Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, October 2, 2009

Inkues Teoh: Pemilik DNA sudah meninggal dunia - Malaysiakini

Inkues kematian Teoh Beng Hock diberitahu hari ini bahawa DNA yang dikesan pada blazer dan talipinggang Teoh adalah milik M Gopala.

DNA tersebut dikenalpasti oleh ahli kimia, Dr Dr Seah Lay Hong milik Gopala yang telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Dr Seah yang dipanggil semula memberi keterangan dalam inkues tersebut berkata pemindahan DNA itu mungkin berlaku ketika bedahsiasat ke atas Teoh dilakukan di Hospital Klang dalam keadaan yang sesak.

Gopala mati dalam satu kemalangan jalan raya dan DNAnya ditemui pada blazer Teoh.

Bagaimanapun, terdapat satu lagi kesan DNA yang ditemui pada talipinggang Teoh tetapi belum dapat dikenalpasti.

Dr Seah memberitahu mahkamah bahawa beliau diminta menjalankan bedahsiasat ke atas dua mayat, sebelum mayat Teoh, pada hari tersebut di hospital berkenaan.

Seorang lagi adalah L Jeganathan, yang juga mati akibat cedera parah di bahagian kepala akibat kemalangan jalan raya.

Tetapi Dr Seah berkata, ujian menunjukan DNAnya tidak sama dengan DNA yang ditemui pada bahagian talipinggang Teoh yang terkoyak.

Menurutnya, mungkin berlaku pencemaran kerana meja autopsi tidak dinyahkuman dengan sempurna.

DNA Gopala dikenalpasti selepas Dr Seah melakukan siasatan kali ketiga kerana dua siasatan sebelum itu, gagal mengenal pasti pemilik DNA berkenaan pada talipinggang dan blazer tersebut.

Dalam siasatannya itu, Dr Seah menganalisa profail DNA 157 individu sebagai perbandingan, dan mereka terdiri daripada 14 pegawai dari Jabatan Patologi Forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur.

Turut diuji ialah 49 pegawai polis, 81 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua pekerja pencuci, lapan kakitangan penyelenggaran dan seorang anggota keselamatan, serta tiga saksi.

Dua siasatan pertama gagal mengesan pemilik DNA dan dia ditanda sebagai 'Lelaki 1'.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Dr K Saravanan yang turut dipanggil memberi keterangan memberitahu bahawa beliau melakukan bedah siasat ke atas Gopala pada jam 8.30 pagi dan Jeganathan ada jam 10 pagi 17 Julai lalu, dan kedua-dua mereka merupakan mangsa emalangan.

Sementara mayat Teoh pula dibedah pada jam 12 tengah hari dan pada masa itu beliau turut sama berada di situ bagi mengambil gambar bedah siasat tersebut.

Ditanya oleh Gobind apakah yang menjadi amalan dalam membersih meja bedah (meja autopsi), Saravanan berkata bagi mayat yang meninggal dunia secara normal ia hanya dibersihkan menggunakan air biasa tetapi bagi mayat yang mempunyai penyakit seperti HIV dan tibi, meja itu akan dibersih menggunakan pembasmi kuman setiap kali selepas pembedahan oleh atendan hospital.

Saravanan bersetuju dengan cadangan Koroner Azmil Muntapha Abas bahawa meja autopsi yang tidak dicuci dengan pembasmi kuman boleh meninggalkan sisa DNA di atasnya.

Sementara itu, Koroner Azmil Muntapha Abas memberi kebenaran untuk pakar psikiatrik mewancara anggota keluarga dan rakan-rakan Teoh mengenai latarbelakangnya bagi membolehkan ditentukan keadaan Teoh sebelum kematiannya.

Antara yang akan diwawancara ialah bekas bos Teoh yang juga exco kerajan Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Malaysiakini

Thursday, October 1, 2009

DAP, PKR tetap kibar bendera, foto pemimpin - Malaysiakini

Dua parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat - DAP dan PKR - tetap akan meneruskan berkempen dengan mengibarkan bendera, logo dan gambar pemimpin mereka masing-masing sepanjang kempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang bermula 3 Oktober ini.

Kedua-dua parti tersebut juga mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk menunjukkan peruntukan undang-undang yang melarang mana-mana pemimpin atau parti politik berkempen bagi seseorang calon di sesuatu pilihanraya kecil.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke ketika dihubungi Malaysiakini berkata, arahan terbaru itu tidak masuk akal dan melampaui tugas SPR yang sebenarnya.

"Mungkin SPR fobia dengan pemimpin Pakatan Rakyat dan logo DAP dan PKR. Mereka melampaui tugas. Mereka sepatutnya mengendalikan proses penamaan calon, proses pengundiaan dan pengiraan undi.

"Soal kempen, serah kepada kepada parti-parti politik yang bertanding... Masa Tan Sri Abdul Rashid (Abdul Rahman) tidak ada peraturan macam ini," katanya.

Anthony yang juga ketua Pemuda DAP diminta mengulas berhubung arahan terbaru SPR yang melarang parti politik yang tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang mengibarkan bendera, logo dan gambar pemimpin mereka sepanjang kempen.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar semalam dilaporkan berkata kebenaran hanya diberikan kepada parti yang bertanding memasang bahan kempen seperti gambar calon, logo parti dan pemimpin mereka.

‘Tidak faham demokrasi'

Pilihanraya kecil DUN itu pada 11 Oktober ini bakal menyaksikan pertembungan sengit antara Tan Sri Isa Samad yang juga bekas naib presiden Umno dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Mengulas lanjut, Anthony Loke yang juga ahli Parlimen Rasah tidak akan mengendahkan arahan terbaru SPR itu malah akan terus berkempen dengan meletakan bendera parti dan gambar pemimpin mereka.

"Memang kita sudah buat dan letakkan gambar pemimpin DAP dan PKR.

"Sebagai contoh, kalau gambar Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibenarkan, mungkin gambar pada banner 1Malaysia yang menggunakan beratus-ratus (wajah) orang lain, patut ditanggalkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin menyifatkan arahan terbaru SPR itu akan menyebabkan berlakunya "defisit dalam sistem demokrasi di Malaysia".

'Bawa ke mahkamah'

"SPR tidak faham demokrasi dalam pilihan raya di Malaysia. Ia sepatutnya digalakkan kepada sesiapapun untuk terlibat, turut sama berkempen.

"Ini kerana, pilihan raya adalah satu-satunya ruang untuk memilih pemimpin dalam negara," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehubungan itu, Shamsul Iskandar berkata pihaknya akan terus meletakkan bendera, logo dan gambar pemimpin mereka sepanjang kempen pilihanraya kecil DUN tersebut.

Mengulas lanjut, beliau yang juga seorang peguam tidak akan teragak-agak untuk membuat semakan kehakiman sekiranya SPR arahan tersebut mempunyai alasan undang-undang.

"Arahan terbaru, sekiranya ada asas, kita akan ke mahkamah untuk membuat semakan kehakiman.

"Semakan kehakiman berlaku, sekiranya kita tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan. SPR kata kononnya ada alasan undang-undang, kita akan cabar, kalau mereka sungguh-sungguh laksanakan," katanya.

Malaysiakini

Tsu Koon sambut cabaran berdebat dengan Guan Eng - Malaysiakini

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyambut cabaran untuk berdebat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melalui siaran langsung di televisyen, mengenai sama ada Lim dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat telah mengelirukan rakyat negeri itu berhubung beberapa isu, termasuk kes tanah Kampung Buah Pala (KBP).

Bagaimanapun, bagi memastikan ianya satu debat yang adil, Dr Koh berkata, dua syarat perlu dipenuhi terlebih dahulu, iaitu Lim mendedahkan semua dokumen yang berkaitan dan menjawab sepenuhnya dan dengan jujur tiga soalan mudah mengenai kes KBP. Tiga persoalan tersebut ialah:

Pertama, adakah pemimpin Pakatan, terutama DAP, berjanji kepada penduduk KBP, sebelum, sewaktu pilihanraya umum 2008, bahawa mereka boleh memiliki dan tinggal di tanah tersebut yang tidak akan dibenar dimajukan, jika DAP dan rakan-rakannya menang.

Kedua, apakah status perundangan sebenarnya tanah tempat KPB terletak? Iaitu sebelum meluluskannya kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang, adakah tanah tersebut sebenarnya milik kerajaan negeri atau penduduk?

Ketiga, Lim perlu menjawab mengapa beliau membenarkan pemindahan hak milik tanah KBP, untuk berkuatkuasa pada 27 Mac 2008, hampir tiga minggu selepas menang pilihanraya umum pada 8 Mac dan selepas penduduk KBP menemuinya (Lim) pada 12 Mac 2008.

“Hanya jika beliau bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya semua dokumen yang berkaitan, dan dengan jujur menjawab tiga soalan mudah tersebut, barulah bermakna untuk saya menyertai debat tersebut,” kata Dr Koh dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini

Gempa bumi: Sumatera bergegar lagi - Utusan

JAKARTA 1 Okt. – Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan satu lagi gempa bumi kuat menggegarkan Sumatera, barat Indonesia.

Gempa bumi berukuran 6.9 pada skala Richter itu berlaku pada 8.52 pagi ini (9.52 pagi waktu Malaysia), kira-kira 280 kilometer dari pusat gempa bumi semalam.

Belum ada laporan mengenai kerosakan akibat gempa bumi terbaru itu. – AP

Utusan

Bagan Pinang pemangkin perubahan Selatan Semenanjung - Harakah

BAGAN PINANG, 30 Sept:Pakatan Rakyat mahu menjadikan N31 sebagai pemangkin perubahan rakyat mewakili Selatan Semenanjung, sebagaimana yang telahpun ditunjukkan rakyat Pantai Barat Semenanjung dalam Thunami Politik 8 Mac lalu.

Zulkefly Mohamad Omar semalam menganggap pencalonannya bukan sekadar mewakili PAS, sebaliknya mewakili kehendak perubahan rakyat Negeri Sembilan, khususnya penduduk tempatan, di sini sendiri.

"Kita mewakili Pakatan Rakyat untuk buat perubahan. Kita masuk (sertai pilihan raya) kerana bersama kehendak rakyat,"katanya.

Mengakui pencabarnya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad lebih dikenali ahli-ahli Umno tempatan, Zulkefly mengaku beliau juga sebenarnya anak jati Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkeyakinan pengundi N31 bijak membuat perhitungan dengan memilih calon yang bersih dan amanah.

Nada yang sama turut dikongsi Presiden PAS Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang sendiri.

Hadi berkeyakinan rakyat akan terus menyokong calon terbaik PAS, sebagaimana yang dapat dilihat dalam tujuh siri pilihan raya kecil sebelum ini.

?Kita sudah melihat perubahan (dalam) tujuh (pilihan raya kecil) sebelum ini. Insya-Allah, kita yakin rakyat berkehendak perubahan di Bagan Pinang juga.? ujar Hadi.

Hadi turut berkeyakinan perubahan yang diramalkan berlaku di Bagan Pinang akan merebak ke negeri adat perpatih itu.

Turut menyertai sidang media di Markas Utama DAP di Batu 9, di sini; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PKR Dr. Syed Husin Ali; Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa; Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas; dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub serta pemimpin-pemimpin Pakatan yang lain.

Penampilan sulung Zulkefly bersama muafakat pemimpin-pemimpin utama PAS, DAP dan PKR semalam dipercayai khalayak, mampu mengukuhkan sokongan rakyat pada cita-cita perubahan bersama Pakatan seperti sebelum ini. - mks. _

Harakah

100 ekar tanah untuk penternak lembu Sungai Kertas - Harakah

SHAH ALAM, 30 Sept: Mesyuarat Exco kerajaan negeri Selangor hari ini mengenalpasti tapak seluas 100 ekar di Hulu Selangor untuk dijadikan tapak penternakan untuk penternak di Kampung Sungai Kertas yang tertimbus lembu mereka baru-baru ini

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kedua-dua penternak Kampung Sungai Kertas berkenaan akan dipindahkan ke kawasan tersebut untuk sementara waktu.

Bagaimanapun, mereka boleh membuat permohonan untuk menyewa tapak berkenaan secara tetap. Tanah seluas 100 ekar ini juga boleh disewakan kepada penternak Selangor lain yang berminat.

Baru-baru ini, 70 penternak lembu berhimpun di perkarangan bangunan SUK Selangor dengan membawa sekali lembu mereka bagi menuntut bantuan kerajaan negeri ekoran dari lapan lembu mereka tertimbus oleh timbunan sampah yang runtuh.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini telah diberi penerangan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pegawai Daerah Gombak berhubung runtuhan tapak pelupusan haram diKampung Sungai kertas, Gombak pada 23 September 2009 serta kerosakan kepada dua ladang ternakan yang berdekatan.

EXCO juga dimaklumkan bahawa tapak pelupusan seluas 20 ekar itu telah beroperasi lebih dari lima tahun.

Kawasan tersebut telah diisytihar sebagai ?kawasan bencana? semenjak 4 September 2009 dan usaha memadamkan kebakaran sampah yang telah mencecah ketinggian 300 kaki.

MPS juga memaklumkan beberapa kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik tanah dalam usaha menghentikan kegiatan pelupusan sampah haram ini, dan dalam usaha membawa kes ini ke mahkamah bagi mendapatkan injuksi menghentikan aktiviti pelupusan ini.

EXCO juga telah dimaklumkan bahawa pada 25 Januari 2007, Pegawai Daerah Gombak telah mengemukakan Borang 7A (Notis Untuk Memulihkan Pelanggaran Syarat) dibawah Seksyen 128, Kanun Tanah Negara kepada pemilik tanah untuk memulihkan pelanggaran syarat kegunaan tanah tersebut.

Oleh kerana tiada tindakan yang dibuat sehingga sekarang, EXCO pada hari ini telah mengarahkan pegawai daerah mengemukakan Borang 8A (Notis Pengembalian Tanah Kepada Kerajaan) dibawah seksyen 130 Kanun Tanah Negara untuk merampas semula tanah berkenaan daripada pemilik berkenaan.

Setelah usaha rampasan telah selesai, MPS telah diarahkan untuk memantau dan membersihkan kawasan tersebut serta mendapatkan khidmat nasihat pakar daripada Worldwide Holding Berhad dalam usaha pemuliharaan kawasan tersebut.

Berkenaan dua penternak yang terlibat, EXCO juga dimaklumkan oleh MPS bahawa aktiviti penternakan yang dijalankan adalah tidak sah.

Kerajaan juga percaya aktiviti penternakan tidak sesuai untuk dijalankan lagi dikawasan tersebut oleh kerana pencemaran yang telah berlaku, kata Khalid._

Harakah

Dr M tidak akan berkempen di Bagan Pinang - Malaysiakini

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

"Beliau adalah calon parti, saya sokong. Pendapat peribadi saya tidak perlu diambil kira," katanya apabila ditanya sama ada beliau kecewa dengan pencalonan bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Abdul Samad sebagai calon BN, lapor Bernama.

Semalam, Isa, 59, diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi DUN Bagan Pinang.

Apabila ditanya adakah ia akan menjejaskan peluang BN untuk memenangi pilihan raya kecil kali ini, katanya, "Saya rasa kita ada peluang baik. Kita akan menang."

Bagaimanapun, apabila ditanya tentang majoriti, beliau berkata: "Saya tidak tahu. Mungkin boleh. Saya agak."

BN memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dengan majoriti 2,333 undi dalam pilihan raya lalu. Bagaimanapun ia kosong selepas kematian penyandangnya, Azman Mohammad
Noor.

Pengumuman berhubung pencalonan Isa dibuat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di Port Dickson, Negeri Sembilan semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada Sabtu ini dengan pengundian pada 11 Oktober.

Malaysiakini

Pelajar Malaysia di Padang selamat - mStar

JAKARTA: Seramai 330 pelajar Malaysia di Padang, Sumatera dilaporkan selamat selepas kejadian gempa bumi yang berlaku berhampiran bandar itu, demikian disahkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia di sini.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Dr Junaidi Abu Bakar berkata 80 peratus daripada pelajar telah berkumpul di lapangan kampus perubatan Universiti Andalas sehingga pukul 6.30 petang semalam.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi berskala 7.7 Richter berlaku di selatan Sumatera pukul 6.16 petang menyebabkan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.

Gempa bumi itu berlaku kira-kira 60km barat daya bandar Padang di Sumatera dan 452km barat daya Melaka.

Sepasukan enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang berusaha untuk menuju ke Padang, ibu kota Sumatera Barat, malam ini untuk menyelaraskan usaha menyelamat para pelajar itu.

Kota Padang kini dilaporkan lumpuh dengan warganya panik menyelamatkan diri dan banyak bangunan yang bukan saja runtuh tetapi juga terbakar.

Walaupun pemeriksaan melalui telefon mengesahkan semua 330 pelajar Malaysia selamat tetapi menurut Dr Junaidi, mereka yang dalam keadaan panik tetap perlu dibantu.

Sementara itu, Pusat Tsunami Pasifik menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi itu. BERNAMA

mStar

Gempa Padang: 200 orang disahkan maut - mStar

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 200 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat, Indonesia setakat ini.

Priyandi Kardono, jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan berkata jumlah kematian yang dilaporkan setakat ini adalah dari kawasan Padang.

Jumah angka korban dijangka meningkat di kawasan-kawasan lain kerana sistem perhubungan dan komunikasi di kawasan Sumatera barat terputus.

Kardono berkata hampir 500 bangunan runtuh di Padang yang menempatkan kira-kira 900,000 penduduk.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan. AP

mStar

Bekas kerani hadapi 11 tuduhan menipu RM881,000 - mStar

MELAKA: Seorang bekas kerani di Pejabat Tanah dan Daerah Jasin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini terhadap 11 tuduhan menipu berhubung bayaran pampasan berjumlah RM881,000 pengambilan tanah penduduk oleh kerajaan negeri Melaka pada lima tahun lepas.

Abdul Rahman Kadir, 50, dari Batu 19 Sungai Rambai, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu antara 23 Jun 2004 dan 6 Ogos 2007.

Abdul Rahman didakwa dengan curang memperdayakan mangsamangsa dengan mengisi borang pampasan G dan H yang diketahuinya palsu untuk membuat tuntutan bayaran.

Tertuduh meletak jawatan kira-kira empat bulan lepas setelah disiasat polis sejak tahun lepas.

Pendakwaan dilakukan Penolong Pendakwa Raya Mohd Asri Abdul Rahman manakala Abdul Rahman diwakili peguambela A. Rengganathan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Okt setelah Abdul Rahman dikenakan jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin. BERNAMA

mStar