Artikel ini diterjemahkan oleh Kerajaan Rakyat dari artikel asal yang bertajuk “The Altantuya Shaaribuu’s Case : How And Why She Was Killed?” dan disiarkan oleh sebuah akhbar Perancis pada 5 Mac 2009.
—-
Shaaribu Setev adalah seorang lelaki yang kecewa dan marah. Namun disebalik wajah sedih lelaki Mongolia ini tersimpan semangat yang tinggi. Duduk di sebuah sofa di lobi sebuah hotel di Ulaan Battar sambil bergetar menahan angin beku yang bertiup, dia lelaki berumur 60 tahun itu bersiap sedia untuk melawan. Raut parasnya dibentuk dari segala penderitaan dan iklim yang melampau, dan renungannya yang dalam menceritakan semuanya.
“Anak perempuan saya dibunuh oleh orang Malaysia di bumi Malaysia. Namun mereka langsung tidak memohon maaf,” katanya yang juga seorang professor psikologi di Universiti Kebangsaan Mongolia.
Pembunuhan anak perempuannya, Altantuya Shaaribu, berlaku pada bulan Oktober 2006. Ini adalah jenayah bunuh yang berbeza dari yang lain berlaku di sebuah rantau di mana konflik-konflik perniagaan atau pertelingkahan politik yang remeh diselesaikan dengan muncung pistol. Segala yang berkaitan dengan kes ini, yang bermula pada tahun 2002 apabila syarikat Perancis-Sepanyol Armaris mencapai persetujuan untuk menjual tiga buah kapal selam kepada kerajaan Malaysia dengan harga satu bilion Euro, adalah luar dari kebiasaan. Kesan “kes Altantuya” ini di Perancis, Malaysia dan Mongolia belum lagi mencapai klimaknya. Pembunuhan gadis Mongolia berusia 28 tahun itu adalah akibat dari “komisen” berharga 114 juta daripada Armasi kepada rakan niaganya di Malaysia. “Komisyen” ini yang diakui oleh kerajaan Malaysia di dalam Parlimen di Kuala Lumpur, telah mencetus beberapa siri peristiwa yang membawa kepada pembunuhan Altantuya dan kehilangan beberapa orang saksi penting di dalam kes itu.
Sebuah laporan dari polis Malaysia, yang masih disimpan secara rahsia sehingga sekarang, mendedahkan secara terperinci bagaimana perempuan muda yang tergolong dalam golongan atasan Asia itu dibunuh. Di dalam dokumen tersebut, salah seorang pembunuhnya, seorang anggota polis dari Cawangan Khas bernama Sirul Omar, menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh seorang pegawai di sebuah stesen polis yang berdekatan dengan tempat pembunuhan.
“Apabila perempuan Cina itu melihat saya mengeluarkan sepucuk pistol, dia merayu supaya dilepaskannya kerana dia sedang mengandung. Azilah (pegawai pemerintah kepada Sirul) menarik perempuan itu dan [menghumbannya] ke atas tanah. Saya segera menembak pada bahagian kiri mukanya. Kemudian Azilah menanggalkan pakaian perempuan itu dan memasukkan pakaian yang ditanggal itu ke dalam sebuah plastik hitam. Azilah mendapati tangan perempuan itu masih bergerak. Dia memerintahkan saya untuk menembak sekali lagi, dan saya melakukannya”, ujar Sirul. Ini adalah merupakan pengesahan yang pertama identiti pembunuh Altantuya. ” Kemudian kami mengusung mayatnya ke dalam hutan, Azilah membalut bahan letupan di sekeliling kaki, abdomen dan kepala perempuan itu dan kemudian kami meletupkannya.”
Pendedahan laporan tersebut di dalam akhbar Perancis *Liberation* adalah bab terbaru dalam kisah yang penuh warna-warni dan dramatik ini yang melibatkan penjual senjata Perancis, pawang Mongolia dan politikus-politikus Malaysia. Kes ini sangat sensitif kepada kerajaan Malaysia, kerana Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak yang dijadualkan menjadi Perdana Menteri pada akhir bulan Mac nanti disyaki terlibat di dalam kes ini, tetapi ini juga kerana kes ini boleh memalukan DCNS, sebuah syarikat Perancis yang mengkhusus dalam pembinaan kapal laut tentera. Syarikat Perancis-Sepanyol Armaris, yang menjual Scorpene dan satu kapal selam Agosta kepada Malaysia pada bulan Jun 2002, dibeli oleh DCNS pada tahun 2007.
Dengan kecantikan dan keanggunannya yang memukau, Altantuya mengingatkan pada imej kacau seorang perempuan dari Timur Jauh bernama Mata Hari. Altantuya membesar di Saint Petersburg (Russia), kemudian belajar di Institut Pengurusan Ekonomi di Beijing. Di samping bertutur di dalam bahasa Inggeris, dia juga fasih di dalam bahasa Russia, Cina dan Korea. Sebagaimana yang telah ditakdirkan, semasa di Hong Kong dia bertemu dengan Abdul Razak Baginda pada tahun 2004. Baginda adalah seorang pakar keselamatan dan pengarah Malaysian Strategic Reseach Centre, sebuah badan pemikir yang pro-kerajaan. Tidak berapa lama kemudian hubungan mereka menjadi percintaan. Altantuya, atau dipanggil Tuya oleh teman-temannya, membuktikan bahawa dia adalah seorang pembantu yang berguna, menolong Baginda menterjemah bahasa Rusia ke bahasa Inggeris.
Jika Altantuya muda dan cantik, Baginda yang kaya dan menarik adalah seorang yang terkenal di kalangan elit Kuala Lumpur, terutama sekali kerana dia rapat dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan menteri Pertahanan, Najib Razak (baginda juga penasihat urusan keselamatannya). Baginda selalu bertemu dengan lingkungan-lingkungan yang sangat eksklusif di Kuala Lumpur, kadangkala ditemani oleh isterinya yang sah.
Pada bulan Mac 2005, Altantuya dan Baginda berangkat ke Eropah, mengelilingi Perancis, Jerman, Itali dan Portugal dengan Ferrari merah Baginda, menginap di hotel-hotel mewah dan menjamu selera di restoran-restoran terbaik di benua itu. Bagaimanapun, lawatan itu bukan sekadar lawatan biasa: kontrak untuk menjual dua kapal selam itu telah ditandatangani pada tahun 2002, tetapi beberapa hal-hal penting yang berkaitan masih belum diselesaikan.
“Kami mengetahui bahawa Baginda digunakan oleh Timbalan Perdana Menteri Najib Razak sebagai pengantara dalam urusan system persenjataan, terutama sekali di peringkat tertinggi,” kata seorang pakar urusan keselamatan serantau.
Pada hujung bulan Mac Altantuya dan Baginda berada di Paris, di mana mereka bertemu dengan Najib Razak. Sekeping gambar yang diambil pada akhir Mac 2005, menunjukkan bahawa ketiga mereka berada di sebuah kelab persendirian di Paris.
“Tuya menunjukkan gambar itu. Katanya salah seorang lelaki itu, Abdul Razak Baginda adalah teman lelakinya, dan seorang lagi, Najib Razak, adalah “big boss”. Saya bertanya kepadanya adakah mereka bersaudara kerana nama mereka, tetapi katanya tidak, dan Najib Razak adalah “perdana menteri”, cerita Amy, teman rapat Altantuya (Najib Razak telah bersumpah dengan Quran mengatakan bahawa dia tidak pernah bertemu dengan Altantuya). Menurut seorang detektif persendirian, sekarang bersembunyi di India, si Tuya yang cantik itu juga adalah perempuan simpanan Timbalan Perdana Menteri, yang dikenalkan oleh Baginda kepadanya pada akhir tahun 2004.
Cerita ini menjadi dramatik apabila pada Oktober 2006, Altantuya dimaklumkan bahawa komisyen yang dibayar oleh syarikat Perancis-Sepanyol Armaris telah masuk ke dalam akaun bank di Kuala Lumpur. Komisyen itu telah dibayar kepada Perimekar, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Baginda. Altantuya segera berangkat ke Kuala Lumpur dengan tujuan menuntut bahagiannya dari komisyen itu dari Baginda; dia berkata dia berhak untuk mendapat 500, 000 dolar. Baginda dan Altantuya putus hubungan tidak berapa lama sebelum itu lagi. Rosmah Mansor, seorang ahli perniagaan yang digeruni dan isteri Najib Razak, cemburu lalu menghalang sebarang pembayaran kepada Altantuya. Altantuya tiba di Kuala Lumpur dengan dua orang wanita Mongolia, salah seorang darinya adalah pawang yang akan menjampi Baginda jika dia tidak membayar. Selama beberapa hari, Altantuya mengganggu bekas kekasihnya. Pada 18 Oktober, Baginda tidak dapat lagi tahan dengan Altantuya yang setiap hari berada di hadapan rumahnya. Dia menghubungi Pengarah Cawangan Khas, Musa Safrie, yang juga merupakan pegawai keselamatan Najib Razak.
Pada 19 Oktober 2006, jam mendekati 9 malam, dua orang pegawai polis Cawangan Khas, Azilah Hadridan dan Sirul Omar, dihantar ke hadapan rumah Baginda di mana Altantuya menjerit dan berteriak. Mereka mendapat arahan “meneutralkan perempuan Cina itu.” Mereka menculiknya dan membawanya sejauh sepuluh kilometer dan menembaknya beberapa kali. Kemudian, mereka memusnahkan tubuhnya dengan bahan letupan C4, jenis yang hanya boleh diperolehi dari Kementerian Pertahanan. Kemasukannya ke Malaysia telah dipadam dari rekod imigresen. Ini seolah menunjukkan bahawa Altantuya tidak pernah ke Malaysia kerana tidak ada rekod yang menunjukkan sebegitu.
Tidak ada jenayah yang sempurna. Pemandu teksi yang disewa oleh Altantuya pada hari tersebut tidak dapat menerima kenyataan bagaimana penumpangnya yang masih belum membayar tambang diculik di depan matanya. Dia mencatit nombor pendaftaran kereta penculik itu dan membuat repot di sebuah balai polis. Dalam beberapa hari, polis mendapat tahu indentiti kereta itu dan mendapati ia adalah kereta kerajaan. Beberapa peristiwa berlaku sehingga Najib Razak sendiri tidak dapat menghalangnya. Dia cuba untuk menutup kes ini. Beberapa jam sebelum penahanan Baginda, dia menghantar satu SMS: “Saya Akan bertemu dengan Ketua Polis Negara pada jam 11 pagi hari ini…masalah tersebut akan selesai. Sabarlah”. Beberapa jam kemudian, Baginda ditahan, begitu juga dengan dua orang pegawai dari Cawangan Khas, Azilah dan Sirul.
Selepas perbicaraan yang dianggap meragukan oleh ramai pemerhati, Baginda dilepaskan dari tuduhan telah memerintahkan pembunuhan itu dilakukan dan dibebaskan pada bulan November 2008. Azilah dan Sirul yang dituduh melakukan jenayah tersebut, tampil di hadapan Mahkamah bulan lepas. Jika disabit kesalahan, mereka akan dihukum mati. Mahkamah akan memutuskan pada 9 haribulan April.
Beribu batu dari Kuala Lumpur, di ibu Negara Mongolia, Ulaan Baataar, Shaaribuu Setev, bapa Altantuya berusaha mengawal perasaan marahnya. Untuk dia dan keluarganya, pembebasan Baginda adalah simbol kepada ketidakadilan di dalam proses perundangan Malaysia.
“Kerajaan Malaysia langsung tidak membals surat-surat yang dihantar oleh Kementeria Luar Mongolia,” katanya. Ketika Shaaribu datang ke parlimen Malaysia untuk bertemu dengan Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri itu terpaksa keluar mengikut pintu belakang untuk mengelakkan pertembungan yang memalukan. Kes Altantuya telah menjadi elemen penting di dalam permainan politik Malaysia di antara Najib Razak (yang dijangka akan menjadi Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agong UMNO pada bulan Mac ini) dan Anwar Ibrahim. Sehingga kini, Najib Razak Berjaya menghadapi rintangan ini, tetapi pembunuhan perempuan Mongolia itu akan menjadi pedang yang tergantung di atas kepalanya.
Salah satu aspek yang kabur di dalam kes Altantuya ini adalah peranan syarikat Armaris. Pada Oktober 2007, Timbalan Menteri Pertahanan, Zainal Abidin Zin, mengakui di hadapan Parlimen bahawa Armaris telah membayar sebanyak 114 juta Euro sebagai komisyen kepada Perimekar. Dia menegaskan bahawa bayaran itu bulan rasuah tetapi adalah untuk “perkhidmatan-perkhidmatan sokongan dan koordinasi.” Adakah terdapat korupsi di dalam kes kapal Taiwan di mana DCNS French dikaitkan juga? DCNS, adalah syarikat swasta dengan dana awam, telah menolak permintaan kami untuk mengadakan pertemuan. ‘Tiada siapa yang boleh memberi komen terhadap kes itu,” jawab pegawai perhubungan awam DCNS di Paris. Sebuah dokumen, yang boleh menghubungkan antara Altantuya dan syarikat Perancis itu adalah surat jaminan yang ditulis oleh Abdul Razak Baginda supaya perempuan simpanannya itu dapat memohon visa untuk memasuki zon Schengen (Perancis adalah Negara ahli). Kedutaan Perancis tidak boleh menolak permintaan seorang lelaki yang telah dianugerahkan dengan Legion d’Honneaur itu. Tetapi peranan Altantuya di dalam perundingan kapal selam itu masih lagi belum jelas. Agensi-agensi perisikan mendapati latar belakangnya menarik dan FSB Rusia (ex-KGB) memantau secara dekat kes ini.
Di Ulaan Baatar, Mungunshagai, anak lelaki sulung Altantuya, yang berumur 12 tahun, mengalami trauma dengan kematian emaknya. Altanshagai, anak bongsu, yang berumur 5 tahun dan terencat akal, tidak dapat memahami bahawa dia tidak akan bertemu ibunya lagi. “Dia selalu bertanya tentang ibunya dan dia sepanjang hari meniarap di atas kerusinya. Setiap malam, saya akan memberinya gula-gula dan mengatakan bahawa ibunya memberikan kepada saya untuk diberikan kepadanya”, ujar Shaaribuu Setev, datuk kepada dua dua orang budak lelaki itu. Tentang baginda pula, dia sekarang menetap di United Kingdom dengan keluarganya. Dia tidak sekalipun pernah melafaz sepatah kata penyesalan terhadap kematian seseorang yang pernah berkongsi hidup dengannya selama dua tahun. Kerajaan Rakyat
Arnaud Dubus (di Kuala Lumpur, Ulaan Baataar dan Paris)
Sumber: Perak Express
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment