Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Penanti. Show all posts
Showing posts with label Penanti. Show all posts

Thursday, July 23, 2009

Penduduk Kampung Buah Pala telah capai kata sepakat, kata Lim - mStar

PULAU PINANG: Kerajaan negeri dan penduduk Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor dekat sini telah mencapai kata sepakat berhubung isu kampung berkenaan dan akan mengadakan pertemuan semula Jumaat ini, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri dan penduduk berkenaan telah bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 24 wakil penduduk di pejabatnya di Komtar, di sini, semalam.

Ditanya mengenai hasil perbincangan, Lim berkata perjumpaan kali kedua itu berjalan lancar dalam suasana harmoni.

Kontroversi pemilikan tanah kampung itu timbul apabila kerajaan negeri menjual tanah seluas 2.6 hektar di situ kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang Bhd.

Bagaimanapun, koperasi itu melantik pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd., untuk membangunkan kawasan itu dan mendapat perintah mahkamah supaya penduduk kampung berkenaan mengosongkan tanah mereka sebelum 3 Ogos ini. BERNAMA

mStar

Wednesday, June 3, 2009

Mansor angkat sumpah sebagai TKM 1, P. Pinang - mStar

PULAU PINANG: Anggota Dewan Undangan Negeri Penanti Mansor Othman hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di kediaman rasminya di Seri Mutiara di sini hari ini.

Pada istiadat itu, Mansor, 59, menerima surat pelantikan, diikuti dengan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Timbalan Ketua Menteri I.

Mansor yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainal Rahim Seman.

Sementara itu Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan rombakan kecil dalam portfolio anggota exconya selepas pelantikan Mansor.

Lim berkata antara yang berubah adalah yang membabitkan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh beliau sendiri yang sebelum ini dipegang bekas Adun Penanti Mohammad Fairus Khairuddin; Wong Hon Wai, dan Law Heng Kiang.

Katanya beliau kini menjadi pengerusi Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pembangunan Keusahawanan, Penerangan dan Warisan Negeri, manakala jawatankuasa Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat Pulau Pinang kini dipengerusikan oleh Mansor sebagai TKM I.

"Wong Hon Wai pula akan mempengerusikan jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian Negeri," katanya kepada pemberita selepas upacara mengangkat sumpah di sini hari ini.

Beliau berkata Law Heng Kiang kini akan hanya mempengerusikan jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri.

"Kami merasakan portfolio exco ini perlu digilirkan untuk mereka yang kami rasa dapat merealisasikan potensi bekerja untuk rakyat," katanya.

Lim berkata beliau juga akan mengambil alih jawatan sebagai pengerusi InvestPenang, sebuah agensi penggalakkan pelaburan kerajaan negeri, yang sebelum ini dipegang oleh Abdul Malik Abul Kassim. BERNAMA

mStar

Tuesday, June 2, 2009

Penanti: Muhyiddin tak iktiraf Khairy pemimpin BN? - Harakah

PILIHAN Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, Pulau Pinang telah berakhir. Bagai dijangka pelbagai pihak sedari awal, keputusan pengundian pada Ahad (31 Mei) lalu memihak kepada Parti Keadilan Rakyat (KeADILan).

Calonnya, Dr Mansor Othman, menang besar ke atas tiga pencabarnya. Beliau memperolehi 6,052 undi sekaligus mengatasi pencabar terdekatnya, Nai Khan Ari Nan Keow dengan majoriti 5,558 undi.

Ahli parti Gerakan itu mendahulu tiga calon Bebas dengan pungutan tertinggi 494 undi. Di belakangnya ialah Aminah Abdullah (392 undi) dan Kamarul Ramizu Idris (56). Ketiga-tiga mereka hilang wang pertaruhan.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran perletakan jawatan penyandang kerusi berkenaan dari KeADILan, Mohamad Fairus Khairuddin, 16 April. Pada Pilihan Raya Umum 2008, Fairus menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dato' Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi. Calon KeADILan itu memperolehi 7,346 undi berbanding Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh itu yang mendapat 5,127 undi.

Meskipun berjaya meningkatkan majoriti kemenangan lebih dua kali ganda, undi diraih Mansor menampakkan kemerosotan sebanyak 1,294 berbanding pilihan raya lalu. Ia dikaitkan dengan berbagai kemungkinan. Faktor paling menyerlah ialah kemerosotan jumlah pemilih yang keluar mengundi.

Hanya 7,100 daripada 15,384 pemilih berdaftar keluar melaksanakan tanggungjawab mereka, Ahad lalu. Jumlah itu membentuk hanya 46.15 peratus dan merekodkan peratusan mengundi terendah dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Semua pihak boleh bersetuju bahawa faktor utama kemerosotan sebegitu ketara adalah kesan langsung ketiadaan BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mensasarkan tidak kurang 70 peratus pemilih akan keluar mengundi. Pihaknya juga telah membuat kempen menggalakkan orang ramai keluar mengundi.

?Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian awal, ia (peratus keluar mengundi rendah) berpunca daripada keputusan Barisan Nasional tidak bertanding,? kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Pendirian BN tak tetap

BN mengambil pendirian memboikot pilihan raya kecil tersebut. Alasan diberikan adalah pelbagai, dari dalih ekonomi, kemasyarakatan hinggalah kepada hujah politik. Sementara pelbagai pihak mempertikaikan segala hujah dan dalih BN itu, pendiriannya untuk tidak bertanding tetap dihormati.
Masalah timbul apabila BN bukan sekadar tidak ikut bertanding. Ia menggunakan segala ruang dan peluang dimilikinya untuk memberikan gambaran sangat negatif terhadap pilihan raya kecil di Penanti. Seluruh saluran media dan alat propaganda BN dimanipulasi secukupnya bagi mewajarkan tindakan BN memulaukan pilihan raya berkenaan.

Persepsi umum cuba dibentuk bahawa ia suatu pembaziran masa, tenaga dan wang rakyat. Malah ia turut digambarkan sebagai suatu mainan politik pembangkang yang memuakkan rakyat.

Sebab itu sejak awal pilihan raya tersebut bermula sudah ada pemerhati dan penganalisis politik meramalkan peratusan keluar mengundi yang rendah. Kebanyakan mereka mengaitkannya dengan sentimen kepartian yang dimiliki para pengundi BN.

Apa pun sikap dan pendirian diambil para pengundi terbabit, ia adalah hak peribadi mereka yang perlu dihormati. Bagaimana pun, apabila ia dikaitkan dengan gesaan dan nasihat berterusan para pemimpin BN agar pemulauan parti itu membuahkan kejayaan, maka tidak dapat tidak perlu diakui bahawa parti itu turut ada saham di atas kemerosotan peratusan keluar mengundi di Penanti.

Hasut pengundi

Apatah lagi media turut menyiarkan kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang secara terbuka menasihatkan pengundi di Penanti agar tidak keluar mengundi.

Akhbar harian pada Khamis (28 Mei) memetik Khairy yang menganggap pilihan raya itu sebagai memperlekehkan institusi demokrasi yang diamalkan di negara ini. Sepertimana para pemimpin BN lain, beliau turut menyandarkan hujahnya atas wewenangan Mohamad Fairus mengosongkan kerusi Penanti.

Saranan itu mendapat reaksi hangat pelbagai pihak. PAS menyifatkan kenyataan itu satu cubaan menghasut pengundi dan meminta SPR mengambil tindakan terhadap Khairy.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menganggap kenyataan itu tidak bertanggungjawab dan berniat menghalang proses pilihan raya. Beberapa ahli akademik turut mempertikaikan kewajaran kenyataan itu.

Halang bersuara

Dalam reaksinya, Khairy tidak menafikan kenyataannya itu. Sebaliknya beliau menganggap usaha membantah saranannya itu sebagai menghalang hak beliau bersuara. Apatah lagi seruan beliau itu memang bertepatan dengan pendirian BN dan sikap ditunjukkan segenap media kroninya.

Justeru, apabila peratusan keluar mengundi di Penanti benar-benar menjunam ke bawah 50 peratus, semua pihak menuding jari ke arah BN sebagai faktor utamanya.

Amat melucukan, hakikat itu cuba dinafikan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau sebaliknya menegaskan sebarang cubaan mengaitkan peratusan keluar mengundi yang rendah itu dengan BN hanyalah 'gimik' kempen pembangkang.

Apa pun, penafian Muhyiddin itu memberikan dua pengertian. Sama ada beliau memang tidak ambil tahu perbahasan hangat di media berhubung kenyataan Khairy yang menghasut pengundi itu, atau beliau tidak mengiktiraf Khairy sebagai salah seorang pemimpin utama dalam BN._

Harakah

Monday, June 1, 2009

PENANTI: Reaksi calon Bebas tewas - mStar

BERIKUT ialah reaksi kesemua calon Bebas yang tewas dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti.

AMINAH ABDULAH (BEBAS)

"Kak Min (Aminah) menerima keputusan ini dengan hati terbuka, Kak Min sedikit pun tak rasa kecewa dengan keputusan ini.

"Bagi Kak Min, keputusan ini ialah seperti kalah dalam kemenangan... Kak Min menang kerana berjaya mengurangkan peratusan undi yang dimenangi oleh PKR (Parti Keadilan Rakyat).

"Bagi Kak Min, jumlah orang keluar mengundi yang kecil ini ialah kerana penyokong Umno tidak keluar mengundi.

"Insya-Allah Kak Min akan cuba lagi pada masa-masa akan datang jika dipanjangkan umur, jumlah undi yang Kak Min terima pun taklah kecil sangat, nampaknya ada juga yang menyokong Kak Min."

NAI KHAN ARI (BEBAS)

"Saya tidaklah terlalu kecewa, tapi saya rasa sedikit kecewa kerana kalah di kampung saya sendiri iaitu di peti undi Telok Wang dan Sungai Lembu.

"Walau bagaimanapun saya menerima keputusan ini kerana pengundi telah membuat keputusan mereka untuk memilih pemimpin.

"Saya harap kepada Mansor (Othman) yang menang supaya dapat membantu rakyat dengan menumpukan kepada pembangunan di Penanti.

"Kalau ada peluang nanti, mungkin saya akan mencuba nasib pada masa yang lain, tapi matlamat saya ialah untuk membantu rakyat."

KAMARUL RAMIZU IDRIS (BEBAS)

"Nampaknya dari jumlah undi yang saya dapat, jelas menunjukkan masyarakat di sini menolak konsep keimanan yang ingin saya bawa.

"Mereka lebih mahukan pembangunan yang dijanjikan oleh calon-calon lain... bagaimanapun saya tidak akan berputus asa dengan matlamat saya untuk menubuhkan Parti Iman SeMalaysia.

"Ini adalah kekalahan saya kali kedua selepas Parlimen Bukit Gantang, saya terima keputusan ini dengan hati terbuka tanpa rasa kecewa."

mStar

Keputusan Rasmi Pilihanraya Kecil DUN Penanti

Dr. Mansor Othman (PKR) - 6,052
Aminah Abdullah (Bebas) - 392
Khan Ari (Bebas) - 494
Kamarul Ramizu Idris (Bebas) - 56

Dr. Mansor Othman PKR
Majoriti - 5558

Friday, May 29, 2009

Penanti: Perancangan yang tak menjadi - PerakExpress


Apabila Fairus Khairudin mengumumkan perletakan jawatan sebagi Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, UBN mencuba sedaya upaya untuk menghalang daripada berlakunya Pilihanraya Kecil Penanti.

Mesyuarat SPR ditangguhkan sebanyak dua kali untuk membolehkan UBN mencari jalan supaya PRK Penanti ini boleh dielakkan. Kali pertama SPR bermesyuarat pada hari Khamis hampir seminggu selepas Fairus meletak jawatan. Tetapi pengumuman keputusan mesyuarat ditangguhkan kepada hari Jumaat.

Pada hari Khamis..SPRM mengumumkan Fairus bebas dari semua tuduhan. Tujuannya adalah untuk membolehkan Fairus menarik balik perletakan jawatannya.

Pada hari Jumaat..SPR menangguhkan pengumuman kepada hari Isnin..untuk memberikan masa kepada Fairus menarik balik perletakan jawatannya dan mengelak pilihanraya kecil.

Keputusan SPRM membebaskan Fairus dari semua tuduhannya dibuat oleh SPRM Putrajaya..tanpa persetujuan SPRM Pulau Pinang. Malah SPRM Pulau Pinang yang kami hubungi pada malam 23 April memberitahu bahawa kes Fairus masih dalam siasatan dan mereka tidak tahu menahu tentang keputusan SPRM Putrajaya membersihkan Fairus.

Apabila Fairus masih dengan keputusannya untuk meletak jawatan..UBN mati akal..dan pada 27hb April..SPR terpaksa mengumumkan tarikh PRK Penanti.

Walaupun Najib mengumumkan PRK Penanti membazir..tetapi dalam diam mereka bersedia untuk bertanding. Dan arahan telah diberikan kepada semua ajensi kerajaan untuk bersiap sedia.

Pada 1 Mei..semasa kami ke Penanti…Umno sudah menaikkan bendera mereka di Penanti. Beberapa hari kemudian, Shahrizat dan Khairy sudah mula turun padang berjumpa petugas-petugas. Pasukan Polis juga sudah bersedia untuk turun dengan pasukan yang besar…mungkin ribuan anggota.

Dalam posting yang lalu…aku cerita tentang SUBTEK yang kecil kerana UBN tidak bertanding..tetapi semalam baru aku mendapat tahu…PDRM sebenarnya sudah bersedia dengan pasukan yang cukup besar untuk bertugas di Penanti.

Kepada mereka yang tinggal di Penanti mungkin tidak menyedari tentang MASTEK yang jauh lebih besar..tetapi mengapa diletakkan di Bukit Mertajam? Diluar kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Kalau nak tengok macam mana besarnya MASTEK ini…kena pergi Bukit Mertajam…berdekatan dengan pejabat DAP Bukit Mertajam.

Tinjauan semalam mendapati MASTEK ini masih dihuni oleh sekitar 30-50 orang SB.

Selepas PRK Penanti ini…diharapkan ada Ahli Parlimen yang akan bertanya berapakah jumlah kos polis di PRK Penanti. Sebab aku percaya…kos untuk membangunkan MASTEK ini akan menjangkau jutaan ringgit juga…sebab kontrak sudah dikeluarkan. Dan kita nak tengok adakah UBN tidak mahu membazir..takut bertanding atau masalah mereka sendiri.

Bila mendapati UBN tak kan boleh menang di Penanti..UBN merancang taktik kotor untuk menang. Dan Kak Min dijadikan kuda trojan untuk membawa misi ini. Banner-banner Amina Dola dan poster-poster calon Amina Dola ditaja oleh UBN. Memang banyak banner dan poster Amina Dola…siap dengan risalah-risalah.

Hari ini..SPR dan SPRM bersama-sama menyiasat tuduhan Amina Dola. Malah siap dengan tindakan yang akan diambil sekiranya Dr. Mansor didapati bersalah!

Orang yang baca undang-undang sikit pun boleh tau Akta Pilihanraya. Tak dak kes. Tu pasai yang PKR confident sangat.

Tapi orang Penang belum rasa macam mana orang Perak rasa. PKR Penang ikut undang-undang…UBN mana ikut undang-undang!

Kalau SPR lebih berkuasa dari Speaker..ini kan pulak Saifudin Nasution.

Semalam juga..polis sudah bertindak keras. YB Zuraidah Kamarudin diminta hadir ka Balai Polis untuk diambil keterangan kerana menyebut perkataan Altantuya dalam ceramahnya. Di Mengkuang Titi..polis merampas projector dan screen untuk menghalang PKR dari menunjukkan video-video kepada umum.

Macam-macam undang-undang baru diperkenalkan untuk mensabitkan PKR dengan kesalahan-kesalahan dibawah Akta Pilihanraya…dengan tujuan untuk menyingkir Dr. Mansor dari memenangi pilihanraya ini….secara teknikal.

PerakExpress

Thursday, May 28, 2009

Wanita sasar 70 peratus pengundi - SK

PENANTI,27 MEI (SK)-Wanita KeADILan mensasarkan 70 peratus pengundi di N12 Penanti akan memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Penanti, 31 Mei ini.

Ketua Wanita Keadilan, Zuraidah Kamaruddin berkata terdapat peningkatan sebanyak tiga peratus selepas tiga hari penamaan calon lalu.

“Berdasarkan culaan mikro kita dapati sebanyak 60 peratus sokongan di termina sebelum penamaan calon dan telah meningkat sebanyak tiga peratus kepada 63 peratus setakat ini.

”Bilangan ini semakin bertambah bila dari semasa ke semasa disebabkan ramai pimpinan Pakatan yang turut untuk berceramah dan berkempen.

“Begitu juga dengan usaha culaan dari rumah ke rumah yang dilakukan wanita dan AMK yang juga memberi sumbangan yang besar kepada peningkatan sokongan kepada calon kita, Dr Mansor,”Kata Zuraidah

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, Wanita KeADILan mensasarkan 70 peratus iaitu sasaran yang realitinya boleh dicapai tetapi angka tersebut mungkin akan menjadi lebih tinggi.

“Angka 70 Peratus itu secara amnya hanyalah angka dasar yang kita boleh capai dengan mudah tetapi kita telah mengarahkan seluruh jentera wanita dan juga AMK untuk mengatur strategi yang lebih bersepadu.

“Kita juga amat berpuas hati dengan jentera dari komponen lain seperti PAS dan DAP yang memberikan kerjasama yang erat sejajar dengan kesepakatan Pakatan Rakyat.

“Begitu juga dengan program-program ceramah perdana dan ceramah kelompok, yang mana semua komponen parti berkerja keras bagi memastikan kemenangan calon pakatan,” jelas Zuraidah lagi.

Sehubungan itu menurut beliau setakat hari keempat tempoh hari kempen Wanita Keadilan telah pun tamat membuat culaan micro pering kat pertama dan akan disusuli dengan culaan kedua yang lebih padu sebelum pengundi membuang undi pada 31 Mei nanti.

Dun Penanti kosong ekoran perletakan jawatan Timabalan Ketua Menteri Pulau Pinang satu, Mohamad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu. Spr menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi pada 23 Mei dan 31 Mei.

N12 penanti mempunyai jumlah pengundi 15 384 dengan pecahan 72.6 % melayu. 24.2% Cina,2.4 India dan 0.7 % lain-lain.

Pada pilihanraya umum Mac 2008, Mohamad Fairus memperoleh 7 346 undi menewaskan calon BN, Abdul Jalil Majid yang mendapat 5,127 undi dengan majoriti 2 219 undi.

SK

Wednesday, May 27, 2009

PKR: Aminah Peralatkan Kawan Untuk Di Jadikan Senjata Politik - TVA

Calon bebas Aminah Abdullah memerangkap dua kenalan beliau dari Parti Keadilan Rakyat dengan menjemput mereka untuk makan tengah hari dan kemudian merakamkan perbualan peribadi antara mereka untuk dijadikan senjata politik bagi menfitnah PKR.

Pengarah Pilihanraya PKR Saiffudin Nasution berkata Aminah, bekas pemimpin PKR di Pulau Pinang, sememangnya mempunyai hubungan baik dengan dua ahli berkenaan.

Saifuddin berkata dua ahli PKR itu telah menerima undangan Aminah untuk makan tengah hari seperti lazimnya.

Namun kali ini, Aminah bertindak merakamkan perbualan mereka untuk digunakan sebagai modal bagi meraih undi pada pilihanraya kecil Penanti Ahad ini.

Saifuddin berkata Aminah jelas bertindak tidak iklas terhadap dua rakannya itu, semata-mata dalam cubaan untuk menfitnah PKR.

“Mereka (Dua rakan Aminah) hadir makan tengahari, bahkan mereka dijemput untuk makan tengahari. Kemudian perbualan mereka dirakam. Kalau dijemput makan tengahari, tak perlulah rakam kalau tidak ada apa-apa niat,” kata Saifuddin.:

Saifuddin sekali lagi menegaskan bahawa PKR tidak pernah menawarkan sebarang imbuhan kepada Aminah dan segala perbualan yang dirujuk oleh calon bebas itu adalah bersifat peribadi antara beliau dan dua kenalannya itu.

Aminah mendakwa kononnya dua ahli PKR berkenaan dihantar oleh parti itu untuk menawarkan beliau pelbagai imbuhan bagi menarik diri daripada pada pilihanraya kecil Penanti.

Aminah mendakwa beliau kononya juga ditawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 jika menang pilihanraya kecil itu.

Namun pemerhati politik berpendapat, tidak masuk akal untuk PKR membuat tawaran seperti mana yang di dakwa oleh Aminah, kerana parti itu dalam keadaan selesa untuk mengekalkan kerusi Penanti.

Tambahan pula Aminah tidak mempunyai sokongan akar umbi di Penanti yang merupakan kubu kuat PKR dan Pakatan Rakyat.

Saifuddin berkata PKR akan membuat kenyataan lebih menyeluruh selepas peguam PKR selesai meneliti rakaman audio perbualan tiga jam antara Aminah dan dua kenalannya itu.

Parti itu juga akan menunggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyelesaikan siasatan bersabit tuduhan Aminah itu.

“Kenyataan yang disebut semalam menyentuh mengenai tuduhan tawaran wang dan jawatan,” kata Saifuddin. “Panel peguam telah dibentuk untuk meneliti rakaman audio ini dan sekiranya ada unsur-unsur seperti yang dituduh itu, maka ia akan disertakan dalam notis kepada calon berkenaan.”

Saifuddin berkata pada peringkat in, PKR berpendirian dakwaan Aminah itu bersifat fitnah yang bertujuan mencemar parti berkenaan dan cubaan terdesak oleh beliau untuk meraih sokongan pengundi.

PKR pagi ini telah menghantar notis guaman kepada Aminah, menuntut beliau memohon maaf kepada PKR dan berhenti mengaitkan parti itu kepada perbualan peribadi yang di rakamnya itu.

Saifuddin berkata setelah mendengar rakaman itu, beliau secara peribadi berpendapat Aminah menunjukkan minat mahu kembali ke pangkuan PKR.

“Komen saya adalah satu acara makan-makan, pertemuan antara sahabat dalam suasana mesra dan gelak-tawa,” kata Saifuddin. “Acara itu juga menunjukkan seperti ada hasrat untuk kembali menyertai parti. Itu gambaran yang saya dapat,” tambah Saifuddin.

TVA

Penanti: Konspirasi Amina Dola - Perak Express

Amina Dola…seorang calon Bebas yang tiba-tiba menjadi hits dikalangan media arus perdana. Mengapa tidak Ramizu ataupun Naikhan Ari? Apa keistimewaan Amina Dola sehinggakan menjadi kesayangan akhbar milik UBN?

Apabila UBN tidak bertanding…ramai orang beranggapan UBN takut kalah. Dan apabila Amina Dola mengumumkan akan bertanding di Penanti..lama sebelum hari Penamaan calon, aku sudah mula memikirkan yang bukan-bukan. Aku pernah cakap bahawa Amina Dola mungkin kuda Trojan Umno untuk memalukan PKR di Penanti. Tetapi..bagi mereka yang berfikir didalam lingkungan undang-undang…tidak ada apa yang perlu ditakutkan.

Amina Dola…seorang calon Bebas yang tiba-tiba menjadi hits dikalangan media arus perdana. Mengapa tidak Ramizu ataupun Naikhan Ari? Apa keistimewaan Amina Dola sehinggakan menjadi kesayangan akhbar milik UBN?

Apabila UBN tidak bertanding…ramai orang beranggapan UBN takut kalah. Dan apabila Amina Dola mengumumkan akan bertanding di Penanti..lama sebelum hari Penamaan calon, aku sudah mula memikirkan yang bukan-bukan. Aku pernah cakap bahawa Amina Dola mungkin kuda Trojan Umno untuk memalukan PKR di Penanti. Tetapi..bagi mereka yang berfikir didalam lingkungan undang-undang…tidak ada apa yang perlu ditakutkan.

Dalam pertemuan diantara Calon Penanti, Dr. Mansor dengan Bloggers Network Penang pada 1Mei 2009, kami merancang untuk membuat satu jaringan bloggers untuk melaporkan apa yang sebenarnya berlaku di Penanti supaya rakyat mendapat maklumat yang sebenar. Tetapi apabila UBN tidak bertanding…bloggers seolah-olah tidak diperlukan dan memang kami sendiri merasa bosan kerana tidak ada isu yang perlu diketengahkan.

Kalau setakat untuk menerangkan tentang kejayaan dan perancangan Pakatan Rakyat Pulau Pinang… penceramah yang ada pun boleh buat. Kami dari team Perakexpress hanya membuat tinjauan pada hari penamaan calon dan balik ke Ipoh keesokan harinya.

Tetapi pada petang hari kedua…Amina Dola dah mula buat kacau. Amina tak macam dua lagi calon Bebas..Ramizu dan Ari. Kedua-dua mereka turun kepadang untuk berkempen..berjumpa rakyat dipasar malam atau pasar pagi. Sebaliknya..Amina hanya mengadakan sidang akhbar..lepas satu…satu.

Malam tadi aku dapat tau…Umno juga sudah berkempen. Umno juga berceramah. Macam mana mereka dapat permit untuk berceramah sedangkan mereka tidak bertanding? Macam mana mereka boleh dibenarkan mengibarkan bendera kalau mereka tidak bertanding?

Di Bukit Gantang…bendera PKR diperintahkan turun kerana yang bertanding ialah Pas. tapi diPenanti…bendera Umno bukan sahaja bebas berkibar..malah mereka juga boleh berceramah!! Bagi orang Penanti…Umno telah melakukan kesalahan…tapi bagi orang Perak…ia sudah menjadi kebiasaan. Kalau Umno melanggar undang-undang..bukan luar biasa.

Bukan takat gantung bendera dan berceramah…di Perak, Umno boleh heret Speaker dan merampas DUN, boleh tangkap orang pakai baju hitam dan hari ini menangkap orang berpuasa. Apa yang Umno tak buat? Kesalahan bagi kita…sudah jadi kebiasaan pada Umno.

Pasal apa Umno nak sebok di Penanti kalau mereka tak bertanding? Mungkin menyesal pasal tak masuk bertanding?

Umno tak bertanding bukan pasal tak mau membazir atau tak ikut perlembagaan. Umno tak bertanding kerana gagal menyelesaikan isu calon.

Pemimpin pusat mahukan seorang calon profesional..anak tempatan…tapi Ketua Bahagian sendiri mahu bertanding. Umno tau..kalau Ketua Bahagian tidak dicalonkan…calon pilihan pusat sudah tentu akan terperosok…macam yang berlaku kepada Arif Shah dalam PRK Permatang Pauh dulu.

Arif Shah kalah bukan sahaja kerana pengundi mahukan Anwar…tetapi Arif Shah kalah teruk kerana sabotaj dari Ketua Bahagian..Abd. Jalil Abd. Majid.

Daripada kalah lebih teruk dan memalukan…Najib membuat keputusan untuk tidak bertanding. Dengan tidak bertanding…Umno tak perlu menanggung malu…sebaliknya…mereka merancang untuk merampas Penanti dengan bantuan SPR dan SPRM.

Najib merancang untuk merampas Penanti seperti mana dia merampas Perak. Dengan menggunakan mahkamah. Dan Amina Dola menjadi kuda trojan UBN di Penanti.

Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh Amina ialah cuba memerangkap pemimpin PKR yang baik dengannya. Dan dia berjaya menjemput Cheah Kah Peng dan Peter Lim kerumahnya untuk jamuan makan. Mereka memang berkawan baik sejak Amina masih dalam PKR.

Dalam jamuan makan tersebut…mereka bersembang dan bergurau…dan Amina bercerita tentang kekecewaanya terhadap PKR kepada Cheah. Dan Cheah cuba memujuknya untuk kembali kedalam PKR.

Aminah bercerita tentang pengorbananya didalam PKR…dan menilainya dalam bentuk wang…dan terkeluarlah jumlah RM80,000 ringgit.

Itu nilai pengorbanan Amina dalam PKR. Dan bagi Cheah Kah Peng…itu bukanlah jumlah yang banyak…dan kalau Amina mahu kembali kedalam PKR…Cheah sanggup membantunya untuk mendapatkan balik wang tersebut melalui peluang perniaagaan atau sebagainya.

Tanpa diketahui oleh Cheah…Amina merakam perbualan mereka dan perbualan tersebut lah yang menjadi bahan bagi Umno untuk membaham PKR di Penanti. Semuanya telah dirancang.

Dan sebaik saja Amina mengadakan sidang media…akhbar-akhbar Umno memberikan ruang yang cukup luas kepada tuduhan Amina tersebut. Mereka merasakan…tuduhan tersebut sudah cukup untuk menghilangkan kelayakan Dr. Mansor Osman dari bertanding. Dan mereka mahu meyakinkan rakyat bahawa sogokan wang itu benar-benar berlaku.

Dan itulah skrip yang dilakonkan oleh Amina hari ini apabila membuat laporan kepada SPRM.(lihat Malaysiakini)

Tetapi apabila Audio CD yang diedarkan itu didengari oleh SPRM Pulau Pinang…tak ada kes. Lagi pun peristiwa itu berlaku pada 13 Mei…lama sebelum Penamaan Calon! Dan Amina belum lagi memutuskan untuk bertanding.

Dan Amina menukar ceritanya lagi hari ini. Berlainan dengan apa yang diceritakannya tempoh hari.

“Aminah’s latest statement, however, contradicted what she said last Saturday after the nomination process, when she told journalists that she had been offered a cash bribe.

Dan dia akan terus berdalih..sehinggalah dia mendapat satu cerita yang boleh dipercayaai.

Amina masuk bertanding bukan untuk menang…tapi mahu menyingkir Dr. Mansor melalui SPR, SPRM dan mahkamah. Dan ini sudah menjadi ‘trade mark’ Perdana Menteri 1Malaysia.


Perak Express



Monday, May 25, 2009

Penanti: PKR nafi cuba sogok Aminah - Malaysiakini

PKR hari ini menafikan dakwaan Aminah Abdullah bahawa ia cuba memberi ganjaran kepada calon bebas itu supaya menarik diri daripada bertanding dalam pilihanraya kecil Penanti, 31 Mei ini.

Pengarah Strategi PKR Tian Chua mencabar mana-mana calon bebas termasuk Aminah yang membuat dakwaan itu supaya mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Jika ada sebarang bukti bahawa ada pemimpin atau mana-mana daripada kami (PKR) menawarkan ganjaran kewangan, laporkan kepada SPRM atau SPR," katanya, lapor Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Aminah semalam yang mendakwa akan mendedahkan bukti bahawa PKR cuba memberi ganjaran kepadanya agar berbuat demikian menjelang pilihanraya kecil DUN itu.

Aminah, 57, bekas ketua Wanita PKR Pulau Pinang, seorang daripada tiga calon bebas yang akan bertanding.

Dua lagi calon: pengurus syarikat yang juga bekas ketua Pemuda Gerakan cawangan Telok Wang, Penanti, Nai-Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Pengurus pilihanraya kecil Penanti dari PKR, Nasaruddin Nasution berkata, dakwaan Aminah itu mungkin disebabkan rasa tidak puas hati dengan mana-mana pihak dalam parti.

Malaysiakini

Friday, May 22, 2009

Empat calon menanti di Penanti setakat ini - KLpos

PP: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu satu calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga calon Bebas.
Proses penamaan calon akan berlangsung esok di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam dan hari pengundian pada 31 Mei.

Kehangatan dan kemeriahan pilihan raya kecil kali ini kurang dirasakan memandangkan Barisan Nasional (BN) pada Isnin lepas mengumumkan tidak bertanding bagi merebut kerusi itu.

Calon PKR yang akan bertanding merebut kerusi itu ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang Mansor Othman, 56, manakala ahli perniagaan Mohd Saberi Othman, 49, dan bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang Aminah Abdullah, 56, telah menyatakan hasrat bertanding sebagai calon Bebas.

Pengurus syarikat Nai Khan Ari, 41, yang telah mengambil borang pencalonan dijangka mengumumkan untuk bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu, hari ini. / Bernama


KLpos

Tuesday, May 19, 2009

BN enggan lawan PKR di Penanti - Malaysiakini

Seperti dimaklumkan lebih awal, Barisan Nasional tidak bersedia mencabar calon PKR pada pilihanraya kecil DUN Penanti yang bermula Sabtu ini, kata pengerusinya Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Perdana menteri juga menggariskan tiga sebab BN menolak untuk bertanding di kerusi tersebut.

Seperti dimaklumkan lebih awal, Barisan Nasional tidak bersedia mencabar calon PKR pada pilihanraya kecil DUN Penanti yang bermula Sabtu ini, kata pengerusinya Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Perdana menteri juga menggariskan tiga sebab BN menolak untuk bertanding di kerusi tersebut.

Malaysiakini

Anwar: Umno mungkin taja calon bebas di Penanti - Malaysiakini

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno tidak bertanding di Penanti kerana parti itu tidak sedia bertarung dan menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan.

Beliau yang juga ketua umum PKR berkata, alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak munasabah kerana ini pertama kali Umno tidak bertanding apabila ada kekosongan kerusi.

"Dalam apa jua alasan, jika ada kekosongan Pakatan Rakyat menyerahkan kepada kebijaksanaan dan keputusan rakyat.

"Hujah ini satu helah kerana Umno selalu tabik dada (mengaku) kuat dan relevan," katanya kepada wartawan selepas ceramah di Taman Medan Petaling Jaya malam tadi, sempena pelancaran kempen penerangan "Krisis Perak: Kembali Pada Rakyat".

Semalam, Dewan Tertinggi BN memutuskan tidak akan bertanding dalam pilihanraya kecil Penanti. Perdana menteri memberi tiga sebab BN menolak bertanding kerusi tersebut.

- Pertama, kekosongan kerusi itu bukan diperuntukkan oleh perlembagaan tetapi satu usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

- Kedua, pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

- Ketiga, BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan langkah memulihkan ekonomi negara.

Najib juga menafikan BN takut tewas di kerusi tersebut.

Ceramah dapat permit

Mengulas lanjut, Anwar bagaimanapun berkata, Pakatan menghadapi kemungkinan Umno akan menaja calon bebas di Penanti.

"Itu belum pasti, bagaimanapun Pakatan akan terus bekerja untuk menghadapi pilihanraya tersebut," katanya.

Sementara itu ketika berucap di majlis tersebut, Anwar mengulangi pendirian Pakatan yang mahukan DUN Perak dibubarkan dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan.

Katanya, Pakatan menghormati Istana tetapi yang membuat keputusan bukan Istana, bukan hakim tetapi rakyat.

"Di Perak kita yakin akan menang lebih besar kerana (rakyat) mahukan perubahan," katanya.

Selain Anwar, beberapa pemimpin Pakatan turut berucap di majlis tersebut.

Kira-kira 5,000 orang membanjiri kawasan lapang di Taman Medan untuk mendengar ceramah mengenai krisis politik di Perak.

Ceramah tersebut mendapat permit polis.

Malaysiakini

Saturday, May 16, 2009

Program DSAI di DUN Penanti - Sabtu 16 Mei 2009

5.30 - 6.30 Ptg
Program: Hi-Tea
Tempat: Sg. Semambu (Belakang Shell)

7.15 - 8.30 Mlm
Program: Solat dan Kuliah Maghrib
Tempat: Masjid Padang Ibu

8.40 - 9.45 Mlm
Program: Solat dan Kuliah Isyak
Tempat: Masjid Berapit

10.00 – 11.00 Mlm
Program: Ceramah Kelompok
Tempat: Mukim 9, Tanah Liat

11.00 -12.00 Mlm
Program: Ceramah Umum (Penceramah: YB Dr Hatta Ramli dan Sdr Mustafa Kamil Ayub)
Tempat: Kg Tok Elong


Friday, May 15, 2009

Anwar lawat Penanti esok - SK

KUALA LUMPUR, 15 MEI (SK) - Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim akan turut menghadiri beberapa program yang telah dianjurkan di Penanti esok.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh akan turut memberikan ceramah umum di Kampung Tok Elong, Penanti pada jam 10 malam esok bersama-sama dengan Naib Presiden KeADILan Mustafa Kamil Ayub dan Bendahari Pas Dr Hatta Ramli.

Pada petang itu, Anwar akan menemui komuniti cina dalam satu majlis minum petang di Semambu sebelum menyampaikan kuliah Magrib di Pasjid Padang Ibu.

Selepas itu, beliau akan bersembahyang serta akan menyampaukan kuliah Isyak di Masjid Berapit sebelum ke ceramah kelompok di Mukim 9, Tanah Liat.

Seluruh rakyat dijemput hadir.

SK

Saturday, May 2, 2009

Perang psikologi Umno di Penanti - Malaysiakini

Calon PKR di Penanti yakin Umno akan meletakkan calonnya di kerusi DUN tersebut dalam pilihanraya kecil yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, Mansor Othman berkata Umno malah akan memilih seorang calon yang berwibawa untuk menyukarkan laluannya.

"Bukan gaya Umno tidak bertanding, bukan budaya parti tersebut. Parti itu akan meletakkan calon walaupun ia mendakwa underdog (tidak mudah menang)," katanya.

"Umno sedang menggunakan (taktik) permainan psikologi dengan meletakkan kita (PKR) calon pilihan.

"Kita tidak boleh sambil lewa, terbawa-bawa atau tertipu dengan perang psikologi (Umno) ini. Kita mesti bersatu, berkempen bersungguh-sungguh dan menemui semua pengundi bagi memastikan kemenangan."

Ditanya peluang beliau memenangi pilihanraya kecil ini yang bermula 23 Mei ini, Mansor meletakkan "harapannya 60 peratus".

"Bukan kerana (saya) sombong atau terlalu yakin. Ia kerana Penanti berada dalam kawasan Permatang Pauh - kubu (penasihat PKR Datuk Seri) Anwar (Ibrahim).

"Beliau mempunyai sokongan kuat di kalangan pengundi Penanti," katanya lagi.

Malaysiakini

Thursday, April 30, 2009

Mansor Timbalan Ketua Menteri jika tawan Penanti - Guan Eng (mStar)

GEORGE TOWN: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mansor Othman, akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I jika memenangi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti bulan depan.

Ia diumumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebentar tadi.

Lim berkata kata putus itu dicapai dalam perbincangan yang diadakan semasa mesyuarat exco semalam.

"Exco menerima sebulat suara cadangan itu sekiranya Mansor menang dan menjadi anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti pada pilihan raya kecil itu nanti," katanya.

Bagaimanapun katanya, pada dasarnya beliau tiada bantahan berhubung cadangan itu bagaimanapun perbincangan bersama exconya perlu diadakan terlebih dahulu.

"Berilah peluang untuk kami berbincang dahulu dan saya berjanji esok akan umumkan keputusan berhubung isu itu," katanya.

Jawatan itu telah dikosongkan oleh penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin pada 8 April lepas kerana mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pascaijazah.

Mansor, 56, dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti 31 Mei ini, kelmarin.

mStar

Wednesday, April 29, 2009

Sdr Mansor Othman Sebagai Calon PKR di Penanti - Anwar Ibrahim


– KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA –
28 April 2009

(Permatang Pauh, Pulau Pinang) Sesudahnya tsunami politik Mac 2008, rakyat Malaysia kembali ke peti undi sebanyak lima kali. Empat darinya kita menyaksikan rakyat Malaysia memilih Pakatan Rakyat, yang kelimanya walaupun dicemari politik wang dan penipuan, menunjukkan betapa rakyat begitu mengidamkan perubahan dan politik baru di negara ini.

Mesejnya jelas. Rakyat Malaysia mahukan perubahan dan menidakkan pemerintahan BN yang dikuasai Umno. Mereka mendakap perjuangan Pakatan Rakyat yang mahukan rakyat bersatu padu dan berusaha membasmi rasuah serta memastikan tidak ada lagi kaum yang dipinggirkan, baik Melayu mahupun kaum bumiputera Sarawak dan Sabah.

Oleh itu saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan calon KEADILAN bagi kawasan Penanti pada pilihanraya 31 Mei ini ialah En. Mansor bin Othman. Beliau merupakan Ketua Bahagian KEADILAN Balik Pulau dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri KEADILAN Pulau Pinang. Beliau juga telah berkhidmat selama 10 tahun sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat dan Timbalan Pengarah Pilihanraya Pusat KEADILAN. En. Mansor Othman juga telah berkhidmat dengan saya yang pada ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri sebagai Setiausaha Politik dari tahun 1996-1998.

Beliau telah mencurahkan tenaga demi membawa pembangunan ke Pulau Pinang dan saya yakin beliau bersedia untuk berkhidmat untuk penduduk Penanti sepenuh jiwa dan raga.

En. Mansor merupakan pemegang ijazah sarjana dari Universiti Sains Malaysia dan sarjana falsafah serta sarjana sastera dari Universiti Yale. Beliau merupakan Profesor Madya di USM dan Pengarah Pusat Kajian Dasar. Beliau secara aktif berusaha meningkatkan taraf pendidikan dan program belia di Pulau Pinang dengan penglibatan sebagai ahli Jawatankuasa Pendidikan Masyarakat dan Jawatankuasa Program Pembangunan Belia. Sebagai exco PEMADAM, beliau bekerja keras meningkatkan kesedaran awam berhubung penyalahgunaan serta langkah-langkah pencegahan dari terlibat dengan dadah.

Melalui program TEKUN di mana beliau sebagai Pengurus Besar, En. Mansor Othman terlibat secara aktif dalam pembangunan usahawan bumiputera, bertujuan meningkatkan kemahiran usahawan kecil dan sederhana serta membiayai usaha mereka dengan pemberian kredit mikro.

Saya merakamkan ucapan penghargaan kepada YAB Ketua Menteri Lim Guan Eng kerana sudi bersama kita malam ini dan membuktikan kepada semua keteguhan kerjasama Pakatan Rakyat. Parti Keadilan Rakyat yakin DAP dan PAS pasti bersama-sama di dalam pihanraya kecil ini bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat.

ANWAR IBRAHIM

Sah! Mansor calon PKR pilihan raya kecil DUN Penanti - mStar

PETALING JAYA: Sah! Sebagaimana diramalkan sebelum ini bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mansor Othman akan diturunkan sebagai calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti mewakili Pakatan Rakyat.

Mansor merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang.

Ia diumumkan oleh Anwar yang juga Penasihat PKR di Yayasan Aman, Penanti dalam bahagian Permatang Pauh kira-kira pukul 10 malam tadi.

Menurut Anwar, Mansor akan dicalonkan untuk mengisi kekosongan kerusi Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang jika menang pilihan raya kecil ini.

Pengumuman mengenainya dibuat Anwar di hadapan kira-kira 1,000 penyokong.

Anwar berkata, pemilihan beliau sebagai calon adalah tepat berdasarkan latar belakang pendidikan yang tinggi, kekananannya dalam parti, seorang pemimpin yang matang dan kemampuannya menerajui perjuangan parti di negeri ini.

Mansor, 56, merupakan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dengan memiliki tiga ijazah sarjana.

Bekas Prof Madya di Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM) itu memegang Sarjana Sains Kemasyarakatan dari USM serta Sarjana Sastera dan Sarjana Falsafah (M.Phil) dari University of Yale.

Anwar berkata, lewat petang semalam beliau telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

"Mereka telah dimaklumkan mengenai cadangan calon Keadilan dan memberi perakuan untuk sama-sama membantu kempen PRK DUN Penanti kelak," kata dalam blog beliau.

Beliau merupakan antara pesaing utama untuk menjadi calon PKR pada pilihan raya kecil berkenaan.

Difahamkan, Mansor menjadi pilihan utama memandangkan beliau tidak dicalonkan mewakili PKR sebagai senator oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.

Mansor pernah bertanding di peringkat DUN ketika pilihan raya umum Mac 2008.

Pilihan raya kecil Penanti adalah pilihan raya kecil keenam yang diadakan selepas pilihan raya umum pada 8 Mac tahun lepas.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei sebagai hari penamaan calon dan 31 Mei sebagai tarikh mengundi bagi pilihan raya kecil Penanti.

Kerusi Penanti kosong apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan jawatannya.

Pada Mac 2008, Fairus menewaskan calon BN.

mStar

Tuesday, April 28, 2009

Pengumuman Calon KeADILan Bagi PRK DUN Penanti - Anwar Ibrahim

Pengumuman rasmi calon KeADILan bagi PRK DUN Penanti akan dibuat 9 malam ini di Yayasan Aman, Penanti InshaAllah.

Ketua Menteri merangkap Setiausaha Agung DAP, YAB Lim Guan Eng, wakil MB Kedah dan pimpinan KeADILan Negeri menyatakan komitmen untuk turut hadir.

Lewat petang semalam saya telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadhiri oleh Tuan Guru Abd Hadi Awal dan YB Lim Kit Siang. Mereka telah dimaklumkan mengenai cadangan calon KeADILan dan memberi perakuan untuk sama-sama membantu kempen PRK DUN Penanti kelak.

Sementara itu pimpinan Umno masih terus membelek kitab dan meneliti fakta sebelum membuat keputusan muktamad samada bertanding atau tidak. Datuk Sri Najib membayangkan bahawa Umno tidak bersedia bertanding demi menjimatkan belanja. Namun amat sukar buat beliau mengenepikan saranan Tun Dr. Mahathir untuk tetap bertarung ‘demi maruah dan tradisi Umno-BN’.

Manakala ditanya, saya sekadar menjawab, saya yakin dengan kematangan, kebijak-
sanaan sanak saudara dan rakan taulan saya di Penanti dan Permatang Pauh, inshaAllah.

ANWAR IBRAHIM