Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, December 26, 2008

Dibeli BN? MP PKR Klang cabar Speaker Selangor kemuka bukti

Santiago beri Teng tujuh hari membuktikan dakwaan

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago hari ini mencabar Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim dari DAP agar membuktikan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah dibeli oleh Barisan Nasional (BN).

Santiago memberikan tempoh tujuh hari kepada Teng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Sungai Pinang mengemukakan bukti atas dakwaannya itu.

Selangor kini dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR, DAP dan PAS.

"Saya memberikan Teng Chang Khim tujuh hari mulai hari ini untuk menyediakan bukti bahawa saya telah dibeli oleh Barisan Nasional.

"Jika bukti tidak dikemukakan, beliau harus menarik balik kenyataannya dan mengemukakan permintaan maaf terbuka.

"Saya akan mengambil tindakan ke atas beliau jika tiada permohonan maaf dikemukakan dalam tujuh hari," kata Santiago dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam kenyataannya hari ini, Santiago merujuk kepada berita dalam China Press bertajuk "mengarut sebagai Ahli Parlimen tsunami, Charles tidak harus angkuh" dalam keluaran semalam.

Santiago berkata, beliau tersinggung dengan dakwaan yang dibuat oleh Teng terhadapnya.

"Sebagai seorang pemimpin parti, ADUN kanan dan kini Speaker Dewan Undangan Negeri, beliau harus berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan," katanya.

Jelas Santiago, adalah perkara biasa untuk mempunyai pandangan berbeza dalam apa jua isu.

"Bagaimanapun untuk mengatakan bahawa saya telah dibeli oleh BN adalah tindakan mempersoalkan integriti saya. Beliau bukan lagi berlaku adil," kata beliau lagi.

Kata Santiago, Teng telah memperlekehkan 37,990 pengundi di Klang yang telah memilihnya pada pilihan raya umum 8 Mac lalu dengan dakwaan sedemikian.

"Nampaknya beliau (Teng) tidak belajar daripada pengalamannya selama 13 tahun sebagai ADUN.

"Ini kerana kelakuannya dalam isu berhubung dengan pemindahan stesen bas ke Meru, sama seperti pendekatan BN," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam mendakwa Teng menuduh beliau berbohong.

Manikavasagam juga dari PKR. Kedua-dua mereka merupakan Ahli Parlimen penggal pertama.

Kata Santiago, beliau mempunyai tanggungjawab untuk membela hak demokrasi rakyat untuk mendapatkan maklumat dan juga memastikan kerajaan Pakatan Rakyat mewakili kepentingan dan hak rakyat, sekali gus membolehkan mereka mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan dalam pembangunan setempat.

"Sekali lagi saya mahu memperingatkan Teng supaya tidak terus memanipulasikan situasi, sebaliknya memfokus cabaran saya ini," katanya lagi.

Sumber: mSTAR




1 comment:

Hang Tuah said...

Salam, ni adalah masalah dalaman parti, adalah baik sekiranya diselesaikan secara dalaman dan Pakatan Media jangan terikut-ikut rentak BN untuk mengapi-apikan isu ini..