Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, June 4, 2009

AMK Selangor Gesa Segera Pantau Semula Projek Pembinaan & Struktur Bangunan. - TVA

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa semua pihak dan seluruh agensi kerajaan atau swasta agar memantau dan memeriksa kembali segala projek pembangunan dan struktur bangunan yang dalam proses pembinaan mahupun yang sudah siap.

Ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Zainuddin berkata dalam satu kenyataan semalam langkah ini perlu berikutan kejadian struktur bangunan Jaya Supermarket dan bumbung Stadium Sultan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu yang runtuh mengundang situasi cemas dan panik kepada seluruh rakyat.

Beliau juga mendesak semua pihak agar segera meneliti kembali segala prosedur pembinaan dan spesifikasi yang telah ditetapkan dalam sebarang pembinaan bangunan, rumah, jejantas, jambatan dan segala struktur projek pembangunan.

Menurutnya lagi Malaysia yang berada di luar lingkaran api pasifik yang tidak menyaksikan sebarang gegaran gempa yang luar biasa sewajarnya tidak mengalpakan semua pihak dalam merangka dan melaksanakan sebarang pembangunan agar ianya kukuh dan stabil untuh tempoh masa yang panjang.

Justeru, AMK Selangor menggesa semua pihak mengambil pendekataan proaktif dan pantas untuk memastikan rentetan struktur bangunan runtuh di negara ini tidak berpanjangan.

Antara cadangan-cadangan yang dikemukakan beliau adalah :

Pertama : Prosedur pembinaan bangunan perlu diteliti semula. AMK Selangor merasakan seluruh agensi yang bertanggungjawab perlu meneliti semula prosedur sedia ada dan memastikan segala prosedur tersebut dipatuhi dengan ketat dan dipatuhi oleh semua pihak yang melaksanakan sesuatu projek tersebut.

Kedua : Segala projek yang telah dijalankan perlu dipantau oleh sebuah agensi bebas yang mempunyai kredibiliti dan kepakaran agar segala kecacatan dan ketidakpatuhan terhadap sebarang aspek pembinaan yang tidak menepati spesifikasi dapat dikesan dan diperbaiki dengan lebih awal dan pantas.

Ketiga : Pemberian projek perlu memenuhi standart dan kelulusan yang ketat disamping segala unsur rasuah dan penyelewangan dapat dibanteras.

Pihak SPRM perlu proaktif dan bertindak pantas dalam sebarang laporan rasuah yang dibuat dan juga menyiasat daripada semua aspek jika berlaku lagi sebarang kejadian yang tidak diingini ini berlaku.

Keempat : Latihan dan pendidikan semula kepada semua kontraktor-kontraktor dan pekerja di sektor pembinaan sedia ada agar segala aspek pembangunan yang sedang dan akan dijalankan kelak menggunakan teknologi terkini serta mamahami amanah yang dipikul dalam melaksanakan
sebarang projek. Malahan dalam aspek pengurusan budget pembangunan projek perlu dipantau agar tidak mengalami ketirisan perbelanjaan akibat unsur rasuah, penyelewangan dan mengambil kadar untung pada kadar yang tidak munasabah.

Kelima : Kerajaan perlu mengarahkan agensi perlaksananya dengan segera mengeluarkan arahan untuk memeriksa semua struktur bangunan, premis , jambatan, jejambat , lebuhraya, lapangan terbang dan lain-lain diperiksa dengan segera kembali. Kita tidak mahu kejadian bangunan runtuh
akibat kelemahan manusia ini berlaku kembali. Malahan ianya menjejaskan imej negara apabila projek Ringgit Malaysia ratusan juta berhadapan dengan masalah serius. Kini rakyat semakin bimbang dengan tahap keselamatan mereka akibat rentetan kejadian struktur bangunan runtuh
tersebut.

"Kejadian ini juga perlu mencelikkan semua pihak agar tidak duduk diam dalam menangani isu ini. Undang-undang dan peraturan sedia ada tidak akan berguna jika sekadar menjadi hiasan dan tiada sebarang tindakan tegas untuk melaksanakan dan penguatkuasaan.

AMK Selangor juga menggesa aspek penyelenggaraan bangunan dan kemudahan awam dijalankan dengan lebih komited , sistematik dan bersepadu.

"Tiada gunanya jika projek berbillion-billion dilaksanakan tetapi dalam aspek penyelenggaraan tidak diambil kira untuk survival dalam waktu yang panjang," kata Khairul Anuar.

Beliau juga berharap agar kejadian yang berlaku ini menjadi yang terakhir akibat faktor kecuaian manusia.

Semua pihak khususnya kerajaan perlu proaktif dalam isu ini. Kegagalan bertindak pantas pasti mengundang kecelakaan yang sukar dijangka di masa hadapan.

Kini adalah masa untuk bertindak menyelesaikan masalah dan bukan hanya menjalankan siasatan dan akhirnya ditutup tanpa sebarang penambahbaikan dan penguatkuasaan katanya lagi.

TVA

Tiada niat bersama Umno, BN - Malaysiakini

Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa memperjelaskan bahawa kepemimpinan tertinggi parti itu tidak pernah mempunyai sebarang niat atau perancangan untuk bersama dengan Umno atau BN.

Sebaliknya, kata beliau, ia hanyalah spekulasi semata-mata.

"Saya percaya adik-adik saya dalam Dewan Pemuda PAS bersama-sama saya dalam agenda ini," katanya ketika berucap merasmikan muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) di markas PAS di Taman Melewar Gombak malam ini.

"Akan kita pertahankan parti ini dari sebarang unsur yang cuba merobek dan menggangu keutuhan jemaah kita," katanya sambil menambah bahawa Islam yang diperjuang parti itu berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

"Al-Quran dan al-Sunnah yang megajar kita untuk mengenal siapa musuh dan siapa kawan, ketika mana hendak berperang dan ketika mana pula hendak untuk berdamai," katanya.

Sehubungan itu, katanya, prinsip dan dasar Islam yang perjuangkan oleh PAS tidak sesekali akan berganjak.

"Namun kaedah dan uslub (pendekatan) boleh berubah," tambah Nasharuddin yang dikaitkan dengan kumpulan pro-muqabalah yang cenderung berkerjasama dengan Umno.

Beliau akan mempertahankan jawatan timbalan presiden PAS dalam muktamar parti itu Jumaat ini - berdepan dengan dua pencabarnya - Datuk Husam Muda dan Mohamad Sabu - kedua-dua naib presiden PAS.

Perkukuh saf Pakatan Rakyat

"Kita akan perkukuhkan saf kita sendiri dan juga saf Pakatan Rakyat yang telah kita isytiharkan sebagai wadah politik kita untuk berdepan dengan Umno dan BN," katanya.

Bagaimanapun, Nasharuddin menasihat Pemuda PAS supaya jangan lupa bahawa "kita sebagai da'i (pendakwah) bertanggungjawab kepada mad'u (orang didakwah)".

"Semua di luar sana adalah mad'u kita. Kita akan terus ajak mereka untuk bersama dengan kita, berbincang, berdialog tanpa mengira siapa mereka dan ideologi politik atau kefahaman apapun yang mereka miliki," tegasanya.

Menurutnya, PAS juga mesti menjadi sebuah parti yang perlu dijenamakan semula.

"Bukan sekadar sebagai parti pembangkang tetapi PAS kini adalah sebuah parti Islam yang bersedia untuk mengambil alih kepimpinan negara dalam masa terdepan dan membawa kepimpinan alternatif kepada seluruh rakyat Malaysia, dengan izin Allah.

"Minda dan tindakan kita perlu dididik dan bersedia menjadi pentadbir sebenar sebuah kerajaan," tambahnya.

Nasharuddin juga meminta ahli parti itu agar sentiasa berada dalam kancah masalah rakyat dan menangani masalah mereka.

Pertahankan syura

"Bukan hanya menuding jari kepada kerajaan, sebaliknya agresif dalam menyelesaikan kekusutan yang tersimpul dek kerana kesesatan dalam memimpin rakyat," tambahnya.

Nasharuddin juga menasihatkan Dewan Pemuda PAS supaya menampil dan memasarkan politik dan produk dakwah serta mempotretkan kepimpinan bermodelkan Islam dengan sebaik-sebaiknya.

Di samping itu, tegasnya, Pemuda juga hendaklah terus mempertahankan syura (bermesyuwarah)

"Kita perlu memperbetulkan amalan yang biasa dilakukan dan membiasa amalan yang betul.

"Kita mesti berani membuat reinvention dan rebranding yang menepati sasaran dakwah kita.

"Jangan kita berlaga sesama sendiri. Jangan kita berdusta sehingga membungkar rahsia tanzim (organisasi) kita.

"Jagalah adap-adap berjemaah dan jangan sekali-kali membiarkan diri kita dipergunakan musuh sama ada kita sedar atau sebaliknya," tegasnya.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Nasharuddin ditanya sama ada intipati ucapannya bertujuan untuk mempertahankan jawatannya.

Dalam reaksinya, timbalan presiden PAS itu berkata beliau bercakap untuk memperjelaskan dasar parti dan tiada niat sedemikian.

Beliau juga enggan mengulas ketika ditanya mengenai cabaran Husam dan Mohamad Sabu bagi jawatan timbalan presiden Jumaat ini.

Malaysiakini

Wednesday, June 3, 2009

Mansor angkat sumpah sebagai TKM 1, P. Pinang - mStar

PULAU PINANG: Anggota Dewan Undangan Negeri Penanti Mansor Othman hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di kediaman rasminya di Seri Mutiara di sini hari ini.

Pada istiadat itu, Mansor, 59, menerima surat pelantikan, diikuti dengan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Timbalan Ketua Menteri I.

Mansor yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainal Rahim Seman.

Sementara itu Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan rombakan kecil dalam portfolio anggota exconya selepas pelantikan Mansor.

Lim berkata antara yang berubah adalah yang membabitkan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh beliau sendiri yang sebelum ini dipegang bekas Adun Penanti Mohammad Fairus Khairuddin; Wong Hon Wai, dan Law Heng Kiang.

Katanya beliau kini menjadi pengerusi Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pembangunan Keusahawanan, Penerangan dan Warisan Negeri, manakala jawatankuasa Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat Pulau Pinang kini dipengerusikan oleh Mansor sebagai TKM I.

"Wong Hon Wai pula akan mempengerusikan jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian Negeri," katanya kepada pemberita selepas upacara mengangkat sumpah di sini hari ini.

Beliau berkata Law Heng Kiang kini akan hanya mempengerusikan jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri.

"Kami merasakan portfolio exco ini perlu digilirkan untuk mereka yang kami rasa dapat merealisasikan potensi bekerja untuk rakyat," katanya.

Lim berkata beliau juga akan mengambil alih jawatan sebagai pengerusi InvestPenang, sebuah agensi penggalakkan pelaburan kerajaan negeri, yang sebelum ini dipegang oleh Abdul Malik Abul Kassim. BERNAMA

mStar

Ketua AMK Perlis jumpa Hashim Suboh - Malaysiakini

Bekas ketua penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh mengesahkan mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan Angkatan Muda PKR (AMK) Perlis Isnin lalu.

Katanya, ketua AMK Perlis, Zambri Safar dan ketua penerangan AMK negeri, Asrul Nizam Abd Jalil menemui beliau bersama dua lagi pemimpin Umno tempatan di Kangar.

Dalam pertemuan tersebut, katanya, mereka membincang beberapa perkara di mana beliau telah memberi pandangannya berhubung situasi semasa politik di Perlis.

Ditanya sama ada beliau dan ahli-ahli Umno yang dilaporkan akan menurut jejak langkahnya keluar parti, akan menyertai PKR, Hashim berkata:

"Perkara tersebut bukan digerak oleh saya. Saya hanya menyatakan hasrat saya. Cuma gerakan tertentu untuk membawa masuk PKR, adalah reaksi spontan mereka. Bukan dirancang oleh saya.

"Ini jelas membuktikan apa yang saya nyatakan, dikongsi bersama dengan aktivis-aktivis Umno yang tidak berpuashati dengan parti (Umno). Mereka berkongsi sentimen dengan saya," katanya.

Hashim berkata, selain mereka bertiga, dua lagi bekas pemimpin Pemuda Umno bahagian, turut menghadiri pertemuan tersebut.

Malaysiakini

PAS benarkan semua media membuat liputan Muktamar parti - TVA

SHAH ALAM: Berlainan dengan pendekatan UMNO, PAS tidak akan menyekat mana-mana media untuk membuat liputan sepanjang Muktamar parti itu yang bermula Jumaat ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali berkata, parti itu tidak pernah mengadakan sekatan kepada media termasuk media kerajaan dalam membuat liputan.

"Tahun demi tahun, kita tidak pernah menyekat mana-mana media.

"Bagaimanapun, kita harap liputan yang dilakukan adalah profesional, tidak berat sebelah dan tidak mengambil kesempatan untuk mengutuk mana-mana pihak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada parti itu mengenakan sekatan terhadap mana-mana media pada Muktamar Tahunannya ke-55 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini di Stadium Malawati, di sini.

UMNO awal tahun ini menyekat beberapa organisasi media seperti Malaysiakin, The Malaysian Insider, Siasah, Merdeka Review, and The Nut Graph, untuk membuat liputan pada Perhimpunan Agung parti itu.

Pengharaman itu atas alasan kononnya organisasi berkenaan, yang merupakan portal berita Internet tidak memberikan laporan adil.

Organisasi terbabit menafikan dakwaan UMNO itu dan telah menyifatkan larangan berkenaan sebagai memperlekehkan jaminan Najib bahawa pentadbiran beliau mendokong kebebasan media.

Selain Muktamar Pusat, Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat juga akan mengadakan Muktamarnya pada Khamis ini.

Muktamar tahun ini juga menyaksikan pemilihan bagi jawatan-jawatan tertinggi dalam parti.


TVA

Selangor Kaji Semula Pemberian Lesen Pusat Siber - TVA

Kerajaan negeri Selangor akan mengkaji semula pemberian lesen pusat siber oleh pihak berkuasa tempatan untuk membendung gejala maksiat seperti permainan judi di pusat-pusat sedemikian.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim turut menolak permintaan untuk melanjutkan tempoh operasi pusat siber dari 12 tengah malam kepada 3 pagi.

"Saya ingat buat masa ini kerajaan negeri belum mengubah apa-apa pendirian tentang memanjangkan masa perniagaan. Ini adalah disebabkan kerajaan juga mendapat cadangan pemerhatian daripada ahli-ahli majlis yang mengatakan masalah social juga kita hadapi dan terdapat juga siber café yang tidak memberi kebaikan kepada anak-anak muda," katanya.

Tan Sri Khalid membangkitkan masalah sosial, termasuk maksiat di pusat siber pada dialog bersama pemilik pusat siber di Bangunan Annex, Shah Alam petang tadi.

Perjumpaan ini turut dihadiri wakil PBT, ahli-ahli majlis PBT dan wakil persatuan penduduk.

Tan Sri Khalid mendedahkan kira-kira 60 peratus daripada pusat siber di Selangor tidak mempunyai lesen dan menyalahguna premis mereka untuk aktiviti maksiat seperti permainan video judi.

Pengunjung utama ke pusat-pusat ini adalah remaja dan pelajar.

Tan sri Khalid memberi tempoh sebulan kepada penguasa tempatan dan pemilik siber café untuk mencari pendekatan bagi menangani masalah sosial yang bercambah daripada premis terbabit.

"Kita akan membuat kajian dan hasil daripada kajian kita akan buat kepuusan sama ada kita boleh menimbangkan permintaan pengusaha dan juga mencari jalan bagaimana masalah social terutama pemilik-pemilik siber yang tidak mempunyai lessen dapat kita kurangkan dan kita hapuskan," tambah beliau.

Tan Sri Khalid berkata, kerajaan juga akan membuat kajian terhadap keperluan siber café mengikut permintaan penduduk di kawasan Bandar dan di luar Bandar.

TVA

Tuesday, June 2, 2009

Bumbung Stadium Gong Badak runtuh - Malaysiakini

Bumbung utama Stadium Bolasepak Gong Badak, Terengganu yang dirasmikan oleh Sultan Terengganu tahun lalu, runtuh kira-kira jam 7.30 pagi ini.

Perkara itu disahkan oleh timbalan pengerusi Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ahmad Tengku Hussein ketika dihubungi hari ini.

Menurut lamanweb Mampat, kejadian itu mengakibatkan sebuah kereta kancul dan empat buah motosikal tertimbus.

Sementara itu, seorang wartawan sambilan - Sazali Mohd Nor - yang dihubungi Malaysia di tempat kejadian berkata, stadium yang berusia kira-kira setahun ini berkapasiti menampung kira-kira 50,000 penonton.

Menurutnya, stadium mempunyai dua bumbung - bumbung tinggi di sebelah kiri dan bumbung rendah di sebelah kanan.

Sazali berkata, yang runtuh adalah kesemua bahagian bumbung tinggi di sebelah kiri.

Sementara itu, sumber yang mengetahui mengenai projek tersebut, berkata beliau tidak terperanjat dengan kejadian tersebut.

Menurutnya, juruperunding-juruperunding yang terbabit dalam projek tersebut telah lama menyuarakan kebimbangan mereka tentang keadaan bumbung utama stadium yang dibuat oleh kontraktor asing.

"Walaupun sudah tahun memintanya dari kontraktor asng tersebut, difahamkan mereka masih belulm menerimanya," katanya.,

Sumber itu berkata, projek pembinaan stadium tersebut dijalankan di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya.

Malaysiakini

Permohonan maaf Norzula bersihkan nama Husam dan kerajaan Kelantan - Peguam - Harakah

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Hrkh) - Permohonan maaf yang dibuat Adun Paloh, Norzula Mat Diah kepada Exco Kerajaan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa berhubung beberapa laporan tidak benar pada tahun 2007 disifatkan telah membersihkan nama Husam dan kerajaan negeri Kelantan.

Menurut satu kenyataan peguam Husam, Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek Norzula telah membuat permohonan maaf secara terbuka hhari ini (Selasa 2 Jun 2009) dalam akhbar Berita Harian di muka C12.

Dalam laporan itu kata Ahmad Shabrimi, suatu notis permohonan maaf telah dikeluarkan Nozula Mat Diah kepada anakguamnya (Husam) dengan menyatakan permohonan maaf tanpa sebarang syarat.

Notis tersebut berbunyi:

"Saya, YB Dato Nozula Mat Diah dengan ini dan dengan sepenuh hati memohon maaf tanpa sebarang syarat kepada YB Dato? Husam Musa kerana telah membuat laporan tidak benar dan tidak berasas terhadap beliau kepada BPR pada 2007. Saya dengan ini menarik balik segala tuduhan tersebut dan seterusnya menyatakan rasa kesal yang mendalam kerana pertuduhan tersebut telah menyebabkan tekanan kepada beliau dan keluarga beliau serta memburukkan keperibadian beliau.?

Menurut Ahmad Shabrimi, pada akhir November 2007, dua orang Adun Barisan Nasional, Dato' Nozula Mat Diah dan Adun Bukit Bunga Muhd Adhan Kechik telah membuat laporan kepada pihak BPR (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membuat tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas terhadap Husam.

Antara laporan tersebut adalah:

Laporan mengenai buku dan salah guna kuasa oleh ahli Exco kerajaan negeri Kelantan, Hussam Musa.

Laporan mengenai penyelewengan Pengarah Urusan Air Kelantan Sdn. Bhd.

Isu kegagalan pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd.

Isu Kedai Majlis Daerah Machang.

Isu Jamnapari membabitkan dana KPK.

Penyelewengan kawasan balak untuk ladang getah serta penyelewengan PAS mengutip dana.

Penyelewengan pembelian lot tanah mukim Gual Periuk, Pasir Mas oleh Syarikat Galeri Tanah.

Laporan ke atas Perbadanan Menteri Besar Kelantan Berhad dan Pengarah Urusan Kompleks Perkayuan Kelantan.

Isu Perbadanan Baru Tanjung cuba menjual rezab Melayu kepada Syarikat Kind Network Sdn. Bhd.

Ujar Shabrimi, pernyataan fitnah tersebut yang diucapkan dan diedarkan pada sidang akhbar tersebut telah mendapat liputan meluas di akhbar-akhbar utama tempatan dan telah disiarkan di televisyen.

Ia juga telah dimuatturun daripada laman sesawang yang pada masa yang relevan mempunyai jutaan pengguna, kesemuanya mempunyai akses percuma dan terbuka kepada fitnah-fitnah yang diadukan, katanya.

"Tindakan kedua Adun ini juga telah meletakkan anakguam kami dalam satu kancah pertikaian umum dan mengheret beliau dalam suatu skandal, fitnah konspirasi, jenayah, kebencian dan buruk sangka umum (odium), kehinaan (contempt) awam dan tekanan serta kemudaratan mental yang amat sangat akibat kegelisahan, kerisauan dan ketakutan akan ditangkap oleh pihak berkuasa, seterusnya beroleh keaiban umum," katanya.

Sehubungan itu, Husam telah mengarahkan pihak peguam yang diwakili Tetuan Saiful Kasri & Associates mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua Adun berkenaan dan New Straits Times (M) Berhad, katanya.

"Akhirnya pihak Adun berkenaan telah bersetuju untuk memohon maaf secara terbuka kepada anakguam kami serta menarik balik segala tuduhan yang dilemparkan," katanya.

Dengan notis permohonan maaf tersebut, maka terbukti bahawa segala tuduhan liar yang dibuat terhadap Husam adalah fitnah semata-mata, tidak benar dan tidak berasas, kata Ahmad Shabrimi.

"Ini juga bermakna kerajaan negeri juga bersih dari segala salahlaku yang didakwa. Pihak kami akan membuat tindakan seterusnya bagi membersihkan nama baik anakguam kami. Kami juga dalam proses rundingan penyelesaian dengan para defendan lain," katanya./wann _

Harakah

Penanti: Muhyiddin tak iktiraf Khairy pemimpin BN? - Harakah

PILIHAN Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, Pulau Pinang telah berakhir. Bagai dijangka pelbagai pihak sedari awal, keputusan pengundian pada Ahad (31 Mei) lalu memihak kepada Parti Keadilan Rakyat (KeADILan).

Calonnya, Dr Mansor Othman, menang besar ke atas tiga pencabarnya. Beliau memperolehi 6,052 undi sekaligus mengatasi pencabar terdekatnya, Nai Khan Ari Nan Keow dengan majoriti 5,558 undi.

Ahli parti Gerakan itu mendahulu tiga calon Bebas dengan pungutan tertinggi 494 undi. Di belakangnya ialah Aminah Abdullah (392 undi) dan Kamarul Ramizu Idris (56). Ketiga-tiga mereka hilang wang pertaruhan.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran perletakan jawatan penyandang kerusi berkenaan dari KeADILan, Mohamad Fairus Khairuddin, 16 April. Pada Pilihan Raya Umum 2008, Fairus menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dato' Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi. Calon KeADILan itu memperolehi 7,346 undi berbanding Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh itu yang mendapat 5,127 undi.

Meskipun berjaya meningkatkan majoriti kemenangan lebih dua kali ganda, undi diraih Mansor menampakkan kemerosotan sebanyak 1,294 berbanding pilihan raya lalu. Ia dikaitkan dengan berbagai kemungkinan. Faktor paling menyerlah ialah kemerosotan jumlah pemilih yang keluar mengundi.

Hanya 7,100 daripada 15,384 pemilih berdaftar keluar melaksanakan tanggungjawab mereka, Ahad lalu. Jumlah itu membentuk hanya 46.15 peratus dan merekodkan peratusan mengundi terendah dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Semua pihak boleh bersetuju bahawa faktor utama kemerosotan sebegitu ketara adalah kesan langsung ketiadaan BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mensasarkan tidak kurang 70 peratus pemilih akan keluar mengundi. Pihaknya juga telah membuat kempen menggalakkan orang ramai keluar mengundi.

?Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian awal, ia (peratus keluar mengundi rendah) berpunca daripada keputusan Barisan Nasional tidak bertanding,? kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Pendirian BN tak tetap

BN mengambil pendirian memboikot pilihan raya kecil tersebut. Alasan diberikan adalah pelbagai, dari dalih ekonomi, kemasyarakatan hinggalah kepada hujah politik. Sementara pelbagai pihak mempertikaikan segala hujah dan dalih BN itu, pendiriannya untuk tidak bertanding tetap dihormati.
Masalah timbul apabila BN bukan sekadar tidak ikut bertanding. Ia menggunakan segala ruang dan peluang dimilikinya untuk memberikan gambaran sangat negatif terhadap pilihan raya kecil di Penanti. Seluruh saluran media dan alat propaganda BN dimanipulasi secukupnya bagi mewajarkan tindakan BN memulaukan pilihan raya berkenaan.

Persepsi umum cuba dibentuk bahawa ia suatu pembaziran masa, tenaga dan wang rakyat. Malah ia turut digambarkan sebagai suatu mainan politik pembangkang yang memuakkan rakyat.

Sebab itu sejak awal pilihan raya tersebut bermula sudah ada pemerhati dan penganalisis politik meramalkan peratusan keluar mengundi yang rendah. Kebanyakan mereka mengaitkannya dengan sentimen kepartian yang dimiliki para pengundi BN.

Apa pun sikap dan pendirian diambil para pengundi terbabit, ia adalah hak peribadi mereka yang perlu dihormati. Bagaimana pun, apabila ia dikaitkan dengan gesaan dan nasihat berterusan para pemimpin BN agar pemulauan parti itu membuahkan kejayaan, maka tidak dapat tidak perlu diakui bahawa parti itu turut ada saham di atas kemerosotan peratusan keluar mengundi di Penanti.

Hasut pengundi

Apatah lagi media turut menyiarkan kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang secara terbuka menasihatkan pengundi di Penanti agar tidak keluar mengundi.

Akhbar harian pada Khamis (28 Mei) memetik Khairy yang menganggap pilihan raya itu sebagai memperlekehkan institusi demokrasi yang diamalkan di negara ini. Sepertimana para pemimpin BN lain, beliau turut menyandarkan hujahnya atas wewenangan Mohamad Fairus mengosongkan kerusi Penanti.

Saranan itu mendapat reaksi hangat pelbagai pihak. PAS menyifatkan kenyataan itu satu cubaan menghasut pengundi dan meminta SPR mengambil tindakan terhadap Khairy.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menganggap kenyataan itu tidak bertanggungjawab dan berniat menghalang proses pilihan raya. Beberapa ahli akademik turut mempertikaikan kewajaran kenyataan itu.

Halang bersuara

Dalam reaksinya, Khairy tidak menafikan kenyataannya itu. Sebaliknya beliau menganggap usaha membantah saranannya itu sebagai menghalang hak beliau bersuara. Apatah lagi seruan beliau itu memang bertepatan dengan pendirian BN dan sikap ditunjukkan segenap media kroninya.

Justeru, apabila peratusan keluar mengundi di Penanti benar-benar menjunam ke bawah 50 peratus, semua pihak menuding jari ke arah BN sebagai faktor utamanya.

Amat melucukan, hakikat itu cuba dinafikan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau sebaliknya menegaskan sebarang cubaan mengaitkan peratusan keluar mengundi yang rendah itu dengan BN hanyalah 'gimik' kempen pembangkang.

Apa pun, penafian Muhyiddin itu memberikan dua pengertian. Sama ada beliau memang tidak ambil tahu perbahasan hangat di media berhubung kenyataan Khairy yang menghasut pengundi itu, atau beliau tidak mengiktiraf Khairy sebagai salah seorang pemimpin utama dalam BN._

Harakah

Dr Mahathir: Internet berguna untuk menyatakan kebenaran - mStar

KUALA LUMPUR: Walaupun internet, khususnya blog, boleh diguna untuk menakutkan orang ramai dan menimbulkan panik, ia juga berguna untuk menyatakan kebenaran, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pengetahuan yang boleh diperolehi melalui internet tidak terhad, tetapi seperti semua perkara yang boleh didapati oleh manusia, ilmu pengetahuan dan pemerolehannya boleh diguna untuk kebaikan atau keburukan.

"Sebagai contoh, blog boleh diguna untuk melakukan kejahatan, menakutkan orang ramai dan menimbulkan panik. SMS juga boleh diguna untuk tujuan sama.

"Tapi kita tahu betapa bergunanya ia untuk menyatakan kebenaran dan untuk individu menyuarakan pandangan dan perasaan mereka dengan bebas," katanya dalam ucapannya pada pelancaran OSDC.MY dan Open Source Industry Global Linkage di sini hari ini.

Tun Mahathir berkata ketika menjadi perdana menteri beliau diberitahu bahawa tidak boleh menyimpan rahsia dalam internet dan memandangkan kerajaan menggunakannya secara meluas, beliau telah mencadangkan negara perlu membangunkan sistem pengendaliannya sendiri.

Dr Mahathir berkata Korea Selatan mempunyai peratus paling tinggi rakyatnya yang menggunakan komputer dan telah melatih sejumlah besar jurutera IT (Teknologi Maklumat).

Beliau berkata di bawah dasar pandang ke timur, Malaysia kini mempunyai sejumlah golongan muda yang menuntut dalam bidang kejuruteraan di Korea.

Dr Mahathir berkata seorang daripada mereka baru-baru ini muncul pelajar terbaik walaupun terpaksa mengikuti kuliah dalam bahasa Korea, tetapi pelajar itu membaca buku teks dalam bahasa Inggeris.

"Bila saya tanya gadis yang menjadi pelajar terbaik itu, beliau mempunyai jawapan yang mudah, 'Malaysia Boleh'," katanya.BERNAMA

mStar

Zambry Patut Muhasabah Diri Bukan Salahkan Rakyat - TVA

Dr Zambry Abd Kadir kesal kerana ada pihak yang menanam benih kebencian dan permusuhan dalam hati penduduk kampung yang menghalau beliau keluar daripada tanahnya semasa beliau dan rombongan berkunjung ke Batu 8, Lekir, Manjung untuk melihat dan menziarah mangsa angin puting beliung dua hari lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan penduduk kampung yang menghalau beliau tetapi meletakkan kesalahan ke atas bahu pihak yang menanam perasaan benci dan permusuhan itu.

"Inilah hasilnya bila benih kebencian dan permusuhan ditanam, maka buah dipetik adalah buah kebencian dan permusuhan. Saya tidak salahkan dia, tapi saya salahkan orang yang menanam benih itu.

"Penghasut itu mungkin sudah tidak ada di kampung lagi. Dia mungkin datang sekali sekala untuk memberi "baja" ceramah kebencian," tulis beliau dalam blognya hari ini.

Dr Zambry juga merungut kerana seringkali tangan yang dihulurkan untuk bersalam dengan rakyat Perak tidak disambut dan mengaku perkara tersebut telah berlaku berkali-kali sejak beliau memegang jawatan Menteri Besar.

"Jarang anda saksikan orang dan penyokong Barisan Nasional enggan bersalam apabila tangan dihulur. Tetapi saya mengalaminya sendiri sudah berkali-kali.

"Saya tetap pergi jua kepada mereka kerana saya tahu mereka tidak bersalah dan mereka hanya terpengaruh dengan ceramah-ceramah politik yang mengapi-apikan kebencian. Akhirnya yang lahir adalah generasi pembenci," kata Dr Zambry lagi.

Peristiwa kena halau daripada melawat mangsa tragedi alam benar-benar telah melukai hati Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor itu.

Beliau juga mengambil kesempatan dalam blognya untuk menyatakan kekesalannya terhadap penulisan dalam sesetengah blog dan akhbar yang dakwa beliau bersifat "manipulatif" sehingga menyebabkan "hilang rasa mahabbah (kasih sayang sesama umat).

"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana akhbar yang menjadi lidah rasmi sebuah parti yang berteraskan perjuangan Islam tidak rasa berdosa dan bersalah menulis sesuatu yang penuh dengan kebencian sehingga melahirkan generasi pembenci yang sangat parah buat ummat Islam sendiri.

"Demikian juga dengan portal-portal berita yang dikeluarkan selain dari blog-blog yang menulis penuh manipulatif sehingga hilangnya rasa "mahabbah" (kasih-sayang sesama umat)," tulis bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu lagi.

Dr Zambry juga berkata antara perkara yang paling dibencinya ialah "bila agama menjadi sandaran untuk seseorang menabur fitnah dan menabur maki hamun yang tidak langsung ada batas-batas keagamaan".

Mungkin ramai yang berasa simpati terhadap nasib yang menimpa Dr Zambry yang baru empat bulan memegang jawatan Menteri Besar Perak.

Sebagai manusia akhlak dan pekerti yang mulia sememangnya menjadi asas kepada keperibadian seseorang.

Dalam insiden di mana beliau dihalau oleh penduduk kampung persoalan yang wajar ditanya beliau bukanlah siapa yang menyebabkan perasaan benci dan permusuhan itu wujud dalam masyarakat tetapi MENGAPA keadaan itu berlaku.

Rasanya sebagai Menteri Besar daripada Umno dan Barisan Nasional Dr Zambry tidak mempunyai masalah untuk menjawab persoalan ini.

Walau bagaimanapun elok diperturunkan beberapa rentetan peristiwa besar yang berlaku dalam senario politik Perak sejak beliau dilantik ke jawatan itu.

Pertama, beliau sudah tentu akur dan menerima hakikat bahawa rakyat Perak telah menjulang Pakatan Rakyat sebagai kerajaan pilihan mereka pada Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Mereka telah memberi 54 peratus daripada jumlah undi kepada wakil-wakil Pakatan Rakyat yang bertanding dan dengan itu gagasan itulah yang mereka pilih untuk memimpin rakyat dan pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Dr Zambry juga semestinya akur rakyat Perak terkejut, terperanjat dan tersentak apabila bangun daripada tidur pada 5 Februari 2009 mereka diberitahu bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mereka pilih dan sokong tidak lagi wujud.

Sebaliknya kerajaan negeri Pakatan Rakyat diganti oleh kerajaan negeri Barisan Nasional da Dr Zambry sendiri telah dilantik ke jawatan tersebut pada 6 Februari 2009 bagi menggantikan Mohammad Nizar Jamaluddin.

Perasaan berkecamuk dalam sanubari rakyat Perak diparahkan lagi apabila mereka mengetahui bahawa tumbangnya kerajaan negeri pilihan mereka adalah hasil "tangan-tangan ghaib" Umno dan BN yang "menculik", "mengugut" dan "membeli" sokongan tiga ADUN Pakatan Rakyat.

Tidak mungkin rakyat Perak yang matang dalam perkiraaan politik dan berfikiran waras boleh menerima apa yang telah dilakukan oleh Umno dan BN.

Malah dalam amalan demokrasi di mana-mana negara didunia sekali pun budaya "mencuri" dan "membeli" wakil rakyat untuk menumbangkan kerajaan pihak lawan amat dipandang tidak demokratik malah dikeji.

Rakyat Perak marah dengan Umno dan BN kerana telah melakukan apa yang dilihat sebagai satu bentuk manipulasi politik yang keji dan hina serta berlandaskan politik kedurjanaan dan murahan.

Rentetan peristiwa yang berlaku selepas itu hanyalah cerminan daripada "kebencian" dan "permusuhan" hasil daripada kerjatangan Umno dan BN sendiri.

Kekecohan sidang DUN 7 Mei lalu yang menyaksikan Speaker V. Sivakumar diheret dan dikurung oleh individu-individu yang tidak dikenali yang telah menceroboh Dewan juga membuktikan kepada rakyat Perak kemampuan Umno dan BN untuk

melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa sehingga sanggup membelakangkan segala peraturan dan kedaulatan undang-undang.

Penyokong Pakatan Rakyat yang berpakaian serba hitam bagi mengabungi kematian demokrasi dan mengingati 1GelitaMalaysia ditangkap dan disumbat dalam lokap malah solat hajat pun diharamkan.

Terpahat dalam memori rakyat Perak peristiwa "sidang bawah pokok" 3 March lalu di mana Speaker dan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat dihalang oleh polis atas arahan Umno dan BN memasuki DUN untuk bersidang secara terhormat dan bertamadun tetapi terpaksa bermesyuarat di bawah pokok sena.

Rakyat juga melihat dengan penuh keinsafan bagaimana kuasa polis disalahgunakan oleh Umno dan BN untuk mengugut dan menangkap wakil-wakil rakyat serta penyokong Pakatan Rakyat apabila mereka menyuarakan bantahan terhadap kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku.

Rakyat juga melihat sikap dwi standar yang diamalkan Umno dan BN dalam perlaksanaan undang-undang.

Majlis makan malam anjuran Pakatan Rakyat diceroboh dan penyokong ditangkap hanya kerana menayankan video perihal kekecohan sidang DUN Perak.

Namun apabila Umno dan BN mencetak 50,000 cakera padat yang menceritakan versi mereka berhubung sidang DUN 7 Mei dan menayangkan kepada umum tidak ada polis yang menceroboh majlis atau sesiapa pun ditangkap.

Ceramah dan perhimpunan Pakatan Rakyat diawasi dengan puluhan anggota polis dan unit simpanan persekutuan (FRU) yang lengkap bersenjata serta puluhan lagi anggota cawangan khas yang memantau setiap kata-kata yang diluahkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

Kempen puasa sunat dan mogok yang dilancarkan minggu lalu juga tidak lepas daripada tekanan dan kedajalan polis - khemah diarah dibuka, perhimpunan disuraikan, belasan ADUN serta penyokong ditangkap.

Sudah tentu Dr Zambry ingat semua peristiwa yang telah berlaku ini kerana beliau secara langsung dikaitkan dengan semua peristiwa itu.

Rakyat tidak lagi bodoh dan redha untuk diperbodohkan.

Lagi cepat Dr Zambry sedar akan hakikat ini lagi pantas beliau akan memahami mengapa salamnya tidak disambut dan mengapa insiden di Batu 8, Lekir, Manjung berlaku kepada seorang Menteri Besar.

TVA

Zambry, Menteri Dihalau Penduduk Kampung - mStar

Walaupun Dr Zambry Abd Kadir berjaya memegang jawatan Menteri Besar melalui kaedah keputusan rayuan mahkamah, namun ia tidak bermakna rakyat Perak juga semestinya bersetuju dengan keputusan mahkamah tersebut.

Kejadian yang berlaku terhadap Dr Zambry, serta rombongannya (termasuk anggota polis) sudah cukup memberi gambaran dan pengertian bahawa jabatan menteri besar yang dijawatnya tidak diiktiraf oleh rakyat jelata Perak yang rata-rata mahukan supaya Dewan Undangan Negeri dibubar seberapa segera.

Kejadian berlaku di Batu 8, Lekir semalam kira-kira pukul 2,30 petang ketika Dr Zambry, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Lumut Kong Cho Ha dan rombongan beliau dihalau oleh tuan rumah kerana meletak kenderaan mereka tanpa meminta izin tuan punya terlebih dahulu.

"Menteri Besar Mahkamah" itu berada di kawasan tersebut kerana berhasrat menziarah mangsa angin ribut yang melanda malam sebelumnya.

Menurut penulis blog manjungmari, oleh kerana tidak ada laluan ke rumah mangsa Dr Zambry serta rombongan mengambil keputusan untuk meletakkan kereta mereka dihalaman rumah rumah salah seorang penduduk di situ.

Melihat sahaja kehadiran Dr zambry diperkarangan kediamannya, tuan rumah telah meluru keluar dan menghalau beliau serta rombongan keluar daripada tanahnya.

Walaupun diarah keluar Dr Zambry seolah-olah tidak mahu melayan herdikan tuan rumah tersebut malah pemandu kereta rasmi beliau dan kenderaan lain terus meletak kenderaan mereka di halaman rumah tersebut.

Penulis blog itu menceritakan lagi Dr Zambry cuba mengertak tuan rumah dengan menanyakan sama ada beliau membayar cukai ke atas tanah yang didudukinya.

Ini menyebabkan tuan rumah tersebut bertambah marah dan terus menghalau beliau dan akhirnya lawatan mengejut kepada mangsa angin ribut terpaksa dibatalkan.

Lebih memalukan rumah mertua Dr Zambry dikatakan terletak berdekatan rumah di mana beliau serta rombongan dihalau.

Menurut penulis blog lagi keadaan jauh berbeza apabila Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mohammad Nizar Jamaluddin berkunjung ke tempat yang sama pada sebelah petangnya.

Beliau serta rombongan disambut mesra bukan sahaja oleh tuan rumah tersebut malah penduduk di situ.

Sambutan rakyat di peringkat akar umbi terhadap Dr Zambry dan Nizar sudah cukup memberi penilaian terhadap perasaan rakyat berhubung kemelut politik Perak yang sehingga kini belum mencapai penyelesaian muktamad.

Lebih-lebih lagi kejadian yang agak memalukan berlaku ke atas seorang ketua eksekutif kerajaan negeri memberi pengertian hakiki siapa "Menteri Besar Sah" dan siapa pula "Menteri Besar Mahkamah".

TVA

Monday, June 1, 2009

T'ganu: Undi tak percaya jika kemelut tak selesai... - Malaysiakini

Politik Terengganu bakal bergolak lagi setelah bertiup khabar angin bahawa kumpulan 18 ADUN BN Terengganu akan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam sidang DUN Ogos ini jika kemelut politik di negeri masih gagal diselesaikan.

Bagaimanapun, menurut sumber yang rapat dengan mereka, undi tidak percaya itu merupakan jalan terakhir bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negeri itu sejak lebih setahun lalu.

"Mungkin satu usul tidak percaya terhadap Datuk Ahmad akan dibuat dalam sidang dewan yang dijadualkan Ogos ini.

"Kumpulan 18 ADUN masih percaya krisis politik Terengganu akan selesai jika Ahmad meletakkan jawatan sebagai menteri besar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Namun, sumber itu berkata, ADUN BN berkenaan berharap pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein boleh menyelesaikan kemelut tersebut sebelum sidang DUN bermula.

Katanya, kemelut tersebut dianggap selesai oleh pihaknya jika menteri besar diganti.

Menurutnya, kumpulan 18 ADUN berkenaan mahu isu tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

"Sebab itu dalam pertemuan dengan Datuk Seri Hishammuddin di Putrajaya, kita bercakap semua yang menjadi punca kemelut politik Terengganu," katanya.

Pertemuan tersebut turut membabitkan lapan ketua Umno bahagian Terengganu yang diadakan untuk mencari jalan untuk menyelesasikan kemelut tersebut.

SMS ugutan

Selain Ahmad, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh turut hadir dalam pertemuan di pejabat Hishammuddin di kementerian dalam negeri di Putrajaya itu pada 20 Mei lalu.

Pada 14 April lalu, 10 ADUN BN memulaukan DUN Terengganu pada hari kedua persidangan hari ini selepas beberapa orang daripada mereka menerima SMS ugutan "YB tak sayang nyawa?".

Sebelum itu, sebahagian ADUN BN Terengganu mahu Ahmad digantikan atas alasan tidak berkeupayaan mentadbir negeri itu.

Manakala 10 daripada mereka tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu baru-baru ini apabila tiga daripada mereka menerima SMS ugutan.

Bagaimanapun mereka menghadiri hari terakhir sidang DUN tersebut atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, sebuah blog melaporkan ada kemungkinan beberapa ADUN kumpulan berkenaan dijangka mengumumkan menjadi ADUN bebas dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, bekas setiausaha badan perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid - salah seorang ADUN yang paling lantang mahu menteri besar digantikan - menafikan laporan blog itu.

"Itu cerita mengarut, kalau saya nak masuk bebas, kita tidak buat senyap-senyap. Kita akan buat sidang akhbar (kalau menjadi ahli bebas)," katanya.

Malaysiakini

PENANTI: Reaksi calon Bebas tewas - mStar

BERIKUT ialah reaksi kesemua calon Bebas yang tewas dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti.

AMINAH ABDULAH (BEBAS)

"Kak Min (Aminah) menerima keputusan ini dengan hati terbuka, Kak Min sedikit pun tak rasa kecewa dengan keputusan ini.

"Bagi Kak Min, keputusan ini ialah seperti kalah dalam kemenangan... Kak Min menang kerana berjaya mengurangkan peratusan undi yang dimenangi oleh PKR (Parti Keadilan Rakyat).

"Bagi Kak Min, jumlah orang keluar mengundi yang kecil ini ialah kerana penyokong Umno tidak keluar mengundi.

"Insya-Allah Kak Min akan cuba lagi pada masa-masa akan datang jika dipanjangkan umur, jumlah undi yang Kak Min terima pun taklah kecil sangat, nampaknya ada juga yang menyokong Kak Min."

NAI KHAN ARI (BEBAS)

"Saya tidaklah terlalu kecewa, tapi saya rasa sedikit kecewa kerana kalah di kampung saya sendiri iaitu di peti undi Telok Wang dan Sungai Lembu.

"Walau bagaimanapun saya menerima keputusan ini kerana pengundi telah membuat keputusan mereka untuk memilih pemimpin.

"Saya harap kepada Mansor (Othman) yang menang supaya dapat membantu rakyat dengan menumpukan kepada pembangunan di Penanti.

"Kalau ada peluang nanti, mungkin saya akan mencuba nasib pada masa yang lain, tapi matlamat saya ialah untuk membantu rakyat."

KAMARUL RAMIZU IDRIS (BEBAS)

"Nampaknya dari jumlah undi yang saya dapat, jelas menunjukkan masyarakat di sini menolak konsep keimanan yang ingin saya bawa.

"Mereka lebih mahukan pembangunan yang dijanjikan oleh calon-calon lain... bagaimanapun saya tidak akan berputus asa dengan matlamat saya untuk menubuhkan Parti Iman SeMalaysia.

"Ini adalah kekalahan saya kali kedua selepas Parlimen Bukit Gantang, saya terima keputusan ini dengan hati terbuka tanpa rasa kecewa."

mStar

Keputusan Rasmi Pilihanraya Kecil DUN Penanti

Dr. Mansor Othman (PKR) - 6,052
Aminah Abdullah (Bebas) - 392
Khan Ari (Bebas) - 494
Kamarul Ramizu Idris (Bebas) - 56

Dr. Mansor Othman PKR
Majoriti - 5558