Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, April 28, 2009

Larangan SPR: Pakatan mesyuarat tentukan pendirian - mStar

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak konsisten dalam membuat peraturan berhubung pondok panas ketika hari pembuangan undi.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan SPR semalam yang melarang kewujudan pondok panas dan peraih undi sama sekali bertentangan dengan ketetapan yang dibuat pada pilihan raya umum 2004.

"Pada tahun 2004, sebelum pilihan raya, SPR tidak membenarkan pondok panas tetapi pada pagi hari mengundi, BN (Barisan Nasional) telah mendirikan pondok panas sedangkan kita patuh dengan peraturan itu.

"Bila kita tanya SPR, mereka kata peraturan itu diubah pada pagi pilihan raya itu," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Kini SPR memutuskan semua parti politik tidak lagi dibenarkan mendirikan pondok panas selain dilarang memancing undi pada hari mengundi.

Langkah ini akan dikuatkuasakan mulai pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, SPR perlu konsisten dalam hal ini dan selari dengan peranan SPR sebagai badan yang menjalankan pilihan raya secara bersih, telus dan adil.

Berhubung mengehadkan jumlah penyokong pada hari penamaan calon, Saifuddin berkata, tindakan itu juga tidak wajar dilakukan SPR kerana pilihan raya adalah hari pesta demokrasi kepada rakyat.

"Ia adalah hari rakyat mengamalkan hak demokrasi yang mereka ada. SPR tidak perlu menjadikan faktor keselamatan sebagai alasan kerana itu kerja polis. Biar polis lakukan kerja mereka," katanya.

Katanya, beliau yakin larangan-larangan yang dikeluarkan oleh SPR ditujukan khusus kepada Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali pula berkata, pihaknya juga sangat kecewa dengan keputusan SPR semalam.

Mustafa berkata, Pakatan Rakyat telah menyatakan alasan-alasan berhubung pendirian mereka yang menolak cadangan itu ketika pertemuan parti-parti politik dengan SPR Khamis lalu.

"Nampaknya, mereka telah mengeluarkan kenyataan larangan itu tanpa memberi hujah-hujah balas terhadap alasan yang telah kita berikan dan ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Beliau percaya larangan itu dikeluarkan bagi menyekat jumlah peraih undi bagi Pakatan Rakyat yang lazimnya ramai pada hari mengundi.

"Kalau dulu, di sesetengah tempat, BN lebih ramai dari pembangkang tapi sekarang pembangkang dah lebih ramai berbanding BN," katanya.

Juster kata Mustafa, tindakan mengehadkan jumlah penyokong itu juga tidak wajar dilakukan kerana bilangan penyokong yang ramai untuk memeriahkan hari penamaan calon adalah perkara biasa.

Katanya, Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat sama ada hari ini atau esok berhubung keputusan SPR semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, SPR menggunakan faktor kesesakan bagi melarang kewujudan pondok panas dan mengehadkan jumlah pengundi tidak perlu timbul.

Sehubungan itu kata Dr. Tan, beliau percaya pihak polis mampu mengawal keadaan pada hari penamaan calon dan hari mengundi.

mStar

No comments: