Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, October 6, 2009

BN Tutup Isu Projek Terbengkalai - TVA

Bagan Pinang sinonim dengan masalah projek terbengkalai, sekali gus tahap keselamatan dan keindahannya merudum teruk, kata Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Projek membina jalan baru di Lebuh raya Seremban-Port Dickson ke Linggi yang diusahakan Hartanahjaya (M) Sdn Bhd, Benteng Timur Sdn Bhd dan (J) & AMR Jeli Sdn Bhd (Design & Build), semua syarikat kroni Barisan Nasional (BN), terbengkalai sejak 2007.

Kamarul berkata, ia meliputi jalan baru sepanjang 12 kilometer manakala syarikat Bumiputera, Satriadesa Corporation Sdn Bhd diberi tanggungjawab baki pembinaan jalan sepanjang 18 kilometer.

"Anehnya, kos syarikat kroni BN mencapai RM115 juta manakala syarikat Bumiputera hanya RM40 juta walaupun saiz pembinaan lebih panjang. Ini menimbulkan keraguan," katanya.

Kamarul berkata, projek terbengkalai itu menyebabkan pelbagai masalah lain timbul, khususnya faktor keselamatan hingga kematian pengguna jalan raya.

Beliau ada membawa isu itu ke Parlimen dan dimaklumkan, hanya 15.7 peratus daripada 37 projek dengan peruntukan RM152.9 juta, telah siap manakala bakinya dalam pelaksanaan.

"Realitinya, tiada kerja dibuat. Selain lebuh raya, rakyat dapat melihat ada banyak projek tergendala termasuk pembinaan rumah rehat dan naik taraf jalan raya," katanya.

Katanya, projek terbengkalai itu berlarutan untuk tempoh lama sejak pimpinan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) diketuai Tan Sri Samad tapi aduan Pakatan Rakyat dipandang sepi.

Beliau kesal berikutan penduduk tempatan terpaksa menanggung bebanan hutang bank berikutan projek perumahan tidak siap mengikut jadual, sekali gus mengalami kerugian dua kali ganda.

“Sebahagian pembeli mengeluarkan wang simpanan dan berhutang bank, gagal membayar faedah menyebabkan rumah dilelong. Ini menjadi dua kali rugi. Simpanan habis, rumah idaman terlepas.

“Ini masalah pemaju tapi kerajaan negeri bersikap lepas tangan dengan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pemaju berkenaan,” katanya.

Beliau telah meminta penjelasan dari kementerian berkaitan bagi menjawab segala persoalan yang membabitkan hal itu tapi tidak dilayan, malah tiada perkembangan kerja pembinaan.

“Selepas lebih setahun sebagai wakil rakyat, saya tidak nampak kemajuan projek, jauh sekali penjelasan mengenai projek itu, seolah-olah tiada tindakan diambil mereka," katanya.

TVA

No comments: