Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Saturday, August 22, 2009

Pakatan Rakyat siapkan piagam gagasan - TVA

Pakatan Rakyat sedang bergerak cergas merangka sebuah piagam yang akan menjadi asas kepada segala dasar dan keputusan gagasan itu, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.

Piagam berkenaan akan siap digubal dalam kira-kira dua bulan dan akan diperinchi pada konvensyen kebangsaan pertama Pakatan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada Oktober atau November depan, kata beliau di Kota Kinabalu.

"Piagam ini akan menzahirkan asas-asas perjuangan yang di dokong oleh Pakatan Rakyat dan menjadi asas kepada segala dasar dan keputusan yang dibuat," kata Zaid. "kita sudah mula untuk menggubal piagam ini dan pucuk pimpinan telah memberikan dua bulan untuk menghasilkannya,' tambah beliau.

Zaid berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan buku yang mencakupi masalah pendatang tanpa izin di Sabah yang semakin serius akibat dasar-dasar Barisan Nasional.

Datuk Zaid berkata sebuah piagam yang didokong bersama oleh Keadilan, PAS dan DAP akan memantapkan lagi Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti politik disamping memberikan rakyat maklumat jelas mengenai perjuangan dan nilai-nilai gagasan itu.

Dalam ucapan kepada kira-kira 1,000 ahli dan penyokong Keadilan di Kota Kinabalu, Zaid berkata Pakatan Rakyat adalah kukuh dan semakin mantap. Beliau meggesa orang ramai "jangan baca akhbar Utusan" atau media suruhan Umno-BN lain yang sering menfitnah gagasan itu dan sengaja memperbesar-besarkan isu tertentu.

"Hakikat ialah Pakatan Rakyat dapat menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dengan cepat dan berkesan. Ia telah dilakukan di Kedah, di Selangor, di Pulau Pinang kerana ada kesepakatan antara pemimpin untuk berbincang secara terbuka dan ikhlas," tambah beliau.

Bekas Menteri Undang-Undang itu tidak menafikan Pakatan Rakyat masih terdedah kepada masalah tertentu tetapi berkata ia tidak serius dan adalah perkara biasa kerana gagasan itu baru ditubuhkan tahun lalu.

"Parti-parti seperti Keadilan dan DAP tidak mempunyai pengalaman memerintah sebelum ini, tetapi dalam sedikit masa, mereka telah menunjukkan potensi yang amat baik dan kita harus bina atas prestasi ini supaya parti kita, Pakatan Rakyat lebih mantap dan kukuh," kata Zaid.

Zaid menegaskan bahawa gagasan itu sudah pun menempelak segala ramalan media arus perdana dan Umno-BN bahawa kononnya Pakatan Rakyat tidak dapat bertahan dan akan berpecah belah.

Menurut beliau, hakikat ialah "Umno-BN yang semakin tidak stabil dan menunjukkan tanpa-tanda akan retak dari dalam. Kita tahu masalah-masalah dalam Umno, krisis kepimpinan MCA dan MIC serta parti Gerakan yang tidak mempunyai sebarang gerakan," kata Zaid, disambut gela ketawa hadirin.

"Saya bercakap ini bukan kerana "over-confident atau terlalu yakin tetapi hakikat ialah BN mempunyai terlampau banyak masalah dan telah hilang iltizam untuk berbakti kepada rakyat. BN hari ini jauh berbeza dengan parti Perikatan yang kita kenali..tidak lagi wujud kesanggupan untuk duduk berbincang dan menyelesaikan masalah rakyat. Umno telah menjadi sebuah parti elitist yang mementingkan kuasa sahaja," kata Zaid.

Zaid berkata Umno akan terus meremehkan Keadilan dan Pakatan Rakyat kerana itulah cara dan tradisi mereka akibat terlampau angkuh setelah memegang kuasa begitu lama.

Apa yang penting ialah, bagi Keadilan dan Pakatan Rakyat mengambil iktibar daripada nasib Umno-BN untuk menzahirkan komitmen bagi membela rakyat semua kaum sebagaimana yang dijanjikan kepada mereka, kata beliau.

"Rakyat telah memberikan kepercayaan kepada Keadilan dan Pakatan pada pilihanraya umum yang lalu. Kita harus membina atas kepercayaan ini dengan berbakti kepada rakyat. Kita harus mengelak daripada berbuat sesuatu yang boleh menggugat kepercayaan ini kerana jika rakyat hilang kepercayaan, amat sukar untuk diraih kembali," tegas Zaid.

TVA

No comments: