Pejabat ADUN Penanti Dr Mansur Othman PKR mendakwa sebahagian besar daripada 77 ahli Pemuda PKR cabang Permatang Pauh yang dilaporkan menyertai Umno bukan ahli parti itu.
Pegawai khas kepada Dr Mansur - Zainal Abidin Saat - berkata, hanya dua ahli PKR iaitu bekas timbalan ketua Pemuda PKR Guar Jering Fakhrul Che Umar dan bendahari ranting Hesabudin Md Isa yang menyertai Umno.
Guar Jering adalah salah satu ranting yang terletak dalam DUN Penanti.
"Mereka ahli Umno, isi balik borang. Mereka bukan ahli PKR," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Menurutnya lagi, beliau mengenalpasti perkara itu kerana ada di kalangan mereka yang dilaporkan menyertai Umno itu kawan-kawannya sendiri.
"Saya kenal mereka. Ini semua cerita kartun," kata Zainal Abidin yang juga bekas setiausaha Umno cawangan Guar Jering.
Beliau yang juga merupakan pegawai khas kepada ahli parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengulas dakwaan 77 ahli AMK yang dilaporkan melompat parti menyertai Umno baru-baru ini.
PAS masuk Umno 'lagi mengarut'
Hujung minggu lalu, Fakhrul dilaporkan meletakkan jawataan ekoran dakwaaan berlakunya pergeseran antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat semakin parah selepas dua tahun memerintah.
Sementara sebuah blog turut mendakwa selain ahli PKR, terdapat juga ahli PAS yang terlibat keluar parti di bahagian tersebut. Jumlahnya tidak dinyatakan.
Fakhrul juga dipetik berkata AMK tidak menerima sebarang peruntukan daripada PKR untuk menganjurkan program parti.
Mengulas dakwaan Fakhrul itu, Zainal Abidin berkata dakwaan tersebut tidak benar kerana setiap kelulusan untuk permohonan bantuan dibuat melalui beliau sendiri, sebelum dimajukan kepada Dr Mansor.
"Kalau mereka kata kita tidak turun kawasan, itu tidak betul. Guar Jering ini kampung saya. Banyak bantuan diluluskan," katanya.
Zainal Abidin yang juga pengarah pilihan raya PKR bagi DUN Penanti tidak menolak kemungkinan ada di kalangan mereka yang menyertai Umno itu menerima "sogokan wang".
Sementara itu, Setiausaha PAS Kawasan Permatang Pauh, Ahmad Kamal Ahmad turut menafikan terdapat ahli parti itu turut menyertai Umno.
"Kalau ada ahli PAS yang menyertai Umno, lagi mengarutlah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Malaysiakini
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment