Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, February 22, 2010

27 masuk senarai Interpol, FBI - Hmetro

KUALA LUMPUR: Fakta mengejutkan apabila semakin ramai penjenayah ‘kelas satu’ warga Malaysia memasuki carta suspek penjenayah utama atau pengganas paling dikehendaki pihak berkuasa antarabangsa selepas dikesan licik menyamar dan menyembunyikan diri sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan, dua agensi terkemuka membabitkan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, kini giat memburu barisan 27 penjenayah Malaysia yang dikesan menjejaskan nama negara melalui aktiviti jenayah dilakukan.

Dalam satu laporan terkini dikeluarkan Jabatan Hubungan Luar Negara dan Perdagangan (DFAT) Australia, sembilan rakyat Malaysia tersenarai sebagai antara penjenayah paling dikehendaki berhubung kegiatan pengganas antarabangsa.

Senarai terbabit yang disalurkan melalui 1,300 muka laman web DFAT turut menyertakan maklumat nama, warga negara, nombor pasport dan alamat ribuan penjenayah lain yang dikaitkan dengan aktiviti keganasan.

Sumber Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkata, nama penjenayah yang tersenarai dalam laman web DFAT termasuk Zulkifli Hir, 45, yang amat dikehendaki Interpol, FBI dan pihak berkuasa negara serantau kerana didakwa antara pengganas paling berbahaya di dunia. Zulkifli yang turut menggunakan nama samaran Marwan dianggap pakar bom yang terbabit dengan puluhan serangan dan letupan di Filipina sejak 2001 menyebabkan ganjaran bagi nyawanya bernilai AS$5 juta (RM16.5 juta). Difahamkan, kerajaan Malaysian turut menawarkan ganjaran RM50,000 bagi sebarang maklumat yang membawa kepada penangkapan Zulkifli.

“Sebelum ini, nama dua pengganas warga Malaysia terkenal, Noordin Md Top dan Azahari Husin turut tersenarai dalam himpunan penjenayah antarabangsa paling dikehendaki sebelum kedua-dua mereka ditembak mati polis Indonesia pada 2005 dan 2009.

“Baki lima lagi penjenayah tersenarai dalam DFAT sudah ditahan Unit Tindakan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ditahan di Pusat Tahanan Kamunting mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960,” katanya.

Menurutnya, antara yang ditahan ialah Zulkepli Marzuki, Yazid Sufaat dan Zaini Zakaria sudah dibebaskan selepas selesai menjalani sesi pemulihan intensif, manakala dua lagi nama tersenarai, Abdul Manaf Kasmuri dan Wan Min Wan Mat masih berada di pusat tahanan berkenaan.

“Rakyat Malaysia kesembilan tersenarai, Amran Mansor, masih ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki terbabit dengan aktiviti Jemaah Islamiyah (JI) selain pengeboman di Bali pada 2004,” katanya.

Sementara itu laman web polis antarabangsa Interpol turut menunjukkan penambahan berlipat kali ganda bilangan penjenayah warga Malaysia yang diburu selepas 27 suspek warga Malaysia tersenarai tahun ini berbanding hanya 10 orang pada 2008.

Antara yang termasuk dalam senarai awal ialah Zulkifli Hir selain penjenayah wanita Melayu paling dikehendaki, Rohaniza Aladib, 31, yang terbabit dengan penipuan ratusan mangsa termasuk beberapa artis terkenal tanah air sehingga mencecah RM400 juta sebelum melarikan diri ke luar negara.

Wanita ‘paling panas’ itu dilaporkan memperdaya beberapa artis popular termasuk Amy Search, Hattan dan Misha Omar dengan memujuk mereka menyertai skim cepat kaya beberapa tahun lalu selain ribuan kakitangan kerajaan.

Turut tersenarai ialah pembunuh licik, Micheal Soosai, 44, yang dikehendaki bersabit kes bunuh rakyat Malaysia, Subramaniam Nookaiah, 47, di India selain penipuan cek dan pemalsuan dokumen kematiannya bagi memperdaya polis.

Soosai mula diburu polis Malaysia pada 2001 berhubung 16 kes penipuan cek membabitkan nilai RM1.035 juta. Namun, kes terbabit digugurkan dua tahun kemudian selepas dia didakwa mati akibat sakit jantung. Bagaimanapun, komplot licik itu terbongkar selepas seorang lelaki rakyat tempatan, Subramaniam dipercayai dibunuh penjenayah terbabit di India pada 12 Disember 2004. Selain itu, Interpol memburu seorang lagi rakyat Malaysia, Nyo Ah Hai, 44, kerana terbabit aktiviti mencuri dan membawa masuk secara besar-besaran kereta curi di Malaysia membabitkan beberapa model kereta mewah bernilai puluhan juta ringgit.

Dua lagi penjenayah dikehendaki ialah Diong Chee Meng, 24, dan Cheong Mun Yau, 27, yang diburu polis selepas menyeludup lebih setengah juta pil Ecstasy bernilai lebih RM16.5 juta (AS$5 juta) ke Indonesia, awal tahun lalu. Turut diburu ialah Fahimi Faisal, 39, berasal dari Kedah dan Kechik Mukthtar Syed, 53, kerana disyaki terbabit dengan kes penipuan wang di Washington, Amerika Syarikat.

Selain itu, polis antarabangsa memburu seorang lagi suspek dikenali Baptist Nicholas, 34, dan Ng Khien Sin, 29, yang mempunyai lebih tiga waran tangkap berhubung kes penipuan dan pemalsuan di Hammond dan Indiana, Amerika Syarikat, selain di Singapura sejak beberapa tahun lalu. Dua penjenayah Malaysia, Wong Jit Kiang, 54, dan Wong Tim Kai, 67, pula menjadi buruan polis Brunei selain James Wan Shing, 36, yang terbabit dengan jenayah siber dan penipuan wang di Ohio, Amerika Syarikat.

Senarai Interpol terbabit turut meletakkan nama penjenayah, Lim Leong Seng, 53, Goh Ming Huat, 29, dan Chan Chee Sing, 36, yang turut dikehendaki polis Vietnam berhubung beberapa kes penipuan.

HMetro

No comments: