Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, August 27, 2009

MCA pecat Timbalan Presiden Soi Lek - mStar

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dipecat daripada MCA - berkuat kuasa serta-merta berikutan kes skandal seks beliau yang terpapar dalam DVD akhir 2007.

Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat ketika mengumumkan berkata, mesyuarat Majlis Presiden MCA menerima dengan sebulat suara cadangan Jawatankuasa Disiplin parti untuk memecat bekas Menteri Kesihatan itu berikutan kes tersebut.

"Di bawah Artikel 127(A) perlembagaan parti Dr. Chua dibenarkan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Pusat dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan itu diterima oleh beliau daripada Majlis Presiden.

"Menurut Artikel 128 perlembagan tersebut, keputusan jawatankuasa itu adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan oleh atau di mana-mana mahkamah.

"Kita lakukan keputusan ini dengan berat hati setelah memberikan pertimbangan yang sewajarnya kerana perbuatan beliau itu telah menjejaskan imej parti," tegas beliau dipetik Bernama.

"Keputusan ini dibuat demi kepentingan parti," kata Ong pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Presiden yang bersidang hampir enam jam bermula pukul 7 petang semalam.

Ong juga berkata, beliau akan menjelaskan keputusan majlis itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

"Kita, sebagai anggota Majlis Presiden akan bersatu dan memikul tanggungjawab bersama berhubung keputusan ini," katanya tanpa menjawab sebarang soalan yang dibangkitkan oleh pemberita yang menunggu begitu lama untuk mengetahui keputusan mesyuarat penting itu.

Sementara itu, Dr. Chua berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin.

Dr. Chua meninggalkan mesyuarat itu sebelum keputusan pemecatan beliau diumumkan. Bagaimanapun beliau berkata, sebagai anggota yang cinta dan taat setia kepada parti beliau menghormati keputusan dan perakuan yang dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin dan Majlis Presiden.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Disiplin dan Majlis Presiden, beliau berkata: "Sama ada merayu atau tidak merayu, saya belum memikirkan lagi mengenai keputusan itu".

Beliau juga turut menegaskan, tidak akan menyertai parti pembangkang.

mStar

No comments: