Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, January 16, 2009

'Isu etika' punca ketua p'raya berundur

Pegawai pengurus pilihanraya kecil Kuala Terengganu meletakkan jawatan kerana tindakannya boleh menimbulkan isu etika dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh dipertikaikan.

Datuk Mat Razali Kassim (foto), yang juga datuk bandar Kuala Terengganu, semalam menarik diri secara mengejut selepas dikritik oleh PAS sebagai "berat sebelah" dengan dakwaan meminta kakitangan majlis bandaraya itu menyokong BN esok.

SPR berkata ia menerima beberapa aduan melalui surat, telefon, mesej SMS dan pemerhatian suruhanjaya itu sendiri berhubung perkara tersebut.

Beliau menafikan penarikan diri Mat Razali semata-mata akibat desakan pemimpin-pemimpin kanan PAS termasuk pesuruhjaya negerinya Datuk Mustafa Ali.

"Sebagai pegawai pengurus, seseorang harus ada etika tertentu.

"Seseorang pegawai tidak boleh dilihat bias kepada mana-mana pihak, mesti tidak berpihak," kata pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam sidang medianya hari ini di Kuala Terengganu.

"Kita berharap tidak timbul lagi isu (pihak) yang mengatakan SPR berat sebelah.

"Kita pandang berat perkara ini, beliau juga sedar dengan tindakannya itu boleh membuatkan SPR dalam keadaan dipertikaikan."

Beliau berkata, keputusan menggantikan Mat Razali dengan setiausaha MBKT Wan Mustafa Wan Hassan dibuat selepas menerima surat penarikan diri datuk bandar itu dan ia diputuskan dalam satu mesyuarat SPR yang disertai oleh semua anggotanya.

"Saya tidak fikir ia (penarikan diri) akan membawa kesan (negatif) kepada SPR," katanya.

Abdul Aziz berharap pilihanraya kecil parlimen esok dapat mencipta rekod dengan jumlah keluar mengundi sehingga 90 peratus daripada 80,229 pemilih.

Katanya, pilihanraya kecil ini telah berjaya mencatatkan rekod apabila kehadiran 40,000 penyokong BN dan PAS di hari penamaan calon 6 Januari lepas berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Turut hadir di sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan Setiausahanya Datuk Ngah Senik.


Sumber: Malaysiakini

No comments: