Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Ulasan. Show all posts
Showing posts with label Ulasan. Show all posts

Tuesday, October 13, 2009

Bagan Pinang: Masa depan tetap milik PAS - PerakExpress

Oleh Helen Ang

Mengulas kekalahan Zulkefly Mohamad Omar kelmarin yang bertanding kerusi DUN Bagan Pinang, Dr Dzulkefly Ahmad selaku pengarah operasi PAS pilihan raya kecil itu berkata ia tidak akan mematahkan momentum kemaraan partinya.

Walaupun Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyifatkan kemenangan Umno di Bagan Pinang sebagai petanda kaum India dan Cina kembali ke pangkuan BN, Dr Dzul berpendapat tewasnya calon ‘underdog’ PAS kepada mantan Menteri Besar Negeri Sembilan Isa Samad tidak mencerminkan Pakatan Rakyat kian hilang kelebihannya.

Manakala naib presiden PAS Salahuddin Ayob memberitahu sidang akhbar di Port Dickson semalam bahawa dalam jangkamasa panjang dan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum yang akan datang, PAS akan terus membawa strategi mendekati masyarakat bukan-Islam.

Isa sebenarnya meraih sebilangan besar undi berasaskan kepopularan peribadi. Kejayaannya di Bagan Pinang berciri unik, terpencil serta berpaut kepada faktor-faktor tempatan.

Politik perkauman – huraian KuLi

Bercakap tentang mesyuarat tergempar MCA, Tengku Razaleigh Hamzah memberi komen semalam bahawa gagasan BN nampak goyah. Tengku Razaleigh berkata dalam blognya kemelut MCA menunjukkan pucuk pimpinan parti tersebut sudah banyak terhakis pengaruh mereka.

Menurut Ku Li, kurang keyakinan orang Cina terhadap MCA pada masakini adalah suatu alamat sistem pemerintahan bercorak perkauman tidak boleh dipakai lagi.

“Tanpa sokongan masyarakat Cina, Umno semacam PAS waktu dahulu yang hanya berkubu di Kelantan: sebuah parti eksklusif Melayu yang kuat di sesetengah tempat tetapi tidak relevan di persada nasional.”

Tambah beliau lagi: “Ada yang mengandaikan Umno, dalam erti kata orang Melayu, boleh bergerak solo. Dalam kiraan mereka, Umno mampu mengekalkan cengkamannya dengan mengambil hati khalayak Melayu. Ini dilakukan melalui isu-isu panas, kononnya demi membela bangsa dan agama.

“Bacaan di atas nyata menyimpang serta tidak peka kepada suasana semasa di mana kebanyakan orang Melayu berakal and bersifat moderat.”

Beliau mengesyorkan supaya PAS tidak harus dipandang enteng kerana parti itu tidak lagi terbatas di kawasan pedalaman tetapi mengambil jalan tengah yang ditinggalkan Umno.

Sekutu-sekutu Umno, iaitu MCA dan MIC, yang melukut di tepi gantang telah membuka ruang bagi PAS untuk memainkan peranan utama memenuhi “middle ground”, tulis Ku Li dalam bicaranya.

Siapa mudah lupa?

Mana mungkin PAS dan DAP boleh berada pada satu titik pertemuan, kata Muhyiddin pada Okt 9 semasa berkempen di Bagan Pinang.

Beliau mempertikaikan sama ada dasar perjuangan Islam akan dapat dipertahan oleh PAS sekiranya ada satu bentuk kerjasama dengan DAP.

Beliau seolah-olah lupa bahawa bekas ketua partinya sendiri pernah menegaskan Malaysia ialah negara Islam contoh.

Pada bulan Jun 2002 mendahului perhimpunan agung Umno, Dr Mahathir Mohamad bukan sekadar menyangkal tafsiran ‘kesederhanaan’ Malaysia yang pernah digambarkan sebagai “a moderate Muslim state” malah menyebut Malaysia sebuah “sebuah negara Islam fundamentalis”, mengikut satu laporan media CNN.

Memandangkan MCA dan MIC tidak membidas Dr M tatkala itu, maka perlu Muhyiddin meminta parti-parti satelit Umno menjelaskan pendirian mereka mengenai ‘negara Islam’ sebelum beliau mencabar mursyidul am PAS Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.

Komplot Umno di S’gor and Perak

Ekoran kejutan keputusan PRU tahun lalu, ketua Umno Selangor Dr Mohd Khir Toyo telah mengundang PAS menubuhkan kerajaan campuran, yakni suatu gabungan yang bakal mengetepikan Adun-adun PKR dan DAP.

Khir mendedahkan bahawa jawatan Menteri Besar ditawarkan kepada pesuruhjaya PAS Selangor Hasan Ali dalam perjumpaan rahsia itu. (Namun Hasan telah menafikan tuduhan tersebut dengan menepis, “Tidak ada tawaran yang konkrit”.)

Dalam pada itu, rundingan sulit antara Umno dengan PAS berlangsung dengan restu presiden parti Abdul Hadi Awang. MCA dan Gerakan tidak mengetahui apa-apa.

Seperti juga di Selangor, Umno tidak boleh menerima kekalahan tipis BN di Perak. Bermula dari sejurus selepas Mac 2008 sampailah hari upacara angkat sumpah Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak, agen Umno masih bertekad untuk berjumpa dengan pesuruhjaya PAS Perak – ketika itu Ustaz Ahmad Awang – di perkarangan Istana Iskandariah.

Umno rampas kerajaan negeri

“Umno Perak yang didukung oleh pimpinan Umno pusat berusaha bersungguh-sungguh dengan segala tipu dayanya memujuk kami untuk membentuk kerajaan bersama Umno/BN dengan menawarkan jawatan Menteri Besar dan 5 exco kepada 5 orang lagi Adun PAS,” tulis Ustaz Ahmad Awang dalam blognya.

Beliau membongkarkan keligatan Umno yang berhujah bagaimana BN memperolehi 28 kerusi dengan seorang sahaja Adun bukan Melayu. “Ini bermakna jika PAS menyertai Umno/BN, kononnya terbentuklah kerajaan yang didukung oleh 97% Melayu Islam.”

Dalam wawancara yang disiarkan majalah Milenia Muslim terbitan Ogos 2009, Ustaz Ahmad Awang menerangkan dengan lanjut keadaan sebenar, yakni beliau menolak usaha Umno atas sebab akur kepada keputusan yang diluluskan oleh Majlis Syura.

Ustaz Ahmad Awang memberitahu bahawa PAS memberi syarat jika DAP mahukan kesepakatan, Menteri Besar hendaklah Melayu Islam sepertimana tuntutan perlembagaan negeri. Justeru itu, PAS Perak tidak bersekongkol dengan Umno.

“Padahal pada malam 8 Mac, 2008, Datuk Husam Musa telefon dari Kota Bharu menyokong usul kami untuk berpegang kepada ‘tahalluf siyasiy’ iaitu berfungsi dengan PR, hak demokrasi dan keadilan adalah hak untuk kita berpegang bersama,” katanya.

“Hari esoknya Dato’ Nik Aziz hubungi bersetuju hatta kalau PAS tidak menjadi MB, kita akan teruskan bersama PR. Sampai ke satu tahap DAP negeri juga sanggup keluar dari DAP pusat jika diminta untuk berbuat demikian.”

Jika Umno begitu nekad mahu menyisihkan saf kepimpinan DAP yang menampakkan hasrat berkongsi kuasa di Perak dengan parti Islam PAS berserta parti pelbagai etnik PKR yang diterajui Melayu, nescaya terbuktinya Umno memang mempunyai sikap anti-Cina amat menebal.

Ketara sekali, budaya perpaduan BN itu omong-omong kosong belaka.

Wadah dan arus baru

Pada hakikatnya, puak minoriti memang sudah beralih sokongan, sungguhpun buat masa ini sukar untuk meramal kaum India akan berpihak kepada siapa nanti.

MCA pula semakin kucar-kacir. Barangkali presidennya Ong Tee Kiat akan terpaksa berundur sementara timbalannya Dr Chua Soi Lek sudah dilucutkan jawatan. Lapisan pengganti payah mendapat kepercayaan umum, kecuali daripada tuannya Umno.

Secara terang-terang Umno mensasarkan undi Melayu dan tidak berminat memancing undi bukan-Melayu melainkan giat berslogan ‘1Malaysia’. Sepatutnya BN beriltizam supaya ‘lihat anak, pandang menantu’, tapi ini tidak – hanya mengutamakan Umno dulu, kini dan selamanya.

Gelagat Umno menabur fitnah yang lawannya ‘pengkhianat bangsa’ jelas mengapi-apikan sentimen kaum. Lidah tidak rasminya akhbar Utusan penat menyeru ‘Bangkitlah Melayu’, dan ‘Melayu bacul’, serta memomokkan kelompok lain sebagai ‘musang berbulu ayam’.

Penyebaran mesej ‘PAS untuk semua’ dan penolakan istilah ‘bumiputera’ oleh Nik Aziz yang lebih menggemari pesanan “Kita semua anak cucu Adam”, membuatkan PAS lebih disenangi berbanding Umno.

Namun begitu, niat PAS untuk melaksanakan syariat Islam masih menimbulkan rasa was-was kerana ada di kalangan orang PAS yang terlalu ghairah hendak mengekang kebebasan serta ingin menghukum penganut Islam yang mengamalkan gaya hidup kurang ortodoks.

PAS perlu beringat bahawa kita sebuah masyarakat majmuk dan senantiasa mencaturkan lunas-lunas politik bertolak-ansur.

(Helen Ang adalah Editor BM-Centre for Policy Initiatives. Artikel ini disiarkan juga di cpiasia.net)

PerakExpress

Wednesday, September 16, 2009

Perarakan di London lebih bertamadun - Nik Aziz - Harakah

KOTA BHARU, 15 Sept: Walaupun bimbang adanya dalang di sebalik tunjuk perasaan memperingati tragedi runtuh menara berkembar World Trade Centre (WTC) di London 11 September lalu, PAS menyifatkan ia lebih bertamadun berbanding perarakan kepala lembu di Shah Alam

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perarakan di Shah Alam tidak bertamadun kerana ia membangkitkan isu perkauman dan penghinaan terhadap agama lain.

Baru-baru ini demonstrasi antiIslam diadakan berdekatan Masjid Utama Harrow, barat laut London dianjurkan Pertubuhan Hentikan Pengislaman Eropah (SIOE).

Seorang anggotanya, Stephen Gash dilaporkan menegaskan tidak mahu sebarang masjid dibina sehingga isu kebencian diselesaikan.

Demontrasi itu mencetuskan kemarahan kira-kira 1,000 pemuda Islam sehingga berlaku ketegangan antara kedua-dua pihak sehingga memaksa polis menahan 10 orang yang terlibat ketika menyuraikan keadaan.

Kebimbangan mengenai keganasan kian meningkat selepas berlaku pergaduhan ketika perarakan menentang fundamentalisme Islam oleh sebuah kumpulan pelampau kanan, Liga Pertahanan England di Birmingham.

Nik Aziz Khuatir kalau-kalau demonstrasi didalangi Yahudi yang mahu melaga-lagakan penganut agama Islam dan Kristian.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, sejarah menunjukkan terdapat seorang rabbi Yahudi mengakui menjadi punca kepada setiap kejahatan yang berlaku.

"Hal ini dicatatkan dalam sejarah pada zaman Rasulullah saw, di mana terdapat seorang paderi Yahudi yang bernama Kaab bin Ashraf pernah memberitahu mengenai perihal pengakuan kejahatan yang dilakukan pihaknya.

"Semua peristiwa itu terakam dalam ayat 51, surah An Nisa'," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Oleh itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan penglibatan Yahudi yang cuba untuk melaga-lagakan antara golongan Kristian dan Islam di London.

"Benarlah Yahudi merupakan golongan penghasut untuk mengadu domba dengan menggunakan pelbagai alasan yang remeh-temeh.

"Tunjuk perasaan yang berlaku di London sebenarnya bukan masalah keganasan yang dituduh terhadap umat Islam tetapi ia merupakan dendam kesumat golongan yang tidak suka kepada Islam," katanya.

Beliau juga berkata, keganasan sengaja dibangkitkan pihak tersebut sebagai kerana Islam kini semakin mendapat tempat dalam masyarakat di seluruh dunia.

Menurutnya puak pelampau terbabit sengaja menggunakan alasan memperingati tragedi serangan 11 September untuk menanam kebencian terhadap Islam.

Beliau juga berharap pendakwah-pendakwah Islam di London dan Eropah tidak lagi mengharap pendakwah yang datang daripada luar untuk menyebarkan agama suci itu di tempat mereka.

"Bahkan suatu hari nanti kita akan melihat orang-orang Inggeris menjadi pendakwah sesama mereka, lebih-lebih lagi orang Inggeris memiliki pemikiran yang terbuka," katanya.

Beliau juga mahu perbezaan agama diselesaikan menerusi perbincangan secara ilmiah. _

Harakah

Friday, July 31, 2009

Evaluasi - MSK

Semalam ada seorang menghantar SMS kat aku minta pandangan tentang orang-orang Melayu yang dulunya menyokong PR tetapi sekarang sudah balik menyokong Umno. Aku tak dapat nak pagi pandangan melalui SMS..susah nak cerita dalam 10-20 perkataan.

Cuma kalau nak diringkaskan sependek itu, aku boleh katakan dalam dua perkataan, SALAH SASARAN. Ini bukan analisa saintifik, tapi berdasarkan pengamatan dan pengalaman. Mungkin aku salah.

Kejayaan PR dalam GE 2008 adalah berpaksikan kepada janji-janji untuk melakukan PERUBAHAN. Dan janji-janji tu diterima oleh rakyat kerana rakyat sudah benci dan meluat dengan Umno dan BN.

Tetapi apabila menang, PR gagal menunaikan janji-janji itu kepada mereka yang mahu berubah, sebaliknya memberikan hadiah kepada mereka yang oportunis. Mereka yang menyokong dibiarkan, manakala yang menentang ditatang. Mungkin kerana sudah menjadi adat Melayu, orang datang kerumah dilayan dengan baik. Anak sendiri tak makan tak apa. Tunggu orang lain makan dulu, kalau ada lebih..baru diberi pada anak kita.

Kita bagi ruang kepada mereka dari umno, MCA, MIC, Gerakan, tapi orang kita…kita biarkan dulu.

Politik Pakatan Rakyat masih lagi terkongkong kepada politik kepartian. Parti adalah kerajaan. Bila menang…maka kuasa dikongsi dikalangan parti. Mereka yang sebelum ini dianggap diatas pagar…tidak lagi diperlukan. Pakatan Rakyat lupa bahawa gerakan perubahan ini juga didokong oleh mereka yang diluar parti. Dan aku berani kata, bahawa kebanyakan penumpang reformasi terdapat didalam parti.Manakala reformis tulen terpinggir diluar.

Gerakan reformasi didokong oleh anak-anak muda. Baik tahun 1999 ataupun 2008. Pada tahun 1999, UBN diselamatkan oleh pengundi saluran 1 dan bukan Melayu. Pengundi Bukan Melayu berubah pada tahun 2008 dan UBN hanya diselamatkan oleh pengundi saluran satu. Itu sebabnya mengapa lima negeri jatuh ketangan Pakatan Rakyat.

Tetapi apabila menang, dasar-dasar dan program-program yang dibuat oleh PR lebih banyak bertumpu kepada pengundi saluran satu. Wanita PKR dan Muslimat Pas lebih banyak mengadakan program untuk membantu wanita tua, orang-orang tua yang merupakan majoriti saluran satu. Tetapi apakah program untuk wanita muda yang merupakan pendokong kepada perubahan?

Angkatan Muda Keadilan dan Pemuda Pas juga lemah selepas pilihanraya. Apa program untuk anak muda? Tidak ada program untuk anak-anak muda yang merupakan pendokong perubahan sebaliknya, kebebasan anak muda pula yang cuba disekat.

Hiburan cuba disekat dengan demo. Tetapi tidak ada pula garis panduan apa yang boleh dan apa yang tak boleh. Anak muda keliru…apakah undang-undang bergantung kepada pemahaman sesuatu pihak? Apabila konsert Ella diganggu oleh demo, anak-anak muda mula berfikir…”yang ni pun hangpa nak kontrol ka?”. Anak muda dikutuk dan dihina dengan perkataan tak beriman, tak tahu hukum ugama dsb. Pendekatan yang dibuat terhadap anak muda lebih kepada percubaan untuk mengongkong…bukan untuk mendidik. Anak muda mahu bebas..dan mereka sudah menyatakan dengan jelas apabila menolak UBN. Tetapi mereka juga tidak mahu bebas dari mulut buaya dan masuk mulut rimau.

Protes pertama dari anak muda kelihatan semasa PRK Bukit Gantang. Nizar tewas dibeberapa saluran anak muda. Dan terakhir sekali ialah di Manek Urai, apabila PAs tewas disaluran muda.

Pemimpin-pemimpin parti masih lagi tidak sedar. Ruang dan pengiktirafan masih lagi diutamakan kepada penumpang reformasi yang hanya menjerit bila diberikan laba. DiPulau Pinang, ramai pejuang reformasi yang menderita selepas Anwar dipenjarakan, kini dipinggir. Semasa pilihanraya lepas, anak-anak muda ini berhadapan dengan hero BN yang mengejek perjuangan anak muda ini. Tetapi kini, anak muda yang berjuang diketepikan, sebaliknya orang yang mengejek anak muda ini diberikan jawatan tinggi dalam parti.

Jangan kata..”Perjuangan mesti ikhlas” “perjuangan memerlukan pengorbanan”. Sampai bila kita perlu berkorban, mempertahankan Bukit Uhud manakala yang lain berebut harta rampasan.

Program-program Pakatan Rakyat tidak dapat ‘dirasai’ oleh rakyat terbanyak. Walaupun ada program yang dibuat, tetapi rakyat tidak dapat menilai dengan statistik. Apa yang telah dibuat oleh Pakatan Rakyat Perak selama 11 bulan? Ini yang perlu diceritakan disetiap ceramah supaya rakyat dapat membuat perbandingan. Bukan dengan hanya menceritakan salah orang lain. Kalau tanya kat aku, apakah faedah yang aku dapat selepas PR memerintah..yang aku dapat hanya kesusahan.

Dan lebih menyakitkan hati, bila melihat mereka yang aku tentang dulu pula mendapat kemewahan.

Kegagalan besar Pakatan Rakyat ialah kepimpinan. Baik dari peringkat atasan sampai kebawah. Pemimpin PKR hilang, pemimpin Pas asyik berceramah. Tumpuan diberikan kepada bagaimana hendak memperkukuhkan parti, bukan bagaimana hendak memakmurkan rakyat. Program-program dibuat untuk mengukuhkan kewangan parti, bukan memenuhkan poket rakyat. Rakyat disuruh berjuang, yang senang pemimpin. Apa bezanya PR dengan BN? Kita mahukan perubahan dalam sistem, bukan setakat menukar parti.

Kemenangan Pakatan Rakyat juga disalah erti oleh pemimpin parti. Pas merasakan bahawa kemenangan ini menunjukkan bahawa Pas sudah diterima, bukan sahaja orang Islam, malah orang bukan Islam. Dulu aku kata macam ni, teruk aku kena kutuk. Orang kata…Cina dan India pun boleh terima Pas, tapi Matsamankati masih tak boleh terima Islam yang dibawa oleh Pas. Tetapi sekurang-kurangnya sekarang dah ada pemimpin Pas yang mengakui apa yang aku cakap.

According to Khalid, another challenge faced by Pakatan was how to manage change. He held that change would be better managed if Pakatan partners correctly identified the reasons why the public supported Pakatan in the last general election.

He said he personally believed the main reason why Pakatan did well was that the people were tired of BN’s corruption and racial politics.

He said attributions by PAS for their success to increasing Islamic consciousness and of PKR and DAP to their attractiveness to voters, were not necessarily correct.

Balik kepada persoalan mengapa ramai pengundi Melayu atas pagar sudah mula beralih kepada BN, kegagalan utama adalah kerana kegagalan penerangan.

Kita masih lagi menyalahkan media kerana tidak memberikan ruang kepada Pakatan Rakyat. Bagi aku, kita gagal mengoptimumkan penggunaan teknologi dalam memberi penerangan.

Harakah gagal dalam menarik minat pembaca. Kalau setakat nak cerita tentang YB bagi sumbangan, berapa orang masuk Pas, tak baca pun tak rugi. Suara Keadilan pula gagal dalam pengedaran. Di kampung-kampung, susah nak dapat Suara Keadilan. Tetapi kita gagal menggunakan internet sebagai medium perhubungan. Masih ramai pemimpin Pas dan PKR memandang rendah kemampuan internet.

Website PKR Perak terkubur..ada sapa peduli? Macam mana nak tau apa yang dilakukan oleh PKR Perak? Manakala website Pas pula hanya menceritakan tentang parti… ataupun tentang ceramah.

Sedangkan, inilah sumber untuk anak-anak muda mendapat maklumat. dan jikalau anak muda ini tidak tau apa yang berlaku, bagaimana mereka hendak bercerita dikampung-kampung? Nak harapkan AJK Cawangan? Depa lagi teruk.

Mengapa aku masih sokong Pakatan Rakyat?

Aku boleh terima, Pakatan Rakyat masih baru. Harapan kepada perubahan masih ada. Tetapi ini bergantung kepada usaha kepimpinan PR. Jangan hanya berbangga dengan kemasukan Chua Jui Meng, Zaid Ibrahim atau Tunku Aziz. Kemasukan mereka baik untuk mereka yang idealis, yang mahukan sistem dua parti ataupun meningkatkan imej Pakatan Rakyat. Tetapi kalau harapan rakyat tidak tercapai, maka kita terima akibatnya. Apa hebatnya Chua Jui Meng, Zaid Ibrahim dan Tunku Aziz kepada orang kampung? Tambang bas tetap akan naik. Kos menghantar anak kesekolah bertambah mulai esok. Kalau dulu, ibubapa membelanjakan 30 ringgit sebulan, sekarang sudah 45 ringgit seorang. Ada sapa peduli?

PerakExpress

Friday, June 19, 2009

Tujuh siswa korban anti-ISA era tiga perdana menteri - Malaysiakini

ulasan Semalam satu lagi episod sedih demokrasi Malaysia.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendapati lima aktivis mahasiswa bersalah atas pertuduhan menyertai perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Masjid Negara, Jun 2001.

Rafzan Ramli, Khairul Amal Mahmud, Ahmad Kamal Abdul Hamid, Nik Norhafizi Nik Ismail dan Zulkefle Idris didenda RM 3,900 setiap seorang atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sementara dua lagi yang dituduh, Herman Shamsudeen yang kini aktif bersama Pemuda PAS dilepaskan, manakala seorang lagi Wan Sanusi Wan Mohd Noor tidak dapat dikesan sejak mereka dipanggil untuk membela diri.

Gerakan Reformasi susulan pemecatan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim mulai 20 September 1998 menyebabkan politik negara bergolak.

Pergolakan ini, yang menyeret ribuan anak muda ke jalan-jalan raya, berterusan tanpa henti-henti walaupun selepas pilihanraya umum setahun kemudian.

Pada 2000, Gerakan Reformasi meneruskan kempen bantahannya - menjelang dan selepas Anwar didapati bersalah kes kedua pada Ogos tahun itu - sehingga pilihanraya DUN Lunas mencetuskan rasa gerun kepada BN dan kerajaan pada waktu itu.

Kerusi negeri itu yang selama ini dikuasai dengan selesa oleh BN berjaya dirampas oleh calon PKR (dulu dikenali Parti Keadilan Nasional) Saifuddin Nasution Ismail dalam persaingan penuh sengit dan drama.

Kemenangan itu membakar semangat Gerakan Reformasi dan penyokong pakatan pembangkang, dulu dikenali Barisan Alternatif, untuk mengasak perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga awal 2001 muncul pula isu rundingan tertutup antara PAS dan Umno.

Tidak mempedulikan agenda melaga-lagakan pembangkang melalui agenda muzakarah Umno-PAS, Gerakan Reformasi meneruskan perhimpunan besar pada 14 April, yang popular digelar "Gelita 14", ulang tahun kedua pemenjaraan Anwar.

Gelombang besar, sekali lagi

Namun bantahan itu tidak menjadi kenyataan apabila 10 orang aktivis utamanya, termasuk pemimpin Pemuda PKR, seperti seperti Saari Sungib, Ezam Mohd Noor, Hishamuddin Rais, Lokman Noor Adam, Tian Chua dan Raja Petra Kamaruddin ditahan bawah ISA.

Lalu ia mencetuskan gelombang besar, sekali lagi, untuk menentang ISA melalui Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) - gabungan puluhan NGO dan Barisan Alternatif - seperti yang dikenali sekarang. Sementara gerakan siswa pula menubuhkan cabang penentangannya sendiri melalui Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI).

Perkumpulan pelajar kecil dan besar seperti Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Front Anak Muda Untuk Demokrasi (Fraksi), Universiti Bangsar Utama (UBU), Pergerakan Demokrasi pelajar dan Pemuda Malaysia (Dema), Gabungan Mahasiswa Wangsa Maju (GMWM), Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN), Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Jawatankuasa Mahasiswa Mahasiswi (JKMM) menyertai GMMI.

Serentak dengan program penentangan GMI yang meluas di seluruh negara mulai April 2001, GMMI pula menganjurkan satu perhimpunan untuk membantah ISA.

Pada 8 Jun 2001, sebaik sahaja selesai solat Jumaat, beberapa ratus pelajar dalam gabungan GMMI berhimpun secara aman di luar Masjid Negara sehinggalah polis bertindak menyuraikannya dan menahan tujuh orang mahasiswa.**

Tujuh pelajar itu, yang digelar "ISA 7", yang sedang menuntut di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara direman selama satu hari dan dibuang dari kampus masing-masing tidak berapa lama selepas itu.

Perbicaraan awal mendapati mereka semua tidak bersalah dan dibebaskan.

Namun Pejabat Peguam Negara tidak berpuas hati dengan keputusan itu - walaupun banyak kes perhimpunan haram era Reformasi tidak dilangsungkan atau dilepaskan (DNAA) setelah perbicaraan seketika - dan akhirnya berjaya memaksa ketujuh-tujuh aktivis ini dibicarakan sekali lagi.

Selepas genap lapan tahun, semalam 18 Jun 2009, mereka berlima yang sudah tidak lagi bergelar mahasiswa dan mungkin tidak lagi bergiat aktif dalam aktivisme politik didapati bersalah oleh mahkamah.

Semalam demokrasi Malaysia dirundung malang - membukti sejauh itu negara sanggup menindas anak muda yang tidak bersalah demi memadamkan (dengan harapan) api amarah kebangkitan rakyat.

Dalam tempoh lapan tahun itu, pelbagai onak dan duri ditempuh ketujuh-tujuh mahasiswa ini. Ada yang bekerja dan ada juga yang membuat perniagaan kecil-kecilan. Hanya Herman yang masih aktif berpolitik, bersama Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Dulu masih bujang

Rafzan Ramli teman rapat penulis sejak mahasiswa. Kami bersama-sama aktif bersama UBU, sebuah kumpulan anak muda dan mahasiswa yang aktif dengan aktiviti kebajikan, kebudayaan, diskusi politik dan isu semasa.

Malah sewaktu beliau ditahan pada 8 Jun 2001, saya sedang berdiri di sebelahnya berunding dengan polis sebagai wakil GMMI.

Ketika ditangkap dahulu, beliau masih lagi bujang. Kini Rafzan telah mempunyai seorang anak. Dengan segala susah payahnya, beliau gigih berkempen isu “ISA 7” dan hak kebebasan mahasiswa ke seluruh negara.

Kesnya pernah juga dibawa ke Korea Selatan apabila Rafzan dijemput ke negara tersebut pada 2002 untuk mewakili UBU dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Pendedahan Rafzan mengenai kes “ISA 7” membuka mata masyarakat antarabangsa yang selama ini menganggap Malaysia sebuah "negara yang demokratik".

Teman-teman aktivis di peringkat antarabangsa bersimpati dengan nasibnya dan enam temannya. Ada sebuah kumpulan anak muda Poland pernah menawarkan Rafzan untuk menetap dan menyambung pengajiannya di negara mereka.

Namun Rafzan menolaknya kerana mahu bersama-sama enam orang teman "ISA 7" untuk melalui susah senang bersama.

Mahkamah semalam penuh sesak dengan penyokong-penyokong “ISA 7”.

Cuma Badaruddin Ismail, atau lebih manja kami panggil Pak Din - aktivis ke-10 yang diseret ke lokap ISA pada 2001, yang kelihatan hadir bagi mewakili kumpulan tahanan ISA tahun itu yang diperjuangkan oleh “ISA 7” sehingga dibuang universiti.

Sembilan lagi dengan sejarah masing-masing. Ezam, Lokman dan Abdul Ghani Haron bersama Umno. Saari, yang meninggalkan PKR, kini ADUN parti Islam di Hulu Kelang.

Tian dan Gobalakrishnan kini di Dewan Rakyat, sementara Raja Petra pula menghilangkan diri bersama Malaysia Today ke luar negara. Hanya Hishamuddin yang masih kekal dalam dunia penulisannya.

Saksi mata, saksi mahkamah

Selepas saksi mata di medan demonstrasi, penulis sendiri disapina sebagai saksi mahkamah pula kepada Rafzan tahun ini kerana terdapat banyak foto melibatkan saya yang diberikan oleh polis kepada mahkamah sebagai bukti.

Dalam tempoh lapan tahun ini, sewaktu pakatan pembangkang merasai nikmat hasil kebangkitan rakyat sejak sedekad lalu, penulis terharu melihat kegigihan mereka yang masih bersama "ISA 7", khususnya peguam, yang tidak pernah berputus asa membantu walaupun khidmat mereka diberikan percuma.

Peguam-peguam tersebut: Nik Mohamed Ikhwan, Lathifah Koya, Zulkiflee Omar, Amer Hamzah dan Edmond Bon. Tanpa mereka, tidak mungkin "ISA 7" bersemangat lagi untuk mengharungi kegetiran diseret arus perjuangan.

Perbicaraan panjang ini bermula pada zaman Dr Mahathir. Selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikannya, pada 22 April 2005, mahkamah majistret telah memutuskan ketujuh-tujuh mahasiswa tersebut tidak bersalah.

Semalam, ketika Datuk Seri Najib Razak mengambil alih pucuk kepemimpinan negara, mahkamah menjatuhkan hukuman.

** Kebangkitan siswa bersama GMMI dipercayai menggerunkan pihak berkuasa apabila dua lagi pemimpin mahasiswa Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, aktivis UBU yang kini pemimpin Angkatan Muda PKR, dan pemimpin siswa UM Mohd Fuad Ikhwan diseret dalam lokap ISA tidak lama selepas demonstrasi di Masjid Negara.


Amin Iskandar, penulis blog dan penggiat budaya, kini memimpin NGO pemantau pilihanraya NIEI. Beliau menerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) sesi 2009-10 untuk menjalankan kajian sistem pilihanraya di Filipina dan Indonesia.


Malaysiakini