Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, November 24, 2008

9 dari PAS diminta hadir di mahkamah

Sembilan ahli dan pemimpin PAS yang ditahan di perhimpunan pelancaran kempen mansuhkan ISA di Ampang Jaya malam tadi, dibebaskan dengan jaminan polis pada kira-kira jam 4 pagi tadi.

Mereka terdiri daripada ahli Parlimen Kubang Krian, Salahuddin Ayub; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (WP), Kamaruzaman Mohamad; Ketua Unit Amal PAS WP, Sarifuddin Mohd Yatim, Mohd Sani Hamzah, Abdullah A Rahman, Mohd Amir Ali Mohd Shah, Hafiz Zulkifli dan Azman Abdul Hamid.

Peguam Edmund Bon (kanan), ketika dihubungi berkata, Salahuddin dan Mohamad diminta hadir di Mahkamah Majistret Ampang Jaya pada 8 Disember lalu.

"Yang lainnya diminta hadir di mahkamah yang sama pada hari berikutnya. Kita akan lihat sama ada mereka akan didakwa atau tidak," katanya.

Malam tadi, kira-kira 100 orang berhimpun di sebuah padang di Ampang Jaya, tetapi anggota polis bertindak menyuaraikan mereka apabila Mohamad Sabu mula berucap pada kira-kira jam 9.26 malam.

Mohamad dan Salahuddin ditahan kemudiannya ketika mereka pergi ke balai polis Pandan Indah untuk bertanya mengenai tujuh orang yang ditahan sebelumnya.

Ketua Polis Ampang Jaya, Abdul Jalil Hassan kemudiannya memberitahu media bahawa mereka ditahan kerana enggan bersurai.

Pihak penganjur - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) - dikatakan mahu meneruskan juga majlis pelancaran kempen mansuhkan ISA itu walaupun gagal mendapatkan permit polis.

Ketika dihubungi hari ini, Kamaruzaman mendakwa, kesemua mereka yang ditahan itu tidak dibenarkan bertemu dengan peguam ketika berada dalam tahanan polis.

Katanya, peguam-peguam tersebut telah beredar dari balai itu ketika beliau dibebaskan pada jam 3.45 pagi tadi.

Bon mengesahkan bahawa peguam-peguam diberitahu bahawa mereka tidak boleh masuk ke dalam balai polis.

Bagaimanapun, Abdul Jalil mendakwa sebaliknya, ketika dihubungi.

"Kita tahu mereka ada hak untuk bertemu peguam mereka, jadi kita benarkan mereka berbuat demikian di antara masa mereka memberi dokumen dan kenyataan," katanya.

Beliau juga berkata, pihak polis akan memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap kesembilan mereka, apabila siasatan selesai dijalankan.

Perhimpunan Mac depan

Ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini, Salahuddin berkata beliau hadir di perhimpunan tersebut untuk memberitahu orang ramai supaya bersurai selepas mendapat tahu tiada permit dikeluarkan untuk mengadakan majlis tersebut.

"Tetapi sejurus selepas lima minit, pihak polis datang dan menahan kami secara agresif," dakwanya.

Menurutnya, pihak polis seharusnya memberi permit bagi majlis seumpama itu.

Salahuddin juga berkata, satu lagi perhimpunan besar-besaran akan diadakan, sama seperti yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Oktober lalu.

Katanya, ia akan diadakan Mac depan untuk membantah dan mendesak supaya ISA dimansuhkan.

Beliau bagaimanapun menolak tanggapan bahawa ia diadakan pada bulan Mac kerana ketika itu berlangsungnya pemilihan pucuk pimpinan Umno.

Sumber:
Malaysiakini

No comments: