Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, June 15, 2009

Nizar, 4 MP digantung sidang parlimen - Malaysiakini

Lima ahli parlimen pembangkang, termasuk Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Bukit Gantang) yang baru mengangkat sumpah pagi ini, diperintah meninggalkan Dewan Rakyat selepas mendesak DUN Perak dibubarkan.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia kelima-limanya meninggalkan bilik persidangan parlimen atas dakwaan "berkelakuan kasar". Merek berlima juga digantung daripada menghadiri sidang dewan selama dua hari.

Selain Mohammad Nizar, mereka yang mengalami nasib yang sama: Datuk Ngeh Khoo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping), N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) and Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena).

Nga dan Ngeh - kedua-duanya exco kerajaan Pakatan Perak sebelum rampasan kuasa BN, Februari lalu - juga memakai kain lilitan kepala berwarna hitam dengan tulisan putih "Bubar DUN" di ruang persidangan.

Tiga pemimpin Pakatan Rakyat di negeri itu antara pemimpin yang paling aktif dan lantang menuntut kembali kerajaan yang mereka kuasai tidak sampai setahun sejak Mac tahun lalu.

Malaysiakini

Sunday, June 14, 2009

Jangan bimbang dengan pindaan perlembagaan, kata presiden PKR - Malaysiakini

Cadangan pindaan perlembagaan PKR telah menimbulkan kegusaran di kalangan penyokong parti itu yang bimbang ia "dirampas kumpulan lawan dan pihak oportunis", kata Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

"Perubahan ini memang besar dan nampak mendadak. Justeru, saya tidak salahkan tuan-tuan yang mungkin berasa gusar dan bimbang.

"Banyak yang telah diperkatakan, mungkin parti akan dirampas kumpulan lawan dan kumpulan oportunis. Mungkin parti akan hilang agenda perjuangan asal dan banyak lagi," kata Wan Azizah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dalam kongres khas parti itu - bagi meminda perlembagaannya - di Bangi pagi ini.

Azizah meminta anggota PKR menerima cadangan itu kerana anggota parti itu membuat pindaan yang lebih besar sebelum ini apabila bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Menurutnya, penggabungan itu melibatkan pelbagai perubahan termasuklah nama, simbol dan bendera parti.

"Kegusaran memuncak takut parti kita hilang semangat perjuangan asal, hilang identiti dan lebih dahsyat lagi, takut-takut kalau saya diketepikan oleh Presiden Parti Rakyat ketika itu Dr Syed Husin Ali.

Bincang tujuh pindaan

"Biar saya nyatakan ini secara berterus terang hari ini. Ramai yang gusar ketika itu kerana kita tidak mengenali Dr Syed dan kita membuat andaian berdasarkan situasi ketika itu, dan apa yang digambarkan pemerintah terhadap mereka.

"Yang penting semuanya sayangkan parti," katanya.

Kira-kira 1,000 perwakilan bersidang di kongres khas PKR hari ini bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti itu.

Pindaan tersebut ialah menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Empat usul lagi ialah mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri..

Mengulas perkara itu, Wan Azizah berharap pindaan perlembagaan yang dibentangkan naib presidennya, Sivarasa Rasiah mampu "hmenghapuskan bibit-bibit politik wang dari mula berputik" di dalam part itu.

Malaysiakini

Pindaan dilulus 'selepas pengiraan undi penuh emosi' - Malaysiakini

Kongres khas PKR hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti itu "selepas pengiraan undi yang penuh emosi".

PKR meminda perlembagaannya bagi menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Empat usul lagi ialah mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri.

Pengarah Komunikasi, Jonson Chong, berkata dengan sokongan lebih dua pertiga perwakilan, pindaan itu diterima seperti peruntukan Perkara 31.1 perlembagaan PKR.

Dalam satu kenyataan, 941 perwakilan bersetuju dengan pindaan itu, 103 menentang dan sembilan lagi bersikap berkecuali "selepas pengiraan undi penuh emosi".

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan 'pengiraan undi penuh emosi' itu.

Difahamkam pengiraan undi dijalankan secara angkat tangan. Semua pindaan tidak diundi secara berperingkat, sebaliknya dibuat secara sekaligus.

Cadangan yang dibentangkan naib presiden Sivarasa Rasiah itu diluluskan setelah mendapat sokongan lebih 88 peratus daripada 1,061 perwakilan yang hadir.

'Kemungkinan p'raya mengejut'

"Dengan sokongan jelas dan padu yang ditunjukkan dalam kongres ini, kepimpinan PKR bersedia membangun dan mengukuhkan parti demi menghadapi kemungkinan pilihanraya mengejut di Perak dan Sarawak pada masa depan," kata Jonson.

Malaysiakini difahamkam, dalam perbahasan cadangan itu - yang tertutup kepada media - terdapat beberapa perwakilan tidak bersetuju dengan beberapa bahagian tertentu dalam cadangan pindaan itu.

Juga difahankan seorang perwakilan menyifatkan pertukaran nama bahagian dan cawangan kepada cabang dan ranting "tidak bersifat progresif".

Beliau sebaliknya mencadangkan istilah zon dan kawasan. Ucapan itu disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Seorang lagi perwakilan dikatakan meminta cadangan had umur keanggotaan Angkatan Muda PKR diturunkan daripada 40 sehingga 35 tahun ditangguhkan terlebih dahulu kerana ia belum sesuai dilaksanakan lagi buat masa ini.

Kira-kira 1,000 perwakilan bersidang di kongres khas PKR hari ini bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti itu.

Malaysiakini

Zaid Ibrahim masuk PKR - Malaysiakini

Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim secara rasminya menyertai PKR hari ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zaid akan dilantik menganggotai Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Katanya, Zaid secara rasminya akan mengisi jawatan tersebut selepas disahkan presiden Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan setelah “dirasmikan dalam mesyuarat” secepat mungkin.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Bangi hari ini, Anwar berkata, Zaid juga akan dilantik sebagai anggota biro politik PKR. Turut sama naib presiden, Sivarasa Rasiah dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.

Anwar juga menyifatkan penyertaan Zaid itu sebagai satu penghormatan kepada PKR.

"Ini berita yang cukup menggembirakan. Ia berkuatkuasa hari ini. Satu penghormatan dan lonjakan kepada perjuangan kita,” katanya.

Zaid, tambahnya merupakan seorang yang serius mempertahankan hak asasi dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia.

"Sikap ketegasan dan keberanian beliau (dapat dilihat), terutama dalam isu hak asasi, kebebasan, proses demokrasi dan bebebasan badan kehakiman,” katanya.

Reaksi Zaid

Anwar yang juga ketua pembangkang, turut menganggap penyertaan Zaid itu sebagai satu langkah positif kepada PKR dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

"Saya percaya perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat. (Presiden PAS, Datuk Seri) Hadi tidak ada sekarang. Mesyuarat akan diadakan Isnin depan (bila Hadi dapat hadir).

Sementara itu Zaid berkata, beliau menyertai PKR kerana yakin dengan parti pelbagai kaum itu yang mahu membela nasib rakyat.

“Saya percaya, kalau diberi peluang, saya akan berusaha membantu Anwar dan pemimpin lain. Saya berminat dan berhasrat mengukuhkan Pakatan rakyat," katanya.

Menurut Zaid lagi, beliau bersedia membantu Pakatan menjadi alternatif yang benar-benar rakyat boleh harapkan untuk menubuhkan kerajaan yang baik.

Bagaimanapun, dengan merendah diri Zaid berkata: "Saya belum pakar lagi. Saya harap dapat memainkan peranan. Saya bukan pakar.”

Ditanya kenapa beliau mengumumkan penyertaannya hari ini, Zaid berkata:

“Saya selalu ingin sertai PKR. Saya beritahu Anwar. Tetapi saya rasa hendak berehat sekejap. Jadi, saya rasa hari ini hari yang sesuai.

“Ini hari yang bersejarah apabila kita akan meminda perlembagaan,” katanya.

Malaysiakini

Friday, June 12, 2009

Pemuda Pakatan debat halatuju PAS - Malaysiakini

Tiga Ketua Pemuda parti komponen Pakatan Rakyat akan berkongsi pentas 16 Jun ini untuk membincangkan halatuju PAS ekoran isu-isu yang timbul selepas muktamar parti itu minggu lalu.

Mereka ialah Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan Tantawi; Ketua Pemuda Sosialis DAP yang juga ahli parlimen Rasah, Anthony Loke dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin.

Seorang lagi panelis ialah bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Majlis tersebut - Sembang Kopitiam anjuran Angkatan Muda PKR (AMK) Selangor dan Shah Alam - membawa tajuk 'Pasca muktamar PAS - kerajaan perpaduan?'

Dalam satu kenyataannya, ia berkata majlis tersebut diadakan mulai jam 8 malam bertempat di Dewan MBSA, Seksyen 11, Shah Alam.

Menurutnya, banyak isu yang kontroversi timbul selepas muktamar PAS minggu lalu, antaranya penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno, pemansuhan 30 peratus ekuiti bumiputera dan usul menggesa pengharaman Sistem in Islam (SIS) yang membawa aliran Islam liberal.

Pekembangan tersebut, kata kenyataan itu, telah menjadi topik perbincangan yang hangat di kalangan orang ramai, termasuk golongan muda yang ingin melihat perubahan tulen selepas tsunami politik yang berlaku tahun lalu.

Menurutnya lagi, empat persoalan utama yang bakal dibincangkan dalam majlis tersebut ialah:

- Dengan pimpinan baru yang dipilih, ke manakan PAS ingin menuju selepas muktamar?

- Mengapakah Presiden PAS ingin mengutarakan tentang konsep kerajaan perpaduan?

- Apakah persediaan untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan telah dijalankan dalam Pakatan Rakyat?

- Bagaimana hubungan di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat?

"Kesemua persoalan akan dikupas oleh penceramah-penceramah yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin muda masakini," kata kenyataan tersebut.

Malaysiakini

Hentikan segera polemik, perkasakan institusi masjid - Harakah

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa semua pihak agar menghentikan perbalahan dan polemik negatif berkaitan dengan isu pemilihan Ahli Jawatan Kuasa Masjid bagi sesi 2009-2012 ini dengan segera.

Menurut Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut, isu perkembangan mutakhir kini dikhuatiri boleh membawa perpecahan kepada masyarakat Islam di negeri ini.

"AMK Selangor juga membidas pihak-pihak tertentu yang cuba menimbulkan suasana tidak tenteram dikalangan masyarakat dengan mengapi-apikan rasa tidak puas hati ini sehingga kepada membuat laporan kepada pihak polis dan SPRM. AMK Selangor merasakan tindakan ini hanya mencemarkan nama baik institusi masjid yang sewajarnya dipelihara oleh semua pihak.

"Semua pihak digesa agar menumpukan kepada usaha-usaha kepada pemerkasaan dan pengimarahan institusi masjid agar dapat menjadi institusi yang mendidik masyarakat ke arah kejayaan dan kecemerlangan dalam semua aspek kehidupan,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Tambahnya, AMK Selangor merasakan adalah lebih baik jika usaha ditumpukan kepada bagaimana masjid boleh memainkan peranan yang penting dalam agenda amar makruf dan nahi munkar serta malahan usaha giat perlu dirancang dan dilaksanakan untuk menarik golongan muda dan masyarakat ramai.

"AMK Selangor yakin soal tidak puas hati berkenaan pemilihan AJK Masjid adalah soal kecil yang boleh diselesaikan dengan cara berhemat dan terpuji. Malahan jawatan sebagai makmum yang sebenarnya perlu diisi dengan segera memandangkan jawatan ini sentiasa kosong khususnya pada waktu Solat Subuh. Kita yakin kekuatan ummah akan kembali berpadu dan kuat jika suasana Solat Subuh berjemaah ini menyamai suasana ketika Solat Jumaat ,Solat Sunat Aidiladha dan juga Aidilfitri.

"Dalam pada itu, AMK Selangor berharap barisan kepimpinan baru masjid di seluruh negeri Selangor dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberi dengan penuh tanggungjawab dan komited,"jelasnya lagi.

Beliau berharap, barisan kepimpinan baru ini diharap membawa satu sinar baru terhadap keupayaan institusi masjid menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat madani dan rabbani.

"Suasana perbalahan berkenaan pemilihan ini tidak wajar berpanjangan sehingga ada tindakan boikot-memboikot dan bermasam muka. Tetapi suasana ini dapat dijernihkan dengan semangat berkasih sayang dan kekitaan kerana semuanya berkiblatkan yang satu di mana sewajarnya falsafah ini dapat dihayati bersama oleh semua pihak.

"AMK Selangor juga mengingatkan agar tiada pihak yang cuba menimbulkan suasana keruh daripada isu ini. Masyarakat juga tidak perlu terjebak dengan permainan pihak-pihak tertentu yang cuba menimbulkan suasana tidak tenteram ini sehingga bertindak tanpa memikirkan agenda besar ummah di masa hadapan yang perlu diperjuangkan,"tegasnya.

Katanya,sudah tiba dan ketikanya suasana masjid yang meriah dengan tradisi ilmu dan kerohanian kembali rancak sepertimana suasana pada bulan Ramadan.

"Pastinya, masjid adalah untuk semua yang menuntut setiap kita menyumbang kepada pengimarahan masjid dalam membina kesatuan ummah sejagat,"ujarnya. - mks. _

Harakah

ADUN P.Pinang Rela Lepaskan Jawatan Jika Tuduhan Rasuah Dibukti - TVA

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Tan Beng Huat telah mengemukakan surat peletakan jawatan tidak bertarikh kepada Setiausaha Agung Parti Lim Guan Eng atas arahan DAP Negeri.

Pengerusi DAP Negeri Chow Kon Yeow berkata Guan Eng meminta surat berkenaan daripada Tan bagi menunjukkan kerajaan negeri mengamalkan konsep Keupayaan, Ketelusan dan Akauntabiliti (CAT).

"Kami memohon surat peletakan jawatan tidak bertarikh itu bagi membuktikan bahawa kami adalah telus dan Tan juga telah mengemukakan surat itu kepada parti," Katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Negeri di sini hari ini.

Semalam, Ketua Bahagaian DAP Nibong Tebal, Teh Hock Yong, menuduh Tan melakukan penyelewengan berhubung penajaan RM2,000 untuk sebuah pertubuhan amal tempatan.

Bagaimanapun, Tan menafikan dakwaan berkenaan meminta parti menyiasat perkara itu secara saksama bagi membersihkan namanya.

"Saya berbesar hati untuk mengemukakan surat peletakan jawatan tidak bertarikh kepada kepimpinan parti kerana parti mempunyai hak untuk bertindak terhadap rasuah," katanya.

Guan Eng berkata beliau telah mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri, Farizan Darus, untuk menyiasat perkara itu dan tindakan tegas akan diambil jika ada sebarang salah laku.

Tan didakwa telah menuntut RM2,000 daripada Pejabat Daerah untuk set televisyen dan pemain cakera padat yang hanya bernilai RM450. Beliau menafikan segala tuduan itu sebagai tidak berasas.

TVA

Thursday, June 11, 2009

Peguam: Pendakwa Raya Kes Anwar Tidak Beretika, Enggan Serah Bahan Kes - TVA

Pendakwa raya dalam kes tuduhan liwat terhadap Anwar Ibrahim tidak professional dan bertindak tanpa etika apabila enggan menyerahkan dokumen dan bahan berkaitan bagi membolehkan Anwar membuat persiapan membela dirinya, kata peguam mantan Timbalan Perdana Menteri itu.
Sankara Nair berkata segala bahan yang diminta adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dan hak Anwar sebagai pihak tertuduh untuk mendapatkan pembelaan adil.

Perbicaraan itu akan bermula 1 Julai depan, namun pasukan peguam Anwar masih belum mendapat bahan seperti contoh DNA dan dokumen tertentu untuk diperinci sebelum mahkamah bersidang.

“Selagi pihak pendakwa raya tidak memberikan kami dokumen dan bahan berkenaan dalam tempoh yang sesuai, pasukan peguam Anwar tidak mungkin dapat menyediakan pembelaan terbaik, yang seharusnya menjadi hak beliau,” Sankara berkata.

Anwar hari ini terpaksa memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya memerintahkan pihak pendakwa raya membekalkan kepada beliau semua dokumen berkaitan kes liwatnya secepat mungkin.

Dalam notis usul yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah, Anwar mahu pendakwa raya membekalkan pita rakaman CCTV yang asal yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008.

Pihak pendakwa raya juga gagal menyerahkan contoh DNA, kenyataan-kenyataan saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dan kenyataan polis.

Oleh kerana kes itu melibatkan keterangan DNA dan rakaman CCTV, Anwar perlu mendapatkan pakarnya sendiri untuk memeriksa sampel-sampel DNA serta rakaman CCTV dan melakukan ujian yang sewajarnya.

Sankara berkata semua dokumen dan bahan itu amat diperlukan, relevan dan mustahak bagi mantan Timbalan Perdana Menteri itu menyediakan pembelaan yang tuntas.

Sankara kecewa dengan sikap pendakwa raya kerana tidak mengendahkan segala permohonan peguam bela untuk mendapatkan bahan-bahan berkenaan walaupun permohonan dibuat seawal 8 September 2008.

Malah, pihak pendakwaraya cuba memesongkan fakta dengan mendakwa kononnya peguam Anwar sudah pun dibekalkan dengan rakaman CCTV tetapi hakikat adalah sebaliknya.

Sankara berkata pihaknya hanya boleh merumuskan pendakwa raya dalam kes berkenaan enggan menyerahkan bahan-bahan berkenaan kepada pihaknya kerana:

i. Mahu menafikan Anwar pembelaan yang sebaik mungkin dalam menghadapi tuduhan berkenaan

ii. Menafi atau menyembunyi dari Anwar bukti yang boleh membantu pembelaan beliau

iii. Ingin “menyerang hendap” Anwar dengan bukti yang tidak boleh diperinci atau disiasat oleh pihak berkecuali sebagaimana yang dilakukan oleh pendakwa raya dalam kes-kes Anwar pada tahun 1998/99.

iv. Menafikan Anwar peluang untuk memeriksa dan mengesahkan contoh DNA dan sampel lain yang “mereka kini sedang gunakan untuk membuat dakwaan tidak berasas” terhadap Anwar.

Anwar, 61, menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 1151, Desa Damansara Kondominium, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lepas.

Saiful membuat tuduhan itu beberapa hari selepas beliau menemui Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri. Anwar ketika itu mengecam Najib berhubung beberapa isu termasuk pembunuhan mangsa Mongolia Altantuya Sharibuu serta sogokan dalam kontrak pembelian peralatan tentera.

Dakwaan Saiful bukan sahaja dilihat mempunyai motif politik malah lebih rapuh apabila doktor yang memeriksa beliau mendapati tidak ada kesan-kesan untuk menyokong dakwaan Saiful kononnya mangsa liwat.

Najib dan UMNO telah menggunakan dakwaan Saiful sebagai modal politik untuk mengaibkan Anwar dan keluarganya pada pilihanraya kecil Permatang Pauh. Namun cubaan itu gagal apabila Anwar menang dengan majoriti besar dan diangkat menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

TVA

PKR lakar masa depan lebih dinamis, demokratik, kalis rasuah - TVA

PKR akan mengadakan kongres nasional khas Sabtu ini untuk membahas dan meluluskan beberapa usul penting termasuk menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Usul utama lain ialah memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti dan mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun.

Naib Presiden PKR, R.Sivarasa yang juga pengerusi jawatankuasa pindaan perlembagaan, berkata, semua usul berkenaan dijangka diluluskan dalam kongres khas sehari itu.

Kongres akan berlangsung di pusat konvensyen, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) Kajang, bermula jam 8 pagi.

Sivarasa berkata PKR mempunyai kira-kira 300,000 ahli di mana keahliannya mencecah kira-kira 10,000 setiap bulan.

Sehubungan itu, katanya, PKR akan meminda sistem pemilihan parti untuk membolehkan ahli biasa di semua peringkat dalam parti memilih pucuk pimpinan.

"Ia adalah untuk menunjukkan komitmen untuk reformasi dalam parti.

"(Pindaan) dapat membantu menghapuskan kecenderungan yang kurang sihat seperti politik wang dan amalan cawangan hantu, seperti yang dilihat dalam parti politik lain di Malaysia.’ kata beliau.

"Sekiranya ia diluluskan, PKR akan mencatat sejarah sebagai parti politik pertama memberi hak kepada ahli untuk memilih pucuk pimpinan parti," katanya lagi dalam sidang akhbar hari ini,” tambah Sivarasa.

Dalam kongres khas itu, Sivarasa berkata, pihaknya juga akan mendapatkan sokongan dua pertiga daripada perwakilan untuk menghadkan tempoh seorang presiden kepada tiga penggal atau sembilan tahun.

Beliau berkata PKR akan turut melaksanakan sistem pemilihan baru yang lebih berwibawa dan berteraskan amalan undi sulit. .

"Ini adalah untuk memperkukuhkan amalan demokrasi dalam parti," katanya.

Sivarasa berkata pihaknya bercadang untuk menggunakan dakwat kekal, sebagai satu usaha untuk menunjukkan pemilihan pucuk pimpinan berjalan dengan lancar.

Mengulas lanjut mengenai cadangan pindaan yang berkaitan dengan umur dalam AMK, Sivarasa berkata, pelaksanaannya akan berkuatkuasa serta merta bagi semua jawatan yang dilantik.

Bagaimanapun, pemilihan tahun depan, masih menggunakan had umur 40 tahun kerana atas sebab-sebab teknikal dan dijangka bakal dilaksanakan sepenuhnya selewat-lewatnya tahun 2013.

Mengenai memberi peruntukkan kepada wanita sebanyak 30 peratus untuk memegang jawatan dalam parti, beliau berkata, setahunya, tidak ada parti di Malaysia yang memberi komitmen sebesar itu kepada wanita.

"Pindaan struktur pimpinan dalam parti dibuat kerana PKR benar-benar mahu mejadikan sebuah parti yang bersifat nasional," kata Sivarasa.

PKR kini mempunyai sebanyak 190 bahagian termasuk Sabah dan Sarawak.

Mengenai pertukaran nama bahagian kepada cabang dan cawangan kepada ranting, Sivarasa berkata, pertukaran tersebut bertujuan untuk menggantikannya dengan istilah yang lebih "progresif dan saksama".

"Kita mahu menjauhkan dari istilah yang diungkit sebagai mempunyai unsur struktur tradisional atau struktur feudal," katanya.

Menurut Sivarasa, PKR juga akan meminda perlembagaan bagi menambah jawatan naib presiden, daripada lima kepada tujuh orang.

PKR menjangka kira-kira 2,500 perwakilan akan menghadiri kongres khas tersebut.

TVA

Wilks and Pugh to Pilot Proton Satria Neo Super 2000 in the Intercontinentan Rally Challenge - paultan.org





The Proton Satria Neo S2000 will be participating in the Intercontinental Rally Challenge, and Proton officially unveiled its line-up at the 2-day Rally Show festival (6th and 7th June), held at the ground of the Chatsworth House.

The Satria Neo Super 2000 will be pilot by a team consisting of two-times British rally champion Guy Wilks and co-driver Phil Pugh. The S2000 car was designed and built by British team Mellors Elliot Motorsport (MEM).

“We are very excited to have Guy Wilks driving for Proton in the IRC. After his stunning performance in the recent Pirelli Rally, we are positive about our capabilities to put up a strong challenge. MEM has done a great job with the Proton Satria Neo S2000 and we will continue to improve as the year progresses,” said Proton MD Dato’ Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

“This is fantastic news and a fantastic opportunity. Proton and MEM are highly ambitious but also very realistic as newcomers. We need to make progress in every round and be ready to fight for the championship in 2010,” said Guy Wilks.

The Proton Satria Neo Super 2000 uses the Satria Neo’s chassis and a 2.0 liter engine which is derived from a 1.8 liter Renault engine, similiar to the one you will find in the Waja 1.8X. It produces 278 horsepower at 7,600rpm.

The IRC uses the standard FIA points system: 10-8-6-5-4-3-2-1. The best seven scores added together will decide final championship results. There are 7 races remaining this year - Belgium Ypres Rally, Rally Russia, Rali Vingo Madeira, Czech Republic, Spain, Rally Sanremo and finally Scotland. All are Asphalt rallies except Russia and Scotland.

paultan.org

Kembara Bloggers Jalanan 2 - PerakExpress

Muzik adalah expressi diri. Aku bukan pemuzik…bukan seniman. Aku tak reti pun nak main gitar atau apa saja alat-alat muzik, tapi peminat muzik. Aku cuma pengguna…bukan pengeluar. Satu-satunya alat muzik yang aku pernah main ialah buluh lemang yang dikerat berlainan panjangnya…dan diketuk pada kayu ketika majlis berasik.

Ketung…ketung..ketung.

Anak-anak dara Orang Asli di Kuala Woh akan keluar..sorang-sorang dan berebutlah anak-anak jantan…ramai Melayu dari orang Asli ikut belakang. Berlenggang dalam bulatan. Masa tu pun Orang Asli tak pakai Barisan.

Aku tak tau sama ada muzik yang mengasyikkan atau pun kepala dah bengang..lepas kena todi yang di impot dari Tapah atau Tapah Road.

Tahun enam puluhan, merupakan kegemilangan muzik tanah air.Lagu La Aube nyanyian Kassim Selamat dan The Swallows berjaya mendapat tempat dalam carta hits Jerman! Malah The Swallows juga pernah mendapat undangan untuk menyanyi di Jerman.

P. Ramlee juga mendapat tempat di Holywood. Ismail Haron mendapat tempat di Australia. Kita berjaya mengeluarkan seniman bertaraf antarabangsa.

Kalau dilihat lagu-lagu tahun enampuluhan…rata-rata lagu-lagunya menggambarkan kegembiraan…suasana jiwang. Malaysia baru merdeka tahun 1957 dan suasana kegembiraan itu terbawa-bawa ke tahun enampuluhan. Malah lagu Baju Hijau nyanyian Sanisah Huri menjadi top-hits. Kegembiraan menghasilkan kreativiti dan kreativiti membawa kegemilangan.

Tetapi kegemilangan seni tahun enampuluhan merudum ditahun tujuhpuluhan. Kemerosotan ini ada kaitan dengan politik negara.

Keganasan 13 Mei menyebabkan negara diperintah dibawah Mageran. Dan berakhir dengan penubuhan Barisan Nasional yang turut disertai oleh Pas pada tahun 1974. Dan diantara tugas-tugas Pas ialah menjaga moral dan ‘kesucian’ ugama dan umat Islam. Maka banyak lah yang tak boleh.

Di Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPFM) ada seorang wakil dari Pas yang jadi Tok Mudim. Bila ada adegan bercium…potong. Tapi kalau adegan tersebut merupakan adegan bercium antara suami isteri…tak apa. Muzik-muzik pop dikontrol dan sebahagian daripada masalah pada masa itu ialah tidak ada satu garis panduan yang jelas. Banyak garis panduan bergantung kepada pendapat ustaz-ustaz yang memberikan pendapat mengikut tafsiran masing-masing.

Apabila seni dikontrol,anak muda memberontak. Maka bermulalah kegemilangan rock. Lagu-lagu rock sebahagian besarnya adalah lagu-lagu pemberontakan dan penentangan. Lagu-lagu rakyat yang tertindas…lagu-lagu kemanusiaan. Dan irama rock adalah irama revolusi. (Ini bukan kajian ulama muzik tapi berdasarkan pengalaman dan pengamatan.)

Dari irama pop dan rock n roll, anak muda mula meminati rock walaupun lagu-lagu rock jarang kedengaran diradio. Anak muda mencari alternatif dan mesin-mesin juke box menjadi kiblat.

Tahun tujuh puluhan juga terkenal dengan demonstrasi jalanan. Demonstrasi juga merupakan satu cabang untuk menzahirkan dhomir rakyat. Kebanyakan mereka yang menyertai demonstrasi pada masa itu adalah rockers. Tak percaya tanya Hishamudin Rais, Raja Petra.

Deep Purple merakamkan album mereka pada tahun 1971, dengan lagu hit..Smoke on the Water, Highway Star,Space Truckin..dan menjadi hits di Malaysia 2-3 tahun kemudian. Tahun 1974, demonstrasi Baling berlaku. Apa kaitan rock dengan demo? Fikir lah sendiri.

TunRazak meliberalisasikan muzik dan cabang-cabang seni yang lain..dan hasil daripada kebebasan ini terlahirlah filem Melayu pertama dalam bentuk warna…Keluarga Si Comat. Berikutnya…semakin bertambah filem-filem Melayu yang diminati. Muzik pula kembali kepada muzik kasih sayang…muzik jiwang. Lahirlah Sharifah Aini, Alleycats, Carefree..semuanya menyanyikan lagu-lagu gembira. Rock mula ditinggalkan…hanya hardcore saja yang kekal meminati rock.

Bagi aku yang sudah sebati dengan rock…mula beralih kepada blues. Eric Clapton, Gary Moore, BB King, Janis Joplin.

Apabila Mahathir mengambil alih pemerintahan…Anwar ikut serta. Dan Anwar cuba menerapkan nilai-nilai Islam kedalam semua peringkat. Dan kedua-dua pemimpin in bukanlah orang yang meminati seni. Mahathir terlalu obses dengan duit dan Anwar obses dengan Islam. Seni dan hiburan tidak mendapat tempat dikalangan mereka. Cetak rompak berleluasa tetapi tidak mendapat perhatian dari pihak berkuasa.

Anak muda kembali memberontak. Lagu-lagu rock kembali menjadi kegilaan, tambahan pula dengan populariti Scorpion dengan album hits mereka ..Blackout.

Kaki-kaki jiwang pula beralih kepada Lionel Ritchie, Michael Jackson, Madonna dan Boy George..aauww!! Ini generasi Hishamudin Tun Hussein.

Dan dalam tahun 90an, persaingan diantara Pas dan Umno untuk menjadi siapa yang lebih islamik telah menyebabkan anak-anak muda yang berjiwa memberontak telah bergerak dibawah tanah. Macam-macam istilah diberikan kepada mereka…underground, punk, black metal…dan pada tahun 1998, ruang untuk mereka menunjuk perasaan terbuka dan merekalah yang menjadi para reformis tegar..yang sanggup berdemonstrasi…dipukul dan disembur dengan air asid.

Muzik adalah expressi emosi dan demonstrasi juga adalah expressi emosi.

Rockers adalah reformis…dan reformis berjuang bukan untuk pangkat dan jawatan. Apa yang dimahukan hanyalah kebebasan untuk berkarya..kebebasan untuk berexpressi. Demonstrasi tahun 98 adalah perjuangan rockers untuk kebebasan. Tetapi matlamat itu tidak kesampaian secara keseluruhan. Rockers yang menyokong Barisan Alternatif, dengan harapan BA akan memberikan ruang kebebasan kepada mereka tetapi apabila BA berkuasa, ruang untuk mereka disempitkan.

Semakin banyak benda-benda remeh yang diharamkan. Anak muda hanya dihidangkan dengan nasyid, nasyid, nasyid. Manakala rockers yang membantu menaikkan BA dipandang hina. Akhirnya BA lingkup apabila rockers beralih angin.

Tahun 2008, rockers memberikan peluang kedua kepada BA, dan dengan kelemahan UBN, BA menang cemerlang. Tetapi selepas menang…perangai lama kembali berulang. Konsert rock dihalang. Rockers dianggap tidak bermoral…tidak beriman. Seniman-seniman dipandang rendah dan tiada siapa yang memperdulikan mereka.

Tetapi rockers a.k.a reformis ini bukanlah golongan yang mahu menuntut jawatan atau pangkat. Mereka tidak menuntut jawatan Menteri Besar, tidak menuntut jawatan EXCO atau pun YDP MPSP. Apa yang mereka mahukan hanyalah ruang kebebasan. Apakah itu cukup sukar untuk disediakan?

Rockers/reformis ini kini sudah mempunyai satu lagi ruang untuk mengekspressi diri…Blog. Bukan disediakan oleh Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional tetapi diperolehi melalui revolusi teknologi.

Dan rockers a.k.a reformis a.k.a bloggers ini sudah kembali merapatkan diri untuk berjuang demi kebebasan. Dan mereka tidak peduli..BN atau PR. Bagi rockers/reformis ini, perjuangan menuntut kebebasan akan diteruskan dan siapa yang menghalang atau menekan mereka…mungkin akan tersungkur.

PerakExpress

Kenyataan Media DSAI Berhubung Pengukuhan Permuafakatan Pakatan Rakyat - Anwar Ibrahim


—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—

10 Jun 2009, Petaling Jaya- Kenyataan ini saya edarkan setelah berbincang dengan Ustaz Abdul Hadi Awang dan Sdr. Lim Kit Siang semalam. Kami mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama Pakatan Rakyat bagi menjayakan Agenda Perubahan. Kami berpendapat adalah penting untuk memberi peluang dan ruang kepada rakan-rakan parti komponen untuk menjelaskan pendirian mereka berhubung sebarang isu yang berbangkit. Kami percaya perselisihan kecil yang digembar gembur oleh media umno-bn tidak akan meretakkan permuafakatan yang terbina dari iltizam untuk membawa Perubahan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Perlu dijelaskan bahawa isu rundingan PAS-umno yang berbangkit dari kenyataan Ustaz Abdul Hadi pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar di muktamar tahunan baru-baru ini harus dilihat dalam konteks pidato Presiden Pas. Dalam pidato tersebut Ustaz Abdul Hadi mengulangi komitmen PAS untuk memastikan Perubahan terlaksana melalui wadah Pakatan Rakyat dan menggariskan kewajaran muafakat antara parti bagi menyelesaikan krisis Perak melalui pilihanraya, menggesa agar badan kehakiman bebas dari sebarang kongkongan dan pilihanraya yang telus.

Inshaallah permuafakatan Keadilan, PAS dan DAP akan bertambah utuh dari hari ke hari. Rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, telus dan cekap mentadbir bagi kembali memacu negara ini ke persada. Pakatan Rakyat bersedia menggalas tanggungjawab demi memastikan negara ini berada di landasan yang tepat.

ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

Wednesday, June 10, 2009

Usaha Serius Tangani politik Wang, Cawangan Hantu - TVA

Cadangan pindaan perlembagaan Parti Keadilan Rakyat telah diluluskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi dalam mesyuarat pada 26 April lalu dan dikemukakan untuk kelulusan Kongres di bawah Fasal 31 Perlembagaan Parti.

Antara tujuan utama cadangan ini adalah untuk:

1- Memperkasakan amalan demokrasi dalam parti

2- Menambahbaik pentadbiran parti

3- Mencegah atau mengurangkan potensi berkembangnya amalan negetif seperti politik wang atau cawangan hantu

4- Memastikan struktur parti disemua peringkat disesuaikan sebaik- baiknya dengan visi dan misi parti sebagai sebuah parti pelbagai kaum yang mewakili semua komuniti.

Pindaan yang terbabit adalah seperti berikut:-

1- Istilah

a- "Bahagian" kepada "Cabang"

b- "Cawangan" kepada "Ranting"

c- "Majlis Pimpinan Tertinggi" kepada "Majlis Pimpinan Pusat"

d- "Perhubungan Negeri" kepada "Majlis Pimpinan Negeri"

e- "Ahli" dan "Keahlian" kepada "Anggota" dan "Keahlian"

2- Proses pemilihan dalam parti

a- Hak memilih pimpinan pusat diturunkan daripada perwakilan kepada semua ahli diperingkat Bahagian

b- Proses pemilihan akan dilakukan secara undi sulit dua minggu sebelum Kongres Nasional ditahun pemilihan

3- Penubuhan "Ranting" sebagai unit operasi

a- Ranting akan didaftarkan dengan Bahagian bukan Pendaftar Pertubuhan

4- Struktur Majlis Pimpinan Tertinggi

a- Menambahkan jumlah naib presiden daripada 7 kepada 9

b- had penggal 9 tahun atau 3 penggal untuk jawatan Presiden

5- Struktur Bahagian

6- Struktur Bahagian

a- Keahlian minima untuk menubuhkan Bahagian ditukar kepada 100 ahli daripada 50

7- Keahlian

8- Angkatan Muda

a- Had umur keahlian ditukar daripada bawah 40 tahun kepada 35 tahun dan bawah

9- Kongres Nasional

10- Disiplin

a- Lembaga Rayuan dimansuhkan supaya sistem disiplin lebih cekap

11- Perkara Lain

a- Nama ringkasan parti ditukar daripada KeADILan kepada KEADILAN

b- Cogan kata parti dijadikan "Keadilan Untuk Semua"

TVA

Mahkamah Batal Keputusan Sendiri Bersabit Kes Raja Petra - TVA

Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan awalnya dalam menolak permohonan editor Malaysia Today Raja Petra Raja Kamaruddin untuk Hakim Datuk Seri S.Augustine Paul menarik diri daripada mendengar rayuan habeas corpus beliau.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum berkata keputusan menolak permohonan Raja Petra itu tercemar kerana hanya dibuat oleh kuorum dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nik Hashim Nik Abd Rahman dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.

"Apabila dua anggota panel meneruskan untuk mendengar permohonan menarik diri, Seksyen 74(1) Akta Mahkamah Kehakiman (CJA)’ telah di kompromi.

"Kita ketepikan keputusan panel dua anggota berkaitan permohonan untuk Augustine Paul menarik diri. Ini diikuti bahawa keputusan dan perintah lain yang dibuat seterusnya terhadap keputusan yang was- was di mana juga diketepikan," kata Malanjum dalam keputusan yang dibacakan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Surita Budin.

Pada 20 Feb, Raja Petra memfailkan satu permohonan di bawah Peraturan 137 CJA untuk semakan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 17 Feb dalam menolak permohonannya untuk Paul menarik diri daripada mendengar kes habeas corpus.

Raja Petra memberi alasan bahawa ada bahaya Paul akan berat sebelah jika beliau menimbang rayuan berkenaan oleh kerana Raja Petra sangat kritikal tehadap beliau dalam laman webnya.

Pada 17 Feb, apabila permohonan Raja Petra untuk Paul menarik diri didengar, Paul memberitahu mahkamah itu bahawa beliau tidak mahu mendengar proseding itu dan kemudian meninggalkan pendengaran tersebut.

Hakim-hakim lain terus mendengar permohonan itu walaupun bantahan daripada peguam Malik Imtiaz Sarwar, untuk Raja Petra, ia tidak berperlembagaan untuk panel berbuat demikian.

Nik Hashim, dalam menolak bantahan itu, berkata mereka diberikan kuasa untuk mendengar permohonan tersebut di bawah Seksyen 78 CJA dan menolak permohonan Raja Petra untuk penarikan diri.

Mahkamah, selepas menolak permohonan untuk tarik diri, menjemput Paul duduk dan kemudian panel tersebut menolak permohonan Raja Petra untuk mendapatkan kuorum lima atau tujuh hakim bagi mendengar rayuan itu dan dua permohonan untuk membuktikan lagi keterangan dalam kes ini.

"Persoalan dalam kes ini ialah sama ada pendengaran permohonan menarik diri oleh dua anggota panel menyalahi Seksyen 74(1) CJA."

"Perbicaraan seperti itu bertentangan dengan Seksyen 74(1) CJA yang menyatakan bahawa setiap proseding dalam Mahkamah Persekutuan hendaklah didengar dan diputuskan oleh tiga hakim atau lebih ramai bilangan tidak genap hakim," kata Malanjum bahawa Mahkamah Persekutuan telah mewarisi bidangkuasa untuk semakan keputusannya sendiri bagi mencegah ketidakadilan.

Mahkamah hari ini menetapkan satu tarikh baru untuk mendengar semula permohonan Raja Petra.

Raja Petra, 58, ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 12 September tahun lepas dan dihantar ke Kem Tahanan Kamunting di Taiping, Perak.

Pada 7 November, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad mengeluarkan satu writ habeas corpus kepadanya bahawa penahanan di bawah Seksyen 8 akta itu tidak ada dalam skop seksyen tersebut. Menteri Dalam Negeri merayu terhadap keputusan itu.

Raja Petra juga diwakili peguam Azhar Azizan Harun, Ashok Kandiah, J.Chandra dan Neoh Hor Kee sementara Timbalan Pendakwa Raya, Tun Majid Tun Hamzah dan peguam kanan persekutuan Abdul Wahab Mohamad dan Najib Zakaria bagi Menteri Dalam Negeri.

TVA

Bumbung Stadium runtuh, AMK buat laporan polis - Harakah

KUALA TERENGGANU, 9 Jun (Hrkh) - Tragedi keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak, 2 Jun lalu memalukan imej negara meski pun tidak berlaku kemalangan jiwa.

Elemen rasuah dan penyelewengan sudah pastinya sedikit sebanyak 'membelit' di sebalik kejadian yang berlaku itu.

Sehubungan itu, Angkatan Muda KeADILan (AMK) Negeri Terengganu telah membuat satu laporan polis ke atas tragedi Stadium runtuh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, dekat sini, semalam.

Ketuanya, Fariz Musa berkata pihak polis wajar melakukan siasatan dengan segera serta mendakwa mereka yang bertanggungjawab meluluskan Sijil Layak Menduduki (CF) Stadium berkenaan.

"Nasib baik tidak berlaku kemalangan jiwa kerana bermula 3 hingga 6 Jun (yang) sepatutnya berlaku acara Sukan Staf Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kali Ke-34 dan sebahagian acara berlangsung di Stadium itu.

"Bayangkan, jika berlaku hari ini atau dalam masa tempoh ini. Maknanya, kita sedang sibuk mengeluarkan mayat-mayat yang berada dalam runtuhan dan timbunan stadium itu,"ujarnya pada sidang, di IPD berkenaan.

Fariz mendakwa mereka (pihak berkuasa) yang meluluskan CF ke atas Stadium yang belum siap itu adalah satu jenayah yang sangat besar.

Beliau mengesyakki kemungkinan besar telah berlaku penyelewengan dalam proses pengeluaran CF dengan cara yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Katanya, setiap pengeluaran CF ke atas sesuatu bangunan hanya boleh dibuat sekiranya ia mendapat sokongan dari pelbagai pihak termasuk Jabatan Kerja Raya, Bomba dan lain-lain.

Menurutnya, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang dirasmikan pada 10 Mei 2008 belum siap 100 peratus dan tidak layak dikeluarkan sijil CF.

"Kami (AMK) mempertikaikan dan mengesyaki timbul perkara yang tidak betul berkaitan pengeluaran CF atau Sijil Layak Menduduki.

"Pelbagai aspek (termasuk) keutuhan (kekukuhan) dan keselamatan bangunan mesti diambil kira oleh pihak berkuasa, barulah (sebelum) CF dikeluarkan dan semua orang tahu bangunan (stadium) itu belum lagi siap sepenuhnya ketika dirasmikan,"tegasnya.

Harakahdaily difahamkan, laporan polis dibuat setelah sebuah akhbar arus perdana melaporkan Menteri Besar Terengganu, Dato? Ahmad Said mendakwa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tersebut memiliki sijil CF.

Ahmad dilaporkan berkata demikian pada sidang akhbarnya yang diadakan di tingkat 16, Wima Darul Iman pada jam 4.30 petang 2 Jun 2009 lalu. - mks. _

Harakah