Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, February 5, 2010

Liwat II: Senarai saksi masih gagal dibekalkan - Malaysiakini

Meskipun perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk hari kedua, hari ini, namun pihak pembelaan masih gagal mendapatkan senarai saksi daripada pihak pendakwa raya.

Lazimnya, dalam kes jenayah, senarai saksi perlu dibekalkan pada hari pertama perbicaraan. Malah dalam kes sivil, senarai saksi biasanya perlu disediakan atau dipersetujui sebelum perbicaraan bermula.

Menurut seorang daripada peguam Anwar, Sankara Nair mereka akan mengemukakan permohonan pada Isnin, jika senarai berkenaan tidak dibekalkan esok.

“Pendakwa tidak berlaku adil dalam perbicaraan ini, malah mereka juga tidak membekalkan senarai saksi kepada kami. Mahkamah Persekutuan ketika menolak permohonan kami berkata senarai saksi boleh diberikan apabila perbicaraan bermula.”

“Perbicaraan sudah memasuki hari kedua, tapi kami masih belum menerima senarai saksi. Kami memerlukan senarai itu untuk membuat persiapan kes. Tanpa senarai itu, ia seolah-olah perbicaraan secara serang hendap oleh pendakwa raya,” katanya.

Dalam pada itu, kes perbicaraan hari kedua tertumpu di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansar di ibu negara, lokasi bekas timbalan perdana menteri itu dituduh melakukan kesalahan tersebut.

Rombongan hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan serta Anwar, Mohd Saiful dan Zambri Idrus, peguam pemerhati bagi pihak Mohd Saiful, meninggalkan mahkamah pada 11.43 pagi.

Anwar yang turut berada di lokasi tidak naik ke kondominium itu, sebaliknya berada dalam kenderaan Mazda MPV hitam.

Sebelum itu, perbicaraan pagi tadi diadakan secara tertutup. Wartawan tidak dibenarkan mengikutinya.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh, semalam memohon agar keterangan Saiful didengar secara tertutup kerana saksi itu telah menceritakan apa yang berlaku di kondiminium berkenaan semasa disoal semalam.

Dalam keterangannya itu, Mohd Saiful memberitahu mahkamah bahawa Anwar mahu mengadakan hubungan seks dengannya apabila dia pergi ke kondominium itu untuk menyerahkan beberapa dokumen kepada Anwar.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Selanjutnya...

No comments: