Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, January 13, 2009

Pakatan akan terima memo bantah PPSMI

PKR dan PAS akan diwakili tokoh berprofil tinggi parti masing-masing bagi menerima memorandum membantah pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Kuala Terengganu Khamis ini, kata Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Setiausaha pelaksananya, Saifullah Zulkifli berkata, Ketua Pembangkang yang juga ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir menerima memorandum tersebut.

Katanya, memorandum itu akan diserahkan dalam sebuah majlis khas di kawasan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada pagi Khamis ini, disusuli dengan ucapan ketiga-tiga pemimpin terbabit.

Semalam, pengarah jawatankuasa pelaksanan GMP, Hasni Abas dilaporkan berkata, memorandum bagi menyedarkan pengundi dalam pilihanrya kecil itu mengenai isu berkenaan, akan diserahkan kepada PKR, PAS dan Umno.

Penyerahan memorandum itu merupakan sebahagian daripada siri kempen GMP membantah perlaksaan PPSMI, selain akan menganjurkan perhimpunan besar 100,000 orang ala-Bersih Mac ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Saifullah berkata, bagi Umno pula, pihaknya bercadang menyerahkannya kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Kita sasarkan Datuk Seri Najib sendiri (untuk menerima memorandum itu) sebagai pengarah pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu dan pemimpin yang paling tinggi dalam Umno (selepas peralihan kuasa dalam Umno)," katanya.

Saifullah yang juga bekas naib presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkata, GMP akan menghubungi Najib secara rasmi bagi tujuan tersebut.

'Mahu serah pada Najib'

Katanya, jika pertemuan itu gagal diatur, memorandum itu akan tetap diserahkan kepada Najib bila beliau menghadiri program semasa atau selepas pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Saifullah juga berkata, pihaknya telah menghubungi Umno Terengganu melalui ketua biro latihannya, Syed Anuar Mohamad bagi tujuan yang sama.

"Tetapi sehingga kini belum ada jawapan," kata Saifullah.

Katanya, Umno Terengganu dan calon mereka Wan Ahmad Farid patut memandang serius isu pelaksanaan PPSMI kerana di negeri itu sahaja terdapat lebih 3,000 guru - sebahagian besarnya didakwa mengalami masalah pengajaran akibat pengenalan dasar itu tujuh tahun lalu.

Terengganu juga merupakan antara negeri yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu dan bertutur dalam bahasa itu, tambah Saifullah.

Ditanya kenapa memorandum itu tidak diserahkan kepada Abdullah, beliau menjawab ringkas: "Kita faham, Pak Lah mempunyai masalahnya sendiri."

Selain GMP, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) turut mengancam mengadakan "perarakan keranda" - dinamakan Keranda 152 - sebagai simbol kematian bahasa Melayu bulan depan.

Gapena juga dilaporkan telah bertemu peguam petang semalam bagi mengheret kerajaan ke mahkamah berhubung pelaksanaan dasar itu yang didakwanya mencabul Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan.

NGO Cina, diketuai Dong Jiao Zong turut dilaporkan memperjuangkan perkara yang sama dan turut akan mengadakan siri bantahan mereka berhubung perkara itu. Mereka menuntut pengajaran dan pembebelajaran dalam matapelajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa ibunda masing-masing.


Sumber: Malaysiakini

No comments: