Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, December 4, 2008

CAR: MB S'gor jawab Khir Toyo

Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor telah menyelesaikan semua rundingan dan menyediakan semua kemudahan untuk menjayakan projek bekalan elektrik Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Rawang, kata menteri besar.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengulangi kenyataannya bahawa kerajaannya tidak boleh dipersalahkan atas beberapa siri bantahan penduduk terlibat di Kampung Sungai Terentang.

"Adalah tidak wajar kerajaan negeri disalahkan sedangkan perkara ini boleh diselesaikan lebih awal lagi jika kerajaan terdahulu (BN) mempunyai pentadbiran yang efisien dan profesional," katanya, menjawab kritikan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo semalam.

Beliau, yang juga ketua pembangkang Selangor, menyalahkan kerajaan negeri jika CAR gagal dilaksanakan sehingga boleh menjejaskan bekalan tenaga.

Sebanyak 98 peratus projek itu dilaporkan telah berjaya disiapkan dan hanya tinggal dua peratus atau satu kilometer sahaja lagi yang masih tergendala.

Penangguhan berkenaan dilaporkan hanya disebabkan 17 daripada lebih 200 keluarga yang masih berdegil untuk berpindah.

Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan kini tidak menggunakan kuasa mutlak yang ada padanya untuk mengambil alih tanah terbabit daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta memindahkan penduduk.

Tambahnya, kerajaan negeri mempunyai kuasa bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, Seksyen 3(1)(a) untuk mengambil tanah terbabit secara paksa atas kepentingan awam.

Dalam kenyataannya, Abdul Khalid menjelaskan Selangor telah menwartakan pengambilan tanah untuk projek terbabit bawah Seksyen 4 akta terbabit.

"Tambahan pula, keputusan mahkamah mengenai permohonan TNB untuk memasuki tanah yang terlibat juga sudah diputuskan," katanya.

"Dan sekarang TNB dan kerajaan pusat hanya perlu membuat rundingan dengan penduduk kampung bagi meneruskan projek terbabit. "

Tambanya, selepas enam pertemuan dengan kumpulan penduduk terbabit, kerajaan Selangor mengambil dua keputusan: menanam kabel bawah tanah agar penduduk tidak perlu berpindah, dan menggunakan jaluran alternatif yang tidak melibatkan kawasan penduduk.

Abdul Khalid menyeru TNB dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi mengambil inisiatif untuk berjumpa sendiri dengan penduduk supaya "projek ini boleh berjalan dengan cara yang terbaik."


Sumber: Malaysiakini

No comments: