Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, June 8, 2010

Serangan Flotila : Najib Tidak Endahkan Amaran MAPIM - TVS

Perdana Menteri Najib Razak dimaklumkan mengenai kemungkinan besar rejim zionis Israel akan menyerang kapal misi kemanusiaan lima hari sebelum serangan itu berlaku namun tidak ada tindakan diambil oleh pejabat Perdana Menteri.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang terbabit dalam misi itu telah menghantar surat berkenaan pada 27 Mei, namun tidak menerima sebarang maklum balas daripada Najib. Lima hari kemudian rejim Zionis melancarkan serangan ke atas Mavi Marmara dan membunuh sembilan orang.

Mereka turut merampas segala bantuan termasuk bekalan perubatan dan makanan untuk rakyat Palestin yang dianggarkan berjuta ringgit.

Pendedahan mengejut oleh MAPIM mencemari usul yang dibawa oleh Najib di Parlimen hari ini, membidas serangan itu dan meminta masyarakat antarabangsa untuk bertindak tegas terhadap Israel, tujuh hari selepas serangan berkenaan.

Dalam salinan surat yang diperolehi oleh TVSelangor, MAPIM memberitahu Najib bahawa Israel berkemungkinan besar akan melancarkan serangan ketenteraan bagi menghalang misi kemanusiaan itu dari sampai ke Gaza.

Justeru badan itu menggesa Najib untuk memohon Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB memberi perlindungan kepada kapal-kapal yang terbabit dari misi itu daripada kekejaman Israel.

Malah Najib juga diminta untuk mengerahkan kapal pengiring khas untuk misi itu selain memohon bantuan daripada Persidangan Negara-negara Islam atau OIC, dan Kesatuan Eropah.

" 27 mei untuk memberitahu PM perlu mengambil perhatian serius mengenai keselamatan misi kapal kemanusiaan ini kerana jelas beberapa kenyataan Israel bahawa jelas tindakan secara ketentaraan akan berlaku. Jadi kita mendesak supaya PM atas negara Malaysia cepat bertindak untuk meminta PBB memastikan jaminan keselamatan ini tapi malangnya tidak direspon oleh PM sehinggalah insiden itu berlaku" ujar Mohd Azmi Abdul Hamid, Setiausaha Agung MAPIM.

Hari ini Najib berdiri di Parlimen untuk menyampaikan bantahan kerajaan pimpinannya terhadap serangan itu.

Namun yang menjadi pertikaian ialah sikap yang dipamerkan oleh kerajaan dalam memastikan keselamatan misi kemanusiaan berkenaan yang membabitkan sukarelawan dan wartawan malaysia.

" Kekesalan kita ialah apabila mesej kita kepada PM itu nampaknya tidak dijawab dan tidak respon bahawa insiden ini memang berlaku dan kita memang akan ambil tindakan" tambah Azmi.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia menjadi ukuran terhadap keikhlasan kerajaan pimpinan Najib bersabit misi kemanusiaan yang disertai 12 aktivis Malaysia.

" Bila perkara ini sudah meletup sedemikian rupa, orang sudah ditembak, rakyat sudah bangkit marah, barulah kerajaan nampak respon sedikit. Tetapi ini tidak boleh menutup kelemahan yang dibangkitkan oleh MAPIM".

" Ini harus didedahkan kepada awam. Rakyat harus tahu bahawa banyak usaha telah diambil oleh badan-badan Islam dan badan bukan kerajaan dan kerajaan seolah-olah hanya mahu lepas tangan dan tidak mahu langsung sentuh sensitiviti Israel dan Amerika Syarikat" ujar beliau kepada Tv Selangor.

Tambahnya, kerajaan Najib hanya bangkit setelah rakyat dan juga parti pembangkang membantah jenayah perang yang dilakukan oleh tentara Israel ke atas flotila bantuan ke Gaza.


Dalam pada itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub turut menuntut penjelasan daripada wisma Putra atas kegagalan kerajaan bertindak bertindak membantu kapal Mavi Marmara meskipun diberitahu mengenai rancangan rejim Zionis untuk menyerang misi kemanusiaan itu lebih awal.

" Walaupun kadang-kadang kita mempunyai keyakinan mungkin apa pun yang kita laksanakan Israel tetap dengan kezaliman dan kekerasan mereka, tetapi apa yang kita mahu biar ada satu catatan bahawa apabila kita mendapat satu isyarat daripada kapal tersebut, dan Wisma Putra dengan jelas menerima isyarat tersebut, maka mesti ada catatan yang Wisma Putra juga ada catatan mereka menghubungi pihak yang berkuasa" ujar beliau kepada Tv Selangor.

Salahuddin berkata masyarakat akan tentunya bertanya samada tragedi serangan ke atas kapal Mavi Marmara mungkin mempunyai kesudahan berlainan jika Wisma Putra telah bertindak lebih pro aktif.

" Apa yang penting dalam setiap situasi, kerajaan mesti bertindak proaktif dan pantas untuk mendapatkan bantuan-bantuan yang diperlukan contohnya badan-badan antarabangsa".

TVS

No comments: