Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Reformasi. Show all posts
Showing posts with label Reformasi. Show all posts

Thursday, July 9, 2009

Pembelaan Untuk Mahasiswa - PerakExpress

Lapan tahun lalu terberkas detik hitam kepada perjuangan reformasi kalangan anak muda di negara ini apabila 2 mahasiswa ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Memang, ia bukan pertama kali berlaku.

Sebelum itu, iaitu kira-kira 31 tahun dahulu, suara protes mahasiswa dibungkam dan dilumpuhkan dengan tangkapan besar-besar terhadap aktivis mahasiswa terutamanya di Universiti Malaya (UM) dan Institut Teknologi Mara (ITM).

Perjuangan mahasiswa era 1970-an cukup sinonim dengan pembelaan hak rakyat termiskin samada di Kampung Telok Gong, Selangor; nasib setinggan Tasek Utara, Johor Bahru mahupun penderitaan dan kemelaratan penduduk di Baling, Kedah.

Begitu juga seawal negara menuju kemerdekaan, tokoh-tokoh pimpinan mahupun pertubuhan anak muda yang progresif ditekan penjajah. Antara lain, Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai antara wadah politik nasional yang terawal dibendung dan dibunuh penjajah. Alasannya: Komunis! Alasannya: Aliran Keras!

Perjuangan anak muda justeru memang sering melalui jalan berliku… begitulah yang terlakar dalam sekian banyak peristiwa. Baik di zaman penjajahan, mahupun selepas merdeka.

“Ops Omega” pada tahun 2000 yang bertujuan membunuh seluruhnya gelombang Reformasi ‘98 juga terhala serangannya ke kubu anak muda. Selain kecaman media mencemar wibawa pemimpin Keadilan dan aktivis Reformasi, anak-anak muda dan kelompok mahasiswa tidak terlepas daripada serang hendap kerajaan Umno-BN. Digunakan media. Digunakan penguasa di universiti. Digunakan polis.

Saya ingat bagaimana hari yang celaka itu, ketika saya baru pulang dari pejabat akhbar Berita Keadilan.

Seusai selesai date line dan setiap kali menjelang date line, saya lazimnya tidak sempat tidur sehari-dua. Bertungkus-lumus. Waktu itu, akhbar Berita Keadilan masih kekurangan serba-serbi dan jumlah wartawannya hanya beberapa orang, sementara berlonggok kerja yang perlu dibereskan untuk memastikan akhbar parti dapat siap untuk dicetak. Hari itu hari yang celaka, dan susuk saya sudah cukup lesu. Layu.

Di bawah panas matahari Bangsar Utama, menuju ke bilik sewa.

Pada tangan ada kaset album terbaru M Nasir “Pheonix Bangkit” yang sempat dibeli sebelum pulang ke bilik untuk merebahkan badan, dan tidur.

Tak lama di dalam bilik, saya mendengar ketukan pintu, bertalu-talu. Ketukan yang ‘menakutkan’—traumatik—karena kira-kira 3 bulan sebelumnya, seorang kawan bilik sebelah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sejak hari itu beliau dibawa pergi. Tidak pulang-pulang lagi, sehinggalah saya tahu beliau ditahan di bawah ISA.

Hari itu adalah hari yang celaka…

Beberapa hari sebelumnya, media milik Umno-BN memang sedia “bakar ‘line‘,” dengan berita-berita mengenai kebakaran Dewan Tunku Censelor, Universiti Malaya (UM). Digambarkan seolah-olah kebakaran dewan itu bersangkut-paut dengan gerakkan anak muda dan mahasiswa yang radikal. Malah disebutkan wujudnya mahasiswa yang terpengaruh dengan “gerakkan bawah tanah.”

Saya bingkas dari tilam tipis yang harganya RM60; tilam yang belum setahun saya beli dan satu-satunya harta yang saya ada, waktu itu. Menjengah ke bawah dari celah-celah bilah kaca tingkap yang berabuk, ada dua kereta Proton Wira warna putih. Diletakkan di hadapan bengkel kereta, bawah bilik sewa. Ahhh… Sah polis!

Lebih kurang begitulah posisi kereta polis sewaktu tangkap pertama dahulu. Hari ini sekali lagi, dan semuanya berulang seperti dejavu. Apabila ketukkan pintu terhenti (pintu rumah itu memang agak tebal kayunya dan berat), saya berjengket-jengket ke ‘ruang tamu’. Premis tersebut adalah pejabat yang diubah-suai menjadi bilik tidur. Sewanya RM350 sebulan.

Saya pada awalnya tidak tahu, teman mahasiswa yang menyewa bilik di tingkat 4 bangunan yang sama sudah ditangkap pagi-pagi lagi. Kira-kira jam 10.30 pagi. Beliau diberkas ketika menyertai sebuah demontrasi kecil di hadapan Balai Polis Jalan Stadium, KL.

Selepas polis menangkapnya, polis membawa dia ke ‘kubu’ kami—di mana, di situ jugalah saya menyewa bilik. Semua barangan beliau dirampas. Termasuk buku-buku dan dokumen tertentu. Juga buku-buku saya, dan dua keping lakaran lukisan milik saya. Saya percaya lakaran saya itu kini masih berada di Bukit Aman. Semua barangan berkenaan diletakkan di sebuah dewan sempit tingkat 4 yang menjadi kelas tambahan percuma kepada anak-anak golongan miskin sekitar Bangsar Utama.

Ringkasnya, bagi menyempurnakan matlamat membunuh arus Reformasi dan perlawanan terhadap pemerintah Umno-BN, selain penggerak utama, badan dan tokoh mahasiswa yang kritis harus turut dihapuskan sama sekali. Sama sekali!

Detik tangkapan itu barangkali kemuncak kepada siri tekanan kepada golongan mahasiswa yang pro-Reformasi. Selain sasaran kepada anak-anak mahasiswa yang terlibat, kita juga mendapat tahu bagaimana ibu-bapa di kampung juga pernah ‘dikacau’.

Semua ini, telah benar-benar memberi tekanan perasaan dan psykologi, bukan sahaja kepada anak-anak mahasiswa, sekaligus kepada keluarga dan ibu-ayah mereka. Demikian, saya sungguh-sungguh mengerti dan terasa dekat sekali dengan nasib mahasiswa UM yang baru-baru ini diberkas atas tuduhan menconteng dinding dan percubaan membakar dewan.

Sekali lagi, tuduhan bakar dewan timbul—hampir sama seperti yang pernah dilemparkan 9 tahun lalu. Pihak media, polis dan tak seorang pun pemimpin Umno-BN yang berketik bersuara apabila hasil siasatan mendapati Dewan Tungku Censelor itu terbakar akibat litar pintas. Tidak ada kena mengena langsung dengan apa yang dituduh sebagai “pengaruh gerakkan bawah tanah.”

Kegemparan dan kekalutan di UM baru-baru ini tercetus apabila ada segelintir mahasiswa yang ‘nakal’ dan menconteng dinding dengan perkataan seperti “C4″, “bini puaka” dan “pembunuh Altantuya”, sehari sebelum wanita pertama, Datin Seri Rosmah Mansor datang ke universiti berkenaan.

Saya membayangkan bagaimana kejujuran beberapa anak mahasiswa itu untuk berekpressi dan mencurahkan kebencian mereka terhadap sesuatu. Mereka hanya menuliskan dengan rasa yakin benar, dan kalaupun menconteng adalah perbuatan salah oleh anak-anak ‘nakal’ berkenaan, apakah ia terlalu berdosa sehingga diperlaku lebih daripada kesalahan membunuh mahupun menerima rasuah?

‘Anak-anak nakal’ dari perspektif tertentu diperlukan negara, apabila kita sedar bahawa sifat kenakalan adalah petanda seseorang yang bijak—sepertimana kisah Hang Nadim yang mengalahkan serangan todak di Temasik dahulu. Hang Nadim bukan umpama Belia 4B! Bukan yang lemah cangok, layu dan hanya mengikut laksana pak turut.

Tatkala tangkapan tengah hari itu dibuat, di radio berkumandang lagu daripada kaset yang baru saya beli: raja-raja dulu tengah fana dimakan zaman, kini tinggal kau tanpa pilihan; kecuali mahu membiarkan, hidup di angan-anganan, mengharapkan yang tak mungkin menjelma…

Semua pemimpin, termasuk pimpinan muda (terutama di kalangan Pakatan Rakyat) wajib bangun membela adik-adik ini—selain daripada hanya sibuk melayan keasyikan bulan madu sebagai “YB muda” atau terbelit dengan polimik diskusi dan perbincangan yang jelas-nyata langkah politik yang hampir seratus-peratus tidak perlu.

PerakExpress

Wednesday, June 24, 2009

Melacak Reformasi - Perak Express

Oleh: Amin Ahmad

Sejak awal, saya telah menyatakan jelas bahawa sektor reformasi tidak hanya terletak pada parti politik. Meskipun kita harus meraikan kesediaan parti-parti politik menempatkan diri sebagai alternatif kerajaan memerintah, tidak wajar kita membiarkan segalanya diputuskan oleh parti politik. Dengan sektor bukan parti yang lebih kuat, kita bukan saja memaksa parti-parti politik arus reformasi untuk lebih serius, tetapi juga parti-parti pemerintah semasa. Justeru, ruang persaingan akan menjadi lebih terbuka.

Kenapa sikap ini penting? Kerana sejarah transisi kepimpinan itu tidak mudah. Dunia telah menyaksikan ramai tokoh perjuangan tersungkur saat beroleh kuasa. Mereka fikir bahawa kemenangan mereka beerti selamanya massa akan bersama mereka. Mereka gagal membezakan kebencian kepada kezaliman dengan keinginan kuat untuk menegakkan keadilan.

Jujurnya saya gembira dengan keputusan PKR untuk menurunkan had umur AMK kepada 35 tahun. Mungkin beberapa penggal lagi, had umur ini juga harus dinilai semula. Saya masih ingat semasa memperingati 5 tahun Reformasi, Khalid Jaafar menyatakan dalam majalah Siasah bahawa “…masa depan Reformasi bergantung kepada pemikir-pemikir mudanya”.

Sebagai anak muda, saya melihat persaingan adalah cukup kompetetif dan ianya sihat. Saya menemukan keghairahan untuk perubahan di kalangan rakan-rakan professional muda yang bersama UMNO. Meskipun di kalangan rakan-rakan dalam PKR masih wujud keghairahan ini, momentumnya saya lihat tidak seperti dulu. Saat PKR meraih laba dalam Pilihan Raya Umum ke-12, ada percaturan kuasa dan anak muda, sama ada dipinggirkan kerana ‘bukan dari kelompok tertentu’ atau ‘tidak kompromi’, ada yang membiarkan diri larut bersama percaturan ahli politik yang ‘tidak berapa muda’.

Dalam wawancara saya bersama UmmahOnline.com (boleh dirujuk di http://aminahmad.com) dulu, saya pernah ditanya “mestikah perjuangan rakyat diterajui oleh anak muda?”.

Jawab saya: “Soal pokok adalah perubahan…keyakinan kepada orang muda tidak Seharusnya sampai kita menafikan sumbangan kelompok orang tua. Soal siapa memimpin perubahan dan semangat zaman tidak semestinya orang muda tetapi sekiranya orang muda mahu memimpin perubahan dan semangat zaman..kita mesti berani bergerak dan membetulkan kesilapan kita”.

AMK sebagai lanjutan perjuangan Pemuda Keadilan era Reformasi 1998 berdepan dengan persoalan transisi fasa perjuangan. Saudara Ezam Mohd Nor, tanpa menafikan kapasiti beliau, lekas menempa nama kerana banyak didorong oleh faktor isu semasa yang rancak waktu itu. Saudara Ezam mungkin tak banyak memikirkan persoalan kualiti kaderisasi kerana penyertaan massa waktu itu bagai tidak tertahan.

Kualiti kaderisasi ini banyak merencatkan kepimpinan saudara Saifuddin Nasution saat beliau memangku kedudukan sementara saudara Ezam di-ISA-kan. Ia bukan salah sesiapa kerana sinergi memerlukan komitmen pelbagai, apatah lagi dalam realiti PKR kehilangan ramai tokoh utama waktu itu, risiko kehilangan tokoh lapis kedua juga sukar dibayangkan. Sementalahan pula, kita harus meraikan pendekatan kepimpinan yang pelbagai. Meski waktu itu laporan Seruan Keadilan menyatakan persepsi terhadap Pemuda Keadilan adalah di tempat tercorot, ia bukanlah tanda kekal kegagalan mereka. Saya tidak mahu membayangkan ‘arahan khusus’ dari tembok ISA oleh mereka yang sudah di’turn over’ agar kerjasama longlai diberikan kepada saudara Saifuddin Nasution. Mungkin saudara Ezam boleh memasukkan di dalam memoirnya kelak tentang keistimewaan membuat panggilan keluar pada waktu itu.

Kita harus berani mengakui bahawa kejayaan terhad Pakatan Rakyat telah menyaksikan bahawa persediaan yang ada belum cukup. Dalam forum Agenda Awani sempena muktamar PAS baru-baru ini, saya memberikan komentar jelas bahawa PAS (dan Pakatan Rakyat umumnya) harus lebih banyak menumpukan persoalan dasar. Saya pernah hadir ke Seminar First World Parliament anjuran DAP satu ketika dulu – ketika Profesor Syed Hussein Al-Attas masih hidup dan beliau turut membentangkan pandangannya. Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa DAP jauh lebih serius untuk menggerakkan agenda rakyat di Parlimen.

Saya juga melihat sosok Dato’ Seri Anwar ikut perihatin agar Pakatan Rakyat bertindak sesuai sebagai ‘kerajaan menanti’. Kita boleh melihat bagaimana Dato’ Seri Anwar menggunakan kedudukan Ketua Pembangkang secara efektif, respon kepada isu semasa terutama persoalan ekonomi dan urus tadbir yang telus dan demokratik. Saya tidak memaksudkan PAS tidak serius, tetapi kupasan tokoh-tokoh utama mereka ternampak masih bersifat popular dan tidak cukup disaring. Bagaimanapun saya berterima kasih kepada kumpulan yang dipanggil ‘Erdogan’ di dalam PAS. Merekalah yang berjaya mengangkat imej professional PAS yang serius meskipun saya melihat adanya kekangan dalam hal mempertahankan pendirian PAS sebagai parti dan perspektif mereka sebagai individu.

Dalam memperjuangkan reformasi, saya percaya perbezaan terbuka berkaitan idea di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat wajar dibenarkan. Apa yang penting ialah prinsip harus jelas dan konteksnya harus terarah.

AMK harus mengambil ruang yang ada ini untuk membangun kualiti ahli. Sekiranya PAS ada usrah untuk ahli, AMK juga boleh membangun modul asas pendidikan ahli. Kerencaman latar belakang ahli di dalam PKR harus dilihat sebagai aset, bukan liabiliti. Modul asas ini juga tidak harus rigid tetapi terbuka untuk dibincangkan. Pejuang reformasi wajib mampu mempertahankan idea kebebasan dan keadilan dari sudut pandang pelbagai.

Ingatlah! Kediktatoran, kezaliman, salah guna kuasa dan korupsi bermula dari kongkongan terhadap kebebasan dan pengabaian erti keadilan. Sekiranya Pakatan Rakyat mahu meneruskan sikap UMNO-BN, wajarlah nama Pakatan Rakyat ditukar kepada BN-Baru!
____________________________________
Amin Ahmad, 27 percaya bahawa reformasi adalah milik rakyat – semua agama, semua bangsa dan setiap individu.

Perak Express

Friday, December 19, 2008

Presiden Reformis rasmi dipecat

Majoriti exco Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) – popular dengan ugutan untuk berdemonstrasi bogel – telah menggugurkan presiden penajanya Ramlan Abu Bakar.

Timbalan presiden Badrul Hisham Mohd Hanafiah memberitahu Malaysiakini, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas lapan orang exco semalam.

Surat rasmi mereka kepada Ramlan dikirim melalui pos tengah hari ini.

Badrul Hisham menambah, mesyuarat itu juga memutuskan untuk melantiknya sebagai pemangku Reformis sehingga suatu tarikh yang ditetapkan kemudian.

Mereka juga memutuskan melarang Ramlan menggunakan nama organisasi tersebut dalam segala kegiatannya dan kenyataan kepada media.

"Tetapi kalau beliau hendak mengeluarkan kenyataan secara peribadi, kita tidak boleh halang," tambah Badrul Hisham.

Badrul Hisham juga berkata, Reformis kini beralih arah menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengekalkan kadar sewa unit di kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) sebanyak RM124 sebulan bagi keluarga yang berpendapatan bawah RM1,500 sebulan.

Reformis sebelum ini mengugut mengadakan demonstrasi berbogel sebagai tanda bantahan kepada kerajaan negeri yang menaikkan kadar sewa kepada RM250 sebulan.

Diminta mengulas dakwaan Ramlan semalam yang berkata Reformis merupakan "jenama" asalnya, Badrul Hisham berkata, sumbangan Ramlan dalam bentuk modal di peringkat awal penubuhan NGO itu memang diakui.

Bagaimanapun, tambahnya, Ramlan "lari daripada konsep Reformis secara keseluruhannya" yang menyebabkan beliau terpaksa dipinggirkan.

Sumber: Malaysiakini




Friday, December 5, 2008

Presiden Reformis kena tindakan disiplin

Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) yang terkenal dengan "skuad berani bogelnya" dan lantang mencabar kerajaan Selangor semalam menerima surat tunjuk sebab daripada barisan exconya.

Sembilan daripada 12 exco persatuan itu hadir dalam mesyuarat tergempar di sebuah restoran di Kuala Lumpur pada Selasa, sehari selepas Ramlan Abu Bakar membuat aduan polis terhadap menteri besar berhubung karnival rakyat di Shah Alam bersempena kongres nasional PKR hujung minggu lalu.

Mereka sebulat suara memutuskan tindakan itu dengan alasan tindakan Ramlan "membuat serangan peribadi" kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dua orang exo lagi tidak hadir dalam mesyaurat itu dipercayai penyokong presiden Reformis.

Ramlan juga, melalui kenyataan-kenyataannnya kepada media, didakwa telah membelakangkan sebahagian besar exco-exconya.

Setiausaha Reformis, Zairi Jantan memberitahu Malaysiakini, tindakan ketuanya itu bertentangan dengan Fasal 17 (2) perlembagaan pertubuhan itu menyebut, mana-mana ahli tidak boleh mencemarkan nama baik Reformis dan juga Fasal 9 (4) bahawa jawatankuasa tidak boleh diketepikan dalam membuat sesuatu keputusan.

Reformis - dipercayai mempunyai hubungan dengan penyokong Gerakan Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim - didaftarkan pada Julai tahun lalu tetapi hingga kini Pendaftar Pertubuhan belum meluluskan NGO itu.

Awal minggu ini, Ramlan dilaporkan berkata, skuad berani bogelnya akan meneruskan bantahan, termasuk mengejar menteri besar Selangor, yang juga ketua perhubungan PKR, di majlis-majlis yang dihadirinya.

Menurutnya, ia akan dilakukan sekiranya tuntutan supaya kadar kenaikan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dikaji semula, tidak dipenuhi kerajaan negeri.

Dalam aduan polisnya 1 Disember, Ramlan mendakwa PKR menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan peruntukan kerajaan negeri untuk mengadakan keramaian dan jamuan makan pada perhimpunan di luar Stadium Malawati, tempat parti itu mengadakan mesyuarat agung tahunan.

Jelasnya, laporan, yang sama turut dibuat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Dihubungi semalam, timbalan presiden Reformis, Badrul Hisham Mohd Hanafiah berkata, isu kenaikan sewa PPR yang diperjuangkan oleh mereka memang telah disepakati oleh barisan exco pada November lalu.

Tetapi, tambahnya, "Ramlan telah bawa isu ini terlalu jauh. (Kandungan) kenyataan (media), sidang akhbar pun kita tidak pernah tahu."

Pemimpin nombor dua NGO itu juga berkata, exco-exco lain tidak bersetuju dengan pendekatan serangan peribadi yang dilakukan Ramlan, sebaliknya memilih pendekatan kritikan yang membina.

Ramlan diminta menjawab dalam tempoh 14 hari. Jika gagal berbuat demikian, tambah Badrul, beliau boleh digantung antara tiga hingga enam bulan.

Nasibnya akan diputuskan oleh sebuah panel penilai yang akan dianggotai individu yang tidak berkepentingan dalam kes itu dan bukan ahli Reformis seperti peguam, katanya lagi.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Ramlan berhubung tindakan disiplin yang mendadak dikenakan padanya.

Sumber: Malaysiakini



Friday, November 14, 2008

Sepuluh tahun selepas reformasi...

Selepas 10 tahun, gerakan reformasi pada tahun 1998 yang tercetus ekoran pemecatan timbalan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim, disifatkan "mendapat kemenangan kecil di sebalik kekalahan besar".

Aktivis reformasi Hishamuddin Rais berkata, gerakan reformasi yang menggerakkan puluhan ribu rakyat Malaysia turun ke jalanraya itu, gagal menuntut "perubahan struktural" melibatkan perubahan dalam sistem dan dasar-dasar ekonomi.

"Kini Pakatan Rakyat memerintah lima negeri. Apa yang perlu dilakukan kalau reformasi ingin terus dikembangkan - daripada kemenangan-kemenangan kecil kepada kemenangan besar pada 8 Mac - adalah membincangkan perubahan struktural.

Beliau berkata demikian dalam forum bertajuk 'Reformasilah: Membincangkan (lagi) 10 Tahun Reformasi Malaysia dan Indonesia' anjuran Pusat Penyelidikan dan Maklumat Strategik (SIRC) di ibunegara malam tadi.

Bagaimanapun, Hishamuddin berkata, gerakan reformasi berjaya membuatkan orang Melayu buat pertama kali bangun menentang penggunaan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA).

Tindakan itu katanya, berbeza dengan tindakan mereka daripada zaman 1971 hingga 1974, yang hanya membiarkan orang Cina sahaja menuntut penghapusan akta kontroversi itu.

Perubahan struktur

Beliau turut mengkritik Anwar yang didakwanya "tidak pernah mengajukan reformasi" sebelum dipecat oleh perdana menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamad.

Hishamuddin mentafsirkan reformasi pada 1998 sebagai pertembungan 'borjois kecil dan borjois besar'.

"Ia hanya pertembungan kelas, tidak ada kena mengena dengan perubahan struktur," katanya.

Pada masa itu, katanya, ramai yang berharap Anwar menjadi perdana menteri dalam masa terdekat dan mengalihkan tauke-tauke besar itu supaya tempat itu dapat diganti mereka.

Turut bercakap dalam forum tersebut ialah aktivis budaya Indonesia Yoshi Fajar Kresno Murti.

Bercakap dalam konteks kebudayaan, beliau mendakwa, reformasi di Indonesia membawa perubahan dalam aspek politik tetapi tiadak perubahan dalam gerakan sosial dan budaya.

Novel erotis

Menurutnya lagi, ini disebabkan proses 'pembodohan' yang lama sewaktu pemerintahan bekas presiden Soeharto yang lama.

Sementara itu, aktivis Taman 65 Bali, Ngurah Termana pula mendakwa reformasi telah berjaya menjadikan rakyat berani mempersoalan dasar-dasar pemerintah.

Namun, tambahnya, dari aspek yang lain, lahir pula golongan fundamentalis moral yang cenderung kepada keganasan seperti Front Pembela Islam (FPI).

Ditemui selepas forum, beliau berkata, golongan-golongan FPI yang melihat suasana kebebasan selepas reformasi 1998 sebagai sesuatu yang negatif.

Akhirnya, tambah Ngurah, golongan penulis seperti Ayu Utami yang terkenal dengan novel bercorak erotisnya dan penerbitan Play Boy Indonesia menjadi mangsa suasana baru ini.

Sumber:
Malaysiakini

Friday, September 12, 2008

Memaknakan Semula Perisytiharan Permatang Pauh

Tanggal 12 September menyaksikan Perisytiharan Permatang Pauh yang dimasyhurkan pada tahun 1998 menjajat usianya yang kesepuluh tahun ini.

Perisytiharan ini, meskipun kelihatan terpencil di kalangan rakyat, sebenarnya merupakan satu langkah pemula kepada usaha ke arah menggerakkan pembaharuan Malaysia untuk mengorak langkah ke arah menjadi negara yang lebih adil, demokratik dan bermaruah.

Tekad dan iltizam kita merencana agenda perubahan bukan sekadar omong kosong. Ia bersendikan dukungan rakyat yang jelas terlihat rentetan daripada keputusan Pilihanraya Umum Ke-12, 8 Mac 2008 dan juga keputusan Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos lepas.

Kemelut politik perkauman dan ekonomi yang menindas bukan lagi penyelesaian yang relevan. Tuntasnya, rakyat memerlukan harapan baru. Dan harapan ini telahpun digarap seusai 10 tahun yang lepas melalui Perisytiharan Permatang Pauh, dan kini semakin hampir untuk direalisasikan.

Tekanan ekonomi semakin menggila, rasuah semakin menular dan pembudayaan demokrasi kian menguncup. Apa lagi harapan yang boleh kita sandarkan di kala kita sedang merencana masa depan Malaysia selepas 51 tahun kemerdekaan dikecap?

Kini masanya untuk kita memandang dan melangkah ke hadapan.


"Perisytiharan Permatang Pauh

Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud “tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami”;

Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat;

Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula;

Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat untuk melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:

Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani,
dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan
merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia
haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat
tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;

Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua,
yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin;
membersihkan institusi dan proses undang-undang dari
dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;

Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui
proses demokrasi. Democrasi itu satu kemestian, kerana
semangat keadilan yang ada dalam diri manusia
membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan
manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu
kewajipan;

Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,
menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan
yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia
ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi
untuk memenuhi kerakusan individu;

Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan
penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh
segelintir golongan rakus dan mahakaya;

Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya
yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan
terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;

Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke
zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana
kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin
persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan
keadilan.

Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.

Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi."


Permatang Pauh
12 September 1998

ANWAR IBRAHIM