Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, August 22, 2008

Kacau isteri: Anwar ancam saman Hamzah RM10 juta

Gara-gara mendakwa calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah "mengacau" dan "ingin ambil kesempatan" terhadap isterinya, seorang timbalan menteri bakal berdepan tindakan saman fitnah dengan jumlah RM10 juta.

Timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan dilaporkan berkata pemilih di kawasan parlimen Permatang Pauh tidak wajar mengundi Anwar dalam pilihanraya kecil 26 Ogos ini.

Menurut peguam Anwar, kenyataan Datuk Hamzah Zainuddin dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Jit Poh kelmarin.

Dalam suratnya semalam, peguam tokoh PKR itu Sankara Nair menuntut Hamzah menarik balik kenyataannya itu dalam tempoh 48 jam atau akan dikenakan tindakan saman.Surat tuntutan itu menyebut, kenyataan timbalan menteri itu membawa maksud secara langsung atau tidak langsung memberi gambaran bahawa Anwar pernah terlibat dengan kegiatan seks haram atau mempunyai tabiat suka berbuat demikian, seorang lelaki yang berakhlak rendah, lelaki yang tidak mempunyai nilai-nilai Islam, dan mempunyai perwatakan buruk.

Anwar beranggapan, kenyataan Hamzah itu sebagai sangat cuai, tidak bertanggungjawab, dengan sengaja dan berniat jahat merendah-rendahkannya di mata orang ramai sehingga boleh menimbulkan kebencian dan penghinaan mereka.

Bekas timbalan perdana menteri juga, menurut surat peguam itu lagi, berkata kenyataan Hamzah berniat jahat, satu bentuk penyelewengan fakta yang menunjukkan akhlaknya buruk demi merosakkan imejnya dan mencari publisiti murahan.

Selain menuntut penarikan kembali kenyataan itu, Hazmah juga dikehendaki memohon maaf mengikut kata-kata peguam berkenaan di akhbar-akhbar pilihan Anwar dan tidak lagi mengulangi kenyataan seumpama itu.

Menurut satu kenyataan PKR hari ini, surat tuntutan Anwar itu telah dikirim melalui faksimili kepada pejabat rasmi Hamzah di Putrjaya jam 5.30 petang semalam.

Sumber: Malaysiakini

No comments: