Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, September 12, 2008

Memaknakan Semula Perisytiharan Permatang Pauh

Tanggal 12 September menyaksikan Perisytiharan Permatang Pauh yang dimasyhurkan pada tahun 1998 menjajat usianya yang kesepuluh tahun ini.

Perisytiharan ini, meskipun kelihatan terpencil di kalangan rakyat, sebenarnya merupakan satu langkah pemula kepada usaha ke arah menggerakkan pembaharuan Malaysia untuk mengorak langkah ke arah menjadi negara yang lebih adil, demokratik dan bermaruah.

Tekad dan iltizam kita merencana agenda perubahan bukan sekadar omong kosong. Ia bersendikan dukungan rakyat yang jelas terlihat rentetan daripada keputusan Pilihanraya Umum Ke-12, 8 Mac 2008 dan juga keputusan Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos lepas.

Kemelut politik perkauman dan ekonomi yang menindas bukan lagi penyelesaian yang relevan. Tuntasnya, rakyat memerlukan harapan baru. Dan harapan ini telahpun digarap seusai 10 tahun yang lepas melalui Perisytiharan Permatang Pauh, dan kini semakin hampir untuk direalisasikan.

Tekanan ekonomi semakin menggila, rasuah semakin menular dan pembudayaan demokrasi kian menguncup. Apa lagi harapan yang boleh kita sandarkan di kala kita sedang merencana masa depan Malaysia selepas 51 tahun kemerdekaan dikecap?

Kini masanya untuk kita memandang dan melangkah ke hadapan.


"Perisytiharan Permatang Pauh

Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud “tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami”;

Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat;

Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula;

Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat untuk melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:

Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani,
dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan
merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia
haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat
tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;

Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua,
yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin;
membersihkan institusi dan proses undang-undang dari
dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;

Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui
proses demokrasi. Democrasi itu satu kemestian, kerana
semangat keadilan yang ada dalam diri manusia
membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan
manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu
kewajipan;

Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,
menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan
yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia
ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi
untuk memenuhi kerakusan individu;

Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan
penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh
segelintir golongan rakus dan mahakaya;

Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya
yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan
terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;

Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke
zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana
kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin
persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan
keadilan.

Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.

Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi."


Permatang Pauh
12 September 1998

ANWAR IBRAHIM

No comments: