Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, August 7, 2009

Lawak bodoh Menteri Wilayah - Harakah

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin buat lawak lagi. Beberapa hari lalu beliau mendakwa para peniaga di Kuala Lumpur kerugian antara RM100 juta hingga RM200 juta angkara kekecohan yang berlaku pada Himpunan Mansuhkan ISA, 1 Ogos lalu.

Bagaimanapun dalam kenyataannya kepada Malaysiakini 6 Ogos lalu, Nong Chik mendakwa kerugian yang ditaksirkan hanyalah RM20 juta sahaja.

Bagaimanapun beliau yang mahir mengajak wanita untuk mengikutnya ke tandas menambah beberapa impak negatif lain daripada kesan demonstrasi anti-ISA Sabtu lalu, iaitu kehilangan pendapatan akibat pelancong tidak datang dan pelabur asing enggan melabur.

"Hari ini saya sudah berjumpa dengan 20 persatuan peniaga yang menghantar memorandum dan tuntutan. Saya rasa, sudah hampir RM20 juta sudah yang saya dapat.

"Tetapi ramalan saya itu kerugian keseluruhannya (RM100 juta hingga RM200 juta), termasuk kehilangan pendapatan pada masa akan datang apabila pelancong tidak datang, khususnya di Kuala Lumpur.

"Pelabur asing pun enggan datang," katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Begitulah mudahnya ahli korporat Umno itu membuat congakan kerugian seperti mana mudahnya pemimpin-pemimpin Umno menghabiskan ratusan juta peruntukan pembangunan kerajaan bagi projek-projek membazir. Buktinya? Lihat sajalah apa yang dilakukan Dato' Idris Jusoh ketika menerajui kerajaan negeri Terengganu.

Memang menghairankan mengapakah ekonomi negara kita ini begitu sensitif pada pandangan peniaga, pelancong dan pelabur. Hanya dengan demonstrasi selama tiga jam negara sudah menerima kesan ekonomi yang teruk. Itu belum dikira kesan kejatuhan sistem kewangan ekonomi global!

Di negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, demonstrasi kerap berlaku. Malah di Thailand demonstrasi berlangsung berminggu-minggu hingga berbulan-bulan. Di Indonesia, bukan sahaja demonstrasi malah letupan bom menggegarkan ibu kota Jakarta dan bandar pelancongan Bali.

Bagaimanapun tidak pula menteri di dua buah negara itu sibuk-sibuk mengumpulkan tuntutan daripada para peniaga untuk diserahkan kepada penganjur demonstrasi ataupun rangkaian al-Qaeda dan Jamaah Islamiah yang didakwa sebagai dalang insiden letupan bom itu.

Kerja-kerja lawak ini hanya dilakukan oleh menteri-menteri BN yang sudah kehilangan modal untuk berhadapan dengan kebangkitan rakyat.

Jika Raja Nong Chik benar-benar prihatin dengan nasib peniaga di ibu kota beliau sepatutnya meminta mereka mengemukakan tuntutan kepada pihak polis khususnya FRU yang bertindak semberono mengkucar-kacirkan perhimpunan aman itu dengan cota, seni pertempuran tanpa senjata dan semburan meriam air.

Malah ada saksi-saksi yang melihat bagaimana trak meriam air FRU secara berwewenang dihalakan ke gerai, warung dan restoran tempat orang ramai menjamu selera. Kucar-kacir pada hari itu bukan disebabkan para demonstran, tetapi berpunca daripada sikap tidak bertoleransi polis (zero tolerance) yang pastinya datang daripada arahan orang politik.

Nong Chik dengan mudah menafikan kemungkinan kerajaan untuk membayar kerugian peniaga.

"Pada masa ini, saya rasa (kerajaan) tidak patut terlibat. Ini bukan kesilapan pihak kerajaan, tetapi (kesilapan) mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Siapa sebenarnya tidak bertanggung jawab? Demonstran atau polis yang di bawah kuasa kerajaan?

Pihak mana sebenarnya yang menyekat laluan masuk ke ibu kota, menyebabkan kesesakan lalulintas dan mengganggu kelancaran himpunan aman itu jika tidak polis. Dan pihak mana pula yang mengarahkan polis untuk tidak bersikap toleran jika bukan Kementerian Dalam Negeri yang diterajui Hishamuddin Hussein, Naib Presiden Umno?

Nong Chik kononnya mahu menjadi pemudahcara bagi para peniaga yang kerugian. Kalau sekadar jadi pemudahcara, serah sajalah perkara itu kepada mana-mana NGO. Buatlah kerja lain yang lebih berfaedah untuk penduduk di Wilayah Persekutuan.

Seperkara lagi, tolonglah jangan menutup jalan-jalan di ibu kota untuk apa-apa raptai sempena Hari Kebangsaan, Hari Wilayah, Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Kadang-kadang tempoh penutupan jalan itu lebih lama daripada demonstrasi anti-ISA.

Tindakan ini akan menyebabkan para peniaga di ibu kota kerugian ratusan juta ringgit, para pelancong enggan datang berkunjung dan para pelabur tidak mahu melabur. Itu ikut teori ekonomi mudah Raja Nong Chik!- tajdid_

Harakah

No comments: