Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, June 24, 2009

Melacak Reformasi - Perak Express

Oleh: Amin Ahmad

Sejak awal, saya telah menyatakan jelas bahawa sektor reformasi tidak hanya terletak pada parti politik. Meskipun kita harus meraikan kesediaan parti-parti politik menempatkan diri sebagai alternatif kerajaan memerintah, tidak wajar kita membiarkan segalanya diputuskan oleh parti politik. Dengan sektor bukan parti yang lebih kuat, kita bukan saja memaksa parti-parti politik arus reformasi untuk lebih serius, tetapi juga parti-parti pemerintah semasa. Justeru, ruang persaingan akan menjadi lebih terbuka.

Kenapa sikap ini penting? Kerana sejarah transisi kepimpinan itu tidak mudah. Dunia telah menyaksikan ramai tokoh perjuangan tersungkur saat beroleh kuasa. Mereka fikir bahawa kemenangan mereka beerti selamanya massa akan bersama mereka. Mereka gagal membezakan kebencian kepada kezaliman dengan keinginan kuat untuk menegakkan keadilan.

Jujurnya saya gembira dengan keputusan PKR untuk menurunkan had umur AMK kepada 35 tahun. Mungkin beberapa penggal lagi, had umur ini juga harus dinilai semula. Saya masih ingat semasa memperingati 5 tahun Reformasi, Khalid Jaafar menyatakan dalam majalah Siasah bahawa “…masa depan Reformasi bergantung kepada pemikir-pemikir mudanya”.

Sebagai anak muda, saya melihat persaingan adalah cukup kompetetif dan ianya sihat. Saya menemukan keghairahan untuk perubahan di kalangan rakan-rakan professional muda yang bersama UMNO. Meskipun di kalangan rakan-rakan dalam PKR masih wujud keghairahan ini, momentumnya saya lihat tidak seperti dulu. Saat PKR meraih laba dalam Pilihan Raya Umum ke-12, ada percaturan kuasa dan anak muda, sama ada dipinggirkan kerana ‘bukan dari kelompok tertentu’ atau ‘tidak kompromi’, ada yang membiarkan diri larut bersama percaturan ahli politik yang ‘tidak berapa muda’.

Dalam wawancara saya bersama UmmahOnline.com (boleh dirujuk di http://aminahmad.com) dulu, saya pernah ditanya “mestikah perjuangan rakyat diterajui oleh anak muda?”.

Jawab saya: “Soal pokok adalah perubahan…keyakinan kepada orang muda tidak Seharusnya sampai kita menafikan sumbangan kelompok orang tua. Soal siapa memimpin perubahan dan semangat zaman tidak semestinya orang muda tetapi sekiranya orang muda mahu memimpin perubahan dan semangat zaman..kita mesti berani bergerak dan membetulkan kesilapan kita”.

AMK sebagai lanjutan perjuangan Pemuda Keadilan era Reformasi 1998 berdepan dengan persoalan transisi fasa perjuangan. Saudara Ezam Mohd Nor, tanpa menafikan kapasiti beliau, lekas menempa nama kerana banyak didorong oleh faktor isu semasa yang rancak waktu itu. Saudara Ezam mungkin tak banyak memikirkan persoalan kualiti kaderisasi kerana penyertaan massa waktu itu bagai tidak tertahan.

Kualiti kaderisasi ini banyak merencatkan kepimpinan saudara Saifuddin Nasution saat beliau memangku kedudukan sementara saudara Ezam di-ISA-kan. Ia bukan salah sesiapa kerana sinergi memerlukan komitmen pelbagai, apatah lagi dalam realiti PKR kehilangan ramai tokoh utama waktu itu, risiko kehilangan tokoh lapis kedua juga sukar dibayangkan. Sementalahan pula, kita harus meraikan pendekatan kepimpinan yang pelbagai. Meski waktu itu laporan Seruan Keadilan menyatakan persepsi terhadap Pemuda Keadilan adalah di tempat tercorot, ia bukanlah tanda kekal kegagalan mereka. Saya tidak mahu membayangkan ‘arahan khusus’ dari tembok ISA oleh mereka yang sudah di’turn over’ agar kerjasama longlai diberikan kepada saudara Saifuddin Nasution. Mungkin saudara Ezam boleh memasukkan di dalam memoirnya kelak tentang keistimewaan membuat panggilan keluar pada waktu itu.

Kita harus berani mengakui bahawa kejayaan terhad Pakatan Rakyat telah menyaksikan bahawa persediaan yang ada belum cukup. Dalam forum Agenda Awani sempena muktamar PAS baru-baru ini, saya memberikan komentar jelas bahawa PAS (dan Pakatan Rakyat umumnya) harus lebih banyak menumpukan persoalan dasar. Saya pernah hadir ke Seminar First World Parliament anjuran DAP satu ketika dulu – ketika Profesor Syed Hussein Al-Attas masih hidup dan beliau turut membentangkan pandangannya. Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa DAP jauh lebih serius untuk menggerakkan agenda rakyat di Parlimen.

Saya juga melihat sosok Dato’ Seri Anwar ikut perihatin agar Pakatan Rakyat bertindak sesuai sebagai ‘kerajaan menanti’. Kita boleh melihat bagaimana Dato’ Seri Anwar menggunakan kedudukan Ketua Pembangkang secara efektif, respon kepada isu semasa terutama persoalan ekonomi dan urus tadbir yang telus dan demokratik. Saya tidak memaksudkan PAS tidak serius, tetapi kupasan tokoh-tokoh utama mereka ternampak masih bersifat popular dan tidak cukup disaring. Bagaimanapun saya berterima kasih kepada kumpulan yang dipanggil ‘Erdogan’ di dalam PAS. Merekalah yang berjaya mengangkat imej professional PAS yang serius meskipun saya melihat adanya kekangan dalam hal mempertahankan pendirian PAS sebagai parti dan perspektif mereka sebagai individu.

Dalam memperjuangkan reformasi, saya percaya perbezaan terbuka berkaitan idea di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat wajar dibenarkan. Apa yang penting ialah prinsip harus jelas dan konteksnya harus terarah.

AMK harus mengambil ruang yang ada ini untuk membangun kualiti ahli. Sekiranya PAS ada usrah untuk ahli, AMK juga boleh membangun modul asas pendidikan ahli. Kerencaman latar belakang ahli di dalam PKR harus dilihat sebagai aset, bukan liabiliti. Modul asas ini juga tidak harus rigid tetapi terbuka untuk dibincangkan. Pejuang reformasi wajib mampu mempertahankan idea kebebasan dan keadilan dari sudut pandang pelbagai.

Ingatlah! Kediktatoran, kezaliman, salah guna kuasa dan korupsi bermula dari kongkongan terhadap kebebasan dan pengabaian erti keadilan. Sekiranya Pakatan Rakyat mahu meneruskan sikap UMNO-BN, wajarlah nama Pakatan Rakyat ditukar kepada BN-Baru!
____________________________________
Amin Ahmad, 27 percaya bahawa reformasi adalah milik rakyat – semua agama, semua bangsa dan setiap individu.

Perak Express

No comments: