Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, February 19, 2010

Anwar Dalam Bicara 4 - PerakExpress

Oleh: Amin Ahmad

Ada komentar yang mengatakan bahawa siri tulisan ini menyerang peribadi Saiful. Ia nampak macam betul kerana itulah perspektif yang mahu diambil mereka dan itulah yang mereka buat pada Anwar Ibrahim. Tapi satu perkara yang berbeza ialah mereka beria-ia mempertahankan bahawa Anwar Ibrahim pesalah sedangkan siri artikel ini menyatakan beberapa fakta dan juga cadangan agar peguam dan sesiapa juga bersikap kritis kepada Saiful Bukhari.

Ramai menganggap Anwar tidak memberi keadilan kepada Saiful Bukhari berikutan acapkali kes yang ada tertangguh. Hakikatnya, peguam Saiful dan Saiful sendiri yang tidak serius mengendalikan kes ini kerana tidak mematuhi undang-undang misalnya dalam penyerahan bukti kes untuk disemak dan disediakan hujah balas.

Sebab itu saya katakan bahawa mereka sedang menggunakan taktik ‘mind game’ untuk menanam keraguan demi keraguan kepada Anwar Ibrahim. Di samping itu, jika kita membaca dan mendengar penjelasan di mahkamah, Saiful ternyata mengulang naratif 1998 iaitu cukup dengan memalitkan imej negatif kepada Anwar untuk dipanjangkan media kepada massa.

Percayalah, jika mereka sudah cukup puas dan mati hujah dalam pengendalian kes ini, mereka akan cuba menunjukkan mereka kalah dari segi teknikal. Dalam kes 1998, mereka cuba menggambarkan melalui hakim kononnya hakim percaya kes memang berlaku tapi tak ada bukti kukuh. Saya tidak tahu ke mana para hakim mahu meletakkan imej institusi kehakiman dengan komentar demikian. Apa hak hakim untuk membuat ulasan bersifat peribadi. Jika hakim ada asas untuk percaya, tentu saja kes itu tidak habis sebegitu sebaliknya para Pendakwa Raya kes 1998 akan cuba menterjemahkan keyakinan hakim.

Begitulah rakyat mahu dibodohkan oleh mereka. Dan saya tidak hairan dengan segelintir rakyat yang memilih untuk diperbodohkan.

Dalam tulisan lepas, saya mengatakan bahawa maklumat dari pejabat Anwar keluar bukan saja kepada Saiful, tetapi dipanjangkan kepada pihak ketiga. Saya tidak tahu secara pasti, tapi saya percaya peguam boleh menyoal tentang ini. Jangan terkejut kerana hujah konspirasi akan dijawab hakim sebagaimana Augustine Paul (kini mendiang) – tidak relevan.

Saya percaya kerana khabarnya Saiful ada bertemu Rodwan, pegawai polis yang turut sama terlibat dengan kes 1998 di satu bilik sebuah hotel. Setakat ini belum ada kenyataan penafian daripada Rodwan dan Saiful sendiri meskipun maklumat ini telah disebarkan berbulan lamanya.

Tentu saja mereka tertanya bagaimana Raja Petra atau Anwar mendapat maklumat ini? Saya tidak tahu, tapi jujurnya ia menambahkan rasa yakin orang ramai kepada sumber maklumat melalui jaringan mereka. Ya, pendekatan jurnalis penyiasatan memang tidak popular di Malaysia, dan Raja Petra dilihat agak ke hadapan.

Anwar pernah membuat makluman bahawa tuduhan Saiful kepadanya ada bersabit dengan laporan polis yang mahu dibuat kepada Peguam Negara dan Ketua Polis Negara berkaitan kes 1998. Mungkin maklumat ini berguna untuk ditunjukkan sama ada berlaku hubungan antara Saiful dengan kedua penjawat awam ini.

Sebetulnya semasa hari Saiful membuat laporan polis, saya sedang membantu Institut Kajian Dasar (IKD) menjalankan Seminar Kebijakan (baca: dasar) untuk aktivis Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Hotel Quality. Saya tidak tahu waktu sebenar Saiful membuat laporan, tapi saya menyedari bahawa Anwar mendapat maklumat ini sekitar waktu Maghrib.

Hotel Quality mulai dipenuhi orang ramai kemudian – ia mungkin kerana maklumat melalui Berita TV.

Seminar kami hampir tergendala kerana peserta tinggal separuh bila yang lain mulai mengawal keadaan dan juga berbincang dengan Anwar. Saya tidak tahu bila dan bagaimana Anwar dibawa keluar dari hotel tetapi kemudian saya difahamkan beliau berlindung di Kedutaan Turki.

Ramai yang mempertikai kononnya Anwar penakut. Hakikatnya, Anwar dinasihat ke sana berikutan isu keselamatan dan juga kebarangkalian beliau ditangkap atas tuduhan jenayah (meskipun belum dibuktikan!).

Kehilangan Saiful memang tiba-tiba. Saiful mendakwa 26hb kejadian berlaku, 27hb di majlis AIC dan beliau sempat singgah ke pejabat PKR di Tropicana dan selepas itu gagal dihubungi. Tiba-tiba difahamkan Saiful ada mengirim e-mel ‘letak jawatan’ kerana alasan disiplin. Wow, letak jawatan tanpa surat lantikan!

Kita wajib berasa aneh bila Najib bertukar alasan tentang dakwaan Saiful berjumpanya. Najib memang tidak ada pilihan. Beliau tidak dapat menafikan pertemuan ini kerana tentu saja beban besar akan ditanggungnya jika pertemuan ini dapat dibuktikan terjadi. Maka alasan yang diberi ialah urusan biasiswa. Di situ ia mengundang tawa. Wah, hebatnya Saiful!

Dan akhirnya Najib mengakui bahawa Saiful datang kepadanya ‘mengadu’ dan ‘kelihatan trauma’. Semudah itu Saiful mendapat ruang bertemu Najib! Agaknya rakyat didahulukan itu merujuk kepada Saiful!

Memang wajar hal ini dipersoal kerana aktivis mahasiswa dan NGO misalnya, jangan harap semudah itu dapat berjumpa Perdana Menteri! Menteri pun sukar! Paling tidak pun hanya dapat bertemu pegawai khas!

Ops, jangan lupa bahawa ketika itu Najib hanya seorang Timbalan Perdana Menteri!

PerakExpress

No comments: