Ezam ternyata membawa padah kepada Umno. Padah kerana penyertaan beliau dalam kempen BN, langsung tidak membantu. Tiada apa-apa kesan dan hanya merugikan masa dan wang Umno sahaja.
Ezam memang tiada modal. Kerjanya hanya membelasah bekas bosnya mantan TPM, Dato' Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tujuan Umno menggunakan khidmat Ezam dalam pilihan raya kecil, semata-mata untuk menyerang peribadi Anwar. Tiada sebab lain.
Malah, kali ini beliau melebarkan serangannya kepada Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa. Tujuannya untuk melagakan Anwar dengan PAS, melagakan KeADILan dan PAS.
Maka berceramahlah beliau sehingga 'hendak keluar anak tekak'.
Ezam bak 'ayam jantan yang mengepak-ngepak' apabila apabila media cetak dan elektronik yang menjadi barua BN, memaparkan 'kehebatannya' beserta balacinya mengecam dan memaki hamun Anwar.
Namun rakan-rakan dalam KeADILan tidak terkejut.Mereka hanya ketawa apabila mendengar ceramah Ezam. Bagi mereka Ezam hanya pecacai dan soldadu upahan yang mahu mengaut seberapa banyak 'ghanimah' daripada Umno.
"Dalam KeADILan dulu, dia maki hamun Umno, BN, Abdullah, Najib lagi teruk. Berbakul-bakul dia maki, siap bersumpah 'haram' masuk Umno lagi. Sekarang apa dia cakap?" Soal seorang MP KeADILan yang bukan berbangsa Melayu.
"Kita pergi juga dengar ceramah dia (Ezam), malam kelmarin," kata seorang AJK AMK Terengganu yang ditemui.
"Tapi ceramah dia tidak lebih dari kelentong penjual ubat tenaga batin di jalanan," katanya lagi.
Memang pun. Ceramah Ezam bukannya ada sambutan. Tidak memberi kesan langsung. Malah seorang Ketua Putera Umno sebuah negeri berkata kepada seorang pemberita akhbar harian, "Kami meluat tengok Ezam, apa kena mengena Anwar dengan Kuala Terengganu? Permatang Pauh pun tak jalan (serangan peribadi).
"Lagi banyak dia maki Anwar, pengundi Umno pun lari dari kita (BN)," rungutnya.
Betul juga kata beliau. Di Permatang Pauh, khidmat soldadu upahan ini turut digunakan seluas-luasnya. Malah 'media tiga suku' hampir hari-hari memaparkan laporan ceramah, yang akhirnya menghasilkan hampas sahaja.
Di Kuala Terengganu sekali lagi khidmat beliau digunakan. Orang-orang Umno tahu bahawa Ezam masuk Umno melalui Khairy. Dan bagi mereka Khairy yang membawa Ezam untuk berkempen membantu rakan Khairy, Dato' Wan Farid Wan Salleh.
Tetapi ada kalangan suku sakat Ezam mendakwa, tindakan Ezam membelasah Anwar dibuat kerana mendapat 'blessing' daripada TPM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.
Jika dakwaan mereka betul, ianya hanya bertujuan untuk menajamkan permusuhan peribadi Najib-Anwar. Jika dakwaan itu tidak betul, Ezam hanya dipergunakan oleh kumpulan Abdullah, untuk melaga-lagakan Najib dengan Anwar.
Kerjanya tidak lain, selain untuk mencerca, menghentam dan melaga-lagakan orang. Apa nilainya seorang yang 'cari makan' dengan hidup dengan cara sebegini?
Saya tidak juga bertujuan untuk menyemakkan ruang yang terhad ini untuk membincangkan soal Ezam semata-mata. Tetapi sekadar memberitahu rakan-rakan dalam Umno bahawa, mengupah Ezam hanya sekadar 'mengabehkan boreh' (menghabiskan beras) dalam guni Umno sahaja.
Ezam sudah tidak relevan. Beliau seumpama 'anjing yang menggigit tuannya'.
Ezam bukan sahaja menikam Anwar dan rakan-rakan dalam KeADILan, malah beliau memperdaya pemimpin PAS mempercayainya. Beberapa tahun selepas melepaskan jawatan Ketua Angkatan Muda, Ezam terus berceramah di pentas PAS dan sering berjumpa dengan pemimpin PAS, termasuk di peringkat AJK Harian.
Pemimpin PAS diperdaya kononnya PAS adalah parti yang akan disertainya selepas KeADILan, bukan Umno. Beliau menjaja keburukan Anwar dan KeADILan kepada pemimpin PAS.
Malah ketika pemimpin PAS, bertanya mengapa beliau masuk Umno, selepas menyumpah seranah parti itu, ada juak-juaknya membayangkan, bahawa kemasukan Ezam dalam Umno, adalah untuk memperbetulkan parti itu dari dalam.
Katanya, Ezam hanya menjadi agen Anwar dalam Umno, untuk menyusun orang-orang Anwar dalam Umno, guna bersatu dengan Pakatan Rakyat dikemudian hari. Entah betul entah tidak. Apapun, sekadar pesanan kepada semua, berhentilah daripada mempercayai Ezam._
Sumber: HarakahDaily
No comments:
Post a Comment