Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, February 5, 2010

KEPUTUSAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR TERHADAP ISU YBK

KENYATAAN MEDIA
3 FEBRUARI 2010
KEPUTUSAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR TERHADAP ISU YBK

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) hari ini telah mendengar pembentangan oleh pengarah Pejabat Tanah dan Galian dan Pejabat Daerah Hulu Selangor berkenaan tanah di Serendah yang telah diberimilik kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

MMKN telah diberitahu pada pemberimilikan 33 lot tanah seluas 876 hektar (2,164 ekar) kepada YBK telah dibuat oleh kerajaan yang terdahulu pada 24 Oktober 1994. Pada November 1995, MMKN pada waktu itu telah meluluskan untuk mengurangkan bayaran premium dari RM10,000 seekar (23 sen satu kaki persegi) kepada RM1,000 per lot (RM 15 seekar atau 0.035sen satu kaki persegi)

Pembayaran cukai tanah tidak pernah dijelaskan selama 13 tahun hinggalah pada Ogos 2009 yang lepas dimana YBK telah cuba membuat pembayaran untuk sebahagian daripada jumlah cukai yang tertunggak.

Pengarah PTG juga memberi tahu cara bagaimana YBK membuat permohonan bayaran berperingkat serta cubaan untuk mendapatkan kelulusan merancang tanah yang terlibat secara “fast track”.

Kerajaan Negeri mendapati bahawa YBK telah gagal mematuhi beberapa peraturan diantaranya pembayaran cukai tanah secara berperingkat. Dengan itu MMKN telah membuat keputusan untuk memulangkan semula wang cukai tanah kembali kepada YBK sehingga satu permohonan baharu dibuat.

Keputusan ini dibuat bagi memastikan kesamarataan dan keadilan dalam pengendalian pengurusan tanah dimana Kerajaan Negeri sebelum ini pernah mengambil tindakan merampas tanah-tanah yang tidak dijelaskan cukainya selama setahun atau lebih.

Berkenaan dengan usaha YBK dengan Yayasan Melaka, Kerajaan Negeri Selangor berpendapat ini adalah satu isu berasingan dan tidak melibatkan kerajaan negeri. Terpulanglah kepada Yayasan Melaka untuk bekerjasama dengan YBK atau tidak.
Kerajaan Negeri juga tidak dapat menerima cek yang dikeluarkan oleh Yayasan Melaka untuk menjelaskan cukai tanah milik YBK kerana Seksyen 98 Kanun Tanah Negara jelas menyatakan cukai tanah hanya boleh dijelaskan oleh pemilik tanah itu sendiri. Dengan demikian, Pejabat Daerah Hulu Selangor telahpun diarahkan untuk memulangkan cek tersebut kepada YBK secepat mungkin.

Kerajaan Negeri berharap perkara ini tidak akan berulang lagi dan menyeru kepada semua anak syarikat kerajaan dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) supaya menghormati undang-undang dan peraturan yang ada kerana kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika perlu.

Perlu dinyatakan disini bahawa segala keputusan yang dibuat adalah untuk memberi keuntungan maksima kepada rakyat negeri Selangor selaras dengan polisi “Merakyatkan Ekonomi Selangor” serta komitmen terhadap ketelusan dan pertangungjawaban dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

TAN SRI DATO SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: