Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, June 8, 2010

Kajian ISA selesai, pindaan bulan depan - Malaysiakini

Kementerian Dalam Negeri berharap dapat membentangkan enam akta yang dikatakan 'menindas' termasuk Akta Keselamatan Dalam Negara 1960 (ISA) dan Ordinan Darurat pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Abu Seman Yusop memberitahu wartawan hari ini bahawa segala dokumen berhubung perkara berkenaan telah diserahkan kepada pejabat peguam negara untuk kelulusan.

Katanya, pindaan ISA itu akan disesuaikan mengikut keadaan semasa. Ia membabitkan lima perkara utama:

•Kuasa menteri
•Tempoh tahanan
•Kuasa polis
•Hak dan layanan ke atas tahanan
•Pemansuhan beberapa seksyen

Katanya lagi, pindaan ISA dan dua lagi akta di bawah undang-undang pencegahan dijangka dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat bulan depan.

Dua akta lain itu adalah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Kesemua pindaan undang-undang pencegahan itu kini di peringkat akhir kelulusan oleh Jabatan Peguam Negara dan kita jangka akan dapat dibentang untuk bacaan pertama di Parlimen bulan hadapan selepas diluluskan Peguam Negara dan Kabinet," katanya.

Abu Seman berkata tiga lagi akta iaitu Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959, masih di peringkat semakan Bahagian Penggubalan, Jabatan Peguam Negara.

"Tujuan kita meminda akta-akta ini adalah untuk memelihara hak orang tahanan dan mengelakkan salah guna kuasa dalam melaksanakan undang-undang pencegahan," katanya.

Mac lalu, kabinet memutuskan pindaan ke atas ISA harus dibentang pada persidangan Parlimen bersama-sama enam lagi akta berkaitan pencegahan yang juga perlu dipinda.

Abu Seman berkata pindaan terhadap semua akta itu berdasarkan perbincangan dengan 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu berkepentingan.

"Daripada jumlah itu, hanya dua yang mahukan ISA dihapuskan manakala yang lain bersetuju agar pindaan dilakukan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pindaan Seksyen 27 Akta Polis 1967 berkaitan perhimpunan juga telah siap dikaji oleh kementerian dan dihantar ke bahagian penggubalan Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan.

Malaysiakini

No comments: