Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, February 19, 2010

Anwar Dalam Bicara 5 - PerakExpress

Oleh: Amin Ahmad

Saya ulang: teori saya kenapa Saiful Bukhari tergesa membuat pertuduhan jijik kepada Anwar adalah berpunca daripada terdesaknya kerajaan menghalang kemaraan arus reformasi. Ia ditandai dengan beberapa perkara iaitu:

1. Pengisytiharan agenda 16 September 2008.
2. Anwar Ibrahim memutuskan untuk bertanding.
3. Laporan polis berkaitan pemalsuan bukti oleh Ketua Polis Negara dan Peguam Negara.

Saya tidak terkejut jika maklumat ini diketahui oleh sebilangan politikus kerajaan, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara. Tapi saya percaya kita wajar terkejut jika sumber utama mereka untuk mendapatkan maklumat ini ialah dari Saiful Bukhari.

Sebolehnya mereka mahu menghalang Anwar dari muncul terus dalam arena politik negara. Sebab itu kemarahan Dr. Mahathir kepada Pak Lah cukup besar (meskipun kejatuhan Pak Lah lebih didorong oleh faktor kelemahan kepimpinan beliau).

Berlindungnya Anwar dalam Kedutaan Turki bukanlah tanpa maklumat sokongan. Selain daripada mengelak ditangkap atas tuduhan jahat ini, beliau tidak menolak kemungkinan ancaman terhadap nyawanya. Umum maklum bagaimana beliau dibelasah, ditelanjangkan, dibiarkan terlantar tidak berubat atau dirawat, malah lebih dahsyat lagi zalimnya Dr. Mahathir membuat pertuduhan bahawa Anwar menumbuk matanya sendiri. Kenyataan ini sebenarnya amat memalukan dan menunjukkan akhlak sebenar Dr. Mahathir sebagai pemimpin.

Bukan itu saja, memang ada beberapa kes termasuk terhempasnya helikopter yang membawa arwah Tan Sri Yahya Ahmad dan isteri di mana ia sepatutnya dinaiki Anwar. Juga dalam isu Arsenik.

Ternyata mereka merancang Allah s.w.t. juga merancang. Jelaslah perancangan Allah s.w.t. adalah yang lebih baik. Balasan Allah s.w.t. sentiasa menanti bagi tiap amal baik dan buruk kita – termasuk saya! Ia akan dijelaskan segera, dilambatkan atau ditangguhkan di akhirat. Dan Dia tidak lalai serta telah menegaskan bahawa hamba-Nya tidak akan diuji setimpal dengan kesanggupan mereka.

Melihat mood 16 September terus marak dan orang tidak mempedulikan langsung malah memperlekehkan tuduhan jahat Saiful kepada Anwar, tiba-tiba muncul tindakan lebih berani yang dibuat beliau: bersumpah.

Sama seperti kes 1998, ada yang menuntut Anwar bersumpah. Saya terasa aneh dan menolak pandangan mufti Perlis pada waktu itu yang turut berpendapat Anwar perlu bersumpah mubahalah. Sejak 1998, Anwar bukanlah tidak pernah dinasihati oleh bijak pandai agama agar tidak termakan dengan tuntutan ini. Pun begitu, akibat tekanan memuncak, terlepas juga beliau bersumpah semasa di Selatan tanah air jika ingatan saya tidak silap.

Kenapa saya mengatakan tidak perlu bersumpah?

1. Dalam kaedah Islam, tuduhan yang dihadapkan kepada Anwar jelas tertera. Ia masuk dalam kategori jenayah di mana ia menuntut proses pembuktian.

2. Sumpah tidak boleh diambil sebagai hujah membuat keputusan di bawah undang-undang jenayah, meskipun benar. Sebab itu dalam hal ketidakadilan, iman kepada Hari Kiamat itu penting – di mana manusia akan dibangkitkan dan berdepan dengan pengadilan Allah s.w.t. untuk setiap zarah kebaikan keburukan kita.

3. Katakan Saiful bersumpah, Anwar juga bersumpah. Ia tidak menyelesaikan keadaan malah tetap perlu kepada beban pembuktian. Peliknya mahkamah kita dalam beberapa kes ialah yang tertuduh perlu membuktikan bahawa mereka tak bersalah tanpa si penuduh perlu membuktikan tuduhan mereka sahih. Ini terkeluar dari semangat Islam. Alasan menyerahkan kepada Allah s.w.t. selepas kedua-dua bersumpah untuk saya tidak memberi keadilan kepada si penuduh dan tertuduh selaras dengan kaedah Islam.

4. Ramai yang lupa dan perlu saya ingatkan semula bahawa segala keterangan di mahkamah dibuat selepas angkat sumpah. Jadi tidak timbul soal Anwar berani atau tidak bersumpah kerana sumpah itu tetap berlangsung di mahkamah jenayah. Untuk rekod, terdapat keterangan polis semasa kes 1998 bahawa mereka sanggup bersumpah di mahkamah! Ini adalah satu kecelakaan dan keangkuhan yang perlu dibendung dari mengambil tempat.

5. Jika sumpah mahu diambil kira sekalipun, ia hanya untuk diri sendiri, bukan kepada pihak lain yang terlibat dalam tuduhan atau pembelaan. Maksud saya, beban sumpah Saiful adalah kepada dirinya, bukan kepada Anwar.

Maka apa?

Saya mengatakan bahawa sumpah Saiful tidak lebih daripada satu permainan minda (mind game) untuk memberi gambaran bahawa beliau di pihak yang benar dan Anwar di pihak yang salah.

Begitu juga kemunculan beliau di mahkamah dengan imej dahi hitam seolah-olah beliau warak. Saya tidak bermaksud mempertikai amalan individu, tapi terlanjur hal ini dipolitikkan beliau sebegitu rupa, maka beliau harus terima bila orang ramai melihat beliau dalam neraca politik.

Ini semua adalah falasi berfikir! Dan menguatkan teori politik di belakang kerja ini ialah pendedahan Ustaz Ramlang Porigi bahawa pegawai Perdana Menteri terlibat mengaturkannya serta pemilihan waktu ketika Anwar bertanding di Permatang Pauh.

Orang Melayu khususnya, dan rakyat umumnya bukan bodoh untuk tahu bahawa memang ada sejumlah manusia yang sedia bersumpah ketika terdesak untuk mempertahankan diri. Semoga Allah s.w.t. melaknat mereka yang bersumpah palsu!

PerakExpress

No comments: