Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label SPR. Show all posts
Showing posts with label SPR. Show all posts

Thursday, May 20, 2010

SPR Didakwa Cuba Seleweng Undi Pos - SK

PUTRAJAYA 19 Mei - Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke membuat aduan rasmi berhubung kelemahan proses perjalanan pilihan raya kecil Sibu Ahad lalu di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya petang tadi.

Turut hadir menyerahkan aduan kepada SPR termasuk Ketua Penyelaras Ajen Mengundi DAP, Vincent Wu, Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan, Mary Josephine dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.

"Kita amat tidak berpuashati dengan beberapa perkara yang berlaku dalam PRK Sibu, terutamanya mengenai pengiraan undi pos," kata Loke kepada media selepas menyerahkan aduan kepada SPR.

Loke berkata petugas undi pos Pakatan Rakyat mendapati sewaktu penjumlahan undi pos dilakukan, terdapat beberapa kod undi yang jumlah pemulangannya melebihi dari jumlah yang dikeluarkan. Ia melibatkan Kod 708, iaitu 6 undi dikeluarkan dan 24 yang kembali, Kod 429, 160 yang dikeluarkan dan 161 yang kembali serta Kod 43, sebanyak 47 undi dikeluarkan dan 67 yang kembali.

"Ini tak boleh berlaku kerana undi yang diterima tidak boleh bertambah. Kalau undi yang kembali menjadi sedikit, itu logik, sebab mungkin ada orang yang tak mengundi, dan memang itu hak dia. Kalau ada lebihan, bermakna kertas undi itu tidak dikeluarkan oleh SPR," jelasnya.

Beliau memaklumkan setiap undi pos perlu dikembalikan bersama satu surat akuan yang perlu ditandatangani oleh seorang saksi.

Namun petugas Pakatan Rakyat membantah apabila meragui surat akuan tersebut selepas mendapati banyak sampul yang tidak mempunyai tandatangan.

Bantahan tersebut diterima oleh Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya tetapi seorang pegawai SPR Pusat yang bernama Ismail campur tangan dan mengarahkan beliau untuk menerima semula undi yang ditolak tersebut.

Ini berlaku sedangkan terdapat kesalahan pada sampul dan kertas undi terbabit

Petugas Pakatan Rakyat juga berjaya mengesan individu yang disyaki pengundi hantu.

Mereka turut merakam gambar dan mendedahkan terdapat beberapa individu yang mendakwa diri mereka adalah wakil kepada pengundi pos.

Loke turut mempersoalkan kelewatan pihak SPR untuk mengumumkan keputusan seperti mana yang dijanjikan.

Kelewatan 2 jam itu berpunca dari proses pengesahan pengiraan undi pos. SPR didakwa menangguhkan pengeluaran Borang 15 yang mengesahkan keputusan kiraan tersebut.

"Borang 15 itu adalah bukti pengesahan oleh pegawai SPR dan parti yang bertanding. Kami takkan tinggalkan tempat kiraan tanpa borang tersebut. Bahkan sampai hari ini pun kita masih belum terima borang tersebut," kata Loke.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempersoalkan kewajaran SPR untuk mewujudkan pusat pengundian di kawasan persendirian seperti rumah panjang.

"Sepatutnya pengundian dijalankan ditempat yang sah dan berkecuali seperti sekolah atau balai raya. SPR mesti ambil iktibar dari insiden seperti ini," jelas Loke lagi.

SK

Wednesday, May 5, 2010

Najib Tabur Janji Di Sibu, Mafrel Tegur Sikap SPR - TVS

SHAH ALAM 4 MEI: Badan Pemantau Bebas Pilihan Raya (Mafrel) meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menutup mata terhadap gelagat pimpinan kerajaan pemerintah yang menabur pelbagai janji peruntukan kepada pengundi Sibu.

Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata perbuatan menabur janji itu boleh ditafsir sebagai kempen pilihan raya dan tidak wajar berikutan proses penamaan belum pun bermula.

Beliau mengingatkan SPR, mereka perlu bebas bertindak mengikut lunas undang-undang tanpa perlu mematuhi telunjuk pimpinan Umno Barisan Nasional

Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjanjikan puluhan ribu ringgit kepada rakyat sibu atas kapasitinya sebagai perdana menteri sedangkan ia tak ubah seperti kempen pilihan raya.

Sekalipun mendakwa peruntukan berkenaan dibuat mengikut jadual tetapi anehnya, janji berkenaan hanya dibuat menjelang pilihan raya kecil yang bakal bermula 8 mei ini.

“Pilihan raya Sibu tak lama, sudah tentulah ia menjurus kearah itu. Minta SPR ambil perhatian," katanya yang menyifatkan janji peruntukan Najib sebenarnya lebih cenderung kepada umpan kepada rakyat untuk mendapatkan undi mereka semata- mata.

“Kita tidak menafikan perkara itu boleh dilihat sebagai satu bentuk gula-gula sebab ia berlaku dalam tempoh dekat dengan pilihan raya kecil," katanya lagi.

Mafrel menyatakan tidak salah untuk Najib turun padang bertemu rakyat tetapi perdana menteri ini perlu telus dalam tindakannya dan tidak memanipulasikan lawatan untuk berkempen.

“Apa-apa usaha berunsur kempen sebelum waktu kempen tidak sepatutnya berlaku.
Bukan bermakna Najib tidak boleh jumpa rakyat tetapi bergantung kepada kenyataan yang dibuat, Adakah bersifat kempen atau tidak. Ini memerlukan pemantauan dari SPR,” katanya.

TVS

Tuesday, April 20, 2010

SPR Akui Pindah Lokasi Pengundi, Proses Ambil Masa Enam Tahun - TVS

HULU SELANGOR 19 APR: Suruhanjaya pilihan raya hari ini mengakui memindah tempat pengundi tanpa pengetahuan pemilih tetapi memberi bermacam-macam alasan bagi menghalalkan proses pemindahan yang mengambil masa enam tahun.

Malah, SPR mendabik dada dengan mengatakan mereka berhak dan memiliki kuasa berbuat demikian mengikut Seksyen 7, Akta Pilihan Raya 1958 sekalipun ia mungkin menimbulkan keributan pada hari pengundian.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar pada satu sidang media mengatakan SPR berhak dalam menentukan sempadan kawasan pilihan raya.

Beliau menerangkan, persempadanan semula ini dibantu sistem satelit AEGIS sejak 2004 lagi dan Selangor adalah antara negeri yang sudah siap persempadanannya.

Bagaimanapun, beliau gagal sama sekali dalam memberi penjelasan munasabah mengapa proses ini mengambil masa sehingga enam tahun bagi mewartakan kawasan pengundian.

"Kita mula sistem AEGIS sejak pilihanraya Umum 11 selepas dapat kewangan kerajaan, bermula PRU 11 lagi tapi tidak boleh buat serentak. Buat secara berperingkat-peringkat. Negeri yang siap ialah Selangor," kata Wan Ahmad.

Wan Ahmad juga tersasul apabila cuba memberi penjelasan mengenai pewartaan melibatkan lebih 3,000 pemilih yang selama ini mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Tanjung dalam DUN Batang Kali.

Mengikut pewartaan itu, semua pemilih tersebut dipindah ke DUN Rawang pada pilihan raya kecil kali ini.

"Saudara kena faham, persempadan dibuat secara manual, sekarang ini secara komputer AEGIS. Kita kena buat persiapan betulkan lokaliti. Lokaliti paling kecil dalam peta pilihan raya ialah Tanjung.

"Bila letak di DUN Rawang, kita jadikan Polling District, kita keluarkan dari Sungai Choh. Kita akan warta ehhh memang kita warta," kata Wan Ahmad.

TV Selangor sebelum ini didatangi seorang pengundi, Mohd Ali Ismail yang sudah tiga kali mengundi di Parlimen Hulu Selangor sebelum tiba-tiba tanpa pengetahuannya dipindahkan ke Parlimen Selayang apabila membuat semakan daftar pemilih.

TVS

Wednesday, March 24, 2010

SPR: Kerusi Titi Tinggi tidak kosong - Malaysiakini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggap ADUN Titi Tinggi, Yip Sun Onn masih seorang wakil rakyat yang sah.

Menurut Pengerusinya,Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf, selagi peletakan jawatan itu belum dimaklumkan oleh speaker DUN Perlis kepada pihaknya, Yip masih wakil kerusi itu yang sah.

"Kami pun sedar melalui media elektronik dan cetak. Boleh jadi kamu tahu lebih banyak daripada kami. Secara rasmi, sehingga sidang media ini, tiada makluman daripada speaker," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk seri Najib Razak memberi jaminan bahawa Yip, tidak akan meletakkan jawatan dan akan terus bersama Barisan Nasional.

"Saya dah dapat pengesahan daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Mohd Isa Sabu, bahawa beliau tetap akan menyokong Barisan Nasional dan tidak akan letak jawatan," katanya yang dipetik Berita Harian, sebelum berlepas pulang selepas menghadiri Persidangan Pelaburan Asia Credit Suisse di Hong Kong.

Kelmarin, Yip menghantar surat peletakan jawatannya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yazid Mat.

Dalam suratnya, Yip berkata beliau bertindak demikian kerana tidak puas hati dengan pucuk pimpinan MCA pusat,

Akhbar berbahasa Cina sebelum ini melaporkan yang Yip tidak berpuas hati apabila beliau digugur daripada menjadi exco negeri baru-baru ini.

Yip merupakan exco tunggal MCA dalam kerajaan negeri - memegang portfolio perumahan dan kerajaan tempatan - dan satu-satunya exco yang digugur pada 19 Mac lalu.

Beliau digantikan dengan Adun MCA Indera Kayangan, Dr Por Choo Chor.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 Mac 2008, Yip menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Keria Senawi dan Mohammad Radzi Mustaffa (Bebas) dengan majoriti 1,841 undi.

Md Isa berkata, pengguguran Yip sebagai Exco berdasarkan ketetapan dipersetujui MCA dan kaedah giliran membabitkan Adun mewakili parti itu dipraktikkan sejak beberapa penggal lalu.

Malaysiakini

Wednesday, November 25, 2009

Kota Siputeh: Mahkamah tangguh DUN kosong - Malaysiakini

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan penangguhan sementara perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menolak permohonan SPR untuk menangguhkan perintah tersebut.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu diumumkan kira-kira jam 7.30 malam. Esok merupakan tarikh akhir bagi SPR melaksanakan perintah mahkamah tinggi supaya mengeluarkan writ pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.

Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, SPR boleh menangguhkan pengeluaran writ tersebut untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Keputusan hari ini dibuat sebulat suara oleh panel hakim yang diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie. Dua lagi hakim ialah Datuk Kang Hwee Gee dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Aziz Abdul Rahim.

Mengikut undang-undang, apabila SPR telah mengeluarkan writ tersebut, maka ia tidak boleh dibatalkan.

Sebelum itu, peguam kanan persekutuan, Kamaluddin Md Said berhujah bahawa wujud keadaan tertentu yang membolehkan penangguhan itu dibuat.

Katanya, jika SPR sudah menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian, dan jika rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kemudiannya dibenarkan, maka pilihan raya kecil itu adalah satu pembaziran dana awam.

Kamaluddin juga menegaskan, jika pilihan raya kecil diadakan, ia mungkin menyebabkan ada dua wakil rakyat, jika rayuan SPR dibenarkan.

Manakala peguam kanan Sulaiman Abdullah, yang mewakili speaker DUN Kedah, Dr Abdul Isa Ismail pula berkata, jika mahkamah membenarkan penangguhan itu, ianya hanya menghalang perjalanan perlembagaan kerana kerusi tersebut telahpun diisytiharkan kosong.

"Apabila sesebuah kerusi diisytiharkan kosong, maka pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dan writ pilihan raya hendaklah dikeluarkan esok," katanya.

Sulaiman berkata, juga tidak ada keperluan segera untuk memberi penangguhan kerana Mahkamah Rayuan boleh mendengar rayuan SPR sebelum tempoh 60 hari itu.

Maka katanya, tidak ada keperluan segera untuk mahkamah membenarkan penangguhan.

Tambahan lagi, katanya, mengikut undang-undang, mahkamah tidak boleh memberi sesuatu penangguhan terhadap mana-mana perintah yang dipohon.

Malaysiakini

Monday, November 23, 2009

SPR gagal tangguh perintah kosongkan Kota Siputeh - Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah minggu lalu.

Suruhanjaya itu bagaimanapun akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung penolakan penangguhan tersebut.

Isnin lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata hakim itu lagi ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Speaker DUN itu memfailkan semakan berkenaan pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.

Malaysiakini

Tuesday, September 1, 2009

DUN Kota Siputeh kekal di tangan BN - Utusan

PUTRAJAYA 1 Sept - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan status quo kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah kekal di tangan Barisan Nasional.

SPR mengumumkan demikian melalui kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

- UTUSAN

Pilihan raya kecil DUN Kota Seputeh? SPR putuskan Selasa ini - mStar

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini bagi memutuskan status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputeh, Kedah iaitu sama ada perlu diadakan pilihan raya kecil ataupun sebaliknya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan meneliti semua aspek dengan tumpuan kepada soal perundangan sama ada kerusi itu perlu dianggap kosong, sekali gus mengadakan pilihan raya kecil.

SPR mempunyai kuasa muktamad untuk mengisytiharkan kekosongan mana-mana kerusi dan diadakan pilihan raya kecil.

"Kita akan bincang semua aspek secara menyeluruh, mempertimbangkan dari segi perundangan dan dari segi moral tetapi lebih kepada soal undang-undang," katanya lagi.

Jika diputuskan wujud kekosongan sudah pasti pilihan raya kecil akan diadakan, kata beliau.

SPR telah mengadakan pilihan raya kecil yang kelapan pada 25 Ogos lalu - sejak selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Sehubungan itu, kata Aziz, pihaknya akan memaklumkan keputusan SPR kepada Speaker Kedah.

"Oleh kerana Speaker telah menulis surat kepada kami, kami akan memaklumkan Speaker hasil keputusan mesyuarat khas ini... mesyuarat ini hanya membincangkan isu kerusi Kota Seputeh," kata beliau kepada mStar Online ketika dihubungi semalam.

Pilihan raya kecil itu menjadi sebutan banyak pihak ekoran kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sarif - dari Umno-BN - digugurkan daripada jawatannya kerana gagal hadir dua kali sidang DUNtanpa kebenaran Speaker.

Oleh itu, SPR telah meminta pandangan penasihat undang-undangnya dan juga Jabatan Peguam Negara mengenai isu berkenaan.

Pada 18 Ogos lalu, Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berkata, beliau sudah menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melahirkan harapan agar SPR akan mempertimbangkan keadaan Abu Hassan yang kurang sihat dalam menentukan sama ada kerusi tersebut kosong atau sebaliknya.

Muhyiddin berkata, SPR yang mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan sesebuah bahagian pilihan raya, sebagaimana disaksikan di Perak Februari lalu, akan ambil kira pertimbangan itu.

"Bagaimanapun kita akan akur dengan keputusan SPR, kita selalu akur dengan keputusan SPR, mana ada yang kita tidak akur," kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN.

Dalam pada itu, Wan Ahmad ketika dihubungi pagi semalam memberitahu mStar Online bahawa semua dokumen berkaitan dengan isu berkenaan sudah sedia ada.

"Semua dokumen, pandangan dan maklum balas sudah diterima. Kita hanya perlu mengadakan mesyuarat dan menentukan status kerusi ini," katanya.

mStar

Monday, May 18, 2009

SPR tidak boleh halang Pondok Panas - SK

PUTRAJAYA, 18 Mei (SK) : Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak boleh menghalang mana-mana parti untuk mendirikan barung atau pondok panas semasa pilihraya diadakan.

Munurut Pengarah Piliharaya KeADILan Tian Chua, tidak ada sebarang undang-undang yang termaktup dalam perlembagaan bahawa pondok panas tidak boleh didirikan.

“Keadaan dimana pekerja piliharaya bertindak cabar-mencabar antara satu sama lain yang menjadi isu, bukannya pondok panas,” jelas Tian Chua kepada Suara Keadilan.

“Pihak Pakatan Rakyat akan terus mendirikan pondok panas seperti biasa dan meletakkan computer dan pekerja pilihanraya bagi memudahkan perjalanan sesuatu piliharaya kelak,” kata Tian Chua lagi.

Sementara itu, Bendahari Pas Pusat, Dr Hatta Ramli berkata, SPR dikatakan menghalang penubuhan pondok panas kerana mereka berpendapat bahawa ianya tidak perlu.

“Setelah bernbincang SPR kini setuju pula membenarkan pondok panas tetapi tak boleh iklan gambar calon,” kata Dr Hatta.

Pas akan memberitahu di mana lokasi negeri-negeri akan ditempatkan bersama jentera KeADILan dan Dap.

Beliau menyeru semua jentera Pas seluruh negara berkampung di Dewan Undangan Negeri N12 Penanti untuk membantu calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman selepas hari penamaan calon pada 23 Mei ini.

Dalam ceramah bersama Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim di Kampung Tok Elong semalam, Dr Hatta berkata, semangat juang yang tinggi amat penting diterjemahkan oleh semua gabungan parti dalam Pakatan Rakyat untuk membuktikan kepada rakyat bahawa tidak mustahil Pakatan Rakyat boleh menjadi pemerintah lebih baik daripada Barisan Nasional.

SK

Wednesday, May 13, 2009

Kenyataan Media Pakatan Rakyat berkenaan Perjumpaan Tertutup dengan SPR


Kenyataan Akhbar Pakatan Rakyat
13 Mei 2009


Rumusan Pertemuan Tertutup dengan Suruhanjaya Pilihanraya

Pihak jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Rakyat telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya di pejabat SPR di Putrajaya semalam 12 Mei.

Rombongan Pakatan Rakyat terdiri daripada YB Dr Dzulkifli Ahmad (PAS), YB Saifuddin Nasution (PKR), YB Liew Chin Tong (DAP), YB Dato’ Johari Abdul (PKR), YB Dr Siti Mariah (PAS), YB Tian Chua (PKR), YB Manikavasagam (PKR) dan Sdr Saiful Izham sebagai penasihat Undang-undang. Rombongan kami telah disambut oleh Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan para pegawai kanan SPR.

Antara rumusan pertemuan tersebut adalah:

1) Peraturan Pondok Panas

Kedua pihak bersetuju setelah merujuk peruntukan undang-undang bahawa proses semakan daftar pemilih di luar jarak 50 meter dari kawasan mengundi boleh dibuat oleh semua pihak. Untuk itu pihak SPR tiada halangan bagi mana-mana parti berbuat demikian.

2) Menghadkan jumlah penyokong

SPR bersetuju bahawa cadangan untuk menghadkan jumlah penyokong pada hari penamaan calon adalah sesuatu yang sukar dikuatkuasakan dan tiada peruntukan undang-undang bagi perkara tersebut. Bagaimanapun SPR menasihatkan semua parti yang bertanding agar tidak membuat kerahan bagi mengelakkan keadaan menjadi terlalu sesak.

3) Larangan berkempen

Semua pihak bersetuju bahawa semua parti tidak dibenarkan meneruskan aktiviti berkempen selepas jam 12 malam pada malam sebelum hari mengundi. Untuk itu larangan ini harus dikuatkuasakan ke atas semua parti yang bertanding.

Kedua pihak juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan berkala bagi membincangkan perkara-perkara berbangkit sekurang-kurangnya setiap 3 bulan.


SEKRETARIAT PAKATAN RAKYAT


(Sebarang pertanyaan, sila hubungi Setiausaha Kerja Pakatan Rakyat Shabrimi pada talian 016-4124735.)

Monday, May 4, 2009

Hanya 5,000 penyokong boleh iringi calon - Suara Keadilan

PETALING JAYA, 3 Mei (SK) : Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hanya membenarkan 5,000 penyokong mana-mana parti untuk mengiringi calon yang akan bertanding semasa penamaan calon diadakan.

Undang-undang tersebut akan dikuatkuasakan semasa pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti, Pulau Pinang bulan ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar berkata, walaupun 5,000 penyokong dibolehkan mengiringi calon sehingga kawasan pekarangan pusat penamaan calon, hanya 50 orang sahaja akan dibenar memasuki khemah tetamu khas di dalam pusat penamaan calon.

Walau bagaimanapun, persetujuan menghadkan bilangan penyokong hanya sampaikan kepada pihak polis dan bukanya kepada pihak parti-parti politik.

Perkara itu juga telah disentuh pada pertemuan dengan parti-parti politik 23 April lalu tetapi soal bilangan hanya dipersetujui Khamis lalu dalam pertemuan dengan polis.

SPR dan polis telah mencapai persetujuan mengenai soal itu semasa satu pertemuan Khamis lalu dan menyerahkan kepada polis untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

“SPR dan polis merayu kepada parti-parti politik yang bertanding dalam mana-mana pilihanraya kecil mulai sekarang supaya menghadkan kehadiran para penyokong yang mengiringi calon pada hari penamaan calon tidak melebihi 5,000 orang,” kata Wan Ahmad menurut satu laporan online hari ini.

Lazimnya, himpunan ribuan penyokong calon menjadi tumpuan ketika pilihan raya kecil.

SPR menyerahkan kepada polis untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melaksanakan pendekatan tersebut.

“Oleh kerana perkara ini tidak disebut dalam mana-mana peraturan pilihanraya, jadi apa yang SPR boleh buat ialah mengharap dan merayu kepada parti-parti politik agar memastikan kehadiran tidak melebihi 5,000 orang.

“Bagaimanapun apabila polis melaksanakan pendekatan ini di luar kawasan (pusat penamaan calon), terserah kepada pihak polis untuk mengambil tindakan mengikut kuasa dan tanggungjawab mereka,” katanya.

Wan Ahmad mengakui bilangan penyokong yang hadir semakin bertambah dan tidak terkawal sehingga menyusahkan orang ramai dan pasukan keselamatan sejak kebelakangan ini.

“Kalau tidak dibuat sekarang, jumlah mereka yang hadir pada hari penamaan calon akan bertambah bermungkinan beribu-ribu orang dan ia akan terus bertambah,” kata beliau dengan merujuk kepada suasana semasa pilihan raya kecil sejak awal 2007, khususnya di Ijok, Selangor; Permatang Pauh, Pulau Pinang, Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah.

SK

Thursday, April 30, 2009

Respon AMK kepada SPR

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia


29 April 2009

Respon AMK kepada SPR

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, yang kononnya kecewa dengan pendirian Pakatan Rakyat yang menolak syor pendekatan baru proses pengendalian pilihan raya.

Terdahulu SPR bercadang menguatkuasakan beberapa pendekatan baru: menghadkan bilangan penyokong parti politik yang bertanding, menguatkuasakan 'hari bertenang' menjelang proses pengundian dan melarang berkempen memancing undi semasa proses pengundian berlangsung.

Apa yang sedang dirangka oleh SPR ini, sangat jelas bertentangan dengan amalan demokrasi di mana-mana negara demokratik di dunia ini. AMK percaya bahawa pendekatan ini diilhamkan dalam keadaan lima pilihanraya kecil yang berlangsung sebermula di Permatang Pauh sehinggalah yang terkini di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, menyaksikan BN ditenggelami dengan ribuan penyokong Pakatan Rakyat yang hadir sewaktu penamaan calon.

Harus diingat bahawa seramai manapun bilangan penyokong yang hadir, ianya bukan satu masalah sekiranya pihak keselamatan bersikap profesional untuk mengawal provokasi melampau daripada mana-mana pihak. Malah terbukti dalam siri-siri pilihanraya kecil sebelum ini, penyokong Pakatan Rakyatlah yang terpaksa berhadapan dengan ugutan dan provokasi melampau oleh samseng upahan yang 'jelas kelihatan' menyokong BN.

Demikian juga dengan penguatkuasaan larangan memancing undi dan juga pondok panas. AMK tidak lupa bagaimana pada Pilihanraya Umum 2004, larangan yang sama dikenakan ke atas semua parti politik, tetapi BN dengan angkuh tetap membina pondok-pondok panas di kawasan pusat pengundian.

AMK menegaskan bahawa Pakatan Rakyat sama sekali tidak akan menerima alasan kononnya untuk mengelakkan ketegangan dan ketakutan di kalangan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Pengundi memang akan sukar dan takut untuk mengundi jika 2 perkara ini dihalalkan oleh SPR : kebanjiran pihak polis di seluruh ceruk kawasan dan juga hari pengundian yang jatuh pada hari bekerja.

Justeru, AMK menolak 'kekecewaan' Wan Ahmad ini yang hanya merendahkan profesionalisme dan imej penjawat awam yang sepatutnya bersikap neutral dalam menjalankan amanah. Jika Wan Ahmad masih mahu mempertahankan pendekatan yang bersifat kosmetik untuk menjaga imej dan menjamin kemenangan BN, maka wajarlah jika beliau sahaja yang menjadi calon Umno-BN di DUN Penanti kelak.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan

Wednesday, April 29, 2009

SPR akhirnya luluskan logo parti PSM - Malaysiakini

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akhirnya meluluskan logi Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berupa lambang 'genggaman tangan' sebelah kiri.

Pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim berkata, pihaknya dimaklumkan oleh SPR mengenai kelulusan itu melalui surat bertarikh 20 April 2009.

Katanya, penggunaan lambang itu diluluskan dalam mesyuarat SPR pada 15 April lalu.

Dr Nasir yang juga ADUN Kota Damansara, Selangor berkata, PSM PSM mengalu-aluk keputusn SPR itu.

"PSM berpendirian bahawa perjuangannyanya yang berterusan dan berani selama 11 tahun, merupakan inti kepada kejayan parti ini," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

PSM telah mendapat pendaftaran di bawah seksyen 7, Akta Pertubuhan 1966 pada 19 Ogos tahun lalu, setelah sepuluh tahun berjuang, termasuk membawa kes itu ke mahkamah.

Bagaimanapun, SPR sebelum ini tidak mahu mendaftar lambang PSM dan antara sebabnya adalah lambang tersebut merupakan simbol kekerasan dan tidak bermoral.

Berikutan iut, PSM telah menghantar memorandum kepada SPR bertarikh 19 Mac lalu, kerana tidak puas hati dengan tindakan SPR itu yang didakwa memberikan alasan yang tidak kukuh untuk mempertikaikan simbol parti itu.

Malaysiakini

Tuesday, April 28, 2009

Larangan SPR: Pakatan mesyuarat tentukan pendirian - mStar

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak konsisten dalam membuat peraturan berhubung pondok panas ketika hari pembuangan undi.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan SPR semalam yang melarang kewujudan pondok panas dan peraih undi sama sekali bertentangan dengan ketetapan yang dibuat pada pilihan raya umum 2004.

"Pada tahun 2004, sebelum pilihan raya, SPR tidak membenarkan pondok panas tetapi pada pagi hari mengundi, BN (Barisan Nasional) telah mendirikan pondok panas sedangkan kita patuh dengan peraturan itu.

"Bila kita tanya SPR, mereka kata peraturan itu diubah pada pagi pilihan raya itu," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Kini SPR memutuskan semua parti politik tidak lagi dibenarkan mendirikan pondok panas selain dilarang memancing undi pada hari mengundi.

Langkah ini akan dikuatkuasakan mulai pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, SPR perlu konsisten dalam hal ini dan selari dengan peranan SPR sebagai badan yang menjalankan pilihan raya secara bersih, telus dan adil.

Berhubung mengehadkan jumlah penyokong pada hari penamaan calon, Saifuddin berkata, tindakan itu juga tidak wajar dilakukan SPR kerana pilihan raya adalah hari pesta demokrasi kepada rakyat.

"Ia adalah hari rakyat mengamalkan hak demokrasi yang mereka ada. SPR tidak perlu menjadikan faktor keselamatan sebagai alasan kerana itu kerja polis. Biar polis lakukan kerja mereka," katanya.

Katanya, beliau yakin larangan-larangan yang dikeluarkan oleh SPR ditujukan khusus kepada Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali pula berkata, pihaknya juga sangat kecewa dengan keputusan SPR semalam.

Mustafa berkata, Pakatan Rakyat telah menyatakan alasan-alasan berhubung pendirian mereka yang menolak cadangan itu ketika pertemuan parti-parti politik dengan SPR Khamis lalu.

"Nampaknya, mereka telah mengeluarkan kenyataan larangan itu tanpa memberi hujah-hujah balas terhadap alasan yang telah kita berikan dan ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Beliau percaya larangan itu dikeluarkan bagi menyekat jumlah peraih undi bagi Pakatan Rakyat yang lazimnya ramai pada hari mengundi.

"Kalau dulu, di sesetengah tempat, BN lebih ramai dari pembangkang tapi sekarang pembangkang dah lebih ramai berbanding BN," katanya.

Juster kata Mustafa, tindakan mengehadkan jumlah penyokong itu juga tidak wajar dilakukan kerana bilangan penyokong yang ramai untuk memeriahkan hari penamaan calon adalah perkara biasa.

Katanya, Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat sama ada hari ini atau esok berhubung keputusan SPR semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, SPR menggunakan faktor kesesakan bagi melarang kewujudan pondok panas dan mengehadkan jumlah pengundi tidak perlu timbul.

Sehubungan itu kata Dr. Tan, beliau percaya pihak polis mampu mengawal keadaan pada hari penamaan calon dan hari mengundi.

mStar

Monday, April 27, 2009

Pondok panas, pancing undi hari pengundian dilarang - SPR (mStar)

PUTRAJAYA: Parti-parti politik tidak lagi dibenarkan mengadakan barung atau pondok panas selain dilarang memancing undi ketika hari pengundian.

Langkah ini akan dikuatkuasakan mulai pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri kerusi Penanti bulan depan.

Keputusan itu diputuskan susulan pertemuan dengan parti-parti politik di sini Khamis lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan langkah itu sebentar tadi.

mStar

Friday, April 24, 2009

Pilihan raya kecil DUN Penanti sudah pasti? - mStar

PUTRAJAYA: Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang kosong minggu lalu sudah diputuskan untuk diadakan? Pakatan Rakyat memaklumkan bahawa maklumat yang diterima menunjukkan pilihan raya kecil sudah diputuskan untuk diadakan.

Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan mengumumkan Isnin ini.

Salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat, R. Sivarasa berkata, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengesahkan yang pilihan raya kecil di DUN berkenaan akan diadakan.

"Beliau berkata pilihan raya Penanti memang akan diadakan, tapi tak dinyatakanlah bila tarikhnya... SPR akan umumkan pada Isnin ini," kata beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ditemui selepas SPR mengadakan pertemuan dengan parti-parti politik mengenai pendekatan baru mengendalikan pilihan raya secara tenang dan terurus di sini semalam.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa penundaan pengumuman mengenai pilihan raya kecil DUN Penanti, yang sepatutnya diadakan hari ini, adalah kerana urusan pentadbiran.

SPR telah mengadakan mesyuarat berkaitan kelmarin.

Abdul Aziz berkata, sehingga ini SPR belum menerima kenyataan bertulis daripada pemilik-pemilik bangunan yang akan digunakan termasuk bagi penamaan calon dan pengiraan undi, juga kenyataan bertulis mengenai persetujuan pegawai pengurus pilihan raya dan penolong-penolong pegawai pengurus pilihan raya untuk mengendalikan pilihan raya itu.

"Bila urusan pentadbiran belum selesai bagaimana kita nak umumkan?" katanya.

Abdul Aziz menolak tanggapan kononnya terdapat "pengaruh luar" yang menyebabkan penundaan tersebut.

"Ini tidak ada kena-mengena dengan pengaruh politik, ini isu dalaman kami sendiri. Kami sudah bersedia untuk mengadakan pilihan raya dan sebaik sahaja kami dapat pengesahan mengenai perkaraperkara ini maka kami akan umumkan," katanya.

Penundaan pengumuman tarikh pilihan raya itu menimbulkan spekulasi beberapa pihak termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dipetik oleh akhbar parti itu, Harakah, sebagai berkata SPR kini sudah tidak bebas dan ada orang belakang yang menentukan hala tujunya.

Pilihan raya itu bakal diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dari Parti Keadilan Rakyat pada 16 April lalu dengan alasan untuk membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.

Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I sebelum itu berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini menjelaskan ia tidak ada asas untuk mendakwa beliau.

Abdul Aziz hari ini turut mempengerusikan mesyuarat bersama wakil parti-parti politik daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengenai penguatkuasaan sepenuhnya Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 termasuk bagi melarang sebarang bentuk kempen pada hari mengundi.

Bagaimanapun, katanya, larangan bagi mengelak sebarang masalah daripada segi keselamatan awam dan pengundi itu belum dapat dilaksanakan kerana kata sepakat masih belum dapat dicapai.

"Ini merupakan perjumpaan pertama dan kita akan terus berbincang. SPR perlu melihat perkara ini secara mendalam supaya ia tidak menimbulkan sebarang masalah apabila dilaksanakan nanti," katanya.

Mengenai dakwaan beberapa pihak kononnya SPR mengikut nada BN dalam mencadangkan agar pindaan terhadap akta bagi menghalang wakil rakyat mengosongkan kerusi tanpa sebab munasabah, Abdul Aziz berkata, ia hanya pandangan SPR sebagai badan yang melaksanakan pilihan raya di negara ini bukan kerana dipengaruhi manamana pihak.

Beliau berkata, walaupun ia merupakan hak individu untuk meletakkan jawatan sebagai anggota DUN, namun untuk mengadakan suatu pilihan raya bukan mudah dan melibatkan banyak kerja, lebihlebih lagi apabila ia berlaku secara berterusan.

"Kita perlu lihat masa yang sesuai, sama ada ada program-program lain atau musim-musim tertentu seperti musim tengkujuh, kena tentukan tempat-tempat pengundian, pengurus-pengurus pilihan raya, tentukan daftar pemilih, kursus latihan kepada kakitangan dan belanjawan.

"Perbelanjaan juga semakin meningkat apabila semakin banyak pilihan raya diadakan, jadi kita harap perkara-perkara sebegini dapat dikurangkan," katanya.

mStar

Pakatan tolak syor SPR hadkan penyokong - mStar

PUTRAJAYA: Pakatan Rakyat berkeyakinan cadangan bagi mengehadkan kehadiran jumlah penyokong parti politik pada hari penamaan calon, hari mengundi mahupun semasa pengumuman keputusan tidak akan dilaksanakan.

Sehubungan itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya telah sebulat suara tidak bersetuju dengan cadangan yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai perkara tersebut semalam.

"Kita semua tidak setuju sebab kalau orang tak ramai... tak meriah, kita pun tak langar apa-apa undang-undang.

"Jadi nampaknya dah kita tak setuju, pilihan raya akan dijalankan seperti biasalah," kata beliau ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan antara wakil-wakil Pakatan Rakyat dengan SPR di sini semalam.



--------------------------------------------------------------------------------
SPR kuat kuasa had penyokong, larang berkempen di Penanti
--------------------------------------------------------------------------------


SPR mengadakan pertemuan itu bagi mencari penyelesaian bagi mengelakkan kehadiran ramai penyokong di pusat penamaan calon dan pengundian sehingga menyukarkan pihak polis mengawal keadaan ketika pilihan raya khususnya semasa pilihan raya kecil diadakan.

Justeru, semalam SPR mengadakan pertemuan secara berasingan dengan wakil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat bagi membincangkan mengenai kaedah bagi memperbaiki kelancaran proses pilihan raya.

Wakil BN mengadakan pertemuan dengan SPR pada sebelah pagi manakala komponen Pakatan Rakyat pula mulai 2.30 petang semalam.

Tambah Mustafa, Pakatan Rakyat melihat kehadiran penyokong dengan jumlah yang ramai tidak akan mencetuskan masalah besar hingga mengganggu proses pilihan raya.

"Kadangkala wujud sedikit kececohan. Itu perkara biasalah... tetapi masih dalam keadaan terkawal," katanya.

Jelas beliau lagi, Pakatan Rakyat juga menidakkan dakwaan SPR bahawa jumlah penyokong yang ramai pada hari mengundi boleh menjejaskan kehadiran pengundi bagi menjalankan tangungjawab mereka.

"SPR kata bila orang ramai, pengundi tak berani datang mengundi... tapi kita bagi hujah pada SPR dengan mengatakan sebenarnya pengundi tetap ramai yang keluar mengundi," katanya.

Ditanya mengenai usaha SPR untuk menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang berkaitan mengenai larangan berkempen selepas waktu tengah malam hari terakhir berkempen dan sepanjang hari pengundian, beliau berkata, Pakatan Rakyat semangnya mematuhi arahan tersebut.

"Kita memang patuhi arahan itu sejak dulu lagi, kita tak berkempen dengan ceramah selepas waktu tengah malam dan hari mengundi," katanya.

Menjelaskan berhubung kehadiran penyokong dan perayu undi yang ramai pada hari pengundian, beliau berkata, perkara tersebut tidak bertentangan dengan undang-undnag.

"Merayu undi pada hari mengundi tidak bertentangan dengan undang-undang.

"Merayu dibenarkan di luar kawasan 50 meter daripada tempat mengundi," katanya.

Ditanya sama ada SPR memohon sebarang jaminan daripada Pakatan Rakyat agar mengawal perlakuan para penyokong mereka, Mustafa berkata, SPR tidak menyatakan mengenai perkara tersebut.

Sementara itu Naib Presiden PKR, R. Sivarasa yang turut hadir dalam pertemuan tersebut berkata, pihaknya juga membangkitkan mengenai kenyataan beberapa pihak berhubung trend mengosongkan kerusi Parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

Jelas beliau, mengikut undang-undang sesuatu pilihan raya mesti diadakan jika wujudnya kekosongan.

"Undang-undang itu jelas... berdasarkan Perlembagaan Persekutuan jika ada kekosongan, wajib diadakan pilihan raya kecil.

"SPR tidak boleh sekat sama ada kekosongan itu munasabah atau tidak munasabah kerana itu semua tidak berbangkit langsung.

"Jadi kita mesti menghormati hak dan pilihan raya kecil mesti diadakan," katanya.

Mengenai kekosongan kerusi kawasan DUN Penanti, Sivarasa berkata, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengesahkan pilihan raya kecil di DUN berkenaan akan diadakan.

"Beliau berkata pilihan raya Penanti memang akan diadakan, tapi tak dinyatakanlah bila tarikhnya... SPR akan umumkan pada Isnin ini," katanya.

Wakil Pakatan Rakyat yang turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Dr. Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja), Tan Kok Wai (DAP-Cheras), Jeff Oii (DAP-Jelutong), Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera), Fong Kui Loon (DAP-Bukit Bintang) dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.

Ditanya sama ada SPR memaklumkan untuk melaksanakan undang-undang baru pada pilihan kecil Penanti, Mustafa berkata: "Kalau pandangan kita ini diterima iaitu tiada sekatan terhadap jumlah penyokong, maka semuanya macam biasalah."

Dalam pada itu BN yang mengadakan pertemuan dengan SPR pada sebelah pagi semalam mengambil ketetapan menyokong sebarang usaha suruhanjaya tersebut bagi melancarkan proses pilihan raya.

Pegawai Khas kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Abu Khamis yang ketika ditemui berkata, pihaknya sentiasa positif dengan keputusan SPR untuk melaksanakan apa jua usaha untuk memastikan pilihan raya berjalan dengan lancar.

"Kami akan menyokong apa jua yang akan dibuat oleh SPR yang tidak timbulkan ketegangan dan boleh berikan kebaikan kepada pengundi dan rakyat," katanya.

Bagaimanapun ditanya sama ada perbincangan bersama SPR turut membincangkan mengenai cadangan mengehadkan jumlah penyokong pada hari penamaan calon dan hari pengundian, beliau berkata, perkara tersebut tidak dibincangkan.

"Mengenai jumlah kehadiran penyokong, perkara itu tidak timbul (dibincangkan), kita hanya beri pandangan untuk kelancaran pilihan raya," katanya.

Selain Abu, wakil BN yang hadir ialah Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Loke Yuen Yow dan Setiausaha Eksekutif MIC, Ramany Krishnan.

mStar

Wednesday, March 4, 2009

P'raya kecil Batang Ai 7 April - Malaysiakini

Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai, Sarawak akan diadakan serentak dengan dua lagi pilihanraya kecil di Perak dan Kedah pada 7 April ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh tersebut untuk kerusi parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau.

Dalam pengumuman Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Kuching hari ini, tarikh penamaan calon juga ditetap bersama dengan dua pilihanraya kecil di Semenanjung itu, 29 Mac.

Pilihanraya kecil itu dipanggil berikutan kematian penyandangnya, naib presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Dublin Unting pada 24 Februari lalu akibat serangan angin ahmar.


Sumber: Malaysiakini


Friday, January 16, 2009

'Isu etika' punca ketua p'raya berundur

Pegawai pengurus pilihanraya kecil Kuala Terengganu meletakkan jawatan kerana tindakannya boleh menimbulkan isu etika dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh dipertikaikan.

Datuk Mat Razali Kassim (foto), yang juga datuk bandar Kuala Terengganu, semalam menarik diri secara mengejut selepas dikritik oleh PAS sebagai "berat sebelah" dengan dakwaan meminta kakitangan majlis bandaraya itu menyokong BN esok.

SPR berkata ia menerima beberapa aduan melalui surat, telefon, mesej SMS dan pemerhatian suruhanjaya itu sendiri berhubung perkara tersebut.

Beliau menafikan penarikan diri Mat Razali semata-mata akibat desakan pemimpin-pemimpin kanan PAS termasuk pesuruhjaya negerinya Datuk Mustafa Ali.

"Sebagai pegawai pengurus, seseorang harus ada etika tertentu.

"Seseorang pegawai tidak boleh dilihat bias kepada mana-mana pihak, mesti tidak berpihak," kata pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam sidang medianya hari ini di Kuala Terengganu.

"Kita berharap tidak timbul lagi isu (pihak) yang mengatakan SPR berat sebelah.

"Kita pandang berat perkara ini, beliau juga sedar dengan tindakannya itu boleh membuatkan SPR dalam keadaan dipertikaikan."

Beliau berkata, keputusan menggantikan Mat Razali dengan setiausaha MBKT Wan Mustafa Wan Hassan dibuat selepas menerima surat penarikan diri datuk bandar itu dan ia diputuskan dalam satu mesyuarat SPR yang disertai oleh semua anggotanya.

"Saya tidak fikir ia (penarikan diri) akan membawa kesan (negatif) kepada SPR," katanya.

Abdul Aziz berharap pilihanraya kecil parlimen esok dapat mencipta rekod dengan jumlah keluar mengundi sehingga 90 peratus daripada 80,229 pemilih.

Katanya, pilihanraya kecil ini telah berjaya mencatatkan rekod apabila kehadiran 40,000 penyokong BN dan PAS di hari penamaan calon 6 Januari lepas berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Turut hadir di sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan Setiausahanya Datuk Ngah Senik.


Sumber: Malaysiakini