25, 2009

Penyerahan memorandum mendesak pertuduhan terhadap DS Anwar Ibrahim digugurkan

Hebahan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

7 May 2009


PENYERAHAN MEMORANDUM MENDESAK PERTUDUHAN TERHADAP DS ANWAR IBRAHIM DIGUGURKAN


Pemuda PR diketuai Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin akan menyerahkan memorandum mendesak pertuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan.

Memorandum tersebut akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abidin.

Butiran lanjut adalah seperti berikut:

Tarikh: 26 Jun 2009 (Jumaat)
Masa: 11 pagi
Lokasi: Blok C, Komplek C, Putrajaya.


Kenyataan media akan dilakukan selepas penyerahan memorandum.

Orang awam dan pihak media KECUALI UTUSAN MALAYSIA dijemput hadir.

Harap maklum.


Hasmuzair Hassan
Setiausaha Kerja
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
014-8422155

Tuesday, January 13, 2009

Pakatan akan terima memo bantah PPSMI

PKR dan PAS akan diwakili tokoh berprofil tinggi parti masing-masing bagi menerima memorandum membantah pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Kuala Terengganu Khamis ini, kata Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Setiausaha pelaksananya, Saifullah Zulkifli berkata, Ketua Pembangkang yang juga ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir menerima memorandum tersebut.

Katanya, memorandum itu akan diserahkan dalam sebuah majlis khas di kawasan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada pagi Khamis ini, disusuli dengan ucapan ketiga-tiga pemimpin terbabit.

Semalam, pengarah jawatankuasa pelaksanan GMP, Hasni Abas dilaporkan berkata, memorandum bagi menyedarkan pengundi dalam pilihanrya kecil itu mengenai isu berkenaan, akan diserahkan kepada PKR, PAS dan Umno.

Penyerahan memorandum itu merupakan sebahagian daripada siri kempen GMP membantah perlaksaan PPSMI, selain akan menganjurkan perhimpunan besar 100,000 orang ala-Bersih Mac ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Saifullah berkata, bagi Umno pula, pihaknya bercadang menyerahkannya kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Kita sasarkan Datuk Seri Najib sendiri (untuk menerima memorandum itu) sebagai pengarah pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu dan pemimpin yang paling tinggi dalam Umno (selepas peralihan kuasa dalam Umno)," katanya.

Saifullah yang juga bekas naib presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkata, GMP akan menghubungi Najib secara rasmi bagi tujuan tersebut.

'Mahu serah pada Najib'

Katanya, jika pertemuan itu gagal diatur, memorandum itu akan tetap diserahkan kepada Najib bila beliau menghadiri program semasa atau selepas pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Saifullah juga berkata, pihaknya telah menghubungi Umno Terengganu melalui ketua biro latihannya, Syed Anuar Mohamad bagi tujuan yang sama.

"Tetapi sehingga kini belum ada jawapan," kata Saifullah.

Katanya, Umno Terengganu dan calon mereka Wan Ahmad Farid patut memandang serius isu pelaksanaan PPSMI kerana di negeri itu sahaja terdapat lebih 3,000 guru - sebahagian besarnya didakwa mengalami masalah pengajaran akibat pengenalan dasar itu tujuh tahun lalu.

Terengganu juga merupakan antara negeri yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu dan bertutur dalam bahasa itu, tambah Saifullah.

Ditanya kenapa memorandum itu tidak diserahkan kepada Abdullah, beliau menjawab ringkas: "Kita faham, Pak Lah mempunyai masalahnya sendiri."

Selain GMP, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) turut mengancam mengadakan "perarakan keranda" - dinamakan Keranda 152 - sebagai simbol kematian bahasa Melayu bulan depan.

Gapena juga dilaporkan telah bertemu peguam petang semalam bagi mengheret kerajaan ke mahkamah berhubung pelaksanaan dasar itu yang didakwanya mencabul Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan.

NGO Cina, diketuai Dong Jiao Zong turut dilaporkan memperjuangkan perkara yang sama dan turut akan mengadakan siri bantahan mereka berhubung perkara itu. Mereka menuntut pengajaran dan pembebelajaran dalam matapelajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa ibunda masing-masing.


Sumber: Malaysiakini