Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, November 23, 2009

22 Nov 09: Bedah siasat kedua Teoh selesai - Malaysiakini

Bedah siasat kedua ke atas mayat mendiang Teoh Beng Hock di Hospital Sungai Buloh, mengambil masa kira-kira dua jam dan selesai dijalankan pada kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Keluarga mendiang Teoh dan dua adik beradiknya kelihatan ceria ketika ditemui petugas media, yang tidak dibenarkan menghampiri jabatan forensik di situ.

Saudara perempuan mendiang, Lee Lan berkata bedah siasat itu berjaya dilakukan dan keluarganya telah diberi taklimat mengenainya oleh pakar patologi Thai, Dr Porntip Rojanasunand.

Bagaimanapun, Lee enggan memberi sebarang butiran sama ada terdapat bukti baru yang ditemui mengenai kemungkinan wujud unsur-unsur jenayah.

"Tungu bila inkues (Teoh) disambung 9 Disember," katanya sambil berkata beliau tidak pasti sama ada laporan bedah siasat akan diumumkan.

Manakala saudara lelaki mendiang, Beng Kee berkata keluarganya tidak memahami aspek-aspek tentu taklimat Dr Porntip kerana ia banyak membabitkan istilah perubatan.

Ketika ditemui wartawan ketika hendak beredar dari hospital tersebut, Dr Porntip (kanan sekali) hanya berkata: "Tiada komen".

Mendiang Teoh ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Musalam di Shah Alam pada 17 Ogos lalu, sehari selepas dia disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM).

Kerajaan kemudiannya mengarahkan diadakan inkues berhubung kematian mendiang Teoh dan keterangan Dr Porntip telah mendorong keluarganya meminta bedah siasat kedua dijalankan.

Dr Porntip memberitahu inkues tersebut bahawa berdasarkan foto dan laporan bedah siasat pertama, beliau mengesyaki 80 peratus kemungkinan kematian mendiang Teoh adalah homisid.

Pakar patologi terkemuka Thai itu yang bertugas dengan Jabatan Kehakiman negara itu, hadir memantau bedah siasat hari ini bagi pihak kerajaan Selangor.

Manakala SPRM pula mendapatkan khidmat pakar patologi Britain, Dr Peter Venezis (kanan) yang terkenal dengan siasatannya terhadap kematian Puteri Diana.

Mayat mendiang Teoh digali semula dari tanah perkuburan di Semenyih semalam dan saudara perempuannya berkata keluarga merancang untuk mengkebumi semula mayat mendiang esok.

Bedah siasat tersebut dilakukan oleh Dr Khairul Aznam dan Dr Prashant Samberker yang memberitahu inkues kematian Teoh bahawa mendiang membunuh diri.

Seorang lagi pakar patologi, K Saravanan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, ditugaskan merakamkan gambar bedah siasat tersebut.

Sementera itu, peguam keluarga mendiang Teoh, Gobind Singh Deo mendakwa sekumpulan individu yang tidak dikenali mengekori Dr Porntip sejak semalam dan menggesa mereka supaya tampil ke hadapan.

"Sejak petang Jumaat, beberapa buah kereta mengekori beliau balik ke hotel dan kemudiannya ke tanah perkuburan di Semenyih semalam (tempat mayat Teoh digali semula)," katanya.

Menurutnya lagi, sejak itu, pihak polis telah menugaskan beberapa anggotanya memantaunya sejak dimaklumkan mengenainya semalam.

Malaysiakini

No comments: