Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, August 7, 2009

Eksklusif 04: Sim Tze Tzin.. Dari Jurutera ke Panglima - KLpos

PELIK, jika ada orang memberitahu kita bahawa dia tidak pasti bagaimana namanya disebut, tapi Sim Tze Tzin, 31 memberitahu saya begitu. Saya terkejut, dan cuma menyebut namanya, dia tersenyum, saya kata tepatkan sebutan saya, katanya, "Entah, tapi bolehlah,". Kami ketawa.

Dalam sekelian banyak pegawai Anwar dari dahulu, barangkali dia yang pertama Cina, barangkali. Kerana saya tidak pernah mendengar nama pegawai Anwar yang lain dari Melayu dan Arab.

Mungkin kerana keperluan untuk menarik sokongan kaum kedua terbesar di Malaysia itu, Anwar perlukan seseorang yang boleh menasihati beliau dari kaum itu sendiri. Sekali lagi mungkin.

Tapi ketika saya melawat meja kerja Sim, saya kira tidak kurang dari empat akhbar utama berbahasa Cina di atas depannya, ada yang tercerai dari helaian asal, ada yang masih elok tidak disentuh.

"Akhbar berbahasa Cina lebih bebas dari Inggeris dan Melayu, lihat ini, satu muka penuh laporan mengenai sidang media PKR, mana ada akhbar lain bagi pada PKR satu muka penuh?" katanya pada saya ketika kami berbual mengenai timbunan akhbar di atas mejanya.

Kisah di Seremban

Menurut Sim, antara kerjanya hari-hari adalah membaca semua akhbar (Cina terutamanya) dan lapor kepada boss apa yang berlaku. Kira kalau Anwar masih menteri, dia macam setiausaha akhbarlah.

Saya ingat pengalaman singkat bersamanya di Kongres PKR Seremban hujung Mei lalu. Ketika itu saya masih berkerja sebagai wartawan, pada petang sebelum hari terakhir persidangan. Kami para wartawan dipanggil oleh seorang petugas yang menjaga media.

"Pegawai Anwar ada kenyataan penting," kata gadis penjaga media itu.

Kami para wartawan pun berkejar ke bilik media, apa pulak kenyataan penting yang hendak dibaca itu. Kebetulan, masa itu heboh pasal Anwar hendak dicabar oleh seorang lagi pemimpin PKR Rahman Othman.

Ketika sampai ke bilik wartawan, saya lihat ada satu pemuda Cina, duduk, wajahnya tegang, kami terpinga-pinga, sapa hendak bagi kenyataan ini.

Tiba-tiba pemuda itu bangun, "Hai, saya hendak maklumkan kenyataan ringkas Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri dari pertandingan jawatan presiden."

Kami, wartawan terkejut, sapa mamat yang baca kenyataan Anwar ini, kemudian barulah kami tahu, namanya Sim, pegawai baru Anwar Ibrahim. Saya ingat wajahnya tegang ketika membaca kenyataan tersebut.

Dan ketika kami sibuk hendak menulis berita hangat itu, tiba-tiba, 15 minit kemudian, kami diberitahu, "Kenyataan tadi sudah ditarik balik," hahaha, selebihnya sejarah.

Tapi itulah pengalaman saya dengan Sim.

Menurut cerita, beliau merupakan lepasan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Kejuruteraan Awam. Selepas tamat belajar, beliau bekerja sementara di Kuala Lumpur sebelum ditawarkan ke Lembah Silikon, Califonia, untuk berkerja sebagai jurutera rekabentuk membina lebuh raya di sana.

Lima tahun di negeri orang, Sim tercara tidak sengaja bertemu Anwar Ibrahim bersama Prof Bakri Musa, mereka berbincang panjang ketika makan malam pada hari itu. Berbagai tajuk, dari demokrasi sehingga kepada apa yang berlaku di Malaysia.

Lebih pandai dari Anwar

Sim tertarik, dan entah apa magisnya, Sim meninggalkan kerjanya sebagai jurutera di luar negara untuk terjun bersama-sama Anwar dan rakan-rakan dalam PKR.

Cerita Sim, dia dari dulu suka dengan idea parti bercampur bangsa.

"Ketika membesar di Ayer Itam Pulau Pinang, ramai kawan saya Melayu dan India, ketika di Universiti pun begitu, bahkan boss pertama saya Melayu, masa di luar negara saya berkawan dengan semua bangsa, jadi saya tidak rasa tersisih di sini," katanya menjawab soalan saya, payahkah berkerja di pejabat yang hanya dia berlainan bangsa.

Jelas bekas pengawas Sekolah Menengah Chung Ling, Ayer Itam ini, beliau sering terlibat dalam perbincangan-perbincangan penting bagi membuat keputusan untuk bossnya.

"Anwar sangat rajin, susah nak jaga, kerja kuat, dan pengetahunnya luas, cabarannya adalah untuk kami (pegawai) berfikir atau tahu lebih ke hadapan berbanding beliau, kadang-kadang sebelum kita lapor dia sudah tahu, sumber maklumatnya luas," kata Sim.

Nampak jelas ada kekaguman terhadap susuk boss yang dijaga beliau.

Ramai yang tidak tahu, selain pegawai kepada Anwar, beliau rupa-rupanya adalah pegawai Tentera Simpanan Negara berpangkat Leftenan Muda.

Menurut Sim, dia menerima tauliah itu pada tahun 1999 oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong sendiri.

Budak-budak DEMA

Ketika belajar di UTM, Sim antara pengasas kumpulan pelajar yang dikenali sebagai DEMA. Kumpulan ada hingga kini dan boleh dikatakan pelajar-pelajarnya aktif dengan kegiatan hak asasi dan demokrasi. Antara bekas ahli DEMA adalah Exco AMK kini, Ginie Lim juga Exco Wanita PKR, Penny.

Rata-rata mereka merupakan golongan muda berbangsa Tiong Hua yang minat berpolitik.

Muda, bijak dan berkarisma, tetapi mengapa tidak masuk MCA saja, kan lebih mudah? Saya cuba provoke Sim.

"MCA sudah korup tidak mempunyai idealisme lagi, orang masuk MCA hari ini untuk cepat kaya, sedang saya dan teman-teman bercita-cita untuk menjayakan Agenda Perubahan yang dibawa oleh Anwar Ibrahim," katanya.

Wah, semangat betul anak muda ini, tidak hairanlah kenapa beliau terpilih masuk sebagai ahli kumpulan pegawai-pegawai Anwar.

Sim sukakan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dengan gunung paling tinggi didakinya 13,000 ribu kaki.

Suka berbasikal apabila waktu lapang, Sim tidak gemar bacaan fiksyen, dia kuat membaca, tetapi lebih gemar soal politik dan falsafah. Novel terakhir dibacanya adalah karya Michael Crichton, State of Fear.

Tetapi jangan cuba tanya dia mengenai sajak, terutamanya Usman Awang, dia peminat utama sasterawan negara itu.

Menurut Sim, beliau realistik terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya, "Saya tidak bantu Anwar untuk jadi PM, saya bantu Anwar untuk menjayakan Agenda Perubahan."

Bagi beliau, kepercayaan Anwar terhadap dirinya adalah amat bererti. "Sepanjang sejarah Malaysia, tidak ramai orang Melayu mengambil pegawai mereka dikalangan orang Cina, ia merupakan percubaan yang berani," katanya.

Mungkin kini dia nekad untuk hidup dan mati bersama Anwar, lihat fizikalnya, kita tahu, dia boleh jadi penglima yang baik untuk bossnya. Di kalangan orang Tiong Hua terutamanya.

KLpos

No comments: