Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, November 24, 2008

Polis surai perhimpuan anti-ISA di Ampang, 7 ditahan

Polis malam ini bertindak menyuraikan orang ramai yang berhimpun di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk menghadiri majlis pelancaran kempen mansuhkan ISA di situ.

Tujuh orang ditahan dipercayai kerana enggan bersurai dari situ.

Menurut Setiausaha Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), E Nalini, mereka yang ditahan itu termasuk pemimpin PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Kempen tersebut dianjurkan oleh GMI dan dijadual dilancarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, menurut pihak penganjur, Anwar tidak hadir.

Manakala Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh serta 20 anggota Unit Amal PAS berada di depan balai polis Pandan Indah (10.50 malam), melaung "bebaskan rakan kami'.

Pada kira-kira jam 11 malam, kelihatan 20 anggota polis berkawal di luar balai. Manakala orang ramai diarahkan beredar dari situ.

Pada jam 11.15 malam, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub kelihatan keluar dari dalam balai tersebut.

Salahuddin jumpa polis

Beliau memberitahu pemberita yang beliau telah menemui pihak polis untuk bertanya bilakah tujuh orang yang ditahan itu akan dibebaskan.

Menurutnya, pihak polis memberi jaminan bahawa mereka akan dibebaskan malam ini juga.

Sejurus kemudian, Salahuddin dan Mohamad Sabu dipanggil masuk semula ke balai.

Sebelum itu, kira-kira 40 anggota anti-rusuhan mula bertindak menyuraikan orang ramai - yang dianggarkan berjumlah kira-kira 100 orang - pada kira-kira jam jam 9.26 malam ketika Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berucap kepada orang ramai.

Pada kira-kira jam 10 malam, hujan masih turun dan orang ramai beredar di situ manakala anggota polis anti-rusuhan kelihatan berhimpun di belakang pentas di padang teresbut.

Sebelum itu, anggota polis tersebut membentuk dua garisan dari sebelah tepi belakang padang ke sebelah tepi depan padang.

Ketika itu, kelihatankira-kira 20 orang berpayung di tepi penjuru belakang padang.

Sekatan jalanraya

Sebelum itu, polis mengadakan sekatan di Jalan Pandan Indah di depan padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), menjelang majlis tersebut yang dijadualkan berlangsung di situ mulai jam 9 malam ini.

Sehingga jam 8 malam, kelihatan empat trak polis - dua kecil dan dua besar - serta sebuah van polis bergerak.

Hujan turun lebat kira-kira jam 7.30 malam dan beransur reda selepas jam 8 malam.

Turut kelihatan, pentas berbumbung di situ juga ditutup dengan rentangan tali kuning oleh pihak polis di sekelilingnya.

Sebelum ini, polis menolak permohonan pihak penganjur untuk mendapatkan permit untuk mengadakan perhimpunan pada malam ini.
Pada jam 9 malam, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin tiba di Padang MPAJ dan kelihatan kira-kira 80 orang berada di situ.

Pada jam 9.26 malam, polis bertindak mengasak orang ramai di situ keluar dari kawasan padang MPAJ, ketika Mohammad Sabu berucap kepada mereka yang hadir.

Majlis pasang lilin di PJ

Sementara itu, majlis pasang lilin di Pusat Sivik Petaling Jaya malam ini dihadiri oleh kira-kira 100 orang dan berjalan lancar dalam suasana aman.

Ini adalah minggu kedua ia diadakan - juga membantah ISA - yang diadakan secara sah selepas mendapat permit polis.

Tiga minggu lalu, polis bertindak menyuraikan orang ramai yang berhimpun secara haram di situ dan menahan 23 orang. Mereka dibebaskan dengan ikatjamin polis.

Bagaimanapun, minggu lalu, pihak penganjur mendapat permit polis - dengan 12 syarat - untuk mengadakan majlis pasang lilin itu.

Kesemua 23 orang yang ditahan itu diarahkan melaporkan diri di balai polis Petaling Jaya pagi esok.


Sumber: Malaysiakini

No comments: