Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, November 30, 2009

Pemuda BN demo, foto Guan Eng dibakar - Malaysiakini

Sekumpulan kira-kira 100 penyokong Pemuda BN berkumpul di depan bangunan DUN Pulau Pinang dan seorang dalam kumpulan itu membakar foto Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Ia dianjurkan sebagai membantah pentadbiran kerajaan negeri yang didakwa "tidak cekap dan teragak-agak" membuat keputusan bagi menyelesaikan masalah rakyat dan juga gagal menunaikan janji pilihan raya umum 2008.

Dikepalai oleh ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zahalan, tunjuk perasaan itu bermula kira-kira 12.15 tengah hari dan berakhir hampir sejam kemudian ketika sidang DUN Pulau Pinang sedang berlangsung hari ini.

Penunjuk perasaan menaikkan sepanduk anti-kerajaan dengan dakwaan ia tidak cekap mengendalikan beberapa masalah seperti Kampung Buah Pala, Rumah Hijau Mak Mandin dan juga projek kontroversi menebus guna tanah.

Ketua Pemuda Gerakan negeri Oh Tong Keong kemudian menjelaskan insiden membakar poster Lim bukan tindakan Pemuda BN tetapi seorang penduduk Kampung Buah Pala yang turut hadir di situ.

Beliau memberitahu Malaysiakini petang ini bahawa mereka merancang agar perhimpunan itu berlangsung secara tertib dengan hanya membawa sepanduk dan poster.

Bagaimanapun seorang lelaki pertengahan umur tiba-tiba menyertai tunjuk perasaan itu dan kemudian mengambil sekeping poster lalu memijak dan membakarnya.

"Saya telah cuba menghalangnya (berbuat demikian) tetapi keadaan menjadi tidak terkawal," kata Oh.

Tambahnya, polis kemudian membawa lelaki tersebut dan seorang pegawai polis Cawangan Khas memberitahunya bahawa lelaki itu seorang penduduk kampung itu yang kini telah diranapkan untuk projek pembangunan.

Menurut Oh lagi, sekumpulan penduduk Kampung Buah Pala sebelumnya berkunjung ke bangunan DUN untuk menyerahkan memorandum kepada ketua menteri dan meninggalkannya ketika kumpulan Pemuda BN itu sedang berdemonstrasi.

Katanya, semua penyokong Pemuda BN memakai baju putih dan berseluar hitam, manakala lelaki yang membakar itu berpakaian warna.

"Kami mengutuk tindakan membakar poster. Jika anda ada rungutan, anda harus menyatakan secara aman," katanya, yang juga timbalan ketua Pemuda Gerakan Malaysia.

Malaysiakini

Sukatan kursus BTN akan dirombak - Malaysiakini

Kabinet bersetuju merombak sukatan program kontroversi Biro Tatanegara, yang dipertikaikan Pakatan Rakyat, supaya sejajar dengan slogan 1Malaysia.

Bercakap kepada media di Parlimen hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan jemaah menteri itu dibuat bagi menjadikan kursus itu lebih merangkumi pelbagai kaum dan tidak menjadinya sumber perpecahan.

"Jadi saya bersetuju ia sewajarnya dirombak agar kurikulumnya selari dengan konsep 1Malaysia kerana kita telah membelanjakan terlalu banyak wang (untuk menjayakannya)," katanya.

Tambahnya, beliau percaya arahan untuk merombak kursus BTN telah disampaikan kepada ketua setiausaha negara.

Kerajaan Selangor minggu lalu memutuskan untuk melarang kakitangannya dan pelajar di pusat pengajian tinggi miliknya daripada menyertai sebarang program anjuran biro bawah Jabatan Perdana Menteri itu.

Ia berhujah program BTN menyebarkan sentimen perkauman dan menyuntik kepentingan politik BN dalam program-programmnya.

Malaysiakini

Kisah Polis Tembak Pemuda di Perlis - PerakExpress

Kisah benar yang diceritakan sendiri kepada saya oleh keluarga tersebut. Saya hanya menyampaikan dan tiada niat untuk melukakan mana-mana pihak sama ada tersurat mahupun secara tersirat…..Seperkara yang harus diambil perhatian, mangsa yang ditembak ialah seorang OKU yang cacat di bahagian kakinya akibat kemalangan jalanraya satu ketika duhulu.

(Cerita yang dikutip versinya dari Bapa kepada mangsa sendiri)

Pada pagi 14 November 2009, lebih kurang jam 6 pagi, terdengar orang mengetuk pintu, di rumah saya di alamat No. 2, Jalan Taman Intan, Belakang Istana Raja, 02600 Arau, Perlis. Setelah melihat melalui tingkap bilik, saya dapati mereka ialah polis yang datang untuk memberitahu bahawa anak saya MOHAMAD TAWFIQ BIN NOORZAN (selepas ini disebut sebagai Tawfiq) seorang yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) yang bekerja sebagai Pengusaha Kedai Makan di Medan Rancangan Perumahan Awam Arau dan Balai Baru Beseri, Perlis telah membuat laporan di Balai Polis Arau bahawa beliau hendak ‘buat orang’ . Dalam lebih kurang 15 minit kemudian anak saya telah pulang kemudian terus masuk ke dalam rumah tanpa membuka kasutnya dan keluar semula dengan membawa pisau pemotong sayur dalam keadaan marah dan keletihan. Anggota polis yang berada di depan pintu rumah hanya memerhatikan sahaja tanpa mengambil sebarang tindakan awal bagi menghalang anak saya untuk keluar untuk bertemu dengan Rashidi (kawannya yang meninggalkannya di Alor Star). 2 orang anggota polis yang ada menyatakan mereka tidak berani untuk menghalang anak saya yang juga dikenali sebagai ‘Botak’ kerana mereka mengenali kelakuan beliau apabila berada dalam keadaan marah.

Lalu Tawfiq mengambil motosikalnya dan isteri saya masih memujuk Tawfiq supaya tidak meneruskan keinginannya. Jawab Tawfiq “ Jangan ganggu dia!” dia terus membonceng motosikalnya ke arah Guar Sanji. Saya pun keluar mengikut jejaknya dengan kereta pada jam 6.30 pagi dan mendapati motosikalnya ditinggalkan di tepi jalan lalu saya terus menuju ke arah Guar Sanji. Apabila sampai ke Guar Sanji, saya dapati beberapa anggota polis siap dengan sebuah kereta peronda dan sebuah kereta Proton Satria berwarna putih yang saya kenalpasti sebagai kepunyaan salah seorang anggota polis yang telah datang ke rumah saya. Lalu saya memarkir kereta saya. Saya lihat anak saya Tawfiq sudah berada di hadapan rumah Rashidi. Tawfiq memanggil keluar Rashidi dengan berkata “ Hang keluaq, kalau betui hang anak jantan!” Kemudian saya memujuk dia dan mengajak beliau pulang ke rumah tetapi dia menjawab ‘ Abah cakap senang, tak kena kat abah takpa la…abah tau apa, apiq (Tawfiq) yang tau, ni muka nak letak kat mana, apiq botak ni abah. Saya terus memujuk beliau. Dia menjawab, tang lari apiq tak lari, apiq nak selesai juga pagi ni.” La, abah pi balik”. Lebih kurang 6.45 pagi Saya pun mengambil keputusan untuk balik ke rumah untuk mengambil isteri saya dengan harapan dia dapat memujuk anaknya yang sedang marah itu. Lebih kurang, saya terus bertolak ke tempat kejadian bersama isteri..Lebih kurang 7.00 pagi, Saya dapati ada dua kumpulan anggota polis masing-masing berada di tepi jalan. Salah seorang angota polis itu memegang sebatang paip pvc putih. Saya tidak nampak kelibat anak saya berada di tempat kejadian.

Pada masa yang sama, Saya terdengar seorang anggota polis yang saya kenali sebagai Aidil menjerit untuk menanyakan patutkah kita keluarkan Rashidi? Rakan-rakannya menjawab “tak payah”. Selepas itu kami bergerak berjalan kaki sambil mencari kelibat anak saya dan saya terlihat anak saya berjalan kaki menuju ke arah landasan keretapi berhampiran dalam keadaan amat keletihan kerana dia dilihat rebah dan bangun semula dalam setiap beberapa langkah. Saya terus mengekori dalam jarak yang agak jauh tetapi masih nampak kelibat anak saya dan terus mengekori ke arah jejantas lebuh raya Arau. Kemudian kami kembali masuk ke dalam kereta untuk mengekori anak saya. Saya memandu kereta dan memarkir kereta di sebelah atas jejantas lebuh raya Arau. Kami turun dari kenderaan dan meneruskan usaha memujuk anak saya agar tidak meneruskan kemarahannya lagi. Taufiq tidak mengendahkan pujukan saya dan terus berpatah balik.

Sebaik sahaja melihat keadaan itu, saya dan isteri mengambil keputusan untuk membuat pusingan ‘U’ di atas lebuh raya sehala untuk mendapatkan Tawfiq dengan cuba mengikut kereta peronda polis yang turut bersama di atas jejantas tetapi agak terlambat. Sepanjang berada di atas jejantas, saya dapati tiada sebarang usaha memujuk yang dilakukan oleh anggota polis kepada Tawfiq untuk menyerah diri kepada polis. Ketika itulah saya terdengar bunyi dua kali tembakan secara berturut-turut(bukannya berselang dalam satu tempoh) dan pada ketika itu isteri saya berkata “abah, depa tembak dah anak kita” lalu pengsan. Sesampai saya di tempat kejadian. Kami menghentikan kereta dan bertemu dengan Ketua Polis Balai Arau yang saya kenali panggilan Tuan Jabar dan saya bertanya “ mana anak saya?!”. Beliau(Tuan Jabar) sambil memegang pisau pemotong sayur yang saya kenal sebagai pisau yang dibawa oleh Tawfik (sedangkan ia barang bukti dari tempat kejadian yang belum diproses kerana tiada pasukan forensik polis dilihat berada di tempat kejadian itu) menunjukkan isyarat mulut ke arah tubuh di tepi jalan dalam keadaan tertiarap dan tangan bergari di belakang yang kemudian saya kenali sebagai tubuh anak saya Tawfik.

Pada masa yang sama, saya terdengar suara salah seorang anggota yang saya tidak kenali menyatakan “Kami tembak di kaki”. Kemudian, saya terus bergegas menuju ke arah tubuh anak saya untuk memangku beliau. Isteri saya terus menyelak kaki seluar yang dipakai Tawfik untuk mencari kesan tembakan di kaki. Malangnya tiada sebarang kesan tembakan di kedua-dua belah kaki anak saya. Sebaik saya melihat ke arah badan Tawfik, saya dapati ada satu kesan darah di baju dan terus saya menyelak baju Tawfik dan saya dapati dengan jelas kesan satu tembakan di bahagian dada. Saya berkata “ tadi hangpa habaq kat aku tembak di kaki, tapi pasaipa hangpa tembak di dada?!!” Ni bukan nak bagi cedera tapi memang hangpa nak bunuh anak aku!!!” Saya bertanya lagi ‘ mana dia ambulan,bawa dia pi hospital” Sambil itu, kami memeriksa nadi dan tiada sebarang tindak balas, kemudian saya menyuruh Tuan Jabar mengarahkan anggotanya membuka gari di tangan anak saya. Jadi kemudian, ikatan gari dibuka tetapi hanya sebelah tangan sahaja. Selepas itu, saya lihat keadaan muka anak saya berlumuran dengan darah dan sekali lagi meminta kain untuk mengelap mukanya dengan harapan Tawfik dapat bernafas dengan sempurna kerana saya beranggapan Tawfik masih hidup ketika itu. Tuan Jabar menjerit kepada anggotanya “mana kain?, mana kain?”. Selepas itu, saya melaung sambil bertanya “ pasaipa hangpa biaq tang ni, pasaipa hangpa tak bawa pi hospital, mana ambulan, hangpa mai angkat cepat bawa pi.

Berikutan itu,Tuan Jabar mengarahkan anggotanya membawa masuk kenderaan Polis (Land Rover) yang sedia terdapat di dalamnya pengusung dan plastik hitam pembungkus mayat seolah-olah mereka telah merancang untuk menembak mati Tawfik. Anggota yang ada terus membawa turun pengusung tanpa membuat sebarang pengesahan kematian secara rasmi kerana tiada sebarang kenderaan ambulan dari hospital atau pusat kesihatan yang berdekatan dilihat berada di lokasi kejadian. Sepatutnya perlu ada satu pengesahan status anak saya yang ditembak sama ada masih hidup atau mati tetapi saya lihat tiada seorang pun yang melaksanakan Prosedur Pengesahan Status Kematian tersebut. Kemudian Land Rover Polis terus membawa tubuh anak saya ke Unit Kecemasan Hospital Tengku Fauziah Kangar untuk proses selanjutnya. Saya bersama isteri saya juga mengikut kenderaan polis menuju ke hospital tetapi gagal untuk mengekori kenderaan tersebut kerana ia dipandu laju.

Sesampainya saya di Unit Kecemasan HTF, saya merujuk kepada salah seorang petugas yang saya tidak ingat namanya di kaunter kecemasan bertanyakan tentang hal tentang pendaftaran kemasukan sebarang kes melibatkan orang awam ditembak polis tetapi jawapan yang saya terima ialah tiada dan diberitahu pada kebiasaannya kes sebegitu biasanya terus dirujuk ke Unit Forensik HTF. Saya pun terus pergi ke unit berkenaan untuk mengetahui prosedur selanjutnya.

Saya melihat sekumpulan anggota polis sudah berada di perkarangan rumah mayat HTF pada pagi kejadian. Selepas itu, saya bertanya kepada setiap anggota polis yang ada di situ siapa yang menembak anak saya, lalu saya telah ditunjukkan kepada anggota yang menembak anak saya, selepas mengecamnya saya terus ke balai polis untuk membuat laporan polis berkaitan keseluruhan kejadian. Setibanya di IPK Perlis di Kangar, saya telah diganggu privasi ketika hendak membuat laporan polis yang pertama. Terdapat terlalu ramai anggota polis di kaunter laporan yang mengerumuni di meja penerima laporan silih berganti dan membaca laporan yang saya adukan.

Selepas selesai membuat laporan polis, saya terus dipanggil oleh seorang pegawai penyiasat di tingkat dua yang berbaju preman untuk mengambil kenyataan saya. Setelah habis memberikan kenyataan, saya terus ke Unit Forensik HTF untuk melihat dan menuntut mayat anak saya. Ketika itu, saya dimaklumkan sesi autopsi masih belum berjalan kerana menantikan kehadiran Pakar Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Dr. Mohd Suhani bin Mohd.Noor yang terlewat kerana baru menyelesaikan kes di Pulau Pinang lebih kurang jam 5 petang. Saya terkejut bila ditanya oleh pakar yang berkenaan penjelasan prosedur berkaitan oleh Polis sedangkan tiada sebarang taklimat atau sesi penjelasan berkenaan kes anak saya yang ditembak polis ini.

Dari pengamatan saya, banyak prosedur telah dilanggar oleh pihak polis berkaitan proses dan prosedur bedah siasat mayat yang berkaitan kes seumpama ini terutamanya makluman awal kepada pakar forensik tentang masa kejadian berlaku, prosedur imbasan X-ray telah dibuat awal sebelum mendapat kebenaran daripada pakar yang berkenaan menyebabkan prosedur kedua imbasan x-ray dilakukan, makluman pihak polis kepada pakar forensik menyatakan bahawa sesi taklimat dan penjelasan kes sudah diberikan kepada waris si mati sebelum proses bedah siasat dijalankan. Akhirnya, saya memohon kepada Pakar Forensik agar ketelusan dalam proses yang berkenaan. Selepas mendapat jaminan ketelusan daripada pakar forensik tersebut saya pun keluar dari bilik pejabat am di Unit Forensik HTF.

Setelah selesai ‘post-mortem’ si mati, saya dipanggil oleh Doktor Pakar Forensik dan menyatakan keputusan forensik seperti berikut: Sebab kematian pertama akibat tembakan peluru terkena jantung dan mati serta-merta, seterusnya ada kesan trauma pukulan di bahagian belakang tubuh mangsa dan yang ketiga ada kesan gari yang jelas di kedua-dua tangan si mati. Selepas itu saya menunggu proses akhir bedah siasat dan seterusnya kerja memandikan dan mengkafankan anak saya sebelum saya menuntut mayat untuk di bawa pulang ke kediaman saya.

Saya membuat laporan ini kerana mendapati terlalu banyak percanggahan dalam laporan dan kenyataan oleh pihak yang berkenaan dalam siasatan kes ini.

1) Saya memohon ruang keadilan yang saksama diberikan kepada saya dan tidak diganggu emosi oleh rondaan anggota polis di sekitar kawasan rumah saya setiap hari sejak kejadian tersebut.

2) Saya amat terganggu dengan cara mereka mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan fakta di tempat kejadian. Kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pihak polis jelas meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Tawfiq sedangkan dia belum disabitkan sebarang kesalahan dan tindakan polis hanyalah kerana beberapa prosedur yang mereka sendiri tidak patuhi selama menyelesaikan kes berkenaan.

3) Perlu diingat Si mati Tawfiq ialah seorang OKU kerana kecacatan kekal di bahagian kakinya tidak memungkinkan beliau melakukan kerja yang berat dan apatah lagi dalam keadaan keletihan setelah berjalan kaki dalam tempoh yang lama dilihat tidak mampu mengancam polis.

4) Polis sengaja mereka cerita secara tidak berasas untuk melindungi anggotanya yang tidak mengikut prosedur kes.

5) Polis jelas berbohong bila menyatakan mereka melepaskan tembakan amaran kerana dari pendengaran saya di tempat kejadian jelas dua das tembakan yang dilepaskan polis secara berturut-turut dan bukan diselangi waktu yang tertentu.

6) Polis juga gagal untuk mengambil sebarang tindakan awal membendung kejadian ini apabila menerima laporan yang dikatakan dibuat oleh Tawfiq sendiri di Balai Polis Arau pada awal hari kejadian.

7) Ketiadaan ahli forensik di tempat kejadian menyebabkan banyak barang kes termasuk pisau yang dibawa Tawfiq diusik dan mungkin diubah, jelas tidak mematuhi peraturan dalam melaksanakan prosedur kerja termasuk pengesahan kematian suspek yang ditembak di bahagian dada. Pihak polis dilihat sudah menyediakan kelengkapan untuk membawa ‘mayat’ dan bukannya bersedia menyediakan pasukan perubatan dari hospital atau pusat kesihatan yang terdekat jika tujuan mereka hanya hendak meleraikan amukan suspek. Buktinya mangsa tembakan terus dibawa ke Unit Forensik dan bukannya Unit Kecemasan. SIapa yang mengesahkan kematiannya ‘dalam perjalanan’?

Keadaan tangan yang bergari menimbulkan persoalan sama ada suspek digari sebelum atau selepas ditembak. Ini jelas menjadi keraguan kerana tembakan di dada boleh menyebabkan kematian serta-merta dan apa rasional mangsa tembakan digari selepas ditembak dan dibiarkan tersembam muka di tanah dengan berlumuran darah di bahagian muka?Apa juga rasional mangsa ditembak dalam keadaan bergari jika prosedur menggari suspek dilakukan sebelum ‘nyawanya diambil’?

9) Suspek dilihat sudah tidak bermaya untuk melangkah dan rebah beberapa kali sebelum ditembak. Apakah prosedur yang dipatuhi polis untuk menangani kes sebegini? Perlu diingat, suspek berjalan kaki sejauh lebih 50 kilometer dari Alor Star dan tidak berehat. Mustahil suspek mempunyai tenaga ‘superb’ untuk terus bertahan kekuatan fizikalnya untuk meneruskan ‘amukannya’?

10) Kenapa bilangan anggota polis yang lengkap dengan senjata tidak mampu dan gagal menangani seorang yang disyaki hanya membawa sebilah pisau pemotong sayur yang sudah keletihan dan tidak bermaya?

11) Kenyataan awal dari anggota polis yang datang ke rumah keluarga suspek menyatakan mereka tak mampu untuk mengambil tindakan menahan suspek kerana cukup mengenalinya bila berada dalam keadaan marah jelas menyalahi etika professionalisme polis yang bertugas menjaga keselamatan dan keamanan rakyat.

12) Kenyataan akhbar yang dipetik dari makluman polis jelas menjatuhkan maruah keluarga dan suspek sendiri kerana kami sudah dihukum tanpa bicara terlebih dahulu. Soal komersial atau sensasi sepatutnya tidak menjadi keutamaan mana-mana pihak dalam kes sebegini kerana maruah sepatutnya menjadi keutamaan. Polis sepatutnya meneliti keseluruhan fakta sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat ‘mempertahankan diri’ demi imej dan reputasi pasukan polis. Barulah integriti POLIS DIRAJA MALAYSIA sebagai pasukan yang diamanahkan menjaga ketenteraman awam di Malaysia lebih dihormati.

p/s: Ketelusan semua pihak amat perlu untuk menegakkan keadilan. Kita sama-sama tunggu hasil SIASATAN DALAMAN yang akan dikeluarkan nanti (khabar terbaru menyatakan Menteri KDN telah mengarahkan kes ini disiasat tanpa prejudis demi mengelakkan tanggapan buruk kepada integriti polis)). Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Ar-Ruh Mohamad Tawfiq Noorzan… Aaamiiin…….

PerakExpress

Pendapat: Satu Malaysia… Satu Hypocrisy!!! - PerakExpress

Heboh Najib mencanangkan slogan Satu Malaysia dia. Dalam negara usah katalah… ini, di luar negara pun dia canang habis. Orang tak tanya pun, dia gebang juga. Kalau akulah orang putih dekat sana tu… aku akan tanya dia balik, slogan tu idea original atau ciplak or merely rebranding?? Ha ha ha… baru dia ternganga!! Nak menipu tak kena gaya!!

Sebenarnya, Satu Malaysia ni meriah di alam elektronik saja…. dalam TV…. dalam radio serta atas papan billboard dan kertas surat khabar saja. Uhhhhh… bukan main meriah lagi tapi in realiti, hambar….. tawar lesio… tak happening…. Apa itu Satu Malaysia?? Orang pun blur dan garu kepala?? Ini namanya… kempen syok sendiri.

Beria-ria mereka mempromosikan Satu Malaysia. Salah satu cara, guna Kementerian Pelajaran untuk mempropagandakan Satu Malaysia kepada pelajar-pelajar sekolah, melalui perkhemahan Satu Malaysia. Apa jadi….?? Satu Malaysia entah ke mana, tragedi pulak melanda. Nyawa melayang…. ibubapa kehilangan anak-anak tersayang. Tak pasal-pasal…. JPN, PPD, Guru Besar dan Kementerian Pelajaran kena ganyang. See you in court, ya??

Perkhemahan Satu Malaysia sebenarnya satu pembaziran duit rakyat. Mustahil, melalui perkhemahan yang dibuat beberapa hari, boleh mewujudkan integrasi dan perpaduan kaum. Ini namanya program hangat-hangat taik ayam. Plastik!! Apa yang kita mahu ialah kesan jangka panjang. Kesan… yang boleh mengubah mindset para pelajar tersebut bagi mewujudkan sebuah masyarakat plural yang harmoni. Malangnya… itu bukan matlamat utama perkhemahan tersebut. Ia mungkin diadakan untuk memberi peluang kepada kroni-kroni untuk buat duit. Ha ha ha… itulah dia Program Perkhemahan Satu Malaysia!!

Dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia, penerapan nilai perpaduan yang cuba dibawa oleh Satu Malaysia semuanya indah khabar dari rupa. Tak menjadi. Realiti kehidupan masyarakat plural di sini, macam itu juga. Kau… kau, aku….. aku. Sedikit, intergrasi kaum memang sudah ada, terutama di kawasan urban atau bandar tetapi jurangnya masih ketara lagi.

Di sekolah-sekolah pula, para pelajarnya masih selesa berada dalam kelompok kaum masing-masing. Nampak berpadu, hanya apabila ada program-program tertentu sahaja. Lepas itu… kau…kau, aku…aku!!! Di sekolah-sekolah yang ada tiga bangsa… pergaduhan melibatkan kaum masih berlaku. Prejudis kaum tetap ada. Tersentuh atau terusik sikit… bertumbuklah mereka. Kadang-kadang sampai berlakunya pergaduhan melibatkan gang…. dari dalam sekolah dan juga luar sekolah.

Di kawasan luar bandar, lagi parah. Komunikasi sihat hanya berlaku ketika menjalankan urusan ekonomi domestik. Habis urusan… back to square one. Kau.. kau, aku… aku!! Perasaan prejudis kaum ini, masih menebal terutama bagi mereka yang mindanya tertutup. Tetapi bagi mereka yang ‘open’, hal kaum tak menjadi masalah, sebab mereka sudah boleh menerima realiti kewujudan kaum lain sebagai rakyat Malaysia. Jadi, apa yang perlu dilakukan, cuma… adjust and adapt. Lama-lama serasilah!!
Yang sukar untuk adjust dan adapt ini ialah puak-puak penyokong UMNO tegar yang mindset mereka telah diprogramkan dengan sistem berhantu yang dipanggil ‘Ketuanan Melayu’. Melayu mesti superior… Melayu mesti dominant… apa-apa pun Melayu mesti above dan melebihi kaum-kaum lain. Tetapi mereka tak tahu, yang hakikatnya…. Melayu sudah semakin layu. Dilayukan oleh UMNO dan para pemimpinnya. Mungkin juga mereka tahu, tetapi sudah terlalu layu untuk berbuat sesuatu. Melayu hidup bergantung pada tongkat. Sudah terbiasa begitu rupa. Apabila tongkat ditarik… gabralah Melayu. Apakah Melayu masih mahu bertongkat selamanya??

Dalam konteks perpaduan , apa yang kita lihat pada hari-hari perayaan seperti Hari Kebangsaan adalah satu sketsa semata-mata. Sketsa yang bertemakan Satu Malaysia…. dipertontonkan kepada umum… bertujuan untuk memberi gambaran palsu. Hakikat di sebalik sketsa…. semua orang tahu. Kaum-kaum di Malaysia masih, kau.. kau, aku… aku!!

Satu Malaysia apa kejadahnya!!! Barisan Nasional pun masih merupakan satu gagasan politik yang berteraskan kaum. Kau perjuangkan kepentingan kaum kau…. aku perjuangkan kepentingan kaum aku. Jadi… usahlah berpura-pura dan buat lawak, kononnya nak mempromosikan perpaduan kaum melalui slogan Satu Malaysia.

Sekarang…. satu lagi hypocrisy kerajaan Najib terbongkar dan dibongkarkan. Tetapi sebenarnya, semua orang sudah tahu, kerana kita telah mengalaminya sendiri atau melalui anak-anak kita, sedara mara kita… mau pun rakan taulan kita. Tak usah tipulah… Kononnya, Program Satu Malaysia dilancarkan untuk integrasi kaum and so on… but at the same time… Biro Tata Negara, dulu, kini dan selamanya, masih dengan jarum-jarumnya, menyuntik perasaan benci antara kaum dengan bantuan hantu yang bernama ‘Ketuanan Melayu’, selain memupuk persepsi negatif serta perasaan benci terhadap pembangkang.

Sehubungan itu, pak-pak menteri Satu Malaysia, seorang demi seorang, mengeluarkan kenyataan mempertahankan BTN. Piiirrraaahhh!!! Nafi dan nafilah semahu-mahunya, tetapi hakikatnya tetap sama. BTN adalah agen propaganda yang memupuk kebencian antara kaum di Malaysia.

Malah, UMNO sendiri masih mengharapkan bantuan hantu yang bernama ‘Ketuanan Melayu’ untuk memomok-momokkan kita. Bangganglah kita kalau takut pada hantu itu. Ketuanan Melayu itu sendiri pun berbau perkauman. Tetapi masih ada yang mempercayainya. Dalam UMNO tak payah cakaplah… tetapi, malangnya… dalam PAS pun, ada juga yang banggang. Aha… Hassan Ali dan the UG gang!! Oooopsss..!!! Tersebut pulak perkataan UG yang sudah dikunci. Don’t be angry, I’m sorry….

Last but not least…. aku ada satu suggestion. Apa kata, kita do away with One Malaysia, Unity Government, BTN dan Ketuanan Melayu dan promote pulak Projek/Program SABM. So far…. nampak gayanya, Projek Saya Anak Bangsa Malaysia, serius dan ikhlas untuk mewujudkan satu bangsa saja di Malaysia iaitu bangsa Malaysia. No more bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India, bangsa Kadazan, bangsa Iban etc. Apabila tiada banyak bangsa… maka dengan sendirinya tiada diskriminasi kaum. Keadilan wujud di bumi Malaysia.

Hopefully… perpaduan dan keadilan akan wujud tanpa diskriminasi. Well…. people, what say you?? Fikir-fikirkanlah….

PerakExpress

Wednesday, November 25, 2009

Penyokong Hindraf mogok lapar di KLCC - Malaysiakini

Berpuluh penyokong Hindraf berhimpun di KLCC pagi ini untuk menyertai mogok lapar bagi mengingati ulangtahun kedua perhimpunan raksasa 25 November.

Dengan diketuai oleh aktivis Hindraf S Jayathas, mereka tiba di pintu masuk KLCC pada kira-kira jam 9.10 pagi. Enam belas orang daripada mereka memakai baju-T Hindraf berwarna oren. Kebanyakan mereka turut memakai lencana anti-ISA.

Mereka merancang untuk mengadakan mogok lapar selama 18 jam sehingga 4 petang selaras dengan tuntutan 18 perkara kepada kerajaan bagi menangani masalah masyarakat India di negara ini.

"Tuntutan 18 perkara itu bertujuan untuk menangani masalah kemiskinan tegar di kalangan masyarakat India di Malaysia.

"Tidak ada panduan dan peluang bagi masyarakat India, maka ramai yang terbabit dalam jenayah. Kerajaan tahu mengenai masalah itu tetapi tidak mengambil sebarang tindakan," kata Jayathas.

Kira-kira 24 orang anggota polis kelihatan memantau keadan

Manakala pihak pengurusan KLCC telah meminta kumpulan tersebut supaya tidak duduk kaki lima kerana ia menganggu perniagaan di situ.

Malaysiakini

Selangor rasmi boikot program BTN - Malaysiakini

Selangor hari ini memutuskan untuk menghentikan penyertaan para pelajar institusi pengajian tinggi miliknya ke program anjuran Biro Tata Negara (BTN), kata exco pendidikan tingginya Dr Halimah Ali.

Keputusan yang berkuatkuasa serta-merta itu dibuat dalam mesyuarat exco kerajaan negeri susulan desakan sekumpulan ADUN Pakatan Rakyat di negeri itu yang mendakwa program kendalian biro bawah Jabatan Perdana Menteri itu membangkitkan sentimen perkauman.

Tiga buah pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan negeri itu: Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Inpens.

Dalam sidang medianya di Shah Alam selepas mesyuarat itu, Dr Halimah menyifatkan program BTN sebagai "indoktrinisasi kerajaan (pusat) BN untuk menimbulkan fenomena yang agak racist (perkauman) dan memecah belah penduduk pelbagai bangsa."

Selasa minggu lalu, sekumpulan wakil rakyat muda tiga parti dalam gabungan pembangkang itu menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat desakan demikian.

ADUN-ADUN yang membuat desakan itu: Amirudin Shari (PKR-Batu Caves), Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).

Malaysiakini

Kota Siputeh: Mahkamah tangguh DUN kosong - Malaysiakini

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan penangguhan sementara perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menolak permohonan SPR untuk menangguhkan perintah tersebut.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu diumumkan kira-kira jam 7.30 malam. Esok merupakan tarikh akhir bagi SPR melaksanakan perintah mahkamah tinggi supaya mengeluarkan writ pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.

Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, SPR boleh menangguhkan pengeluaran writ tersebut untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Keputusan hari ini dibuat sebulat suara oleh panel hakim yang diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie. Dua lagi hakim ialah Datuk Kang Hwee Gee dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Aziz Abdul Rahim.

Mengikut undang-undang, apabila SPR telah mengeluarkan writ tersebut, maka ia tidak boleh dibatalkan.

Sebelum itu, peguam kanan persekutuan, Kamaluddin Md Said berhujah bahawa wujud keadaan tertentu yang membolehkan penangguhan itu dibuat.

Katanya, jika SPR sudah menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian, dan jika rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kemudiannya dibenarkan, maka pilihan raya kecil itu adalah satu pembaziran dana awam.

Kamaluddin juga menegaskan, jika pilihan raya kecil diadakan, ia mungkin menyebabkan ada dua wakil rakyat, jika rayuan SPR dibenarkan.

Manakala peguam kanan Sulaiman Abdullah, yang mewakili speaker DUN Kedah, Dr Abdul Isa Ismail pula berkata, jika mahkamah membenarkan penangguhan itu, ianya hanya menghalang perjalanan perlembagaan kerana kerusi tersebut telahpun diisytiharkan kosong.

"Apabila sesebuah kerusi diisytiharkan kosong, maka pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dan writ pilihan raya hendaklah dikeluarkan esok," katanya.

Sulaiman berkata, juga tidak ada keperluan segera untuk memberi penangguhan kerana Mahkamah Rayuan boleh mendengar rayuan SPR sebelum tempoh 60 hari itu.

Maka katanya, tidak ada keperluan segera untuk mahkamah membenarkan penangguhan.

Tambahan lagi, katanya, mengikut undang-undang, mahkamah tidak boleh memberi sesuatu penangguhan terhadap mana-mana perintah yang dipohon.

Malaysiakini

Takziah buat Sdr. Farhan Ibrahim, Ket. AMK Bkt Katil

Warga AMK Melaka mengucapkan TAKZIAH kepada Sdr. Farhan Ibrahim, Ketua AMK Cabang Bkt Katil di atas pemergian Ayahnda tersayang yang telah kembali ke Rahmatullah awal pagi tadi. Semoga roh Cikgu Ibrahim dicucuri RAHMAT, KEAMPUNAN dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang BERIMAN. InsyaALLAH.

Buat rakan-rakan yang beragama Islam marilah kita sedekahkan Al-Fatiha untuk Allahyarham Cikgu Ibrahim.

Tuesday, November 24, 2009

Sekitar Konvensyen PKR Melaka pada 22 November 09

Ketibaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pentas Konvensyen PKR Negeri Melaka (Hotel Formosa).

Sekitar 700-800 orang hadirin memenuhi segenap ruang dewan.

Antara hadirin yang sempat hadir.

Sdr. Mustaffaa Kamil Ayub & Yb Tian Chua juga turut hadir!

Sdr. Shamsul Iskandar, Pengerusi MPN Melaka memberikan ucapan pembukaan.

Aksi Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menanti giliran beliau untuk berpidato.
YB Tian Chua menggamatkan lagi suasana.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menyampaikan pidato beliau!

Sdr. Ito (Blues Gang) antara yang menjadi perhatian ramai.

Sdr. Ito (Blues Gang) menghiburkan hadirin ketika konvensyen rehat sebentar.

Bekas Ahli UMNO Alai menyampaikan borang menyertai PKR kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tahniah!

Ronnie: Dakwaan Khir Toyo Tidak Benar - TVS

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu hari ini menyangkal dakwaan Khir Toyo yang menuduh kerajaan Selangor membelanjakan RM700 ribu untuk kos khidmat guaman berkaitan isu syarikat Talam Corporation Berhad.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu hari ini menyangkal dakwaan Khir Toyo yang menuduh kerajaan Selangor membelanjakan RM700 ribu untuk kos khidmat guaman berkaitan isu syarikat Talam Corporation Berhad.

Dalam sidang media hari ini, Ronnie berkata, kerajaan negeri tidak akan mengambil khidmat mana-mana peguam memandangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri akan menguruskan isu tersebut.

“Apa yang diperkatakan oleh Khir Toyo di dalam blognya bahawa kami membelanjakan lebih daripada 1 juta untuk mengupah konsultan adalah tidak benar. Kami akan menggunakan Tan Sri Khalid sendiri,” kata Ronnie.

Beliau juga berkata, dakwaan Khir Toyo yang kerajaan negeri selangor perlu membayar bunga kepada bank sebanyak RM70 ribu sehari adalah tidak benar sama sekali.

"Khir Toyo kata kita perlu bayar bunga setiap hari sebanyak RM70 ribu sehinggalah hutang Talam selesai. Semua ini tidak benar," tambah beliau.

Susulan itu, kerajaan negeri telah melihat satu cara untuk mengiktiraf hutang-hutang tersebut dengan memindahkan aset-aset seperti tanah dan syer berjumlah RM1 billion milik syarikat Talam kepada kerajaan negeri melalui perjanjian novasi.

Modus operandi kerajaan negeri melibatkan dua fasa iaitu pengiktirafan dan penjualan aset.

Kerajaan negeri telah mengiktiraf hutang sebanyak RM392,986,473.00 oleh Talam untuk dikutip oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Perjanjian novasi ini akan ditandatangani oleh Talam, KHSB, UNISEL, PNSB dan kerajaan negeri bagi memindahkan amaun hutang tersebut selepas ianya disahkan. –Hadri Yaziz

TVS

Mendiang Beng Hock Selamat Disemadikan - TVS

Mayat mantan Setiausaha Politik Exco kerajaan negeri, Teoh Beng Hock selamat disemadikan di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih tepat jam 10 pagi tadi.

Majlis pengkebumian semula itu dihadiri oleh abangnya, Teoh Bee Kee, adiknya, Teoh Lee Lan dan saudara mara yang lain.

Kedua ibu bapa mendiang bagaimanapun tidak hadir ke kawasan pengkebumian sebaliknya hanya menunggu di sebuah kuil di situ mengikut adat resam masyarakat Cina.

Turut hadir adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; mantan majikan mendiang, Exco Ean Yong Hian Wah dan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Menurut adik mendiang, Teoh Lee Lan pihak keluarga kini berasa tenang setelah mendiang selamat dikebumikan dan berharap pembunuh abangnya dapat dihukum.

“Beng Hock hari ini dia ditanam semula, kami sekeluarga rasa lebih tenang dan berharap kebenaran akan diberi kepadanya dan sesiapa yang telah membunuhnya dihukum,” katanya.

Sementara itu, Ean berkata tiada siapa yang akan faham penderitaan dialami keluarga mendiang yang terpaksa menjalankan bedah siasat kedua ke atas Beng Hock semata-mata untuk mencari kebenaran.

Katanya, kini dunia akan tertumpu kepada Perdana Menteri Najib Razak sama ada dapat menunaikan janji 1 Malaysia yang dilaungkan untuk membawa keadilan.

“Dunia melihat Najib dan pentadbirannya adakah beliau sanggup untuk menunaikan janji 1 Malaysia yang dilaungkan untuk mendapatkan kebenaran dan mengembalikan semula keadilan untuk Beng Hock.

“Jika beliau gagal berbuat demikian saya rasa mana-mana rakyat Malaysia boleh menjadi mangsa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka akan kehilangan hidup yang berharga tanpa sebab,”katanya

TVS

MP Bintulu saman presiden TI-M - Malaysiakini

Ahli parlimen Bintulu yang juga pengerusi Jawatankuasa Penyokong BN, Datuk Tiong King Sing telah memfailkan saman fitnah terhapda Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berhubung satu laporan mengenai rasuah di Malaysia.

Low, ketika melancarkan Laporan Rasuah Global Transparency International 2009 (GCR 2009) dua bulan lalu, telah membuat kenyataan bahawa skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), telah menjadi isu utama di Malaysia.

Syarikat Tiong - Kuala Dimensi - terbabit dalam skandal PKFZ yang membabitkan berbilion ringgit.

Setiausaha Agung TI-M, CI Ngooi berkata, TI-M telah menerima saman tersebut semalam.

Sebelum ini katanya, TI-M telah menjawab surat tuntutan dari Tiong, dengan menyatakan pihak tidak pasti bagaimana ia telah memfitnah ahli parlimen Bintulu itu.

Selepas itu, katanya, TI-M tidak menerima apa-apa berita dari Tiong, sehingga saman itu diserahkan semalam.

Ngooi berkata, ahli-ahli TI-M memutuskan dalam mesyuarat agung tergemparnya pada 7 November lalu untuk mempertahankan GCR 2009 dan Low, serta menubuhkan tabung guaman.

"TI-M berharap orang ramai akan menyokong penubuhan tabung tersebut, supaya TI-M tidak terganggu dalam melaksanakan kerja-kerjanya yang amat penting," katanya.

Kuala Dimensi menjadi tumpuan beberapa bulan kebelakangan ini selepas ia dikenalpasti sebagai punca kos projek PKFZ meningkat dari RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion, dan kemudiannya dijangka boleh melambung kepada RM12 bilion.

PKFZ diwujudkan untuk menjadi hab pemindahan barangan ke kapal dan dibina di tapak seluas 405 hektar yang mengandungi gedung, blok pejabat dan hotel empat bintang. Kuala Dimensi adalah pemaju 'turnkey' projek tersebut.

Berikutan itu, Kuala Dimensi pemilik projek PKFZ - Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) terbabit dalam saman menyaman antara satu sama lain.

Malaysiakini

Mukhriz bukan calon BN di Kota Siputeh - Malaysiakini

Barisan Nasional akan menamakan calon yang sesuai selain anggota parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir jika mahkamah memutuskan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh, kata timbalan perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu bukan bermakna Mukhriz tidak sesuai tetapi bagi memberi peluang kepada orang di
kawasan itu.

Katanya, Mukhriz boleh membantu dalam kempen pilihan raya kecil nanti berikutan beliau mempunyai pengaruh dan diterima baik ramai pengundi di kawasan parlimen itu.

"Di kawasan parlimen (Jerlun), Mukhriz menang lebih banyak majoriti daripada calon kita di peringkat DUN (Kota Siputeh). Ini bermakna satu penerimaan yang baik.

"Jadi, beliau (Mukhriz) boleh mempengaruhi, boleh turun membantu, tak kira siapa calon yang akan ditetapkan nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara ke-7 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Mukhriz, yang juga timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, disebut-sebut akan menjadi calon bertanding jika berlaku pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh dalam kawasan parlimen Jerlun.

Mengenai keputusan yang akan diumumkan mahkamah berhubung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan rayuan bagi menangguh pelaksanaan keputusan mahkamah yang mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh sebagai kosong, pada hari ini, Muhyiddin berkata:

"Apapun keputusan yang dibuat mahkamah nanti, kita tidak boleh bertindak awal. Tetapi kita akan terima, jadi, kita akan tunggu keputusan."

Muhyiddin, yang juga timbalan pengerusi BN, berkata parti ini sentiasa bersedia setiap kali berhadapan dengan situasi sebegini.

"Perkara ini sudah menjadi lumrah, saya telah melalui sembilan kali pilihan raya kecil, kalau tambah satu pun tak banyak beza.

"Tetapi jika kita terpaksa berhadapan dengan pilihan raya umum, kita akan bekerja besungguh-sungguh untuk mempertahankan kerusi kita," katanya.

Beliau berkata terdapat banyak perubahan sikap yang berlaku di kalangan rakyat pada masa ini yang didapati menyokong kepimpinan BN.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mahu terlalu yakin dan akan melakukan analisis serta langkah-langkah sewajarnya seperti membuat persiapan, memilih calon yang terbaik, bekerja bersungguh-sungguh dan menyelesaikan masalah berbangkit. BERNAMA

Malaysiakini

Monday, November 23, 2009

Nasharuddin dirujuk ke IJN - Harakah

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Ahli Parlimen Bachok Nasharuddin Mat Isa yang hadir ke persidangn parlimen pagi tadi dikejar ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada jam 11.45 pagi tadi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS, sebelum itu ditemani Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dilihat berjalan kaki ke klinik parlimen apabila mengadu sakit dibahagian otot dada.

Bagaimanapun, selepas melalui ujian electrocardiaogram (ECG), doktor tidak dapat mengenal pasti punca sakit dadanya.

Beliau kemudian dibawa dengan kerusi roda dan kemudiannya menaiki ambulan untuk dirujuk ke IJN.

Sehingga jam 3.30 petang tadi, Nasharuddin dilaporkan dalam keadaan stabil dan diminta berehat.

Beliau bagaimanapun dijangka akan keluar esok.

Harakah

Menantu Nik Aziz letak jawatan - Malaysiakini

Menantu tokoh PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilanda kontroversi sejak dua minggu lepas meletakkan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menjadi fokus kontroversi apabila memecat Syed Azidi Syed Abdul Aziz, seorang pegawai kanan exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa.

Beliau, exco Pemuda PAS Kelantan, mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media hari ini.

Surat rasmi peletakkan jawatan tersebut bagaimanapun belum diserahkan, katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Ketika dihubungi sebentar tadi, beliau juga enggan mengulangi kenyataannya dalam sidang akhbar tersebut.

Sementara itu, menurut media rasmi PAS, Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar ingin "menasihati" menantunya agar melepaskan jawatan tersebut.

Persetujuan itu dilaporkan diumumkan Nik Abdul Aziz pada satu sidang media selepas pertemuan dengan pemimpin kanan PAS di kediaman rasmi menteri besar 10 pagi tadi.

Pertemuan tersebut disertai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din, Naib Presidennya Salahuddin Ayub dan Bendahari Agung Dr Hatta Ramli, laor Harakahdaily.net.

"Mereka telah mengemukakan cadangan kepada Nik Abdul Aziz agar menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan," laporan akhbar web itu dipetik.

Malaysiakini

SPR gagal tangguh perintah kosongkan Kota Siputeh - Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah minggu lalu.

Suruhanjaya itu bagaimanapun akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung penolakan penangguhan tersebut.

Isnin lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata hakim itu lagi ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Speaker DUN itu memfailkan semakan berkenaan pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.

Malaysiakini

Royalti Minyak: MP PR VS Menteri







22 Nov 09: Bedah siasat kedua Teoh selesai - Malaysiakini

Bedah siasat kedua ke atas mayat mendiang Teoh Beng Hock di Hospital Sungai Buloh, mengambil masa kira-kira dua jam dan selesai dijalankan pada kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Keluarga mendiang Teoh dan dua adik beradiknya kelihatan ceria ketika ditemui petugas media, yang tidak dibenarkan menghampiri jabatan forensik di situ.

Saudara perempuan mendiang, Lee Lan berkata bedah siasat itu berjaya dilakukan dan keluarganya telah diberi taklimat mengenainya oleh pakar patologi Thai, Dr Porntip Rojanasunand.

Bagaimanapun, Lee enggan memberi sebarang butiran sama ada terdapat bukti baru yang ditemui mengenai kemungkinan wujud unsur-unsur jenayah.

"Tungu bila inkues (Teoh) disambung 9 Disember," katanya sambil berkata beliau tidak pasti sama ada laporan bedah siasat akan diumumkan.

Manakala saudara lelaki mendiang, Beng Kee berkata keluarganya tidak memahami aspek-aspek tentu taklimat Dr Porntip kerana ia banyak membabitkan istilah perubatan.

Ketika ditemui wartawan ketika hendak beredar dari hospital tersebut, Dr Porntip (kanan sekali) hanya berkata: "Tiada komen".

Mendiang Teoh ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Musalam di Shah Alam pada 17 Ogos lalu, sehari selepas dia disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM).

Kerajaan kemudiannya mengarahkan diadakan inkues berhubung kematian mendiang Teoh dan keterangan Dr Porntip telah mendorong keluarganya meminta bedah siasat kedua dijalankan.

Dr Porntip memberitahu inkues tersebut bahawa berdasarkan foto dan laporan bedah siasat pertama, beliau mengesyaki 80 peratus kemungkinan kematian mendiang Teoh adalah homisid.

Pakar patologi terkemuka Thai itu yang bertugas dengan Jabatan Kehakiman negara itu, hadir memantau bedah siasat hari ini bagi pihak kerajaan Selangor.

Manakala SPRM pula mendapatkan khidmat pakar patologi Britain, Dr Peter Venezis (kanan) yang terkenal dengan siasatannya terhadap kematian Puteri Diana.

Mayat mendiang Teoh digali semula dari tanah perkuburan di Semenyih semalam dan saudara perempuannya berkata keluarga merancang untuk mengkebumi semula mayat mendiang esok.

Bedah siasat tersebut dilakukan oleh Dr Khairul Aznam dan Dr Prashant Samberker yang memberitahu inkues kematian Teoh bahawa mendiang membunuh diri.

Seorang lagi pakar patologi, K Saravanan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, ditugaskan merakamkan gambar bedah siasat tersebut.

Sementera itu, peguam keluarga mendiang Teoh, Gobind Singh Deo mendakwa sekumpulan individu yang tidak dikenali mengekori Dr Porntip sejak semalam dan menggesa mereka supaya tampil ke hadapan.

"Sejak petang Jumaat, beberapa buah kereta mengekori beliau balik ke hotel dan kemudiannya ke tanah perkuburan di Semenyih semalam (tempat mayat Teoh digali semula)," katanya.

Menurutnya lagi, sejak itu, pihak polis telah menugaskan beberapa anggotanya memantaunya sejak dimaklumkan mengenainya semalam.

Malaysiakini

Hassan Karim Sah Letak Jawatan Presiden PRM - mStar

PETALING JAYA: Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hassan Abdul Karim telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa serta merta kerana setelah usulnya agar parti itu menyertai komponen Pakatan Rakyat ditolak.

Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agong PRM, Koh Swe Yong melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online petang Ahad.

"Ya, benar," katanya ringkas menjawab pertanyaan mStar berhubung berita mengenai perletakan jawatan Hassan.

Difahamkan Hassan telah menghantar surat peletakan jawatannya baru-baru ini.

Hassan telah mengemukakan usul agar PRM menyertai Pakatan Rakyat sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PRM ke-41 yang di adakan 15 November lalu.

Bagaimanapun usul berkenaan telah ditolak oleh perwakilan kongres.

Dalam pada itu, melalui surat yang dihantar Hassan kepada Koh yang turut diedarkan kepada pihak media, beliau berkata peletakan jawatannya adalah bagi menebus maruah berikutan penolakan usul yang dikemukakannya.

"Saya tiada pilihan lain sebagai seorang pemimpin yang bermaruah melainkan satu pilihan sahaja iaitu meletak jawatan sebagai Presiden PRM, ahli Jawatankuasa Pusat dan semua jawatan saya di dalam parti berkuat-kuasa serta merta," kata Hassan dalam suratnya itu.

"Memandangkan saya ingin memberi kerjasama dan sokongan yang kuat kepada Pakatan Rakyat dan tidak mahu tindakan-tindakan saya itu nanti akan menjejaskan kedudukan dan pendirian pimpinan PRM maka saya dengan hati yang amat berat saya mengambil keputusan meninggalkan Parti Rakyat Malaysia yang saya sayangi ini dengan berkuat-kuasa serta merta juga," katanya.

mStar

Friday, November 20, 2009

Tragedi Jambatan Runtuh: Keluarga Saman Kerajaan Dan 10 Yang Lain RM105 Juta - mStar

IPOH: Keluarga ketiga-tiga mangsa yang terbunuh dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang pada 26 Oktober lalu hari ini memfailkan saman berjumlah RM105 juta terhadap kerajaan dan 10 yang lain di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Responden yang lain terdiri daripada, Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri Perak,SJK (T) Mambang Diawan, SJK (T) Gopeng, GS Synergy Sdn Bhd (pihak yang menaja pembinaan jambatan), CWL Enterprise (kontraktor) dan pihak yang terlibat.

Menurut peguam yang mewakili keluarga mangsa, A. Sivanesan, ayah ketiga-tiga keluarga mangsa itu akan mengemukakan saman bernilai Rm35 juta bagi setiap pihak yang terlibat dengan jumlah keseluruhan saman itu berjumlah RM105 juta kerana didakwa berlaku kecuaian daripada pihak yang terlibat dalam tragedi yang berlaku pada 26 Oktober lalu.

Oktober lalu, tiga pelajar sekolah rendah yang menghadiri kem 1Malaysia, N. Dina Deve and M. Devatharshini, kedua-duanya berusia 11 tahun dan V. Divyashree, 12, ditemui mati lemas selepas jambatan gantung yang dilalui di tapak perkhemahan mereka tiba-tiba runtuh ke dalam Sungai Kampar.

Bagaimanapun, tindakan pantas pihak penganjur berjaya menyelamatkan 19 orang pelajar yang turut sama tenggelam dalam kejadian malang itu.

Dua buah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi menyiasat tragedi malang berkenaan, satu di bawah Kementerian Pelajaran dan satu lagi jawatankuasa ditubuhkan oleh Pakatan Rakyat Negeri Perak.

Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran akan mengumumkan hasil siasatan yang dijalankan berhubung insiden berkenaan dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, jawatankuasa yang diwujudkan oleh Pakatan Rakyat negeri mendakwa jambatan gantung itu runtuh kerana didakwa menggunakan bahan binaan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan dua orang guru yang sepatutnya menyelia perjalanan kem tersebut tidak hadir pada hari kejadian.

mStar

Penyiasat dedah nama adik Najib - Malaysiakini

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam menyebut nama adik perdana menteri dengan tindakannya menarik balik akuan bersumpah mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan kes Altantuya Shaariibuu.

Pendedahan nama Datuk Mohamed Nazim Razak dibuat dalam bahagian akhir wawancara bekas anggota polis Cawangan Khas itu - yang pernah bertugas dengan Abdul Razak Abdullah Baginda, kenalan rapat Najib - dalam laman web Malaysia Today hari ini.

Sebelumnya, dalam empat bahagian awal tembual tersebut, Balasubramaniam hanya menyebut adik perdana menteri dengan gelaran "seorang Datuk VIP" yang ditemui di The Curve, Damansara pada malam selepas membuat pendedahan menggemparkan itu.

"Beliau di sana bersama isterinya yang sedang sarat mengandung. Walaupun saya tidak bercakap dengannya (wanita itu), saya mengenalinya sebagai seorang personaliti TV.

"Saya rasa beliau (isteri) pernah menjadi pengacara rancangan Nona (di TV3)," Balasubramaniam dipetik berkata.

Penyiasat persendrian itu menggemparkan negara pada 3 Julai tahun lalu apabila muncul di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya dan mengumumkan akuan bersumpahnya yang mengaitkan Najib, waktu itu timbalan perdana menteri, dengan wanita Mongolia itu yang mati dalam pembunuhan luar biasa.

Keesokannya, 4 Julai tahun lalu, beliau menarik balik kenyataan dalam akuan sumpah awal melalui akuan kedua di sidang media yang diadakan secara tergesa-gesa dan kelam-kabut sebelum menghilangkan diri secara misteri di luar negara.

Dalam bahagian kelima wawancara ini, beliau turut mendakwa ahli perniagaan permaidani yang dikenali Deepak, orang tengah yang terlibat dalam perancangan membawanya ke luar negara, memberitahunya isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor gembira dengan tindakannya membuat penafian pembabitan Najib-Altantuya dan "ingin bersarapan dengannya".

Najib menafikan pembabitannya dengan wanita tersebut, sementara Abdul Razak pula dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat membunuhnya.

Malaysiakini

PI Bala - Dari Bangkok ke Kathmandu dan Delhi - Malaysiakini

Dalam bahagian keempat wawancara misteri dengan penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang disiarkan dalam Malaysia Today, dia menceritakan kesukaran yang dihadapinya apabila dipaksa tinggal di luar negara

Balasubramaniam - individu kontroversi berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu - juga mendedahkan, dia pulang ke Malaysia beberapa kali tahun ini tanpa melalui pemeriksaan imigresen.

Di bawah adalah petikan wawancara tersebut:

Mengapa kamu tidak memberitahu mereka perkara sebenarnya mengenai cara akuan bersumpah kedua dibuat memandangkan anggota keluarga anda berada bersama anda dan mereka semuanya dalam keadaan selamat?

Saya masih lagi dalam keadaan keliru dan masih bimbangkan keselamatan keluarga saya. Saya dimaklumkan bahawa Deepak ada hubungan yang amat berpengaruh, terutama selepas pertemuan dengan seorang Datuk VIP Melayu di The Curve beberapa malam sebelumnya dan nasihatnya masih segar di kepala saya.

Saya juga hairan mengenai hubungan Deepak itu kerana dia nampaknya boleh menganjurkan sesuatu di negara-negara berlainan dan malah telah meminta seorang wanita Thai memohon visa India kami di Bangkok.

Pada masa itu, saya tidak tahu apa yang akan berlaku, jadi saya rasa perlu mendengar nasihat mereka sehingga saya dapat berfikir dengan lebih jelas kerana saya perlu mengambil kira keluarga kerana saya tidak mahu apa-apa berlaku kepada mereka.

Saya dan keluarga juga sedang berada di negara asing tanpa sumber kewangan.

Adakah kamu menghubungi sesiapa selepas itu?

A. Ya, ASP Suresh menghubungi saya dari KL dan menasihat saya supaya berpindah hotel agar pegawai polis dari KL tidak dapat mengesan saya lagi sekiranya mereka perlu mengambil kenyataan lanjut.

Dia juga memberitahu saya supaya menghubungi anak saudara saya di KL dan memintanya berhenti bercakap dengan media dan jangan mengadakan lagi protes nyalaan lilin kerana tindakan itu membuatkan Deepak berasa tidak senang. Saya kemudiannya menghubungi anak saudara saya itu dan memintanya berhenti menjalankan aktiviti-aktivi tersebut dan dia bersetuju (lihat video di sini:)

Adakah kamu berpindah hotel?

Ya, kami berpindah ke Hotel Beverly Hills. Semasa kami di hotel baru itulah saya menerima berita daripada Rajesh bahawa visa kami tidak sempat disiapkan kerana ia memerlukan tempoh sekurang-kurangnya lima hari bekerja untuk diproses.

Deepak kemudiannya meminta seorang pengurup wang, yang dikenalinya, membayar 100,000 Baht untuk perbelanjaan saya. Saya kemudiannya menunggu arahan selanjutnya di hotel tersebut.

Apa yang berlaku selepas itu?

Pada kira-kira jam 2.30 petang 11 Julai, Rajesh menghubungi saya dan meminta ke lapangan terbang untuk mengutip e-tiket yang telah ditempahnya untuk saya dan keluarga berlepas ke Kathmandu, jadi kami bersiap dan pergi ke lapangan terbang tersebut.

Bagaimanapun, bila kami sampai di lapangan terbang, Rajesh menghubungi saya dan memberitahu bahawa penerbangan hanya akan berlepas jam 10 pagi keesokannya. Kami kemudiannya menaiki teksi balik semula ke bandar dan menginap di hotel lain.

Keesokan paginya kami pergi semula ke lapangan terbang, mengutip tiket kami dan terbang dengan pesat Thai Airways ke Kathmandu.

Apa berlaku bila kamu mendarat di Kathmandu?

Kami disambut di lapangan terbang oleh seorang wakil dari Hotel Yak & Yeti yang membawa kami ke hotel tersebut.

Apa perlunya anda ke Kathmandu?

Sebelum kami boleh masuk ke India, kami perlu memohon visa yang kami gagal perolehi di Bangkok.

ASP Suresh memberitahu saya bahawa Deepak tidak mahu lagi kami berada di Bangkok kerana polis sudah tahu yang kami berada di sana dan itulah sebabnya dia mahu kamu berlepas ke Kathmandu supaya dapat memohon visa kami di sana.

Berapa lama kamu berada di Kathmandu?

Kami membuat permohonan visa kami di Kedutaan India di Kathmandu. Selepas kami memperolehi visa untuk tempoh sebulan berada di India, kami berlepas dari Kathmandu ke New Delhi. Tarikhnya 22 Julai. Kami tinggal kira-kira 10 hari di Kathmandu.

Berapa lama kamu berada di Delhi

Kami tinggal di sebuah hotel di Delhi selama dua malam sebelum terbang ke Madurai untuk ke Madras.

Bagaimana kamu dapat melanjutkan tempoh visa satu bulan itu?

Visa kami tamat pada 21 Ogos 2008. Orang Deepak telah berjanji untuk mendapat lanjutan tempoh selama setahun untuk kami tetapi tidak jadi apa-apa. Jadi saya terpaksa mendapatkan sendiri lanjutan sebulan untuk saya dan keluarga saya sehingga 20 September 2008.

Saya kemudiannya menghantar isteri dan anak-anak pulang ke KL untuk tinggal bersama ibu mertua saya di Segambut tanpa pengetahuan Deepak.

Saya terus tinggal di Madras dan mencuba untuk melanjutkan tempoh visa saya. Ejen Deepak yang dikenali sebagai Kumar cuba membantu saya tetapi selepas 5 bulan ia belum berhasil. Saya mengadu mengenainya kepada Deepak dan ASP Suresh ketika mereka datang melawat saya di Chennai. Deepak memanggil Kumar yang memulang pasport kepada saya bersama sijil sakit, dengan berkata saya tidak boleh keluar dari negara ini disebab satu penyakit yang saya hidapi. Ini terpaksa dilakukan kerana saya berada di India secara haram kerana tempoh visa saya sudah tamat.

Saya kemudiannya meminta bantuan bapa saudara isteri saya yang merupakan exco negeri bagi daerah Karaikal. Dia berjaya mendapatkan lanjutan tempoh bagi visa saya sehingga 5 September 2009.

Adakah kamu ada pulang ke Malaysia sepanjang tempoh tersebut.

Ya, saya pulang beberapa kali untuk menyelesaikan beberapa urusan peribadi saya. Setiap kali saya pulang, saya masuk melalui Thailand di sempadan Malaysia-Thai di Bukit Kayu Hitam dan keluar semula melalui cara yang sama. Saya tidak melalui pemeriksaan imigresen Malaysia.

Saya tidak menghubungi sesiapa setiap kali saya pulang kerana saya takut Deepak dapat tahu. Satu-satunya orang yang tahu saya pulang ke Malaysia ialah ASP Suresh tetapi dia tidak beritahu pada Deepak. Dia marah dengan saya kerana membiarkan isteri dan anak-anak saya pulang ke Malaysia, tetapi saya menjelaskan kepadanya bahawa anak-anak saya perlu bersekolah dan mereka tidak dapat masuk sekolah di Chennai.

Setiap kali saya pulang ke Malaysia, saya tinggal dengan isteri saya dan ibu mertua saya di Segambut.

Di mana isteri kamu tinggal selama dia berada di Malaysia?

Dia tinggal bersama ibu mertua saya di Segambut dan dapat menyekolahkan anak-anak saya di sebuah sekolah di Sentul. Dia (isterinya) pernah datang ke Chennai beberapa kali bersama anak-anak untuk menemui saya.

Di mana isteri dan anak-anak kamu sekarang?

Mereka kini berada di Chennai. Saya dapat memasukkan dua anak besar saya di sebuah sekolah di sana. Isteri saya mungkin akan pulang ke KL supaya anak lelaki bongsu saya dapat bersekolah di sana. Saya perlu tinggal bersama dua anak saya di Chennai.

Bolehkah kamu ingat tarikh-tarikh anda pulang ke Malaysia?

A. Ya, saya berada di KL dari 16.02.2009 hingga 05.03.2009. Sepanjang tempoh tersebut, saya menemui Deepak di pejabatnya di Sungai Besi. Dia sangat bimbang saya pulang ke Malaysia dan meminta saya balik semula ke Chennai dengan segera. Dia memberi amaran kepada saya bahawa nyawa saya dalam bahaya jika saya tinggal lebih lama.

Kali kedua saya pulang ke Malaysia ialah dari 11.04.2009 hingga 02.05.2009.

Kali ketiga saya pulang ke malaysia ialah pada akhir Julai 2009.

Apa yang kamu buat bila pulang pada akhir bulan Julai?

A. Saya mengambil keputusan untuk menghubungi peguam saya Americk Sidhu dan menjelaskan kepadanya apa yang sebenarnya berlaku kepada saya sepanjang tempoh satu tahun lalu kerana saya tidak gembira dengan keadaan yang sedang saya lalui kini.

Malaysiakini

Thursday, November 19, 2009

Laporan CPI: Kit Siang Desak Ahmad Said Letak Jawatan - TVS

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendesak Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri ahmad Said Hamdan kerana kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) jatuh mendadak.

Beliau menyifatkannya sebagai satu perkara yang memalukan Negara dalam keadaan Perdana Menteri, Najib Razak mengisytiharkan perang ke atas rasuah.

“Ini adalah kejatuhan terburuk dalam kedudukan CPI dan skor untuk Malaysia sejak CPI tahunan diperkenalkan oleh Transparency International (TI) pada 1995, bila Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 41 negara dengan skor 5.28 mata.

“Ini memalukan Negara, dan penilaian terhadap pembaharuan SPRM dan laungan pentadbiran baru oleh Ahli Parlimen Pekan (Najib Razak) yang mengisytiharkan perang terhadap rasuah adalah salah satu daripada enam KPI utama dalam pentadbirannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siding medianya di lobi Parlimen hari ini.

Transparency International semalam mendedahkan bahawa Malaysia kini kegiatan rasuah di Malaysia dilihat semakin meningkat berbanding sebelumnya.

Malaysia kini berada di kedudukan ke-56 daripada 180 negara yang mana skor untuk indeks rasuahnya hanyalah 4.5 mata daripada 10 mata. Tahun lalu Malaysia berada di kedudukan ke-47 dengan 5.1 mata.

Menurut TI, kedudukan ini dilihat berkemungkinan disumbangkan oleh factor persepsi di mana terdapatnya sesetangah ahli politik yang terlibat dengan rasuah.

Selain itu, SPRM juga dilihat lebih focus untuk menangkap ‘ikan-ikan kecil’ dan ahli poltik pembangkang.

“Misteri kematian setiausaha politik DAP, Teoh BEng Hock pada 16 Julai lalu di ibu pejabat SPRM dan kegagalan SPRM untuk mendakwa mereka yangterlibat dalam skandal RM12.5 bilion PKFZ dan kes Video Lingam adalah factor utama Malaysia kedudukan terburuk yang pernah dicatatkan Malayisia dalam TI CPI.

“Ini disahkan oleh keyataan TI dalam Laporan CPI 2009 terhadap persepsi ‘kurangnya kehendak politik akan mempengaruhi keberkesanan menangari rasuah seperti fokus SPRM yang hanya kepada ‘ikan-ikan kecil’ dan pembangkang,” katanya.

Sehubungan itu, Kit Siang berkata beliau telah memberitahu Speaker suapaya perkara ini dijadikan usul tergempar untuk dibahaskan kerana ia melibatkan kepentingan awam.

TVS

Karpal Sahut Cabaran V. K. Lingam - TVS

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh hari ini menyahut cabaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz untuk mendakwa Datuk V.K Lingam sekiranya Peguam Negara memberikan kuasa kepadanya untuk bertindak.

Tindakan ini dibuat bagi menyahut cabaran Nazri semalam yang mengatakan Karpal boleh mewakili Peguam Negara dan mendakwa Lingam.

Karpal berkata di England ia menjadi perkara biasa apabila kerajaan membenarkan pengamal undang-undang untuk mendakwa sesuatu pihak bagi mewakili Queen’s counsel.

“Di negera ini terdapat peruntukan undang-undang untuk Peguam Negara mengeluarkan sijil iaitu perintah untuk memanggil Datuk Seri Nazri Aziz untuk menasihati Peguam Negara supaya mengeluarkan surat perintah untuk mendakwa V. K. Lingam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siding mediannya ketika mengulas mengenai cabaran yang dibuat Nazri semalam bahawa Karpal boleh mewakili Peguam Negara untuk mendakwa Lingam.

Nazri berkata, sekiranya Karpal mahu, beliau akan menasihati Peguam Negara untuk melantik Karpal mendakwa Lingam bagi pihak kerajaan.

Semalam Nazri berkata, kerajaan tidak mempunyai sebab untuk melindungi Lingam dan Karpal selaku pengamal undang-undang boleh mendakwanya.

Sehubungan itu, Karpla menyahut cabaran berkenaan dan bersedia untuk mendakwa V. k. lingam terhadap tuduhan di bawah Seksyen 4,Akta Hasutan.

“Saya terima cabaran berkenaan. Saya telah bersedia untuk mendakwa Lingam dibawah Seksyen 4,Akta Hasutan.Berdasarkan klip video, apa juga yang dikata dikira sebagai cubaan menghasut.

“Dalam perkataan lain, ia berada di bawah seksyen 3(1) (c) Akta Hasutan yang mana ia adalah cubaan menghasut sebagai cubaan membawa rasa benci terhadap pentadbiran keadilan Negara,” katanya.

Karpal menegaskan bahawa Peguam Negara adalah penasihat kepada kerajaan dan kerajaan mempunyai kuasa untuk mengarahkan penasihat.

“Saya rasa Nazri mencabar profesyen undang-undang. Apa yang saya perlu adalah fail berkaitan siasatan video klip berkenaan . Bila saya mendapat arahan daripada Peguam Negara untuk mendakwa, saya akan lakukan apa yang perlu,”katanya.

Karpal percaya Lingam bersalah dari segi hasutan dan harus dihukum.

“Telah sampai masa untuk mengambil tindakan. Kisah V. K. lingam ini telah berlanjutan lama lebih dari setahun. Cadangan yang dibuat Suruhanjaya DiRaja telah di abaikan oleh kerajaan,”katanya

TVS

650 bantah Jais tidak beri tauliah - Malaysiakini

Lebih 650 ahli kariah di Shah Alam membantah tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang tidak memberikan tauliah mengajar agama kepada ahli parlimen kawasan tersebut Khalid Samad.

Bantahan tersebut disuarakan melalui kempen kutipan tandatangan yang digerakkan seorang pegawai khas Khalid sejak seminggu lalu.

Mohd Jamil Abd Rahim, yang juga ahli kariah di Bukit Subang dekat Shah Alam berkata, tandatangan tersebut dijangka diserahkan kepada Jais dalam masa terdekat bersama satu memorandum bantahan.

"Sekarang kita tidak serahkan lagi sebab masih ada (tandatangan) yang masih belum dikutip," katanya hari ini.

Beliau, dengan beberapa anak kariah yang mewakili lebih 20 masjid dan surau di kawasan parlimen itu, mengadakan sidang akhbar di Shah Alam petang ini bagi mendesak Jais mengeluarkan tauliah kepada Khalid.

Anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Izham Hashim, sebagai ahli kariah di situ, mengetuai sidang media.

Kempen kutipan tandatangan itu akan dilanjutkan lagi selama seminggu sebelum tindakan lanjut, katanya.

Dihubungi Malaysiakini pagi ini, Mohd Jamil berkata beliau mengambil inisiatif menganjurkan kempen tersebut bagi mendengar pandangan awam berhubung isu tauliah – yang kini menjadi kontroversi susulan pendakwaan terhadap bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

"Sebagai orang yang dipimpin, kami juga mahu memberikan pandangan. Kami turun dan lihat sendiri. Kami tanya ahli-ahli agama.

"Cara Khalid mengajar agama itu mudah difahami. Apabila mengajar ibadat, misalnya, beliau memberikan contoh-contoh yang senang," jelas Mohd Jamil.

"Kita bukan hendak bermusuh dengan pihak Jais. Tetapi persoalannya kenapa tidak diberikan tauliah kepada Khalid? Adakah beliau betul-betul tidak layak?

"Berikanlah hitam putih, jangan beri bermacam-macam alasan seperti tapisan keselamatan."

Dalam surat Jais bertarikh 10 Julai 2008 (foto atas), pemimpin PAS itu diberikan tauliah mengikut kategori-kategori D1 (boleh mengajar atau berceramah) dan D2 (mengajar fardhu ain atau berkitab).

Kebenaran itu bagaimanapun dibatalkan oleh jabatan itu dalam suratnya 28 Oktober 2008 susulan tapisan keselamatan polis Selangor mendapati Khalid, adik kandung ahli parlimen BN Datuk Shahrir Samad, mempunyai "rekod jenayah."

Setelah Khalid meminta penjelasan dalam suratnya hujung September lalu, polis Selangor berkata semakan polis Bukit Aman mendapati beliau mempunyai "rekod jenayah".

Jenis jenayah yang didakwa dilakukan oleh bekas ahli jawatankuasa pusat PAS itu tidak pula dinyatakan dalam surat ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor bertarikh 27 Oktober 2009 kepada beliau - yang diterima semalam (foto kanan).

Malaysiakini

S'gor dedah siasatan tanah runtuh Bkt Antarabangsa - Malaysiakini

Kerajaan Selangor telah mendeklasifikasikan laporan siasatan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa untuk membolehkan orang ramai, khususnya mangsanya mengetahui perkara yang sebenarnya berlaku.

Laporan itu disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"Kita berharap penduduk Bukit Antarabangsa dapat mengetahui perkara sebenar bila laporan ini didedahkan." kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.

Bercakap dalam sidang media hari ini, Abdul Khalid berkata beliau menggunakan kuasanya mengikut Seksyen 2(C) Akta Rahsia Rasmi untuk mendeklasifikasikan laporan tersebut.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan laporan tersebut mulai Isnin ini.

Menurut laporan itu, kata Khalid, punca utama tanah runtuh itu adalah kebocoran paip yang dipasang di sepanjang sederet rumah kosong.

Kebocoran itu, katanya, telah mengakibatkan meningkatkannya kadar kelembapan tanah di bahagian cerun tersebut.

Menteri besar berkata, beliau juga akan menemui penduduk di situ awal Januari ini.

"Kita akan berikan bantuan kepada penduduk yang menjadi mangsa tanah runtuh di situ," katanya.

Tragedi awal pagi 6 Disember tahun lalu itu mengorbankan lima nyawa dan memusnahkan 14 rumah di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa.

Malaysiakini

Tuesday, November 17, 2009

Dewan Negeri Calonkan Syed Husin Sebagai Senator - TVS

Dewan Negeri Selangor hari ini mencalonkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Syed Husin Ali, 73, sebagai senator mewakili negeri tersebut.

Pemilihan Syed Husin diluluskan melalui undian di mana 32 ADUN menyokong, tiga ADUN berkecuali manakala 20 ADUN lagi tidak hadir.

Nama beliau dicadangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan disokong oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Ali yang juga pesuruhjaya PAS Selangor.

Dewan turut mencalon dan meluluskan S Ramakrishnan sebagai seorang lagi calon senator.

Nama Ramakrishnan, 53, dicadangkan oleh Exco kanan negeri, Teresa Kok dan disokong oleh Exco Yaakob Sapari. Ramakrishnan menjadi ahli DAP sejak 2000.

Tiga puluh dua ADUN menyokong pencalonan beliau manakala dua ADUN membantah dan seorang ADUN berkecuali. Manakala 20 ADUN lagi tidak hadir.

TVS

Permintaan Kenaikan Gaji Pekerja Kilang Tunjuk Tanda Positif - Dr Subramaniam - mStar

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan berbincang dengan sektor perindustrian untuk memohon kenaikan gaji mula menunjukkan hasil positif, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramanian.

Beliau berkata sejajar dengan perkembangan industri pembuatan yang kembali aktif kebelakangan ini, permintaan kementerian untuk mendapatkan gaji asas RM700 sudah menampakkan hasil apabila ramai pekerja tempatan kembali bekerja.

"Sektor pengeluaran kini disuburkan semula dan kami memperoleh banyak peluang dalam semua elemen pengeluaran.

"Gaji purata yang diberikan oleh kebanyakan kialng ialah antara RM500 dan RM600. Kami kini meminta mereka menaikkannya sehingga RM700," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kemahiran Wanita India-Persatuan Kebajikan Wanita India Puchong di sini, semalam.

Dr Subramaniam berkata dengan kadar gaji yang bersesuaian itu, kementerian yakin lebih ramai pekerja tempatan akan tertarik untuk bekerja di sektor pekilangan, seterusnya berupaya membantu hasrat kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Katanya dengan situasi ekonomi semakin pulih, kerajaan sejak Januari hingga November tahun ini telah berjaya menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 73,308 orang yang diberhentikan kerja ekoran kegawatan ekonomi.

Beliau berkata perkara utama yang dilakukan kementerian itu untuk meningkatkan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor pekilangan dan pembuatan ialah berbincang dengan pelbagai sektor untuk mendapatkan kadar gaji yang lebih menarik dan munasabah.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata kajian oleh Majlis Penetapan Gaji (MPG) mengenai kadar gaji minimum bagi sektor hospitaliti, hotel dan pengawal keselamatan telah pun siap dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pada Julai tahun lepas, kementerian itu mengumumkan penubuhan MPG untuk mengkaji kadar gaji bagi empat sektor iaitu hospitaliti, tekstil, elektronik dan keselamatan. BERNAMA

mStar

Asri dihadap ke mahkamah esok - Malaysiakini

Jabatan agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan bahawa bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi esok atas tuduhan mengajar agama tanpa ditauliah.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jais, Mohd Hidayat Abd Rani berkata, jabatan itu sudah bersiap sedia untuk mendakwa Dr Mohd Asri di mahkamah.

Menurutnya, dokumen dan kertas pendakwaan terhadap bekas mufti Perlis itu sudah siap.

Sebelum ini, Dr Mohd Asri telah ditahan Jais kerana didakwa mengajar agama di Ulu Kelang tanpa tauliah pada 1 November lalu.

Beliau akan menghadapai satu pertuduhan bawah Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 kerana mengajar agama atau perkara mengenai Islam di negeri itu tanpa tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Jumaat lalu, Asri mengesahkan telah menerima notis arahan , hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 9 pagi esok/

Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dilaporkan berkata beliau akan diwakili beberapa peguam, diketuai oleh Kamar Ainiah Raziff daripada tetuan Kamar Ainiah Raziff & Zashidi.

Barisan peguam lain yang akan membantunya akan diumumkan kemudian, tambahnya.

Malaysiakini

Kota Siputeh diisytihar kosong - Malaysiakini

Pilihan raya baru akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh di Kedah selepas kerusi berkenaan diisytihar kosong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Abu Hassan akan dihalang daripada menghadiri persidangan DUN esok.

Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya ketika menyampaikan keputusannya pada jam 5.30 petang.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata Hakim Alizatul ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Abdul Isa, yang diwakili oleh peguam utama Sulaiman Abdullah, memfailkan semakan kehakiman pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil
rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.

Perkara 51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan bahawa jika mana-mana anggota DUN tidak menghadiri persidangan dewan tanpa kebenaran Speaker
selama dua persidangan berturut-turut, maka kerusi yang diwakilinya akan menjadi kosong.

Dalam keputusannya hari ini, Hakim Alizatul berkata tidak dipertikaikan bahawa Abu Hassan tidak memperoleh kebenaran daripada Speaker untuk tidak menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut, dan hanya mengemukakan sijil cuti sakit beliau kepada Speaker pada 10 Ogos 2009.

"Speaker mempunyai kuasa mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah bagi memberi kebenaran dan beliau tidak bertindak secara tidak munasabah apabila menolak sijil cuti sakit bertarikh 10 Ogos 2009 selepas mengetahui bahawa wakil rakyat itu turut menghadiri satu majlis pada hari yang sama," katanya.

Hakim Alizatul menegaskan SPR telah bertindak secara tidak sah ketika menerima sijil cuti sakit yang dikemukakan oleh Abu Hassan sebagai alasan kerana ketidakhadirannya.

SPR juga membuat keputusan tidak wajar ketika memutuskan bahawa Perkara 51 hanya boleh digunakan selepas Speaker merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan, katanya.

"Tiada peruntukan mandatori dikenakan ke atas Speaker untuk berbuat demikian memandangkan keputusan sama ada merujuk perkara itu kepada jawatankuasa berkenaan atau tidak adalah budi bicara beliau memandangkan perkara berkaitan kebenaran bukanlah keistimewaan yang diberikan kepada seseorang wakil rakyat,"
katanya.

Hakim Alizatul berkata SPR telah tersalah tafsir maksud "dua persidangan berturut-turut" mengikut Perkara 51 sebagai dua sesi berasingan.

"Saya bersetuju dengan peguam pemohon bahawa responden pertama (Abu Hassan) telah tidak menghadiri dua persidangan berturut-turut dalam satu sesi tanpa gendala," katanya.

Mahkamah turut menetapkan Jumaat ini untuk mendengar permohonan SPR bagi penangguhan perintah pilihan raya kecil.

Di luar mahkamah, Abu Hassan memberitahu pemberita beliau menerima keputusan itu dan menyerahkan kepada peguamnya, Datuk Hafarizam Harun, untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

SPR diwakili peguam kanan persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said. - Bernama

Malaysiakini

Monday, November 16, 2009

Anwar: Tubuh Pasukan Professional Siasat Pendedahan Bala - TVS

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkuasa menyiasat pendedahan terkini penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Namun Anwar menggesa satu pasukan profesional diwujudkan menyiasat dakwaan penyiasat upahan rakan karib Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda ini.

“Sepatutnya ada satu siasatan yang rapi. Ini hanya satu pandangan dari Balasubramaniam yang diambil sebagai penyiasat persendirian oleh Razak Baginda, sepatutnya ada siasatan rapi,”katanya.

Laman web Free Malaysia Today melaporkan pendedahan terbaru dari bekas anggota Cawangan Khas ini. Bala dilaporkan sebagai berkata sejumlah RM5 juta ringgit ditawarkan kepadanya supaya menarik balik akuan bersumpah terhadap Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

“Soalnya dinegara kita, bila bersangkut paut dengan pembesar UMNO, siasatan itu jadi remeh,”katanya.

Free Malaysia Today turut melaporkan bahawa saudagar permaidani bernama Deepak yang dikaitkan dengan isteri kepada Perdana Menteri, Rosmah Mansor, membuat sogokan itu.

Anwar bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak bertanggungjawab untuk menyiasat.

“Saya tidak mahu buat apa-apa keputusan, berlaku adil dan buat siasatan rapi oleh pasukan yang professional dan bebas,”katanya.

TVS

Anwar isytihar perang pertahan S'gor - Malaysiakini

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengisytiharkan perang terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bercita-cita untuk merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat.

"Serangan daripada pusat, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata nak rampas, walau tidak secara langsung tapi maksudnya begitu. Najib bukan saingan kepada menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim..

"Sekarang silakan Najib. Masuk sahaja dan sentuh Selangor, kita bertempur habis habis-n," katanya.

Najib juga merupakan pengerusi perhubungan Umno Selangor dan pengerusi BN.

Anwar berkata demikian dalam ucapatama dalam konvesyen PKR Selangor di Dewan Jubli Perak Shah Alam pagi ini.

Kira-kira 1,500 perwakilan daripada 22 cabang PKR di negeri ini memberi tepukan gemuruh ekoran pengisytiharan perang itu.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata serangan untuk merampas Selangor, dapat dilihat daripada beberapa isu yang cuba ditimbulkan untuk melemahkan kepimpinan Khalid yang juga pengerusi PKR negeri.

"Hari-hari serang Tan Sri Khalid. Tak habis dengan isu lembu untuk hari raya korban, dia serang dengan isu kepala lembu. Kita jangan ingat (serangan) selesai. Kalau kita rasa selesai, kita silap.

"Bila PM (perdana menteri) nak serang dan rampas, dia akan guna segala jentera. Mungkin dia gunakan kata-kata yang lunak, ia manis bagaikan madu tetapi ia umpama racun bisa bagaikan hempedu," katanya.

Katanya, perkara itu juga menjadi antara sebab utama beliau menerima tawaran Khalid yang juga pengerusi PKR Selangor untuk menjadi penasihat ekonomi negeri itu.

"Saya datang untuk bantu kerajaan negeri dan rakyat dan tidak mahu menimbulkan ketegangan politik. Saya mahu (tugas) menteri besar menjadi lebih kukuh.

"Jangan ada anak-anak kecil yang nak bermain-main di sini, saya datang kerana ada pengalaman. Kalau ada anak kecil main-main, kita tangkap dan lempar keluar," katanya

Anwar juga berjanji untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan mempertahankan ekonomi negeri itu.

Beliau berkata, ini kerana laporan ketua audit negara menjelaskan bahawa prestasi dan rekod baik telah ditunjukkan oleh Khalid dan ia tidak pernah dicatatkan oleh menteri besar sebelum ini.

Dalam ucapan itu juga Anwar optimis bahawa kerajaan Selengor di bawah Pakatan Rakyat dapat dipertahankan dalam pilihanraya akan datang dan prestasinya juga akan jauh lebih baik daripada pilihanraya Mac tahun lalu.

"Ini markas kita, ini kubu kita. Dia datang sentuh, kita lesing dia," katanya yang sekali lagi mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Dalam sidang media selepas itu, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh menjelaskan bahawa pengisytiharan perang itu adalah tindak balas terhadap pengisytiharan Umno untuk merampas kembali Selangor.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang melibatkan pembangunan dan kepentingan rakyat.

"Kita tentunya akan bertahan dan serang balas (jika ada serangan). Dan pendekatan kita dari awal, dari segi kerajaan adalah kerjasama, bukan lawan. Dan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan.

"Kalau urusan pembangunan ikut lunas yang baik dan lunas demokrasi, kita ikut dan bukan bermaksud untuk melawan," katanya.

Malaysiakini

Friday, November 13, 2009

Kabinet baru PKR Pulau Pinang - Harakah

PERMATANG PAUH, 13 Nov: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Dr.Mansor Othman telah melantik dua exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menganggotai Majlis Pimpinan PKR Negeri Pulau Pinang yang baru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tambun, Law Choo Kiang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani. Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir telah dilantik menjadi Timbalan Pengerusi PKR Negeri Pulau Pinang.

Manakala Adun Batu Maung. Abdul Malik Abul Kassim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah dilantik sebagai Naib Pengerusi.

Dua lagi Naib Pengerusi yang dilantik ialah Adun Sungei Bakap, Maktar Shafie serta Adun Batu Uban, S.Raveentharan.

Dalam pelantikan tersebut Senator Mustafa Kamal Mohd Yusoff kekal sebagai Setiausaha.

Tiga timbalan setiausaha yang telah dilantik ialah Ong Eu Leong sebagai timbalan setiausaha 1, Johar Othman sebagai timbalan setiausaha 2 dan Abd Rahman Ismail sebagai timbalan setiausaha 3 Majlis Pimpinan PKR Negeri Pulau Pinang.

Bendahari yang telah diberi kepercayaan oleh kepimpinan ialah Francis Joseph manakala timbalan bendahari(dana)ialah Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Ketua Penerangan yang dilantik ialah Timbalan Speaker Dun Negeri Pulau Pinang, Tan Hock Leong yang juga Adun Machang Bubok.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff kekal sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri.

Ketua Wanita juga kekal ditangan Norhayati Jaafar.

Dr.Mansor berkata demikian semasa sidang media yang telah diadakan di Yayasan Aman, Penanti.

Dalam pada itu bekas Pengerusi PKR Negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim dalam satu kenyataan berharap penyusunan semula kepimpinan PKR Negeri Pulau Pinang mampu mengangkat martabat PKR sebagai sebuah parti yang terulung bagi memperjuangkan kebenaran dan keadilan bagi seluruh rakyat negara ini.

Harakah

Nik Aziz batal hasrat ke tanah suci - Harakah

KOTA BHARU, 13 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan hasratnya untuk menunaikan haji ke tanah suci 18 November ini.

Menurut laporan beberapa blogger Kelantan, Nik Aziz mengumumkan perkara itu sewaktu menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, Kota Bharu pagi tadi.

Perkembangan terbaru itu didakwa ada kaitan dengan serangan pihak tertentu yang mempolemikkan tajaan untuk beliau mengerjakan haji.

Namun difahamkan, Nik Aziz tidak menyatakan sebab sebab pembatalannya itu dan hanya menyatakan beliau dan menantunya telah di fitnah dan di khianati.

Nik Aziz sebelum ini dilaporkan mengakui menerima pembiayaan untuk menunaikan ibadah haji bernilai RM65,000 selama dua minggu.

PAS kelantan sebelum ini mempertahan Nik Aziz yang menerima tajaan tersebut kerana menganggapnya biasa berlaku kepada orang alim dan guru-guru pondok di negeri itu.

Mereka juga yakin, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membangkitkan isu itu adalah sekadar mencari modal politik.

Harakah