Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, April 30, 2010

UNCAC Bakal Digunakan Panggil Saksi Malaysia Dalam Kes Scorpene - SK

KUALA LUMPUR 30 Apr - Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersekutu (UNCAC) boleh dikuatkuasakan terhadap mana-mana tokoh politik atau individu berprofil tinggi Malaysia yang dikehendaki memberi keterangan Di Perancis berhubung siasatan kes pembayaran komisyen berjumlah 114 juta Euro dalam pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan.

Joseph Breham, peguam yang membantu badan memperjuangkan hak asasi, Suaram untuk mengemukakan kes dakwaan rasuah Scorpene kepada pihak pendakwaraya Perancis berkata walaupun pemimpin kerajaan Malaysia mempunyai imuniti diplomatik dan boleh menolak untuk tidak mahu memberi keterangan namun UNCAC mempunyai kuasa yang boleh digunakan untuk membawa individu terbabit kemuka pengadilan.

UNCAC diterimapakai oleh Persidangan PBB pada 31 Oktober 2003 dan Malaysia adalah antara negara terawal yang menjadi signatori kepada konvensyen tersebut.

"Mana-mana negara yang menerimapakai konvensyen ini maka ia wajib tunduk kepada segala apa yang termaktub di dalamnya.

"Oleh itu UNCAC merupakan instrumen penting dan berpengaruh dalam usaha melawan rasuah pasda peringkat antarabangsa," kata beliau dalam temubual dengan Suara Keadilan.

Breham berada di ibu negara baru-baru ini bagi melanjutkan siasatan beliau serta mendapatkan lebih banyak berhubung isu pembayaran komisyen dalam urusan jualbeli Scorpene.

Pada sidang media yang dianjurkan oleh Suaram di Petaling Jaya tengahari tadi bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai siasatan beliau di Malaysia.

"Saya tidak boleh mendedahkan perkara ini kerana ia termasuk dalam kerahsiaan profesyen saya," kata beliau.

Breham adalah antara tiga peguam Perancis yang bekerjasama dengan Suaram untuk mengemukakan kes rasuah Scorpene yang membabitkan pembayaran komisyen berjumlah 114 juta Euro kepada Perimekar Sdn Bhd.

Syarikat tersebut dikaitan dengan penasihat politik Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda di mana Perimekar dimiliki oleh KS Ombak Sdn Bhd yang mana isteri Abdul Razak, Mazlinda Mahzan, bekas majistret, adalah pemegang saham terbesar.

Breham berkata kes rasuah Scorpene membabitkan pembayaran komisyen memlibatkan syarikat konglomerat pertahanan milik kerajaan Perancis, DCN.

Anak syarikat DCN, Amaris terbabit dalam aktiviti pembinaan kapal selam kelas disel Scorpene yang dijual ke seluruh dunia termasuk Taiwan, Pakistan dan Malaysia.

Menjelaskan penyiasatan terhadap isu komisyen Scorpene, Breham berkata pihak pendakwaraya Perancis telah menerima laporan awal mengenai kes tersebut pada 4 Disember 2009 dan laporan susulan 23 Februari lalu.

"Sistem perundangan Perancis ada sedikit perbezaan daripada sistem di Malaysia.

"Siasatan oleh pendakwaraya kini adalah peringkat awal. Pada peringkat ini saya sebagai peguam tidak ada sebarang akses kepada apa-apa maklumat siasatan. Selepas peringkat ini sekiranya pihak pendakwaraya mendapati ada asas untuk meneruskan kes maka seorang "instruction judge' akan dilantik untuk mengendalikan kes. Ini mungkin akan memakan masa yang lama sebelum masuk ke peringkat melantik 'judgement judge' di mana bermulanya perbicaraan," jelas Breham.

Beliau juga menjelaskan isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu bukan menjadi fokus penyiasatan pada peringkat ini kerana bagi pihak Perancis yang terpenting adalah siasatan terhadap dakwaan rasuah oleh DCN.

Ditanya sama ada beliau risau kerajaan Malaysia akan menghalang beliau menjalankan penyiasatan Breham berharap perkara ini tidak berlaku.

Kerajaan Malaysia tidak boleh menghalang saya sebagai seorang peguam Perancis, mustahil. Saya juga berharap sistem kehakiman Perancis juga mampu menangkis sebarang bentuk tekanan bagi mempengaruhi proses siasatan.

"Pendakwaraya di Perancis bertanggungjawab kepada Menteri Kehakiman tetapi para hakim adalah amat bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak," tegas beliau.

SK

No comments: