Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Muktamar. Show all posts
Showing posts with label Muktamar. Show all posts

Thursday, June 4, 2009

Tiada niat bersama Umno, BN - Malaysiakini

Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa memperjelaskan bahawa kepemimpinan tertinggi parti itu tidak pernah mempunyai sebarang niat atau perancangan untuk bersama dengan Umno atau BN.

Sebaliknya, kata beliau, ia hanyalah spekulasi semata-mata.

"Saya percaya adik-adik saya dalam Dewan Pemuda PAS bersama-sama saya dalam agenda ini," katanya ketika berucap merasmikan muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) di markas PAS di Taman Melewar Gombak malam ini.

"Akan kita pertahankan parti ini dari sebarang unsur yang cuba merobek dan menggangu keutuhan jemaah kita," katanya sambil menambah bahawa Islam yang diperjuang parti itu berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

"Al-Quran dan al-Sunnah yang megajar kita untuk mengenal siapa musuh dan siapa kawan, ketika mana hendak berperang dan ketika mana pula hendak untuk berdamai," katanya.

Sehubungan itu, katanya, prinsip dan dasar Islam yang perjuangkan oleh PAS tidak sesekali akan berganjak.

"Namun kaedah dan uslub (pendekatan) boleh berubah," tambah Nasharuddin yang dikaitkan dengan kumpulan pro-muqabalah yang cenderung berkerjasama dengan Umno.

Beliau akan mempertahankan jawatan timbalan presiden PAS dalam muktamar parti itu Jumaat ini - berdepan dengan dua pencabarnya - Datuk Husam Muda dan Mohamad Sabu - kedua-dua naib presiden PAS.

Perkukuh saf Pakatan Rakyat

"Kita akan perkukuhkan saf kita sendiri dan juga saf Pakatan Rakyat yang telah kita isytiharkan sebagai wadah politik kita untuk berdepan dengan Umno dan BN," katanya.

Bagaimanapun, Nasharuddin menasihat Pemuda PAS supaya jangan lupa bahawa "kita sebagai da'i (pendakwah) bertanggungjawab kepada mad'u (orang didakwah)".

"Semua di luar sana adalah mad'u kita. Kita akan terus ajak mereka untuk bersama dengan kita, berbincang, berdialog tanpa mengira siapa mereka dan ideologi politik atau kefahaman apapun yang mereka miliki," tegasanya.

Menurutnya, PAS juga mesti menjadi sebuah parti yang perlu dijenamakan semula.

"Bukan sekadar sebagai parti pembangkang tetapi PAS kini adalah sebuah parti Islam yang bersedia untuk mengambil alih kepimpinan negara dalam masa terdepan dan membawa kepimpinan alternatif kepada seluruh rakyat Malaysia, dengan izin Allah.

"Minda dan tindakan kita perlu dididik dan bersedia menjadi pentadbir sebenar sebuah kerajaan," tambahnya.

Nasharuddin juga meminta ahli parti itu agar sentiasa berada dalam kancah masalah rakyat dan menangani masalah mereka.

Pertahankan syura

"Bukan hanya menuding jari kepada kerajaan, sebaliknya agresif dalam menyelesaikan kekusutan yang tersimpul dek kerana kesesatan dalam memimpin rakyat," tambahnya.

Nasharuddin juga menasihatkan Dewan Pemuda PAS supaya menampil dan memasarkan politik dan produk dakwah serta mempotretkan kepimpinan bermodelkan Islam dengan sebaik-sebaiknya.

Di samping itu, tegasnya, Pemuda juga hendaklah terus mempertahankan syura (bermesyuwarah)

"Kita perlu memperbetulkan amalan yang biasa dilakukan dan membiasa amalan yang betul.

"Kita mesti berani membuat reinvention dan rebranding yang menepati sasaran dakwah kita.

"Jangan kita berlaga sesama sendiri. Jangan kita berdusta sehingga membungkar rahsia tanzim (organisasi) kita.

"Jagalah adap-adap berjemaah dan jangan sekali-kali membiarkan diri kita dipergunakan musuh sama ada kita sedar atau sebaliknya," tegasnya.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Nasharuddin ditanya sama ada intipati ucapannya bertujuan untuk mempertahankan jawatannya.

Dalam reaksinya, timbalan presiden PAS itu berkata beliau bercakap untuk memperjelaskan dasar parti dan tiada niat sedemikian.

Beliau juga enggan mengulas ketika ditanya mengenai cabaran Husam dan Mohamad Sabu bagi jawatan timbalan presiden Jumaat ini.

Malaysiakini

Wednesday, June 3, 2009

PAS benarkan semua media membuat liputan Muktamar parti - TVA

SHAH ALAM: Berlainan dengan pendekatan UMNO, PAS tidak akan menyekat mana-mana media untuk membuat liputan sepanjang Muktamar parti itu yang bermula Jumaat ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali berkata, parti itu tidak pernah mengadakan sekatan kepada media termasuk media kerajaan dalam membuat liputan.

"Tahun demi tahun, kita tidak pernah menyekat mana-mana media.

"Bagaimanapun, kita harap liputan yang dilakukan adalah profesional, tidak berat sebelah dan tidak mengambil kesempatan untuk mengutuk mana-mana pihak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada parti itu mengenakan sekatan terhadap mana-mana media pada Muktamar Tahunannya ke-55 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini di Stadium Malawati, di sini.

UMNO awal tahun ini menyekat beberapa organisasi media seperti Malaysiakin, The Malaysian Insider, Siasah, Merdeka Review, and The Nut Graph, untuk membuat liputan pada Perhimpunan Agung parti itu.

Pengharaman itu atas alasan kononnya organisasi berkenaan, yang merupakan portal berita Internet tidak memberikan laporan adil.

Organisasi terbabit menafikan dakwaan UMNO itu dan telah menyifatkan larangan berkenaan sebagai memperlekehkan jaminan Najib bahawa pentadbiran beliau mendokong kebebasan media.

Selain Muktamar Pusat, Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat juga akan mengadakan Muktamarnya pada Khamis ini.

Muktamar tahun ini juga menyaksikan pemilihan bagi jawatan-jawatan tertinggi dalam parti.


TVA

Friday, August 15, 2008

Anwar hargai komiten PAS perkukuh Pakatan Rakyat

IPOH, 15 Ogos (Hrkh) - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat menghargai komitmen PAS untuk terus bersama dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dinyatakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya sebentar tadi.

Ucapan Dasar Presiden PAS bertajuk 'PAS Untuk Semua' disampaikan beliau bersempena Muktamar Tahunan PAS kali ke 54 di Stadium Indera Mulia, dekat sini.

"Ustaz Hadi menyampaikan ucapan yang bernas," kata Anwar yang pertama kali hadir ke Muktamar PAS, dalam respons eksklusifnya kepada Harakahdaily sejurus selepas Muktamar ditangguhkan tengahari tadi.

Anwar bersama isterinya, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden KeADILan, mengucapkan terima kasih kepada seluruh kepimpinan PAS yang mengundang beliau untuk hadir ke Muktamar PAS.

Menurut beliau, segala teguran dan pandangan perwakilan PAS semalam, beserta dengan ucapan Dasar Presiden PAS sebenarnya membuka ruang yang lebih kepada banyak perbincangan untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Saya menyanjung tinggi komitmen yang diberikan Ustaz Hadi bahawa PAS akan terus kekal dalam Pakatan Rakyat.

"Saya juga berterima kasih dan menghargai sokongan PAS, khususnya Tuan Guru Nik Aziz, untuk membantu saya di Permatang Pauh, kerjasama ini amat saya alu-alukan," katanya.

Tegas Anwar, beliau akan memastikan kerjasama di kalangan parti dalam Pakatan Rakyat akan terus diperkukuhkan walaupun terdapat beberapa teguran daripada beberapa pihak.

"Apa yang penting kita, pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat, mesti mengelakkan dan mengetepikan manipulasi media yang senantiasa mahu memecahkanbelahkan perpaduan kita," ujarnya._

Sumber: HarakahDaily

Thursday, August 14, 2008

Pemuda PAS diarah gempur Permatang Pauh

IPOH, 14 Ogos: Seluruh jentera Pemuda PAS di semua peringkat diarahkan supaya menggempur Permatang Pauh bagi memastikan kemenangan yang lebih besar untuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Arahan ini dikeluarkan oleh ketuanya, Salahudin Ayub dalam Ucaptama beliau sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS ke 49 di Stadium Indra Mulia dekat sini malam tadi.

Lebih 150 perwakilan di samping beribu-ribu pemerhati menyertai muktamar itu. Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa telah merasmikan muktamar itu.

"Dewan Pemuda PAS akan membuka Markaz Besar untuk jentera pilihan raya kita dan Pemuda PAS hendaklah bekerja sepenuh hati untuk mempastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya ini, sekaligus merapatkan semula jentera PR dalam menghadapi BN," kata beliau diiringi laungan takbir oleh para perwakilan dan pemerhati.

Beliau mengambil kesempatan daripada muktamar ini untuk memetik pepatah Melayu Mekasar yang memperkatakan soal perjuangan pemuda.

Prof Hamka yang memetik pepatah ini menyebutkan:

”Anak laki-laki tidak boleh dihirau panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalauperahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh surut palang, meskibagaimana besar gelombang. Biar kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebihmulia daripada berbalik haluan pulang”2. Ibarat kata pepatah ”Daripada hidupbercerminkan bangkai biar mati bergalang tanah.”

Sumber: Siasah

AMK sambut baik penjelasan Nasharuddin, kukuh kerjasama

IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik penjelasan terbuka oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berhubung isu muzakarah dengan Umno.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pihaknya menerima alasan yang diberikan oleh Nasharuddin kerana ia melibatkan persetujuan oleh Majlis Syura pimpinan tertinggi PAS.

“Pada umumnya kita faham dan mengerti tentang sebab-sebab pertemuan tersebut diadakan.

“Namun bagi saya isu ini telah berlalu. Perkara yang utama sekarang ialah menumpukan perhatian kepada kerjasama dalam Pakatan Rakyat,” katanya selepas menghadiri majlis perasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Ke-49 di Stadium Indera Mulia di sini malam ini.

Katanya kehadiran beliau pada majlis tersebut ialah bagi memberi tanda sokongan dan membuktikan jalinan kerjasama erat sesama komponen dalam Pakatan Rakyat.

“Saya beranggapan ucapan dasar oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub adalah isyarat yang cukup jelas bahawa pemuda dalam Pakatan Rakyat akan lebih bekerjasama dalam usaha memperjuangkan hak rakyat,” katanya.

Tambah beliau kerjasama sebegini akan lebih memantapkan semangat untuk meneruskan agenda menubuhkan kerajaan.

“Ini juga memperlihatkan bahawa hubungan erat antara kesemua komponen Pakatan Rakyat tidak mudah dipisah-pisahkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Selain itu beliau menyanjung tinggi arahan Salahuddin kepada jentera PAS agar sama-sama bergandingan bagi membantu Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi pilihan raya kecil Permatang Pauh.

“Arahan kepada PAS untuk sama-sama turun (hadir) dan gempur di Permatang Pauh adalah sangat baik dan bijak.

“Saranan beliau agar kita menanggani semua isu dengan tertib adalah cukup berhemah dan penting dalam usaha untuk ambil alih kerajaan,” katanya.

Sumber: mSTAR