Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, April 12, 2010

Pengundi Hulu Selangor Matang, Tolak Propaganda Umno-BN - SK

KUALA KUBU BAHARU 11 Apr - Naib Presiden KEADILAN, Azmin Ali yakin pengundi Hulu Selangor sudah matang dan tidak akan terpengaruh dengan janji-janji dan sogokan politik yang dilakukan Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil Parlimen P094 Hulu Selangor 25 April ini.

Menurut Azmin, hakikatnya rakyat kini telah bijak untuk memilih kerajaan yang benar-benar membela nasib mereka berdasarkan pertimbangan dan maklumat yang mereka perolehi dari media baru.

"Rakyat hari ini lebih matang, cerdik dan khususnya anak muda boleh buat perbandingan dalam laman web, facebook, twitter, tidak lagi membaca Utusan dan TV3.

"Apabila perbandingan dibuat pastinya kita dapat menilai siapa yang lebih bertanggungjawab dalam menjaga keamanan negara dan mengangkat martabat umat dan bangsa kita sendiri," kata beliau pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) semalam.

Azmin menyelar kempen Umno yang hanya akan menggunakan modal kempen ketuanan Melayu dengan menuduh Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat Melayu dan kempen menyerang peribadi.

Beliau merujuk pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang mengumumkan peruntukan untuk Majlis Agama Islam sebanyak RM25 juta berbanding RM12.5 juta semasa pentadbiran BN.

"Ketuanya DAP. walaupun dia Cina tetapi dasar yang dipegang ialah dasar Pakatan Rakyat yang terikat dengan Perlembagan bahawa agama Islam adalah agama persekutuan dan Pakatan Rakyat berpegang teguh kepada prinsip bahawa hak keistimewaan orang Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu mesti dipertahankan dalam dasar PR di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan," ujarnya.

Menurut beliau lagi kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat memberi banyak bantuan kepada rakyat Selangor melalui program merakyatkan ekonomi termasuk pemberian pinjaman mikro kredit sebanyak RM50 juta golongan usahawan kecil yang diambil dari hutang syarikat korporat Talam Coporation.

"Dalam keghairahan kita tidak pernah mengabaikan hak dan kepentingan orang Melayu. Walaupun propaganda Umno-BN mengatakan PAS dan KEADILAN menjadi kuda tunggangan DAP, tetapi kita harus beri keyakinan kepada rakyat inilah propaganda murahan mereka.

"Umno hanya boleh hidup dalam pentas politik negara kita dengan memainkan isu kaum, isu agama dan isu peribadi. Itu sahaja senjata yang ada pada mereka," tegas Ahli Parlimen Gombak itu.

Bagaimana pun beliau yakin rakyat tidak mudah terpengaruh dengan segala dakyah, pembohongan dan sogokan yang dilakukan Umno-BN meskipun Pakatan Rakyat berhadapan dengan seluruh jentera kerajaan.

"Dalam menghadapi pilihan raya kecil kita sebenarnya bukan berhadapan dengan Umno-BN, kita berhadapan dengan seluruh jentera kerajaan pusat dan dari PM sehinggalah menteri kabinet yang turun bukan dengan tangan kosong tetapi dengan janji yang akan ditaburkan termasuk TPM yang berjanji untuk membina empat buah sekolah dalam Hulu Selangor.

"Datuk Shafie Afdal turun dengan RM300 seorang. Ini baru 'round' yang pertama. Apabila dekat dengan pilihan raya sudah tentulah sogokan ini akan bertambah lagi. Kita tidak akan mengambil pendekatan yang sama. Kerajaan negeri turun bukan turun untuk membuat janji tetapi kita tunaikan janji kepada rakyat," katanya.

SK

No comments: