Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, April 16, 2010

Zaid Ibrahim Ada Formula Bantu Masyarakat Felda - TVS

SHAH ALAM 16 APR: Calon Pakatan Rakyat Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan nasib peneroka felda tidak terbela selama ini berikutan kelemahan pengurusan Felda.

Keadaan tersebut, mengikut pendapat bekas Menteri Undang-Undang itu, menyebabkan kehidupan peneroka felda langsung tidak berubah sejak 30 tahun lalu, bahkan ada yang bertambah buruk.

Pada wawancara khas dengan TV Selangor, Zaid mengenal pasti beberapa faktor kelemahan Felda iaitu pertama-tamanya ialah aspek pengurusan.

"Masalah Felda ialah pengurusannya sendiri. Kalau kita tengok orang Felda yang pendapatan mereka tidak jauh berbeza dari dulu. Kalau 30 tahun dulu, duduk rumah kos rendah, sekarang pun rumah kos rendah juga.

"Jadi apa pembaharuan pada Felda. Adakah pendapatan orang Felda meningkat?" katanya kepada wawancara khas TV Selangor.

Zaid juga tidak sekadar pandai mengkritik sebaliknya turut membuahkan cadangan supaya satu badan penasihat di peringkat negeri, kerajaan negeri bagi mewakili kepentingan peneroka, ditubuh segera.

"Badan ini akan berinteraksi dengan Menteri Besar (MB). Hal Felda tidak boleh selesai di peringkat negeri sebab Felda agensi kerajaan Persekutuan. Tapi, kerana tanah itu hak negeri, ia tidak akan tukar.

"Soal tanah adalah hak mutlak kerajaan negeri. Jadi, peneroka Felda mesti ada saluran untuk mengutara masalah mereka. Melalui penubuhan badan yang akan saya usaha, ini, akan banyak membantu," katanya.

Cadangan Zaid juga tidak terhad kepada satu-satu kawasan, bahkan meliputi seluruh negara.

"Saya juga akan usahakan satu panel penasihat bukan sahaja untuk Hulu Selangor tetapi seluruh negara. Kerana masalah di Selangor sama juga di Johor. Sama di Pahang, Kelantan mahupun Terengganu.

"Jadi, badan penasihat akan memberi sumbangan, pandangan dan pendedahan masalah di seluruh Hulu Selangor akan dibawa ke peringkat nasional," katanya.

Dalam soal Felda juga, Zaid juga menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal menterjemah hasrat sebenar bapanya sendiri .

"Najib sudah hilang punca. Mengikut hansard pada tahun 1960-an, debat dalam parlimen, Allahyarham Tun Razak mahu mencari orang Melayu, orang Bumiputera yang tidak ada tanah tapi mahu mengusahakannya.

"Syarat pertama, mereka miskin dan tidak ada tanah. Kedua, mereka mahu berusaha. Bila kena dua syarat itu, kita bagilah 10 ekar," katanya.

Zaid amat kesal kerana Felda selepas zaman bapa Najib itu lebih cenderung bersifat korporat sedangkan peneroka pula seakan-akan merempat di tanah yang diusahakan dengan titis keringat mereka.

Beliau menegaskan Felda harus kembali kepada matlamat asal penubuhannya bukannya gah atas nama korporat sedangkan nasib peneroka tidak terbela.

"Felda sekarang mahu jadi korporat. Felda sekarang mahu berbilion-bilion pendapatan, mahu disenarai dalam korporat. Itu bukan niat asal Felda. Felda ialah memberi tanah kepada orang miskin," tegas beliau.

TVS

No comments: