Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, June 16, 2010

AMK Selangor Desak Halau Kapal Rejim Zionis Israel Dari Perairan Malaysia - SK

SHAH ALAM 16 Jun - Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor, Mohd Ezli Mashut mendesak kerajaan agar menyekat kemasukan kapal kargo Zionis Israel daripada memasuki perairan negara, kerana ini dilihat sebagai satu tindakan yang tidak konsisten dengan usul parlimen mengutuk serangan ganas rejim Zionis-Israel terhadap kapal MV Marmara baru-baru ini.

"Kami mendesak kerajaan mengemukakan butiran lengkap mengenai aktiviti kemasukan secara bebas dan penggunaan pelabuhan dalam negara oleh kapal kargo Israel di Parlimen. Tindakan ekstrim rejim Zionis menyekat kemasukan apa jua misi bantuan kepada rakyat Palestin wajar membuka mata kerajaan dan dunia agar satu tindakan lebih tegas dan keras dikenakan terhadap regim Zionist Israel," tegas beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan Isnin lalu.

Mohd Ezli juga menyuarakan bantahan keras kepada pihak yang membenarkan kapal kargo yang ada hubung kait dengan regim Zionis daripada memasuki dan 'menjajah’ kedaulatan perairan negara.

"Jika benar kerajaan tegas dan konsisten dengan prinsip menyokong perjuangan dan pengorbanan rakyat Palestin, maka ini mesti dilakukan," tambah beliau lagi.

Mohd Ezli menyatakan AMK Selangor juga hairan bagaimana perairan dan kedaulatan negara dengan mudahnya dan bebas dimasuki kapal-kapal kargo Israel sedangkan kerajaan Umno-BN mengatakan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dan ekonomi samada secara rasmi atau tidak rasmi denga rejim Zionis itu.

Kejadian serangan tentera Israel pada 31 Mei lalu terhadap anak kapal MV Marmara yang pada masa itu berada di perairan antarabangsa jelas membuktikan pencabulan undang-undang antarabangsa oleh rejim Zionis Israel, maka tiada sebab untuk kerajaan Malaysia membenarkan kapal kargo Israel untuk memasuki perairan Malaysia.

"Tindakan kerajaan perlu lebih konsisten dalam isu keganasan regim Zionis terhadap masyarakat Palestin serta untuk seluruh dunia. Kita amat kagum dengan ketegasan negara Turki terhadap regim Zionis Israel ini, dan jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serius dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin, maka kita menuntut satu tindakan berani daripada pimpinan negara untuk menggerakkan misi bantuan kemanusiaan di bawah kendalian kerajaan Malaysia," tegas Mohd Ezli lagi.

Menurut beliau, misi bantuan kemanusiaan yang digerakkan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) selama ini mempunyai banyak batasan yang mana dapat diatasi dengan penglibatan kerajaan.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan dan rakyat perlu lebih bertindak daripada hanya menyatakan kutukan dan kecaman terhadap Israel.

"Selama ini berapa banyak usul dan resolusi telah dikemukakan di peringkat antarabangsa tetapi langsung tidak meredakan keganasan regim Zionis Israel malahan bertambah semakin ganas setiap hari.

"Justeru kita mahu kerajaan memainkan peranan yang lebih berani,tegas dan konsisten dalam pembebasan rakyat Palestin di bawah kekejaman regim Zionis Israel, dan menuntut agar pihak kerajaan Umno-BN melalui kementerian yang berkenaan mengeluarkan notis larangan menghalang mana-mana kapal Israel berlabuh di pelabuhan-pelabuhan negara ini berkuatkuasa serta-merta, dalam tempoh 48 jam ini," tegas Mohd Ezli lagi.

SK

No comments: