Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, July 9, 2009

Pembelaan Untuk Mahasiswa - PerakExpress

Lapan tahun lalu terberkas detik hitam kepada perjuangan reformasi kalangan anak muda di negara ini apabila 2 mahasiswa ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Memang, ia bukan pertama kali berlaku.

Sebelum itu, iaitu kira-kira 31 tahun dahulu, suara protes mahasiswa dibungkam dan dilumpuhkan dengan tangkapan besar-besar terhadap aktivis mahasiswa terutamanya di Universiti Malaya (UM) dan Institut Teknologi Mara (ITM).

Perjuangan mahasiswa era 1970-an cukup sinonim dengan pembelaan hak rakyat termiskin samada di Kampung Telok Gong, Selangor; nasib setinggan Tasek Utara, Johor Bahru mahupun penderitaan dan kemelaratan penduduk di Baling, Kedah.

Begitu juga seawal negara menuju kemerdekaan, tokoh-tokoh pimpinan mahupun pertubuhan anak muda yang progresif ditekan penjajah. Antara lain, Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai antara wadah politik nasional yang terawal dibendung dan dibunuh penjajah. Alasannya: Komunis! Alasannya: Aliran Keras!

Perjuangan anak muda justeru memang sering melalui jalan berliku… begitulah yang terlakar dalam sekian banyak peristiwa. Baik di zaman penjajahan, mahupun selepas merdeka.

“Ops Omega” pada tahun 2000 yang bertujuan membunuh seluruhnya gelombang Reformasi ‘98 juga terhala serangannya ke kubu anak muda. Selain kecaman media mencemar wibawa pemimpin Keadilan dan aktivis Reformasi, anak-anak muda dan kelompok mahasiswa tidak terlepas daripada serang hendap kerajaan Umno-BN. Digunakan media. Digunakan penguasa di universiti. Digunakan polis.

Saya ingat bagaimana hari yang celaka itu, ketika saya baru pulang dari pejabat akhbar Berita Keadilan.

Seusai selesai date line dan setiap kali menjelang date line, saya lazimnya tidak sempat tidur sehari-dua. Bertungkus-lumus. Waktu itu, akhbar Berita Keadilan masih kekurangan serba-serbi dan jumlah wartawannya hanya beberapa orang, sementara berlonggok kerja yang perlu dibereskan untuk memastikan akhbar parti dapat siap untuk dicetak. Hari itu hari yang celaka, dan susuk saya sudah cukup lesu. Layu.

Di bawah panas matahari Bangsar Utama, menuju ke bilik sewa.

Pada tangan ada kaset album terbaru M Nasir “Pheonix Bangkit” yang sempat dibeli sebelum pulang ke bilik untuk merebahkan badan, dan tidur.

Tak lama di dalam bilik, saya mendengar ketukan pintu, bertalu-talu. Ketukan yang ‘menakutkan’—traumatik—karena kira-kira 3 bulan sebelumnya, seorang kawan bilik sebelah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sejak hari itu beliau dibawa pergi. Tidak pulang-pulang lagi, sehinggalah saya tahu beliau ditahan di bawah ISA.

Hari itu adalah hari yang celaka…

Beberapa hari sebelumnya, media milik Umno-BN memang sedia “bakar ‘line‘,” dengan berita-berita mengenai kebakaran Dewan Tunku Censelor, Universiti Malaya (UM). Digambarkan seolah-olah kebakaran dewan itu bersangkut-paut dengan gerakkan anak muda dan mahasiswa yang radikal. Malah disebutkan wujudnya mahasiswa yang terpengaruh dengan “gerakkan bawah tanah.”

Saya bingkas dari tilam tipis yang harganya RM60; tilam yang belum setahun saya beli dan satu-satunya harta yang saya ada, waktu itu. Menjengah ke bawah dari celah-celah bilah kaca tingkap yang berabuk, ada dua kereta Proton Wira warna putih. Diletakkan di hadapan bengkel kereta, bawah bilik sewa. Ahhh… Sah polis!

Lebih kurang begitulah posisi kereta polis sewaktu tangkap pertama dahulu. Hari ini sekali lagi, dan semuanya berulang seperti dejavu. Apabila ketukkan pintu terhenti (pintu rumah itu memang agak tebal kayunya dan berat), saya berjengket-jengket ke ‘ruang tamu’. Premis tersebut adalah pejabat yang diubah-suai menjadi bilik tidur. Sewanya RM350 sebulan.

Saya pada awalnya tidak tahu, teman mahasiswa yang menyewa bilik di tingkat 4 bangunan yang sama sudah ditangkap pagi-pagi lagi. Kira-kira jam 10.30 pagi. Beliau diberkas ketika menyertai sebuah demontrasi kecil di hadapan Balai Polis Jalan Stadium, KL.

Selepas polis menangkapnya, polis membawa dia ke ‘kubu’ kami—di mana, di situ jugalah saya menyewa bilik. Semua barangan beliau dirampas. Termasuk buku-buku dan dokumen tertentu. Juga buku-buku saya, dan dua keping lakaran lukisan milik saya. Saya percaya lakaran saya itu kini masih berada di Bukit Aman. Semua barangan berkenaan diletakkan di sebuah dewan sempit tingkat 4 yang menjadi kelas tambahan percuma kepada anak-anak golongan miskin sekitar Bangsar Utama.

Ringkasnya, bagi menyempurnakan matlamat membunuh arus Reformasi dan perlawanan terhadap pemerintah Umno-BN, selain penggerak utama, badan dan tokoh mahasiswa yang kritis harus turut dihapuskan sama sekali. Sama sekali!

Detik tangkapan itu barangkali kemuncak kepada siri tekanan kepada golongan mahasiswa yang pro-Reformasi. Selain sasaran kepada anak-anak mahasiswa yang terlibat, kita juga mendapat tahu bagaimana ibu-bapa di kampung juga pernah ‘dikacau’.

Semua ini, telah benar-benar memberi tekanan perasaan dan psykologi, bukan sahaja kepada anak-anak mahasiswa, sekaligus kepada keluarga dan ibu-ayah mereka. Demikian, saya sungguh-sungguh mengerti dan terasa dekat sekali dengan nasib mahasiswa UM yang baru-baru ini diberkas atas tuduhan menconteng dinding dan percubaan membakar dewan.

Sekali lagi, tuduhan bakar dewan timbul—hampir sama seperti yang pernah dilemparkan 9 tahun lalu. Pihak media, polis dan tak seorang pun pemimpin Umno-BN yang berketik bersuara apabila hasil siasatan mendapati Dewan Tungku Censelor itu terbakar akibat litar pintas. Tidak ada kena mengena langsung dengan apa yang dituduh sebagai “pengaruh gerakkan bawah tanah.”

Kegemparan dan kekalutan di UM baru-baru ini tercetus apabila ada segelintir mahasiswa yang ‘nakal’ dan menconteng dinding dengan perkataan seperti “C4″, “bini puaka” dan “pembunuh Altantuya”, sehari sebelum wanita pertama, Datin Seri Rosmah Mansor datang ke universiti berkenaan.

Saya membayangkan bagaimana kejujuran beberapa anak mahasiswa itu untuk berekpressi dan mencurahkan kebencian mereka terhadap sesuatu. Mereka hanya menuliskan dengan rasa yakin benar, dan kalaupun menconteng adalah perbuatan salah oleh anak-anak ‘nakal’ berkenaan, apakah ia terlalu berdosa sehingga diperlaku lebih daripada kesalahan membunuh mahupun menerima rasuah?

‘Anak-anak nakal’ dari perspektif tertentu diperlukan negara, apabila kita sedar bahawa sifat kenakalan adalah petanda seseorang yang bijak—sepertimana kisah Hang Nadim yang mengalahkan serangan todak di Temasik dahulu. Hang Nadim bukan umpama Belia 4B! Bukan yang lemah cangok, layu dan hanya mengikut laksana pak turut.

Tatkala tangkapan tengah hari itu dibuat, di radio berkumandang lagu daripada kaset yang baru saya beli: raja-raja dulu tengah fana dimakan zaman, kini tinggal kau tanpa pilihan; kecuali mahu membiarkan, hidup di angan-anganan, mengharapkan yang tak mungkin menjelma…

Semua pemimpin, termasuk pimpinan muda (terutama di kalangan Pakatan Rakyat) wajib bangun membela adik-adik ini—selain daripada hanya sibuk melayan keasyikan bulan madu sebagai “YB muda” atau terbelit dengan polimik diskusi dan perbincangan yang jelas-nyata langkah politik yang hampir seratus-peratus tidak perlu.

PerakExpress

No comments: