Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, January 22, 2009

MP dan 2 ADUN antara 23 akan didakwa esok sertai perhimpunan haram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Selangor, Lau Weng San dan Ronnie Liu serta 20 lagi akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, esok dipercayai terlibat dalam perhimpunan haram.

Kesemua 23 mereka termasuk aktivis dan paderi ditahan pada 9 November lalu di bawah Seksyen 27 Akta Polis kerana terlibat dalam perhimpunan haram itu dan tidak menghiraukan amaran pihak polis supaya bersurai.

Perhimpunan membawa lilin di bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini itu diadakan yang antaranya untuk membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan ia dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).


Sumber: mSTAR

Polis terus siasatan kematian Kugan

Polis akan tetap menyiasat punca kematian seorang tahanan di lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematiannya adalah akibat paru-paru berair.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata siasatan itu akan diteruskan kerana terdapat dakwaan bahawa kematian tahanan A. Kugan, 22, pada 20 Januari lalu berunsur penderaan semasa di lokap.

"Laporan bedah siasat yang didapati malam tadi menunjukkan tubuh mangsa mengalami kecederaan. Kita akan menyiasat punca kecederaan itu walaupun doktor mengesahkan ia (kecederaan itu) bukan punca yang menyebabkan mangsa mati," katanya pada sidang media perasmian kempen keselamatan lebuhraya Kajang-Seremban
(LEKAS) di ibunegara hari ini, lapor Bernama.

Khalid berkata polis tidak akan melindungi sesiapa saja termasuk pegawai sekiranya benar ada anggotanya yang terlibat mendera Kugan.

"Saya harap keluarga mangsa mahupun orang ramai bersabar terhadap proses siasatan ini kerana saya beri jaminan seratus peratus bahawa kami (polis) akan menyiasatnya secara telus dan adil," katanya.

"Kita dapat maklumat bahawa seorang timbalan menteri berada semasa mayat dituntut di Hospital Serdang dan terdapat kekecohan di situ. Saya sudah arahkan pegawai supaya percakapannya (timbalan menteri itu) dirakam," katanya.

'Serbu rumah mayat'

Katanya, polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat kekecohan dengan menyerbu rumah mayat, seperti yang berlaku semalam.

Kugan yang ditahan reman sejak Khamis lepas kerana didakwa terlibat dalam kes samun kereta mewah, sepatutnya tamat semalam.

Mangsa ditahan di hadapan sebuah kondominium di Puchong pada jam 1 pagi dan dilaporkan bergelut dengan polis sebelum ditahan.

Maklumat polis menunjukkan mangsa adalah anggota kumpulan yang terlibat dalam kes samun kereta mewah di sekitar Lembah Klang dan Johor.

Hasil intipan di kondominium itu, polis menahan mangsa yang ketika itu sedang memandu kereta Honda bersama seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an. Bagaimanapun rakannya itu dapat melarikan diri.

Hasil tangkapan itu, Polis berjaya mengesan 15 buah kereta mewah, dua daripadanya ditemui di kondomium berkenaan manakala 13 buah lagi di sebuah gudang di Puchong.


Sumber: Malaysiakini

BN tidak selamat walaupun di kerusi sendiri...

Analisa Kekalahan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Sabtu lalu menunjukkan kedudukan BN tidak lagi selamat walaupun di kerusi sendiri.

Ia juga menunjukkan, calon yang memegang jawatan timbalan menteri dan ketua Umno bahagian sekalipun, tidak semestinya menang dalam pilihanraya.

Wan Ahmad Farid kalah kepada calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi. Beliau mendapat 30,252 undi manakala lawannya itu mendapat 32,883 undi.

Manakala calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mendapat 193 undi dan sekaligus hilang wang pertaruhan.

Namun kekalahan tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sejak awal lagi beliau bukanlah pilihan terbaik untuk bertanding kerusi parlimen tersebut.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, calon BN Datuk Razali Ismail menang dengan majoriti 628 undi ke atas calon PAS, Mohamad Sabu dan seorang calon bebas.

Pemilihan Wan Ahmad Farid dikatakan atas kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana beliau pernah menjadi setiausaha politiknya.

Ditolak pengundi muda

Ada pemimpin Umno bahagian sendiri sejak awal-awal lagi menyerang peribadinya sehingga menjadi isu utama pembangkang dalam kempen pilihanraya tersebut.

Faktor calon ini telah menjadi faktor utama kekalahan BN dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Di sana sini para pengundi bercakap mengenai sikapnya sehingga dikatakan telah mempengaruhi pengundi untuk menolaknya.

Tetapi kekalahan BN bukan sahaja disebabkan oleh faktor calon, tetapi terdapat banyak faktor lagi.

Strategi politik pembangunan yang dicanangkan sepanjang kempen pilihanraya kecil tersebut juga tidak menjadi, malah ditolak oleh pengundi muda.

Projek pembangunan besar-besaran yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak nampaknya tidak berkesan kepada lebih 80,000 pengundi di Kuala Terengganu.

Mungkin mereka sudah muak dengan pembangunan segera yang hanya tiba ketika musim pilihanraya. Golongan muda dan cerdik pandai dikatakan tidak boleh menerima sogokan sedemikian rupa.

Golongan muda mahu pembangunan jangka panjang secara tersusun termasuk peluang pekerjaan untuk mereka.

Ezam turut berkempen

Ramai golongan muda di Kuala Terengganu, termasuk lulusan pengajian tinggi, mengeluh mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka

Agak menghairankan ceramah pemimpin BN termasuk Najib sendiri, kurang mendapat sambutan berbanding ceramah pemimpin pembangkang, khususnya ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, kehadiran pemimpin lain BN seperti Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin, juga tidak memberi kesan langsung kepada BN.

Khairy sendiri umpamanya tidak segarang ketika berkempen dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos lalu.

Barangkali orang yang paling menonjol menyerang pembangkang tidak lain tidak bukan ialah bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor.

Beliau datang menyerang Anwar sebagaimana di Permatang Pauh, tetapi kali ini beliau mendedahkan sepucuk surat yang didakwanya surat damai Anwar kepada mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ezam mendedahkan surat tersebut kononnya untuk menunjukkan sikap hipokrit Anwar iaitu memuji Dr Mahathir pada waktu siang tetapi memaki hamun pada malam hari.

Isu digemari pengundi

Ceramah-ceramah terbuka oleh pemimpin BN hanya dihadiri 100 hingga 200 orang sahaja. Malah sebahagiannya adalah petugas parti yang datang dari luar Terengganu.

Berbeza dengan ceramah pembangkang, khususnya cearmah Anwar, yang dihadiri oleh ribuan orang, khususnya golongan muda.

Anwar juga berjaya membawa isu yang digemari pengundi iaitu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, pembelian kapal selam dan Eurocopter.

Isu-isu tersebut sedikit sebanyak berjaya menarik pengundi untuk mendekati PAS dan menjadikan ceramah-ceramah BN hambar dan sunyi.

PAS pula berulangkali memainkan isu pembaziran kerajaan negeri melalui projek Piala Monsun, Taman Tamadun Islam dan sebagainya.

Isu royalti minyak juga ditengahkan oleh pembangkang, khsususnya PAS, menarik minat sebahagian pengundi Kuala Terengganu.

Majoriti 2,631 undi yang diperolehi Abdul Wahid menunjukkan bahawa BN tidak lagi selamat di tempatnya sendiri.

Jika sesuatu tidak dilakukan segera, ada kemungkinan banyak lagi kawasan lain akan jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang.

Dalam pilihanraya umum lalu, lima negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor jatuh ke tangan pembangkang.


Sumber: Malaysiakini

Pro-M dan bebas menang besar di UIA

Pilihanraya kampus bagi Universiti Islam Malaysia (UIA) hari menyaksikan calon pro-Mahasiswa dan calon bebas hampir menyapu bersih kesemua kerusi fakulti dan kerusi antarabangsa yang dipertandingkan.

Manakala pengundian bagi dua kerusi Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu ditangguh sehingga 29 Januari depan, selepas kumpulan pro-Mahasiswa membuat bantahan terhadap seorang calon yang bertanding di kerusi berkenaan.

Menurut keputusan rasmi hari ini, pro-Mahasiswa memenangi 17 kerusi fakulti manakala calon bebas menang tiga kerusi.

Pencapaian tersebut menyamai jumlah kerusi yang dimenangi pro-Mahasiswa pada sesi lalu.

Calon bebas juga menyapu bersih kesemua lima kerusi antarabangsa yang dipertandingkan hari ini.

Manakala calon pro-Aspirasi dan calon Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula masing-masing memenangi satu kerusi.

Selepas penamaan calon Isnin lalu, kumpulan pro-Mahasiswa sudah memenangi dua kerusi tanpa bertanding di Fakulti Kejuruteraan di kampus Gombak dan Fakulti Kejururawatan di kampus Kuantan.

Seorang calon bebas pula menang satu kerusi tanpa bertanding di kerusi Fakulti Teknologi Maklumat dan Informasi.

Dalam pengundian hari ini, bagi kampus Gombak, pro-Mahasiswa menang sembilan kerusi manakala calon bebas, pro-Aspirasi dan PKPIM masing-masing menang satu kerusi.

Bagi kampus Kuantan pula, pro-Mahasiswa memenangi lapan kerusi, dua dimenangi oleh calon bebas dan pengundian dua kerusi lagi ditangguhkan.

UIA merupakan universiti awam terakhir mengadakan pilihanraya kampus. Sebelum ini, Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan pilihanraya kampus masing-masing.

Kecuali UM, seperti yang diduga, kesemua universiti awam lain lain dikuasai oleh kumpulan pro-Aspirasi yang cenderung kepada kerajaan.

Pengundian bagi pilihanraya kampus UIA bermula jam 8 pagi dan akan berakhir pada jam 5 petang.

Sumber: Malaysiakini


Pengundi wanita KT tolak BN...

Ketua Wanita Umno Terengganu, Wan Ramlah Wan Ahmad berkata, beliau merasa bimbang kerana ramai pengundi wanita di kawasan Parlimen Kuala Terengganu akan menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, mereka menyatakan perkara itu secara terbuka kepada perayu undi Wanita Umno sewaktu berkempen dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari lalu.

Menurutnya, lebih mengejutkan lagi kerana mereka adalah penyokong Umno dan mengundi parti itu dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini.

"Saya tidak tahu mengapa mereka berkata demikian, tetapi perayu undi ada memberitahu, mereka kecewa dengan apa yang berlaku dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.

"Mereka mengadu tidak puas hati dengan pemilihan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Mereka kata, tiada calon BN lainkah, asyik-asyik anak Datuk Wan Salleh...

"Ini kerana dalam pilihanraya umum lalu, abangnya, Datuk Wan Hisham telah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Hisham tewas kepada calon PAS, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dalam pilihanraya umum lalu.

Wan Ahmad Farid kalah kepada calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi. Beliau mendapat 30,252 undi manakala lawannya itu mendapat 32,883 undi.

Tidak dapat sambutan

Manakala calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mendapat 193 undi dan sekaligus hilang wang pertaruhan.

Wan Ramlah juga berkata, ramai pengundi wanita juga mengadu mereka tidak senang dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Ramlah mengakui kempen Wanita Umno tidak mendapat sambutan.

"Kami jangka 15 orang hadir tetapi sekadar dua atau tiga orang sahaja.

"Mereka beri alasan masing-masing sibuk dengan tugas harian.

"Saya tidak tahu salah siapa tetapi Wanita Umno bahagian Kuala Terengganu tidak bekerja sebagaimana sepatutnya," katanya.

Kempen jentera Wanita Umno untuk pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu diketuai oleh ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz.


Sumber: Malaysiakini

Wednesday, January 21, 2009

Ezam undang bala

ENTAH apa silapnya pihak tertentu dalam Umno, terlalu mempercayai bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan, Ezam Mohd Nor dan balaci-balacinya, sehingga dibawa berkempen di Kuala Terengganu.

Ezam ternyata membawa padah kepada Umno. Padah kerana penyertaan beliau dalam kempen BN, langsung tidak membantu. Tiada apa-apa kesan dan hanya merugikan masa dan wang Umno sahaja.

Ezam memang tiada modal. Kerjanya hanya membelasah bekas bosnya mantan TPM, Dato' Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tujuan Umno menggunakan khidmat Ezam dalam pilihan raya kecil, semata-mata untuk menyerang peribadi Anwar. Tiada sebab lain.

Malah, kali ini beliau melebarkan serangannya kepada Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa. Tujuannya untuk melagakan Anwar dengan PAS, melagakan KeADILan dan PAS.

Maka berceramahlah beliau sehingga 'hendak keluar anak tekak'.

Ezam bak 'ayam jantan yang mengepak-ngepak' apabila apabila media cetak dan elektronik yang menjadi barua BN, memaparkan 'kehebatannya' beserta balacinya mengecam dan memaki hamun Anwar.

Namun rakan-rakan dalam KeADILan tidak terkejut.Mereka hanya ketawa apabila mendengar ceramah Ezam. Bagi mereka Ezam hanya pecacai dan soldadu upahan yang mahu mengaut seberapa banyak 'ghanimah' daripada Umno.

"Dalam KeADILan dulu, dia maki hamun Umno, BN, Abdullah, Najib lagi teruk. Berbakul-bakul dia maki, siap bersumpah 'haram' masuk Umno lagi. Sekarang apa dia cakap?" Soal seorang MP KeADILan yang bukan berbangsa Melayu.

"Kita pergi juga dengar ceramah dia (Ezam), malam kelmarin," kata seorang AJK AMK Terengganu yang ditemui.

"Tapi ceramah dia tidak lebih dari kelentong penjual ubat tenaga batin di jalanan," katanya lagi.

Memang pun. Ceramah Ezam bukannya ada sambutan. Tidak memberi kesan langsung. Malah seorang Ketua Putera Umno sebuah negeri berkata kepada seorang pemberita akhbar harian, "Kami meluat tengok Ezam, apa kena mengena Anwar dengan Kuala Terengganu? Permatang Pauh pun tak jalan (serangan peribadi).

"Lagi banyak dia maki Anwar, pengundi Umno pun lari dari kita (BN)," rungutnya.

Betul juga kata beliau. Di Permatang Pauh, khidmat soldadu upahan ini turut digunakan seluas-luasnya. Malah 'media tiga suku' hampir hari-hari memaparkan laporan ceramah, yang akhirnya menghasilkan hampas sahaja.

Di Kuala Terengganu sekali lagi khidmat beliau digunakan. Orang-orang Umno tahu bahawa Ezam masuk Umno melalui Khairy. Dan bagi mereka Khairy yang membawa Ezam untuk berkempen membantu rakan Khairy, Dato' Wan Farid Wan Salleh.

Tetapi ada kalangan suku sakat Ezam mendakwa, tindakan Ezam membelasah Anwar dibuat kerana mendapat 'blessing' daripada TPM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Jika dakwaan mereka betul, ianya hanya bertujuan untuk menajamkan permusuhan peribadi Najib-Anwar. Jika dakwaan itu tidak betul, Ezam hanya dipergunakan oleh kumpulan Abdullah, untuk melaga-lagakan Najib dengan Anwar.

Kerjanya tidak lain, selain untuk mencerca, menghentam dan melaga-lagakan orang. Apa nilainya seorang yang 'cari makan' dengan hidup dengan cara sebegini?

Saya tidak juga bertujuan untuk menyemakkan ruang yang terhad ini untuk membincangkan soal Ezam semata-mata. Tetapi sekadar memberitahu rakan-rakan dalam Umno bahawa, mengupah Ezam hanya sekadar 'mengabehkan boreh' (menghabiskan beras) dalam guni Umno sahaja.

Ezam sudah tidak relevan. Beliau seumpama 'anjing yang menggigit tuannya'.

Ezam bukan sahaja menikam Anwar dan rakan-rakan dalam KeADILan, malah beliau memperdaya pemimpin PAS mempercayainya. Beberapa tahun selepas melepaskan jawatan Ketua Angkatan Muda, Ezam terus berceramah di pentas PAS dan sering berjumpa dengan pemimpin PAS, termasuk di peringkat AJK Harian.

Pemimpin PAS diperdaya kononnya PAS adalah parti yang akan disertainya selepas KeADILan, bukan Umno. Beliau menjaja keburukan Anwar dan KeADILan kepada pemimpin PAS.

Malah ketika pemimpin PAS, bertanya mengapa beliau masuk Umno, selepas menyumpah seranah parti itu, ada juak-juaknya membayangkan, bahawa kemasukan Ezam dalam Umno, adalah untuk memperbetulkan parti itu dari dalam.

Katanya, Ezam hanya menjadi agen Anwar dalam Umno, untuk menyusun orang-orang Anwar dalam Umno, guna bersatu dengan Pakatan Rakyat dikemudian hari. Entah betul entah tidak. Apapun, sekadar pesanan kepada semua, berhentilah daripada mempercayai Ezam._

Sumber: HarakahDaily



UPDATED Azilah: I was in contact with Razak and Musa even after the murder

By SK English Team

Chief Inspector Azilah Hadri, one of two cops accused of murdering Altantuya Shaariibuu, the Mongolian woman alleged to have been deputy premier Najib Abdul Razak’s mistress, said he was in contact with both the DPM’s close associate and aide-de-camp even after the alleged murder.

The 32-year old Azilah said he had spoken to Najib’s close friend Razak Baginda and the DPM’s aide-de-camp Musa Safri on the phone between Oct 20 and 21, but did not disclose what they had talked about.

Azilah also denied he had bought investigators, led by Chief Inspector Koh Fei Chow, to Puncak Alam and told them where “the Mongolian woman” was blown up or shot.

Instead, he suggested that he was brought to another place on Nov 6, 2006, where there were some “bushes” with “burn marks”. He said that the location did not match photos taken of the crime scene.

“The place was not like this when I went there,” Azilah said, referring to pictures of the alleged crime scene presented to him.

“I did not see any bones,” he added.

Azilah’s counsel, Hazman Ahmad, later sprung a surprise by telling the court he would not call any more witnesses. He earlier told reporters that several of Azilah’s colleagues had been lined up to take the stand.

The Najib link

Altantuya was believed to have been murdered at a location between Lot 12843 and Lot 16735 in a jungle clearing in Mukim Bukit Raja between 10 pm on Oct 19, 2006, and 1 am the next day. Investigators said her body was strapped with C4 explosives and blown up to prevent identification.

The murder trial has been widely followed both nationally and internationally because of the link to Najib, who has been accused of having a sexual relationship with her, before passing her onto Razak, a political analyst and former adviser.

Razak has admitted Altantuya was his lover, but is adamant that Najib never met her. Najib too has denied ever knowing Altantuya, but he has not been able to shake off the accusations, which flared again when Razak was acquitted and discharged last year, without having to enter his defence for abetting Azilah and Corporal Sirul Azhar Umar in the murder.

Both Azilah and Sirul are with the elite police outfit, Special Action Unit, which was tasked to protect Najib and his office. Last week, Azilah told the court that he got to know Razak through Najib’s aide-de-camp Musa, who on Oct 17 asked if he could help Razak with a ‘problem’.

Today, Azilah said he received 10 missed calls from Razak since the early morning of Oct 21.

Asked by Sirul’s lawyer lawyer, Kamarul Hisham Kamaruddin, if he had spoken to Razak at 1.34am on Oct 21 for 99 seconds, Azilah said he could not remember the exact time. Asked if Razak had called him again at 1.48am that day and spoke to him for 72 seconds, he said he could not recall.

Azilah also admitted that there was a missed call by Musa at 9.40am on Oct 21 and that he had talked to him for three times that same day.

When asked if he had received an SMS from Razak at about 10pm on Oct 22, he said he could not recall.

We had no motive to kill Altantuya

Azilah had earlier denied killing Altantuya, and had testified that Razak only asked his help to “advise” the woman against Musa claimed was an attempt to blackmail Razak. Musa had not said why Razak was being blackmailed.

Azilah also confirmed that when he met Razak on Oct 18, he had asked: “What kind of help do you really need?”

According to Azilah, Razak said he wanted a police patrol and police box to be placed in front of his Bukit Damansara residence, and for Altantuya to be advised not to blackmail or “disturb” him.

When asked by Sirul’s lawyer, Kamarul, if either he or Sirul had any motive for killing Altantuya, Azilah said they did not.

Kamarul also asked the court for time to prepare Sirul’s statement, and that it be produced only after Chinese New Year.

Kamarul wants the court to make available to him a copy of Musa’s statement and “unused materials” from the prosecution, such as text messages it collected but did not use in the case. He will be making an application, which will be heard tomorrow.

Sumber: Suara Keadilan



Perhimpunan bantah PPSMI pada 7 Mac

Perhimpunan anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan diadakan pada 7 Mac depan.

Sempena perhimpunan tersebut, GMP juga akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon campur tangan baginda dalam menyelesai isu tersebut.

Pengerusi jawatankuasa induknya, Datuk Dr Hassan Ahmad berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat gabungan itu malam tadi di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam.

Bagaimanapun, kata beliau yang juga bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), butiran terperinci mengenai perhimpunan belum diputuskan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mesyuarat malam tadi menimbang cadangannya supaya mengkaji baik-buruk rancangan mengadakan perhimpunan tersebut.

Ketika membentangkan cadangan itu malam tadi, Dr Hassan difaham memaklum kepada mesyuarat bahawa ramai yang belum memahami sepenuhnya tujuan bantahan itu hendak diadakan.

Beliau juga difahamkan mencadangkan supaya diadakan kempen penerangan bagi membolehkan semua pihak benar-benar memahami isu tersebut, sebelum perhimpunan besar itu diadakan.

Bukan anti-kerajaan

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Hassan berkata, setelah cadangannya itu diusulkan dan diperbincangkan, mesyuarat sepakat untuk meneruskan perhimpunan itu pada 7 Mac depan.

Bagaimanpun, katanya, mereka menghadiri mesyuarat tersebut sepakat untuk meneruskan perhimpunan itu mengikut garis panduan yang dipersetujui.

Antaranya, tambah beliau, ialah perhimpunan itu tidak boleh dilihat bercirikan kegasanan dan perkauman.

"Kalau bentuknya macam Hindraf (Barisan Bertindak Hak Hindu), saya tak nak (terlibat)," katanya sekali lagi mengulangi pendirian yang ditegaskannya semalam.

Menjawab soalan, beliau menegaskan perjuangan GMP bukan berasaskan perkauman - untuk bangsa Melayu sahaja.

Sebaliknya, tegas Dr Hassan perjuangan mereka adalah perjuangan kebangsaan dan untuk kebaikan semua kaum.

Beliau juga berharap gabungan itu tidak dilihat sebagai anti-kerajaan dan pro-pembangkang hanya kerana ia turut dianggotai ahli politik pembangkang manakala mesyuarat malam tadi diadakan di bangunan SUK Selangor yang diteraju Pakatan Rakyat.

"Di awal mesyuarat, saya beritahu semua, termasuk, (Timbalan Presiden PAS) Nasaruddin (Mat Isa) sendiri bahawa mereka bukan mewakili mana-mana parti politik tetapi atas dasar sebagai pejuang bahasa," katanya.


Sumber: Malaysiakini

Tuesday, January 20, 2009

Memahami yang tersirat disebalik kemenangan PAS dan kekalahan Umno

Oleh Mohd Sayuti Omar

KEPUTUSAN pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu yang diumumkan jam 9:19 minit malam semalam memberi sekurang-kurangnya tiga natijah dan induksi yang boleh diukurkan oleh tiga kumpulan atau entiti.

Tiga kumpulan dimaksudkan itu ialah dua parti terlibat secara langsung dalam pertandingan itu, Pas dan BN manakala satu lagi kumpulan atau entiti ialah Pakatan Rakyat.

Bagi Pas kemenangan calonnya, Mohd Abdul Wahad Endut dengan mendapat 23,883 undi memberi erti dan makna besar kepada parti itu. Kemenangan itu mengorbarkan semula semangat Pas Terengganu untuk berhadapan dengan BN di masa akan datang.

Kemenangan itu juga menunjukkan Pas masih berpengaruh di Terengganu dan sudah pasti kemenangan itu menjadi titik penting bagi Pas memperkejapkan semula panji-panjinya di negeri berkenaan.

Kemenangan itu juga menunjukkan kepimpinan Pas Terengganu yang cuba diperlekeh dan dipersalahkan kerana gagal mempertahankan kerajaan Terengganu 2004 masih mampu menguruskan parti dan tahu bagaimana mencipta kemenangan.

Apakah kemenangan itu akan menghakiskan prejudis kononnya kejatuhan kerajaan Pas dulu kerana mereka, sebaliknya kerana main jahat melampui Umno dan BN untuk menawan negeri berkenaan? Kalau dilihat secara fikiran teduh begitulah.

Jumlah undi yang diperolehi Abdul Wahid sebanyak 32,883 dan meningkat sebanyak 949 undi berbanding undi diraih oleh Mohammad Sabu pada pilihan raya umum 2008 menunjukkan pengundi Pas tidak lari dan membenci parti mereka. Dalam pilihan raya umum ke -12 lalu Mohamad Sabu mendapat 31,934.

Kemenangan itu memberi petanda ahli dan penyokong Pas Terengganu masih setia dengan parti asal mereka. Kekalahan dan kejatuhan kerajaan 2004 dulu bukan satu perkara menyebabkan mereka lemah, berpaling tadah dan akan mencemuh parti sendiri!

Kesanggupan mereka untuk terus bersama Pas menunjukkan mereka tidak terpesona dengan janji-janji kebendaan yang dibisikkan Umno dan mereka sudah arif ianya adalah permainan dan satu cheap-sale dalam politik. Keteguhan ahli Pas memilih bulan purnama itu memberi gambaran bahawa tawaran wang, rasuah politik tidak mengugah mereka.

Adalah wajar kalau Pesuruhajaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali, serta timbalan-timbalan pesuruhjayanya, Datuk Harun Taib, Datuk Wan Mutalib Embong dan Datuk Abu Bakar Chik serta penasihatnya yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri merasakan mereka masih diperlukan untuk mengerakan dan mengemudikan Pas di negeri penyu itu. Kemenangan itu adalah anugerah atas kesabaran dan keulitan jiwa jihad mereka.

Kemenangan itu menjadi penawar dan pembelaan ke atas mereka serta menempis tohmohan kononnya mereka sudah tidak popular dan ditolak generasi muda.

Kononnya pendekatan mereka lapok dan tidak berkembang juga ternafi sama sekali. Justeru mereka juga berhak untuk menuntut kemenangan itu adalah kerana saham mereka begitu tinggi.

Kenapa dikatakan begitu kerana boleh dikatakan 90 peratus pilihan raya itu digerakan oleh jentera pilihan raya Pas negeri Terengganu sendiri yang dikepalai mereka.

Pas Terengganu pada awalnya seakan bergerak bersendirian seperti anak yatim tanpa ada komitmen menonjol dan serius dari beberapa pemimpin peringkat nasional.

Sesetengah pemimpin lebih suka menjadi pemerhati saja dan menanti untuk menepuk tangan di malam pengumuman! Hanya di hari akhir selepas cula menampakkan bulan purnama semakin terang barulah ada pemimpin Pas peringkat nasional turun mencemar duli dan menampilkan diri bergambar di lokasi-lokasi popular di Kuala Terengganu untuk diposting oleh blog-blog peribadi.

Dalam hal ini Pas Terengganu kena berterima kasih kepada sokongan padu dari rakan sejiran mereka Kelantan khususnya. Khabarnya Pas Kelantan telah menggerakkan seluruh tenaga mereka bagi menjamin kemenangan di Terengganu apabila mereka menyedari permimpin mereka di peringkat nasional dikatakan hanya melakukan touch and go sahaja di Kuala Terengganu.

Manakala bagi Umno atau BN pula kekalahan itu sesuatu yang amat memalukan mereka kerana kerusi Kuala Terengganu adalah kerusi miliknya. Majoriti kemenangan Razali Ismail dulu bukan sedikit iaitu, 1,933 undi. Kegagalan itu memberi petunjuk kepada Najib yang dilihat pilihan raya itu ujian percubaan kepadanya yang akan mengambil alih kepimpinan Umno sebulan setengah lagi.

Ramai orang menjadikan pilihan raya kecil itu untuk menguji populariti dan keupayaan Najib yang akan mengambil alih kepimpinan Umno daripada Abdullah Ahmad Badawi Mac depan. Pilihan raya itu sebagai ujian minda umum apakah mereka bingkas melihat Najib atau tidak.

Apabila BN kalah ternyata pengundi di Kuala Terengganu tidak bingkas dan menunjukkan gahirah menanti Najib naik takhta. Ini berlaku terutama dari kalangan pengundi muda seakan tidak mempeduli atau tertarik dengan peralihan kuasa dalam Umno ketika ini.

Strategi Najib mengungkitkan sejarah dan nostalgia bapaknya di Kuala Terengganu ternyata tidak mengusik ilusi rakyat Terengganu. Mungkin mereka sudah sedar zaman ini bukan zaman berilusi dan bernostalgia tetapi zaman melihat kepada realiti, kemampuan dan wibawa seseorang yang bakal menjadi pemimpin.

Kenangan terhadap jasa-jasa Tun Razak Hussein atau membuka semula jejak Tun Razak yang pernah terlekat di Terengganu kira-kira 50 tahun lalu mungkin terkambus dan tertimbus dengan pelbagai penyakit dan dimoraliskan oleh pelbagai skandal dan penyelewengan yang dikaitkan terhadap Najib. Nostalgia itu juga mungkin dinodai sama oleh isterinya, Rosmah Mansor yang dikatakan menjaja kepala tidak bertudungnya di Kuala Terengganu!

Kekalahan itu tidak boleh diletakan pada masalah peribadi calon Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang dijajakan sebagai sombong, eletis dan tidak mesra alam.

Betapa buruk calon tetapi kalau parti dapat memberi keyakinan dan pemimpin tertingginya dapat membuktikan keperibadian tinggi pengundi tetap akan memilih parti. Sebab penekanan ahli sesebuah parti ialah kepada perjuangan bukan peribadi calon. Mungkin isu peribadi tidak sampai lima peratus yang menyumbangkan kekalahan BN itu.

Sementara satu pihak lagi yang turut dinilai dengan keputusan pilihan raya itu ialah Pakatan Rakyat, yang dibentuk oleh gabungan Pas bersama PKR dan DAP.

Secara tidak langsung kemenangan calon Pas itu memberi cerminan Pakatan Rakyat lebih menyakinkan orang ramai berbanding dengan kerajaan BN. Masa ini rakyat sedang menilai kebaikan dan keburukan serta tawaran-tawaran yang dibuat oleh kerajaan BN dan Pakatan Rakyat.

Apabila pilihan raya itu memberi kemenangan kepada pihak Pakatan Rakyat ini menjelaskan tawaran, pendekatan dan politik baru yang dikemukakan Anwar Ibrahim menerusi pakatan itu menarik perhatian umum.

Atau setidak-tidaknya pengundi Pas terus setia menanti untuk melihat tawaran dibuat pakatan berkenaan tanpa menganjakkan sokongan mereka.

Sehubungan itu adalah elok bagi Pakatan Rakyat menjadikan kemenangan itu sebagai pengobaran semula semangat pakatan berkenaan untuk menghadapi pilihan umum ke 13 akan datang. Mungkin kejayaan di Kuala Terengganu itu boleh dijadikan ‘perbai'ah’ baru kalangan Pakatan Rakyat untuk meneruskan semangat asal menumbangkan BN.

Kepada Pas pula kemenangan di Kuala Terengganu itu elok kalau dijadikan sempadan untuk membuka kitab baru dan menutup kitab lama dalam membuat penilaian ke atas Pakatan Rakyat yang dipimpin Anwar Ibrahim.

Kitab baru itu hendaklah mengemukakan pandangan dan keyakinan baru ke atas Pakatan Rakyat. Kitab lama yang mengandungi harapan kepada Umno untuk membela agama dan bangsa mungkin tidak perlu dibaca lain kerana Umno sendiri tidak menunjukkan keikhlasan mereka.

Seperkara lagi kena diingat sudah pasti peristiwa 17 Januari itu Umno akan menjadikan satu iktibar dan pengajaran penting buatnya. Tidak mustahil mereka akan bangkit semula kalau kesilapan dan kelemahan di Kuala Terengganu itu dapat diperbetulkan dalam masa setahun dua ini.

* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang

Sumber: KLpos



Kuala Terengganu pengaruhi kemenangan Pro Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 20 Januari (SK)- Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu menjadi faktor KEMENANGAN kumpulan pro-Mahasiswa dan calon bebas dalam pilihanraya kampus, Universiti Malaya.

Menurut Presiden Pro Mahasiswa, Norazali Zainuddin kesedaran mahasiswa yang prihatin tentang politik luar telah membuatkan pro-Mahasiswa berjaya memenangi pilihanraya berkenaan.

“Perubahan politik luar bermula dengan pilihanraya umum ke 12 seterusnya pindaan Auku dan slogan perubahan yang dilaungkan Presiden Amerika, Barak Obama serta polihanraya kecil Kuala Terengganu membawa peribahan kepada mahasiswa,” katanya kepada Suara Keadilan Online dalam sidang media tengah hari tadi.

Menurutnya lagi, selain isu itu, kegagalan aspirasi ketika memimpin turut menjadi isu. Menurut kumpulan Pro Mahasiswa, Aspirasi gagal memegang amanah rakyat dengan kurang mengadakan aktiviti atau program ilmiah.

“5 tahun Aspirasi memegang tampuk Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), mahasiswa hanya dihidangkan dengan hiburan yang melalaikan pemikiran mereka,” katanya lagi.
Jesteru, menurut mereka, mahasiswa merasa tercabar dengan keadaan ini dan bangkit menentang segala korupsi dan penyelewengan yang berlaku selama ini.

“Kekalahan demi kekalah yang kami hadapi setiap tahun selama 5 tahun ini mematangkan lagi aktivis mahasiswa dalam mendepani pilihanraya kampus,” katanya lagi.

Dalam pilihanraya kampus UM, Pro Mahasiswa menang lapan daripada sembilan kerusi umum dan 13 daripada 32 kerusi fakulti. Calon bebas memenangi dua kerusi fakulti.
Lapan calon pro-Mahasiswa yang menang kerusi umum ialah:

Mohamad Hafiz Ilyas.

Ahmad Syazwan Mohd Hassan.

Mohamad Ridzuan Mohammad.

Nurul Fitrah Mohd Ariffin Marican.

Chong Yah Huei.

Shah Rizul Ayuni Zulkiply.

Low Yu Jie.

Yap Zhehn Jun.

Manakala satu lagi kerusi umum dimenangi oleh calon pro-Aspirasi.

Menurut keputusan diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM), Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris pada jam 3.30 pagi di Dewan Tunku Canselor (DTC) di UM, Mohamad Hafiz mendapat 5,999 undi, Ahmad Syazwan (5,886), Mohamad RIdzuan (5,474), Nurul Fitrah (5,425), Chong (5,041), Shah Rizul Ayuni (5,000), Low 4,847 dan Yap mendapat 4,683 undi.

Bagi kerusi fakulti pula, calon pro-Mahasiswa menang dua kerusi di Fakulti Undang-undang, Fakulti Pengajian Melayu (2), Akademi Pengajian Islam (2) dan masing-masing satu kerusi di Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Perakaunan dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan, Fakulti Sains, Fakulti Bahasa dan Linguistik dan Pusat Kebudayaan.

Sumber: Suara Keadilan



Gambar Sekitar Demonstrasi 16 Januari 2009


Maaf. Backdated post.

Berikut merupakan foto sekitar demonstrasi aman yang dilakukan di hadapan Masjid Al-Azim pada 16 Januari lepas. Foto sumbangan seseorang yang hanya mahu dikenali sebagai "MAT INDERA" baru saya terima pagi ini.






Selain itu, anda juga boleh saksikan foto koleksi salah seorang dari ahli AIC di halaman flickr http://www.flickr.com/photos/jomsumpit/ (sila klik).

Monday, January 19, 2009

Ringkasan: Keputusan Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu P36

9.29 malam Pengumuman rasmi dibuat oleh pegawai pengurus pilihanraya, Wan Mustapha Wan Hassan.

9.25 malam Calon PAS memenangi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan dengan majoriti 2,631 undi. Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut mendapat 32,883 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

9.12 malam Pegawai pengurus pilihanraya akan mengumumkan keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada bila-bila sekarang. Tiada pemimpin Umno kelihatan di Stadium negeri. Dan hanya calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut berada di situ.

9.10 malam Tidak rasmi - PAS mendapat 32,393 undi manakala BN mendapat 29,969 undi. PAS mendahului dengan 2,424 undi. Calon bebas mendapat 191 undi. Dua lagi kotak undi akan dikira. Pegawai pengurus pilihanraya telah memanggil semua calon naik ke pentas.

9.08 malam Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin tinggi yang lain dalam perjalanan ke Stadium Negeri untuk pengumuman keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Sehingga ini, calon PAS masih mendahului pengiraan undi.

8.55 malam Calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut, mendahului dengan 543 undi selepas penjumlahan undi membabitkan 100 saluran sehingga jam 8.45 malam tadi.

Mohd Abdul memperoleh 22,004 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, mendapat 21,461 undi. Calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam, pula hanya mendapat 136 undi.

Masih berbaki 44 saluran untuk penjumlahan.

8.30 malam Keputusan tidak rasmi - PAS memenangi pengiraan undi bagi Dewan Undangan Negeri Bandar dengan majoriti 190 undi.

8.20 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 23,640 undi, BN mendapat 21,614 undi. PAS mendahului dengan 2,026 undi. Calon bebas mendapat 136 undi.

8.10 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 22,030 undi, BN mendapat 20,476 undi. PAS mendahului dengan 1,554 undi. Calon bebas mendapat 134 undi. Sehingga ini 43,000 undi telah dikira.

Di pusat perjumlahan SPR pula, selepas 50 kotak undi dikira, BN mendapat 11,120 undi, PAS 10,802 undi dan bebas 69 undi. Sejumlah 64 kotak lagi dalam perjalanan.

7.55 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 19,487 undi, BN mendapat 18,480 undi. PAS mendahului dengan 1,007 undi. PAS mendahuli di semua DUN. Ini bermakna lebih 50 peratus undi telah dikira, berdasarkan 79.3 peratus pengundian hari ini atau 63,967 yang keluar mengundi.

7.35 malam Keputusan tidak rasmi - PAS mendapat 14,802 undi manakala BN mendapat 14,644 undi. PAS menang di semua dewan undangan negeri, kecuali Ladang. PAS mendapat majoriti terbesar di Wakaf Mempelam dan Batu Burok.

7.12 malam Keputusan tidak rasmi - BN mendapat 1,039 undi manakala PAS mendapat 86 undi. Calon bebas mendapat 1 undi.

7.00 malam Pada umumnya, PAS mendahulu di Wakaf Mempelam dan Batu Buruk dengan marginyang besar. Di bandar dan Ladang pula, PAS mendahului dengan margin yang kecil.

6.55 ptg Keputusan tidak rasmi - berdasarkan pengiraan setakat ini, Barisan Nasional (BN) mendapat 13,095 undi manakala PAS mendapat 13,042. Calon bebas mendapat 72 undi.

6.50 ptg Keputusan tidak rasmi - berdasarkan pengiraan setakat ini, Barisan Nasional (BN) mendapat 11,112 undi manakala PAS mendapat 11,000. Ini bermakna BN mendahului dengan 112 undi. Calon bebas mendapat 65 undi.

6.30 ptg Keputusan tidak rasmi - daripada 14,379 undi yang telah dikira sehingga ini, Barisan Nasional (BN) mendahului dengan 259 undi. 80 peratus lagi undi dalam proses pengiraan.

5.00 ptg Proses pengundian bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang bermula jam 8 pagi ini, ditutupkan tepat jam 5 petang ini.

Kesemua kertas undi akan dikira di 143 saluran sebelum dibawa ke pusat penjumlahan undi di Stadium Negeri di sini.

4.30 ptg Sebanyak 76 peratus pemilih telah keluar mengundi sehingga jam 4 petang tadi.

Sumber: Malaysian Bite

P'raya kecil KT cermin 'mood' politik negara

Cita-cita pembangkang untuk mengambil alih kuasa mendapat anjakan yang memberangsangkan ekoran kemenangan calonnya dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam, yang mengikut para pemerhati, turut menjejaskan kedudukan Barisan Nasional (BN).

Kemenangan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dari PAS - salah sebuah anggota Pakatan Rakyat - dalam pilihanraya kecil tersebut, dilihat sebagai mencerminkan 'mood' politik negara sekarang.

Kemenangan itu juga - walaupun tidak menjejaskan kedudukan kerajaan BN - tetapi ia menunjukkan kerajaan gagal menarik semula sokongan rakyat selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac 2008, sekaligus telah mencetuskan desakan supaya dilakukan perubahan dalam BN.

"Kemenangan itu menjadi bukti bahawa rakyat sememangnya dahagakan perubahan," kata Ketua Pembangkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pakatan Rakyat pimpinannya memenangi lima negeri dan lebih satu pertiga kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Kemenangan calon PAS dengan majoriti selesa 2,631 undi semalam adalah ekoran peralihan sokongan pengundi Melayu kepada pembangkang.

Mohd Abdul Wahid mendapat 32,883 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Desak perubahan

Kekalahan BN di Kuala Terengganu semalam telah mencetuskan desakan dari bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah supaya dilakukan perubahan segera dalam gabungan BN.

Ahli Parlimen Gua Musang dan bekas naib presiden Umno itu menyifatkan BN "dimalukan" sekali lagi ekoran kekalahan semalam.

Katanya, walaupun BN kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu - yang juga terburuk dalam sejarah kerajaan - tetapi tidak nampak langsung sebarang perubahan asas dibuat untuk memperbaiki keadaan atau ia menunjukan BN tidak mengambil iktibar daripadanya.

Malah, beliau melihat BN sekarang seolah-olah terambing ambing seperti sebuah bahtera tanpa nakhoda.

Siva Murugan Pandian, seorang penganalisa politik dari Universiti Sains Malaysia pula berkata, kemenangan pembangkang semalam telah memberi satu anjakan besar kepada Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Jika Datuk Seri Anwar dapat memastikan tidak berlaku keretakan dalam Pakatan Rakyat, maka pembangkang boleh mangambil alih kuasa dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Sokongan pengundi Melayu

"Tetapi ia hanya boleh berlaku jika peralihan sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat berterusan," katanya.

Siva berkata, keputusan semalam juga merupakan satu petanda tidak baik terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang akan mengambil alih jawatan perdana menteri dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selepas pemilihan Umno Mac depan.

Abdullah tidak bertanding dalam pemilihan Umno ekoran desakan kuat dari akar umbi dan kalangan pemimpin tinggi Umno ekoran kekalahan teruk BN, khususnya Umno, dalam pilihanraya umum lalu.

Selepas kesemua 193 bahagian Umno selesai bermesyuarat November lalu, Najib menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden Umno.

Tengku Razaleigh yang mahu mencabarnya, gagal mendapat kuota pencalonan yang mencukupi - sebanyak 58 pencalonan. Beliau hanya mendapat pencalonan dari bahagiannya - Umno Gua Musang.

Manakala Bridget Welsh, pakar politik Asia Tenggara di Universiti Johns Hopkin pula berkata kekalahan BN di Kuala Terengganu akan mencetuskan persoalan mengenai peningkatan kedudukan Najib sebagai perdana menteri.

Reaksi Najib

Ini kerana Najib sendiri mengetuai jentera kempen BN di Kuala Terengganu dan kekalahan BN itu merupakan satu lagi kegagalan kerajaan dalam pilihanraya kecil selepas Permatang Pauh, yang menyaksikan Anwar kembali ke Parlimen.

Ketika mengulas kekalahan calon BN semalam, Najib berkata beliau tidak fikir ia akan memberi kesan kepada BN dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

Najib berkata, beliau juga berkata tidak fikir bahawa pengundi tidak yakin kepadanya untuk mengambil alih kuasa dari perdana menteri sekarang.

Manakala Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre for Opinion Research, pula menyifatkan keputusan pilihanraya kecil semalam menunjukkan kerajaan BN kini berdepan dengan “jurang kredibiliti” dengan pengundi Melayu yang tidak ditangani oleh para pemimpinnya ekoran percakaran sesama sendiri yang berterusan dalam BN.

Pengundi muda dan pengundi di kawasan bandar khususnya tidak senang dengan masalah rasuah dan kroni yang berterusan, serta kegagalan Abdullah menunaikan janjinya untuk membawa perubahan, termasuk membersihkan pasukan polis dan badan kehakiman.

Ibrahim juga bersetuju bahawa gabungan pembangkang kini mendapat momentum yang amat diperlukan dan membuktikan parti komponennya dapat bekerjsama secara berkesan walaupun wujudkan dakwaan bahawa berlaku keretakan dalam hubungan sesama mereka.

Sumber: Malaysiakini



KT: Undi tidak percaya terhadap Pak Lah, kata Dr M

Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah Malaysia selama 50 tahun, akan kehilangan kuasa dalam pilihanraya umum akan datang jika ia terus memberi tempat kepada pemimpin yang korup, kata mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menyifatkan kekalahan BN dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu semalam sebagai undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau mengingat bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib tun Razak - yang akan mengambil alih kuasa Mac depan - tidak boleh mengulangi kesilapan Abdullah, yang dihukum oleh pengundi dalam pilihanraya umum lalu, kerana gagal menunaikan janjinya untuk membasmi rasuah.

"Saya fikir Najib tidak harus dipersalahkan terhadap (kekalahan BN di Kuala Terengganu) tetapi jika beliau terus memilih atau menyokong pemimpin yang korup, maka saya fikir beliau akan kalah dalam pilihanraya umum akan datang," kata Mahathir.

Tanpa menyebut nama, Dr Mahathir berkata, pemimpin yang sudah tercemar dan yang terbabit dalam rasuah, masih dipilih sebagai calon.

Beliau berkata, jika BN mahu menang, orang-orang berkenaan mesti disingkirkan.

Gagal pulihkan sokongan

Dr Mahathir menyerah kuasa kepada Abdullah pada 2003, selepas menjadi perdana menteri selama lebih dua dekad.

Bagaimanapun, kedua-duanya kemudiannya tidak sehaluan dan Dr Mahathir terus menerus mengkritik pentadiran penggantinya itu.

Selepas pilihanraya umum Mac 2008 di mana BN kalah teruk - hilang lima negeri dan gagal mengekalkan penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat - Abdullah berdepan dengan desakan supaya bersara.

Dan kejayaan pembangkang merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil semalam, dilihat sebagai petanda bahawa BN gagal memulihkan sokongan pengundi kepadanya.

Pilihanraya umum dijadual diadakan pada 2013, tetapi pembangkang berkata kerajaan mungkin mengadakan pilihanraya mengejut tahun ini kerana bimbangkan popularitinya akan terus merosot.

Tsunami politik berterusan....

Sementara itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang pula berkata keputusan pilihanraya kecil semalam menunjukkan bahawa tsunami politik yang berlaku pada pilihanraya umum Mac tahun lalu, masih berterusan.

"Ia mengesahkan bahawa peralihan pradigma dalam politik Malaysia kira-kira 10 bulan yang lalu bukan secara kebetulan, tetapi mencerminkan inspirasi politik sebenar rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu menjadi satu amaran kepada Umno dan kepimpinannya mengenai akibat lebih teruk yang akan mereka terima jika masih berdegil tidak mahu mendengar desakan rakyat yang mahukan perubahan.

Menurutnya, keputusan itu juga harus dikaji secara terperinci, khususnya, mengenai impak isu hudud, terhadap pilihanraya kecil tersebut. Berita asal


Sumber: Malaysiakini

BN kini tinggal 137 kerusi Parlimen

Barisan Nasional (BN) kehilangan satu lagi kerusi Parlimen apabila calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh gagal mempertahankan kerusi Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil yang diadakan hari ini.

Sebelum ini, BN kehilangan dua kerusi Parlimen apabila Parti Maju Sabah (SAPP) mengambil tindakan keluar dari gabungan tersebut.

Dengan itu, BN kini mempunyai 137 kerusi di Parlimen. Ekoran kemenangan hari ini, PAS pula kini mempunyai 23 kerusi Parlimen.

Dalam pilihanraya kecil hari ini, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2,631 undi.

Beliau mendapat 32,883 undi manakala Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Seramai 79.3 peratus pemilih keluar mengundi hari ini.

Pengundian di 144 saluran di 36 pusat pengundian bermula pada jam 8 pagi dan ditutup tepat jam 5 petang.

Pengumuman rasmi keputusan pilihanraya tersebut diumumkan oleh pegawai pengurus pilihanraya, Wan Mustapha Wan Hassan pada jam 9.29 malam.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail di Institut Aminudin Baki, Genting Highlands pada 28 November lalu.

Dalam pilihanraya umum lalu, Allahyarham Razali menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Dengan itu, pembangkang pula kini mempunyai 82 kerusi Parlimen dan tiga calon bebas - Datuk Ibrahim Ali dan dua ahli Parlimen SAPP.

Selepas pilihanraya umum lalu, BN memenangi 140 kerusi Parlimen, PKR (31 termasuk kerusi PSM), DAP (28) dan PAS (22).

Sumber: mSTAR