Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, November 10, 2009

Hub Ilmu, Exco mahu semua pihak terlibat - Harakah

SHAH ALAM, 10 Nov: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mahu penglibatan semua pihak dalam usaha menjadikan negeri itu Hub Ilmuwan Hub Pendidikan bukan sahaja kepada Malaysia tetapi bertaraf dunia pada satu masa nanti.

Bagi membincangkan matlamat tersebut secara terperinci, Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali telah merancang menjemput semua pihak termasuk NGO, pemimpin masyarakat, aktivis pendidikan, pertubuhan mahasiswa, PIBG, ADUN, Ahli Parlimen Selangor samaada daripada PR mahupun BN pada satu pertemuan 29 Disember ini.

Dalam satu kenyataan, Dr. Halimah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor berkata sedang berusaha memastikan Selangor gah bukan sahaja sebagai pusat tumpuan pendidikan malah sebagai tempat rujukan para ilmuwan di negara ini dan di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, penaiktarafan kualiti pendidikan dan sistem sokongan sedang diperkasakan.

Ianya bukan sahaja meliputi pendidikan peringkat pra sekolah, sekolah rendah, menengah sehingga universiti malah berusaha ke arah pendidikan sepanjang hayat.

Manakala sistem sokongan pula termasuk pembinaan infrastruktur dan penjenamaan semula perpustakaan dan premis pendidikan lain bagi mengoptimakan proses pengajaran dan pembelajaran.

Bagi mencapai matlamat tersebut juga, Selangor ujarnya berusaha memperbanyakkan program bersifat perbincangan dan wacana ilmiah dengan melibatkan kembali pencinta ilmu yang sebelum ini 'dilumpuhkan' kerajaan sebelumnya.

"Program-program cambah fikiran, forum, dialog, seminar yang melibatkan semua 'stakeholders' yakni pimpinan masyarakat di setiap peringkat, golongan pendidik, penglibatan aktif cendiakawan-cendiakawan yang telah dilumpuhkan oleh kerajaan UMNO/BN selama ini; NGO2 dan aktivis masyarakat disedar dan digerakkan untuk menyambut seruan kerajaan untuk sama bangkit melahirkan budaya ilmu," kenyataanya dipetik.

Perancangan holistik melibatkan semua kaum ini katanya sebahagiannya telah dimulakan dan sedang dalam proses perlaksanaan secara bersepadu.

"Usaha meningkatkan kualiti pendidikan adalah meliputi pemantapan proses pengajaran dan pembelajaran yang holistik dan relevan samada secara formal mahupun tidak formal, meningkat literasi ICT di kalangan guru-guru sekolah kerajaaan negeri, program tuisyen rakyat percuma calon SPM 2009 daripada golongan berpendapatan kurang daripada RM1500; meningkatkan elaun guru-guru KAFA; program motivasi ibu bapa, pelajar, PROGRAM SPIES Pendidik; SPIES PIBG; Program Jejak Ilmuwan," ujarnya.

Hubungan dengan semua peringakat termasuk jaringan mahasiswa mula dibentuk seperti Majlis Permuafakatan PIBG, Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor dan Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Selangor.

Dakwanya, kesemua mereka sebelum ini telah dinafikan hak untuk bekerjasama secara langsung oleh Kerajaan Malaysia UMNO/BN khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia.

"Jawatankuasa Tetap Pendidikan/ Pendidikan Tinggi negeri telah menggunakan BLUE OCEAN Strategi bagi memintas sekatan-sekatan tidak demokratik dan terdesak kerajaan persekutuan yang diterajui UMNO/BN bagi membawa pelajar,guru, ibubapa, pakar pendidikan, sebagai rakyat yang telah memilih kerajaaan Pakatan Rakyat Selangor, boleh menikmati segala perancangan dan tawaran-tawaran yang telah disusunkan melalui Exco Pendidikan/Pendidikan Tinggi," tegasnya lagi.

Selangor sebelum ini sudah pun mewujudkan beberapa program bersifat kebajikan kepada rakyat seperti tuisyen rakyat , bengkel teknik menjawab soalan SPM(3500peserta) di Dewan Jubli Perak, solat hajat perdana Di Masjid Negeri(2000 peserta) dan SPIES.

Manakala kos pelaksanaan bagi menjayakan hasrat itu dijangka menelan belanja 91.2 juta ringgit pada tahun ini berbanding 700 ribu tahun lalu.

Harakah

No comments: