Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, January 12, 2010

Pemuda PR sepakat pantau rumah ibadat - Sinar Harian

BANDARAYA MELAKA - Pemuda Pakatan Rakyat (PR) akan sama-sama memainkan peranan untuk membantu menjalankan pemantauan di rumah-rumah ibadat dalam usaha mengekang perbuatan khianat terhadap tempat berkenaan.

Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, semua jentera Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan PR dikerah untuk memainkan peranan.

Menurutnya, arahan juga dikeluarkan supaya semua Ketua Bahagian dan Cabang memberi nombor telefon mereka kepada rumah ibadat termasuk gereja, kuil serta masjid bagi membolehkan mereka memberi bantuan sekiranya berlaku sesuatu.

“Ini merupakan satu pasukan komuniti supaya kita dapat sama-sama memainkan peranan membanteras kejadian tidak diingini ini serta dapat membantu mencari siapakah yang bertanggungjawab dalam kejadian sebegini,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Gereja Baptist Melaka yang disimbah dengan cat hitam oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam satu kejadian pagi kelmarin.

Hadir sama, Ketua AMK Melaka, Hairiz Nordin.

Semasa lawatannya, Shamsul Iskandar turut mengadakan pertemuan ringkas dengan Pastor Alfred Wee, iaitu paderi gereja yang menyedari perbuatan menyimbah cat itu.

Sambil menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan tidak bertamadun, Shamsul Iskandar berkata, ia perlu dihentikan segera.

Menurutnya, beliau berasakan ia merupakan tindakan kelompok yang sengaja ingin menimbulkan polemik demi kepentingan sendiri.

“Saya berasa amat kesal atas apa yang berlaku dan saya ingin menyatakan bahawa kami mengecam sepenuhnya tindakan sebegini,” katanya.

Sementara itu, Alfred melahirkan rasa penghargaannya kepada polis yang bertindak segera selepas dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

“Sejak kejadian itu, anggota polis telah ditempatkan di sini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka atas tindakan mereka,” katanya.

Sinar Harian

No comments: