Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, August 24, 2009

Ramadhan Datang Kembali

Sidang Media AMK Melaka

21 Ogos 2009

Bukit Baru- Marhaban ya Ramadhan.... Angkatan Muda Keadilan Negeri Melaka ingin mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada seluruh umat Islam. Di bulan yang mulia ini menjadi tanggungjawab kepada kita agar dapat menjalankan semua kewajipan dan perintah Allah s.w.t

Kewajipan untuk berpuasa kepada umat islam telah menjadi tuntutan di dalam Rukun Islam dan bagi umat Islam ia telah dilatih sejak kecil lagi untuk belajar berpuasa. Melihat telatah anak kecil yang sedang dilatih sudah semestinya mengembalikan kenangan setiap dari kita yang dewasa dan remaja. Sudah tentu setiap pengalaman antara setiap individu amat berbeza-beza.

Namun dengan kehadiran bulan yang mulia ini umat Islam dan rakyat umumnya diuji dengan berbagai-bagai ujian termasuk wabak virus H1N1 yang sedang hebat melanda negara ini dan negeri Melaka juga tersenarai dengan kematian yang agak tinggi berbanding negeri-negeri lain. Walaupun kerajaan berusaha untuk memerangi gejala ini tetapi perlaksanaan yang lemah menyebabkan kesedaran orang ramai berada di tahap yang tidak memuaskan. Kami melihat seharusnya kempen kesedaran harus dilakukan dengan lebih serius untuk membendung kematian yang lebih tinggi ini.

Didalam kesibukkan umat Islam untuk menyambut bulan ramadhan ini juga negara sekali lagi mengalami krisis gula akibat pengusaha-pengusaha yang ingin memonopoli harga pasaran. Harus diingat pengguna yang menjadi mangsa di sini lebih-lebih lagi disaat musim perayaan yang bakal tiba. AMK menyeru agar kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri lebih kerap mengadakan pengawasan ekoran rungutan yang dihadapi oleh rakyat cukup banyak.

Walaupun ekonomi dunia dilihat akan pulih namun ia akan mengambil masa yang lama untuk pulih. Umat islam juga perlu bersederhana di dalam berbelanja untuk mengelakkan pembaziran. AMK juga menyarankan kerajaan memandang serius tentang nasib rakyat yang diberhentikan kerja kesan dari kemelesetan ini. Majoriti yang terlibat juga merupakan umat Islam. Kami mahu mereka juga diberi pembelaan yang adil untuk menghadapi saat sukar ini. Secara umumnya 4689 orang yang telah kehilangan kerja dan angka ini akan bertambah pada masa-masa yang akan datang.

AMK juga melihat perlaksanaan undang-undang juga masih menjadi dilema untuk rakyat. Dengan berlakunya campurtangan politik didalam banyak kes-kes yang melibatkan integriti dan kepentingan awam ternyata kerajaan gagal untuk menjaga kesejahteraan rakyat termasuk dengan hanya ingin meminda ISA dan bukan memansuhkannya. Jelas akta ini yang juga bercanggah dengan Islam dimana tahanan tidak dibicarakan di Mahkamah malah dipenjarakan untuk tempoh-tempoh tertentu.

Justeru AMK Melaka di bulan yang mulia ini adalah bulan terbaik untuk muhasabah diri kita dan menjadi harapan yang tinggi untuk melahirkan Malaysia yang gagah pada masa mendatang. Sekali lagi AMK Melaka mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam juga tidak ketinggalan kepada warga kerja Sinar Harian.

Daripada Harapan Kepada Kemenangan

Salam Reformasi,
Hairiz Bin Nordin
Ketua AMK Melaka

No comments: