Beberapa NGO, termasuk di peringkat serantau, mengecam keras tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyiasat secara intensif sekumpulan besar wartawan Malaysiakini berhubung video demonstrasi membantah kuil Hindu.
Video itu merakamkan bantahan kira-kira 50 orang, dengan mengarakkan kepala lembu yang masih berdarah, di depan bangunan sekretariat kerajaan Selangor di Shah Alam, hujung bulan lalu, berhubung isu pemindahan kuil ke Seksyen 23.
Piagam 2000 Aliran, kumpulan pemantau kebebasan media dalam NGO berpengaruh itu, menyifatkan tindakan suruhanjaya itu sebagai mempersendakan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin untuk tidak menapis Internet.
"Tindakan secara metafornya membunuh pembawa mesej juga sangat tidak menyenangkan kerana ia bertujuan menakut-nakutkan wartawan yang sedar daripada melaporkan kebenaran tanpa rasa takut atau pilih kasih," kata penyelarasnya Dr Mustafa K Anuar dan Anil Netto dalam satu kenyataan.
Sementara Pakatan Akhbar Asia Tenggara (Seapa), dalam surat bantahannya kepada SKMM, pula menyifatkan siasatan itu sebagai satu bentuk "gangguan sewenang-wenangnya" terhadap akhbar web tersebut, dan sekali gus mencabuli hak bersuara dan kebebasan media.
"Seapa telah menonton video-video berkenaan, liputan Malaysiakini itu dan keadaan semasa, dan kami membuat kesimpulan bahawa Malaysiakini tidak membuat apa-apa selain melaporkan dua perkembangan berita yang sah," kata pengarah eksekutifnya Roby Alampay.
Pegawai penyiasat suruhanjaya itu mengambil keterangan lagi hari ini (foto atas, kanan), kali ketiga selepas siasatan beramai-ramai selama lapan jam sekumpulan 12 pegawai kanan, editor, wartawan dan kakitangan teknikal Malaysiakini kelmarin di pejabat portal berita itu di Bangsar Utama, Kuala Lumpur.
Selain ketua pegawai eksekutif akhbar web itu Premesh Chandran, editor dan wartawan itu terlibat dalam proses pemberitaan, suntingan dan penerbitan dua berita dan video berhubung demonstrasi di Shah Alam pada 28 Ogos dan sidang media Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, 2 September lalu turut disiasat.
Suruhanjaya itu memulakan siasatannya terhadap ketua pengarang kumpulan Steven Gan, Sabtu lalu, berhubung penerbitan dua klip video yang dituntut agar dibuang: Temple demo: Residents march with cow's head (28 Ogos) dan Hisham: Don't blame cow-head protesters (2 Sept).
Pemantau pilihan raya Institut Nasional bagi Integriti Pilihan Raya (NIEI) pula berkata siasatan itu "berniat jahat dan sekali gus bertentangan dengan prisinsip demokrasi dan kebebasan media yang termaktub dalam perlembagaan dan Artikel 19 Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia.
"Bersempena dengan Hari Hak Asasi Manusia (peringkat Malaysia) semalam, NIEI mendesak agar kerajaan Malaysia dan SKMM agar menghormati kebebasan media dan kebebasan rakyat untuk mendapatkan maklumat," kata pengarah eksekutifnya Amin Iskandar.
"Tindakan sebegini hanya membawa Malaysia kebelakang sekali gus bercanggah dengan gagasan '1Malaysia: rakyat diutamakan, pencapaian didahulukan' yang dipopularkan oleh perdana menteri.
"Jika rakyat diutamakan, hormatilah hak asasi rakyat untuk bebas mendapatkan maklumat dan informasi."
Malaysiakini
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment